Thursday, July 19, 2007

HAHAHAHAHAHA!!!


Assalamualaikum...Huh!...Lama betul tak menulis. Banyak sangat perkara tertunggak yang perlu diselesaikan. Mungkin juga terlalu sibuk melayan karenah malas yang bersesak-sesak datang menghimpit-himpit diri ini. Walaupun blog ini tiada siapa yang baca, tetapi aku sendiri mesti ingat (sendiri mau ingat la) bahawa, hanya wadah ini sahajalah segala tulisan aku diterima. Kalau dihantar ke majalah atau akhbar, belum tentu mereka siarkan. Tapi bila aku "post"kan apa sahaja artikel dalam apa jua genre sekali pun ke blog ini, sudah pasti ia menerimanya dan tanpa segan silu artikel aku disiar.

Pada kali ini aku cuba berkongsi dengan kalian (kalian?..Sapa yang baca?) mengenai kegilaanku kepada rancangan memasak. Walaupun sejuta kali aku tontoninya, aku tetap menontonnya berulang-ulang kali.

Di sana terdapat pelbagai rancangan memasak berbentuk "Cook Show" atau pun "travelogue". Rancangan-rancangan ini dihoskan oleh selebriti dari kalangan chef terkenal seperti Anthony Bourdain, Nigella, Jamie Oliver, Tobie Puttock dan lain-lain lagi.Kali ini aku ingin fokus kepada chef yang menjadi ketaksuban ku iaitu Jamie Oliver - "a first rock and roll chef".

Ketaksuban aku padanya bukan pada makanannya yang "simple" sahaja, tetapi cara dia berpakaian,berkenderaan dan yang paling penting tanggung jawab sosialnya. Walaupun begitu, terdapat juga kebencian ku padanya tatkala beliau memasak tulang rusuk babi, babi salai dan steak babi. Aku juga "lugar" bila dia asyik masukkan wain dalam semua "desert"nya. Tidak mengapa. Kita letak ke tepi semua kelugaran dan kebencian itu.

Ketaksuban ku yang pertama adalah pada cara beliau berpakaian. Fesyennya yang cool; berseluar jeans, berT-shirt kekadang berjaket askar (yang ni aku tak tahan), berkasut "sneakers" kekadang memakai sepatu clark model desert trek (yang ni pun aku tak tahan juga) dan berambut ala-ala Oasis; Indie Pop Band Britain. Menggunakan nama jolokan "Naked Chef" (walaupun dia tidak berbogel ketika memasak). Noktah...

Ketaksuban ku yang kedua ialah pada kenderaannya. Beliau selalu menunggang skuter yang menyebabkan dia kelihatan sungguh "cool" dan bertenaga. Disamping mengenakan jaket askar yang sememangnya sesuai bagi mereka yang berfalsafah "MODS". Beliau juga mempunyai kenderaan van Volkswagon lama yang dalulunya model ini menjadi kegilaan golongan "Hippies".

Ketaksuban ku yang ketiga ialah tanggung jawab sosialnya. Pada tahun 2005, beliau melancarkan kempen memerangi makanan ringan "junk food" di sekolah-sekolah di Britain. Kegigihan beliau dalam peperangan ini diabadikan dalam rancangan "Jamie's School Dinner", satu rancangan televisyen realiti. Beliau bersama dengan chef Nora berjuang mempromosikan pemakanan sihat di sekolah-sekolah sekitar London. Walaupun bagitu usaha murni beliau ada mendapat tentangan dari ibu bapa pelajar dengan beralasan bahawa anak mereka bebas memakan apa sahaja. Usaha beliau membuahkan hasil apabila beliau berjaya bertemu dengan Presiden Britain, Tony Blair bagi membincangkan permasalahan makanan di sekolah-sekolah. Akhirnya, Jamie Oliver berjaya mengubah lanskap dan gaya pemakanan pelajar-pelajar sekolah-sekolah di Britain.

Moralnya ialah, Kita sebagai inidividu Muslim yang belajar agama, apakah tanggung jawab kita dalam merubah arus dan corak muda mudi sekarang ini yang selalu dikaitkan dengan gejala sosial? Perlukah wujud "Rock & Roll Ustaz"? <<-- Kah Kah Kah Kah!!! Saksikan aksi Jamie

Monday, June 11, 2007

Environment Day


Pada 5 Jun setiap tahun adalah hari alam sekitar sedunia. Dengan tema 'green every day' pelbagai sambutan telah dibuat di seluruh dunia bagi meraikan hari ini. Dalam kes ini 'meraikan' adalah dengan cara bertindak mengikut kemampuan masing-masing. Yang besar kuasa dan kemampuan telah bertindak dengan cara masing2. Ada yang menanam kembali pokok di sekitar kediaman mereka dan ada yang mengurangkan penggunaan elektrik pada hari tersebut.

Namun begitu aku mempunyai pandangan yang berbeza. Mungkin pendapat aku agak kolot dan konservetif. Aku merasakan perjuangan untuk memelihara alam sekitar sememangnya perlu sebagai satu simbol penghargaan kita terhadap nikmat sang Pencipta. Sistem alam semulajadi yang terganggu ekosistemnya, sedikit sebanyak mengganggu keharmonian benda hidup lebih-lebih lagi kesannya dapat dirasai oleh manusia.

Bagi aku perjuangan alam semulajadi ini yang mungkin diperjuangkan oleh "green peace", mempunyai agenda tersembunyi. Dengan kuasa yang ada ditangannya, membolehkan badan ini memasuki mana2 negara atas nama keamanan alam semula jadi., Dan aku rasa tak berapa sedap hati dengan kaedah ini seolah-olah ia satu agenda 'new world order' yang diperjuangkan oleh golongan Illuminati. Sejauh mana kebenaran sangkaan aku, aku sendiri tak pasti. Kerana ini hanyalah sangkaan sahaja.

Mengenai dunia yang semakin uzur. Ini adalah aturan tuhan yang kita semua tak dapat nafikan. Usia bumi yang semakin lanjut, menyebabkan ekosistem mulai kacau. Salah satu fenomena pelik yang berlaku di akhir zaman seperti mana yang termaktub dalam sabda utusan Pencipta yang mafhumnya ialah, suatu hari nanti tanah arab akan kembali subur dan dipenuhi dengan sungai-sungai dan kebun2. Bayangkan tanah arab yang tandus, akan dialiri oleh sungai2 dan dihijaui oleh pepohon kebunan. Ini fenomena yang amat menyalahi geografi hari ini.

Bagi aku lagi, perjuangan hari alam sekitar adalah satu perjuangan yang seolah-olah tidak mahu menerima hakikat bahawa alam ini akan musnah. Setiap benda akan musnah, kecuali kuasa yang memusnahkan itu iaitu Tuhan. Bagi kita manusia sememangnya boleh menjaga kahijauan hutan, ketegapan gunung ganang dan kejernihan sungai dan lautan. Namun kita tidak mampu untuk mengawal 'maintainence' graviti bumi yang semakin merungsingkan.

Graviti bumi terhasil dari pergeseran teras bumi cair dengan teras bumi pejal. Teras bumi ini merupakan unsur besi tumpat yang terbesar wujud di bumi ini. Hasil pergeseran inilah yang menghasilkan elektrik statik, yang akhirnya menghasilkan medan magnet gergasi. Graviti dan medan magnet bumi inilah yang mengawal kondisi bumi dari kemusnahan.

Graviti bumi menjadikan setiap benda yang berada dipermukaan bumi tetap utuh dan kejap mencengkam bumi. Medan magnet pula berperanan sebagai atap pelindung kepada bumi dari serangan asteroid dan objek2 najam yang legam dari angkasaraya.

Lama-kelamaan, teras bumi yang cair ini akan membeku dan menjadi pepejal seperti teras pejal yang lain. Maka tiada lagi geseran. Bila tiada lagi geseran, maka tiada lagi cas-cas elektrik statik. Apabila tiada lagi elektrik statik, maka tiada lagi graviti dan medan magnet. Bila kedua-duanya tiada maka nantilah saat kemusnahan yang maha dahsyat yang dipanggil sebagai kiamat.

Apa yang aku cakapkan ini adalah teori sains barat. Namun ia hanyalah suatu teori dan bukannya fakta. Apabila teori, maka ia masih lagi terdedah kepada penilaian semula dan perbicangan.

Jadi, apakah peranan kita dalam isu alam sekitar. Mungkin sahabat-sahabat sekelian pernah mendengar atau terbaca firman Tuhan yang mafhumnya bahawa akan muncul kerosakan dimuka bumi dan di lautan disebabkan tangan-tangan manusia. Mungkin usaha 'green peace' adalah satu langkah yang mulia yang menyedarkan manusia tentang alam sekitar. Akan tetapi janganlah pula ada acara berbogel beramai-ramai atas dasar keamanan alam sekitar.

Sekadar pendapat poyo...kalau salah minta ditegor......

Sunday, June 10, 2007

The Persuit of Happyness


“Hey… Don’t ever let somebody tell you that you can’t do something. Not even me. You got a dream you’ve got to protect it. People can’t do something themselves they wanna tell you that you can’t do it. You want something go get it. Period…”

Movie di atas mungkin asing dengan sahabat sekelian...cerita dipenuhi dengan dialog yang menggeramkan, melemaskan, menyemarakkan dan kadang kala menyesakkan...tiada aksi mencemaskan, tiada libasan maut...tiada tembakan menggegakkan, tiada kangkangan van damme... tiada gocoh-gocoh...

Cerita "The Persuit of Happynes" sesuai ditonton oleh mereka yang memerlukan semangat untuk terus berjuang..Aku mula mendapat maklumat cerita ini dari blog amin idris... kemudian aku menjelajah web-web torret..lalu aku download cerita ini...ternyata kisahnya memang bagus..

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Cerita yang mengisahkan seorang "loser", Chris Gardner yang pada mulanya seorang jurujual mesin pengimbas untuk hospital (tak pasti pengimbas untuk apa, tapi bersaiz pelik dan disalahsangka oleh orang gila sebagai mesin waktu), telah ditinggalkan isteri ekoran krisis ekonomi yang melanda keluarganya. Penderitaan beliau tidak terhenti setakat itu sahaja, beliau bersama anak lelakinya dihalau dari rumah, dihalau dari motel, ditinggalkan oleh sahabat baik, bermalam dalam tandas di stesen keretapi bawah tanah dan akhirnya beliau berjaya menumpang di rumah kebajikan dibawah kelolaan gereja. Akan tetapi ia bukan selamanya-lamanya. Beliau perlu beratur terlebih dahulu dan terpaksa bersaing dengan manusia merempat yang lain sebelum mendapatkan bilik untuk bermalam..sekiranya terlewat, alamatnya kenalah bermalam di kaki-kaki lima.

Namun begitu berkat usaha dan hatinya yang cekal, akhirnya beliau berjaya merubah hidupnya yang bangsat menjadi lebih bererti. Sejak dari itu beliau berjaya mencipta kerjayanya sebagai broker saham di firma tempat dia bekerja dan memulakan hidup yang lebih bermakna bersama-sama anaknya...

Selamat menonton......!!

Thursday, May 17, 2007

Umat Teladan


Beberapa minggu lepas, saya mengikuti khutbah jumaat di masjid sekitar Terengganu. Antara intisari khutbah tersebut adalah penyeruan terhadap pembentukan modal insan berkualiti. Khutbah itu juga menekankan bahawa, kita sebagai umat Islam mesti ada sifat kreatif, inovatif, berdaya cipta, berdaya maju dan lain-lain lagi. Selain itu umat Islam hari ini juga merupakan pengguna utama teknologi dan bukan lagi pencipta teknologi.

Khutbah ini juga menekankan agar umat Islam menjadi satu sumber manusia yang berkuasa serta boleh mencipta teknologi berlandaskan keimanan dan nilai-nilai murni. Khutbah itu juga menyeru agar kita semua mencontohi generasi saintis Islam di Andalusia seperti, al-Khindi, al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan lain-lain lagi. Ini kerana umat Islam pada masa itu adalah pencipta teknologi dan barat yang ketika itu masih dalam dunia kegelapan, berlumba-lumba menimba ilmu dari dunia Islam.

Secara kasarnya isi khutbah itu boleh dipersetujui. Akan tetapi, di sana terdapat pelbagai andaian dan tanggapan yang boleh dianggap dan diandaikan lantaran kekeliruan dari segi keutamaan, matlamat dan tauladan.

Sebaik-Baik Insan


Ramai di kalangan kita terkeliru tentang siapakah yang kita perlu contohi dan telandani. Manusia manakah kita patut berusaha memiliki. Generasi manakah yang patut kita telesuri. Umat manakah yang patut kita ikuti. Sebagai Muslim, semua persoalan tersebut telah pun terjawab di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Cuma yang tinggal hanya kita yang jahil tentang perkara ini.

Sebaik-baik dan semulia-mulia insan adalah mereka yang bertaqwa
. firman Allah Taala yang bermaksud:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)
[al-Hujuraat: 13]

Secara umunya, semulia-mulia manusia adalah:
1. mereka yang tinggi tahap ketaqwaannya
2. bukan terletak kepada keturunan dan bangsa.

Taqwa secara ringkasnya ialah melaksanakan segala titah perintah Allah dan meninggalkan segala bentuk larangannya. Macam mana kita hendak mengetahui apa yang di suruh dan apa yang dilarang oleh Allah? Tentu sekali melalui jalan ilmu berlandaskan proses pembelajaran. Ilmu ini tidak boleh sesedap rasa di reka-reka. Ianya mesti berdasarkan kepada al-Quran dan al-Hadith.

Generasi terbaik adalah generasi di zaman Rasulullah. Pada era tersebut, mereka yang wujud adalah dari kalangan para sahabat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Sebaik-baik kurun ialah kurun ku (para sahabat), kemudian (generasi) selepas itu, kemudian (generasi) selepas itu"....
[hadith riwayat Muslim, kitab: Fadhoil Sahabah,
bab: Fadhlu al-sohabati radiallahu'anhum, no: 4603]

Para sahabat ialah individu Muslim yang sempat berjumpa dengan Rasulullah, menerima dan beriman dengan risalah Rasulullah (lihat syarh imam Nawawi bagi sahih muslim pada menghuraikan hadith di atas tadi).

Sahabat sendiri mempunyai makam yang mulia di sisi Allah, Rasulullah dan umat Islam. Kata-kata, perbuatan dan fatwa sahabat dijadikan hujjah bagi sebahagian besar mazhab-mazhab.(Muhammad Abu Zahrah, Usul Fiqh, cetakan Dar Fiqh 'Arabiy, m/s 212. Untuk perincian diharap dapat menelusuri blog Ayah Sey kita.

Generasi terbaik selepas itu ialah generasi yang mengikuti jejak langkah para sahabat iaitu para Tabi'in. Mereka adalah individu Muslim yang sempat berjumpa dengan para sahabat dan mengambil ilmu dari mereka. Generasi selepas itu iaitu tabi' Tabi'in yang merupakan individu Muslim yang mengambil ilmu dengan para tabi'in. Ketiga-tiga generasi inilah sebaik-baik generasi sepertimana yang disepakati oleh para ulama. Ketiga-tiga generasi inilah yang mesti dicontohi dan diteladani.

Umat terbaik
pula ada dijelaskan dalam al-Quran. Firman Allah Taala:

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." [al-'Imran: 110]

Allah akan mengiktiraf kita sebaik-baik umat jika kita:
1. menyuruh segala perkara yang baik
2. melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)
3. beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar Iman)

Dengan huraian di atas, dapatlah diketahui bahawa penilaian kualiti bagi individu, generasi dan umat adalah dengan neraca agama. Bukan dengan neraca lain. Standard yang dikeluarkan oleh agama paling dipercayai kerana ia berlandaskan ilmu wahyu dari Allah melalui Rasul-Nya.

Maka adapun seruan agar hanya mencontohi dan mengikuti tauladan yang ditinggalkan oleh generasi di zaman keunggulan Islam di Andalusia, adalah salah. Ia dikuatkan lagi dengan ketiadaan nas dari al-Quran dan al-Hadith yang menunjukkan bahawa kemuliaan seseorang bergantung kepada berapa banyak teknologi dan penemuan sains yang dapat dihasilkan.

Materialisme


Kebendaan menjadi tajuk utama masyarakat kita sekarang. Rata-rata barah ini terkena kepada mangsanya tidak mengira lapisan ekonomi, sosial dan latar belakang pendidikan. Penguasaan material yang maksima, menjadikan manusia menjadi hebat di mata masyarakat. Kalau di jalanraya kita akan memandang kereta siapa yang paling power dimiliki. Kalau di restoran-restoran atau kedai makan, masing-masing mengeluarkan telefon bimbit terkini dan paling multi funginya dan macam-macam lagi bandingan yang dibuat. Semua tuntutan material ini menjadikan manusia berusaha mencari rezeki kerana:
1.ingin memiliki kereta terpower
2.telefon bimbit terbanyak fungsinya
3.isteri paling rupawan di mata dunia
4. rumah paling tersergam di persada alam
5. perabot import termewah di abad ini
6. itu ini terganas seantero dunia
7. bla-bla ter hebat di kaca mata bla-bla
8. bla-bla ter bla-nla di bla-bla
9.bla-bla bla-bla bla-blabla-bla
10.....................................................(mati)

Mencari kekayaan tidak salah. Menuntut kesenangan tidak dipandang jelek oleh agama. Cuma bagaimana kita menguruskan kekayaan dan kesenangan agar wujud kebersamaan dengan Allah Taala. Tujuan kita mestilah jelas...kerana semua kita menuju kepada arah yang sama, sama ada kita suka atau tidak. Arah itu adalah kematian.

Jadi, apa kaitannya dengan intisari khutbah di atas? Khutbah di atas menyeru kita agar menjadi umat pencipta teknologi, bukan hanya sebagai pengguna teknologi. Memang ada benarnya aggapan demikian. Namun ia bukan menjadi satu agenda utama bagi Islam.

Rasulullah membawa Islam dengan merombak keyakinan Musyrikin Mekah terhadap berhala dan patung, kepada keyakinan dan keimanan kepada Allah Taala dengan bantuan mukjizat. Nabi tidak pernah mencipta sesuatu yang baru dalam bidang persenjataan, tidak pula menjadi tokoh koprat disegani oleh usahawan Quraisy dan jauh sekali berusaha untuk menghasilkan benih dan baka tamar yang bermutu tinggi.

Tetapi Rasulullah membawa amanat dari Ilahi agar merombak kubu kekufuran dan syirik dan membina di atasnya tembok keimanan dan ketaqwaan. Inilah sebanar tujuan sebanar umat Islam iaitu mencapai keimanan dan ketaqwaan yang sejati berlandaskan keyakinan yang jitu dan disokong oleh kemukjizatan al-Quran itu sendiri.

Sekali lagi ditegaskan bahawa, berinovasi, kreatif dan berdaya cipta tidak dianggap asing oleh Islam. Tetapi perlu ada keharmonian dalam mengimbangi antara keperluan duniawi dan ukhrawi. Rata-rata kita dengar di radio berkenaan dengan perlunya kita umat Islam berdaya cipta menghasilkan sesuatu dan jangan hanya berpuas hati menjadi pengguna sahaja. Islam itu teknologi, Islam itu ekonomi, Islam itu perusahaan, islam itu itu ini dan lain-lain. Macam Islam hanya itu sahaja.

Bagaimana pula dengan aspek keimanan yang menjadi nadi kepada setiap Muslim. Kita lihat sekarang keimanan umat Islam mula mengepis dari hari kehari.Ini dapat diihat melalui kaca-kaca TV berkenaan dengan kes-kes jenayah yang mengharukan, kes-kes lucah yang meloya kan dan macam-macam lagi. Tapi kita tak endah semuanya. Yang penting ekonomi mantap, perusahaan maju, teknologi semakin canggih dan status hidup kena tinggi.

Keadaan masyarakat sekarang yang semakin membarah adalah cermin yang memberi gambaran jelas tentang keharuan mereka terhadap material. Yang lebih parah lagi bila kuping barah materialisme ini juga terpalit kepada meraka yang berstatus ustaz. Pernah saya ditanya oleh sahabat, kerja apa? pakai kereta apa? bakal isteri kerja apa? lepas tu pakai kereta apa? Cara pertanyaan yang bersungguh-sungguh mencerminkan perkara itu mesti diberi perhatian yang bersungguh-sungguh.

Aduh! Ya Allah! Berat sekali tugas hamba mu ini...Aku rungsing dan bimbang, takut-takut aku dipersoalkan nanti oleh Allah di akhirat nanti. Hamba mohon kemaafan dan keampunan mu Ya Allah!.

Penutup

Sebagai seorang hamba yang diberi sedikit ilmu oleh Allah, dengan ini ingin menyeru kepada sesiapa yang mempunyai kesedaran agar mengubah diri sendiri menjadi insan yang baik. Sentiasa menghadiri majlis ilmu, terbuka untuk dikritik dan dinasihati, bertanya jika tidak tahu dan sentiasa bertawakkal dan berdoa kepada Allah agar sentiasa mendapat rahmat dan keampunan dari-Nya.

Perlu memahami siapakah generasi yang perlu di contohi agar kita mendapat ganjaran yang sama sepertimana dijanjikan oleh Allah kepada mereka. Salafus Soleh yang terdiri dari sahabat, Tabi'in dan Tabi' Tabi'in. Apa yang perlu kita contohi dari mereka? Jawabnya contohilah setiap amalan agamanya baik dari segi akidah, ibadat dan akhlak. Bagaimana cara untuk mengetahuinya? tidak lain dan tidak bukan dengan belajar secara konsisten dari perawis Nabi di kalangan para ulama. Wallahua'lam

Thursday, May 03, 2007

LAUTAN NELAYAN 2


Bersua kembali. Kali ini saya ingin berkisah tentang lautan nelayan siri kedua. Ia adalah pengalaman yang saya kira cerita syok yang mungkin ditunggu-tunggu oleh sesetengah sahabat. Namun tiada siapa tahu bahawa pengalaman syok yang diharapkan bertukar menjadi monyok. Ia adalah ketetapan yang Allah berikan kepada setiap hambanya yang terpaksa diakuri.

Pada 1 Mei 2007, saya berkesempatan untuk menyertai kumpulan untuk bercandat sotong. Huh! Hati ini girang tak terkata dengan ajakan abang saya lebih-lebih lagi bila membayangkan tangkapan sotong yang lumayan selumayan hasil candatan terdahulu. Terbayang-bayang grilled squid yang selalu di tunjukkan oleh Jamie Oliver. Saya tak sabar-sabar mempraktikkan segala tunjuk ajarnya.

Kami bertolak seawal jam 10.00 pagi selepas bekalan air tawar dan ais terisi penuh. Kali ini abang ipar dan anak saudara dari Segamat turut menyertai kami. Bot yang berjalan "slow and steady" gagah membelah ombak yang saya rasa ia lebih kencang dari trip saya yang dahulu.

Perjalanan mengambil masa satu jam setengah membuatkan diri ini terasa mengantuk sekali ditambah pula dengan goncangan lembut kekadang keras bot. Saya kira, rasa mengantuk yang saya alami ini adalah kesan dari ubat yang saya ambil untuk mengelak diri dari kemabukan. Akhirnya saya terkulai di bawah buritan bot dan karam dalam dunia kedua.

Satu jam setengah jam kemudian, kami tiba di destinasi. Kawasan tersebut telah ada beberapa bot yang juga bercandatan. Kami pun melabuhkan candat masing-masing sambil mengharap laba yang besar. Orang pertama berjaya mendaratkan sotong ialah abang ipar ku. Girang sekali ku lihat wajahnya. Aku seperti biasa bermain-main dengan sotong. Tubuhnya masih lagi putih bersih. Baru lah aku tahu bahawa sotong ni, kalau berada di dalam air, ia adalah lut sinar. Bila dibawa ke darat, warnanya mula bertukar menjadi merah secara beransur-ansur. Suasana kegirangan berterusan dengan pendaratan beberapa sotong lagi hasil tangan kawan-kawan lain. Aku sendiri berjaya mencandat sotong walaupun hanya seekor sahaja (Hehehee! Buat malu ja.)

Namun keriangan hanyalah sementara kerana jarang sekali sotong berjaya didaratkan. Ditambah pula kondisi badan yang mula tidak stabil. Kepala mula pening-pening, perut mula bergelora dan tekat terasa mual. Ya Allah! Awalnya aku kemabukan. Aku pun merebahkan badan dan bertenang. Ku gagahi juga diri ini agar tidak kemabukan. Ku tahani juga agar tidak kemuntahan. Beberapa kali aku menarik nafas segar, menenangkan emosi dan menstabilkan mata. Akhirnya aku dapat bertahan.

Masa makan dah tiba. Kali ini menu hanya sardin sahaja. Tetapi seleranya mengalahkan lauk seenak ayam percik. Makan di atas bot mengundang seribu pembuka selera. Berselera sekali aku makan pada kali ini (walau pun selalu berselera bila makan). Namun begitu aku agak sedih bila abang ipar tidak berpeluang menjamah hidangan ringkas-sedap lantaran kemabukan dahsyat yang dialaminya selepas berjaya mencandat seekor sotong.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Suasana hambar terus menguasai suasana kerana sotong tidak begitu galak menyangkut akan dirinya di mata-mata candat. Akhirnya malam mula menjelmakan diri. Pemandangan di daratan begitu menggerunkan. Langit begitu kelam dengan gerombolan awan. Hujan pula sibuk mencurah-curahkan akan dirinya menyembah bumi. Ya Allah! Jangan kau kirim hujan-hujan itu kepada kami. Itulah bisikan hati ku pertama kali bila terpandang suasana ribut di daratan.

Namun kuasa sang Pencipta tiada tandingan. Gumpalan awan berbondong-bondong menuju ke arah bot kami dan bot-not lain. Hujan mula berintik dan bertukar menjadi lebat. Angin yang tadi sepoi-sepoi menjadi deras, ombak pada mulanya mengulit rasa mula hempas-menghempas dan bot sebelumnya tadi umpama buaian mula bergoyang dengan kencang.

Tiupan deras, hempas-menghempas dan goyangan kencang mula susut dan di kesempatan itu saya menunaikan solat maghrib. Niat mencandat ingin diteruskan. Akan tetapi bila melihat juragan bot mula bersiap-siap, barang yang longgar di ketatkan, yang berselerak disusun-susunkan dan yang berterabur di satukan, maka timbul persoalan di dalam hati. Aku memberanikan diri membuka mulut. "kenapa bang?". Dengan muka yang tenang dia menjawab: "ribut". Frasa yang pendek tetapi amat menggerunkan lebih-lebih diri aku yang berada di tengah laut. Ya Allah! Lindungilah kami.

Sebentar kemudian ribut pun menyusul. Kali ini lebih dahsyat dari pertama. Bunyi pinggang mangkuk berlanggar sesama sendiri, membangkitkan lagi suasana seram dan gerun. Aku berpegang kejap pada tiang bot agar tidak terumbang ambing dilambung ombak. Sahabat-sahabat yang lain mula memfanakan akan diri mereka dengan merebahkan badan masing-masing di perut bot. Yang tinggal hanyalah aku dan juragan bot sahaja.

Bagi menenteramkan gelodak jiwa ini, aku cuba membuka mulut dengan mengajukan persoalan. "lama tak hujan ni?". Sengaja aku tak guna perkataan ribut. Dia menjawab, "ada la sejam dua". Huh! Lamanya. Aku tanya lagi, "kuat juga ya". Dia jawab " oh! Ini biasa je." Alhamdulillah! Maknanya ini adalah perkara biasa bagi pelaut. Maknanya ada lagi ribut lain yang sekencang ini. Ada lagi ombak lain yang menggunung ini. Riak mukanya yang tenang dan "cool" membuatkan hati ini tidak lagi sekacau tadi. Beberapa minit kemudian, hujan pun reda dan aktiviti mencandat diteruskan lagi. Kali ini aku tidur awal kerana terlalu mengantuk.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Keesokan harinya selepas solat subuh, aku sempat menjamah hidang makan malam yang tak sempat ku nikmatinya pada malam tadi. Sotong candat masak singgang. Huh! Banyak juga aku makan kali ini. Selepas itu, aku menyambung aktiviti mencandat walaupun aku merasa begitu tawar dah hambar. Dua jam kemudian kami bertolak pulang dengan hasil yang tak seberapa.

Walaupun begitu aku masih lagi diberi 3 ekor sotong berukuran 2 jengkal walaupun aku hanya mendapat seekor sahaja sotong. Itulah keadilan, kemuafakatan dan ukhuwah yang terjalin di atas bot. Bot yang hanya objek keras serta meloyakan dan menjanjikan seribu kemabukan, mempunyai seribu satu rahsia yang perlu disingkap dan dihuraikan agar ia menjadi iktibar dan teladan untuk kita semua. Apa-apa pun aku tetap bersyukur kepada Allah kerana masih lagi terselamat dari ribut walaupun tidak sekencang mana. Keduanya kerana Allah mengurniakan kesihatan sepanjang perjalanan walaupun ada seorang dua mengalami kemabukan. Dan yang ketiganya kerana berpeluang mencicip hasil candatan sotong walaupun aku begitu teruk sekali. Sekiranya diberi lain kesempatan, akan ku sahut cabaran ini walaupun aku kini mengalami kemabukan baru...... Mabuk darat. Wassalam.

Saturday, April 28, 2007

KESAN INTERNET


Sudah lama aku menyedari akan hal ini. Kesan internet terhadap diri aku. Namun ku turut jua kemahuan hati untuk terus setia dengan internet. Banyak masa ku habiskan dengan melayan nafsunya. Semakin aku sedar tentang keasyikan ku, semakin asyik pula aku dengannya. Namun keasyikan aku bukanlah sampai ke tahap yang kritikal sehingga mengganggu keseimbangan mental ku. Namun begitu aku tetap menyedari bahawa internet amat mengasyikkan dan sekali gus merentap masa-masa emas ku yang sepatutnya ku manfaatnya dengan sebaiknya.

Antara kesan yang jelas yang dialami oleh diri ku adalah tabiat suka berkurung di dalam bilik. Ini merupakan fenomena biasa bagi penggila internet. Walaupun kedengaran bunyinya agak biasa, tetapi implikasi dari gejala 'berkurung' mendatangkan impak yang besar buat diri ku.

Antara kesan yang jelas ku nampak ialah, masa bersama bonda ku agak kurang. Masa ku bersamanya hanya terhad di waktu-waktu tertentu sahaja. Biasanya aku akan cuba sedaya upaya untuk makan dan solat bersama-sama. Walaupun begitu ia tidak begitu mencukupi buat bonda ku tercinta lebih-lebih lagi semenjak kepulangan ayahanda tercinta ke rahmatullah.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Bonda memerlukan lebih masa untuk bersama. Banyak perkara yang ingin diperkatakan. Banyak topik yang ingin diperbincangkan. Terlalu banyak kenangan yang ingin dikenangkan. Banyak persoalan yang perlu diungkai dan banyak kekusutan yang perlu di perbetulkan. Namun begitu aku tetap berusaha untuk mengambil peluang di waktu-waktu bersama untuk berbual-bual dan bermuhasabah akan diri masing-masing. Aku perasan, setiap kali aku merancakkan perbualan, riak wajah bonda begitu ceria. Aku tidak mengerti perasaan bonda lebih-lebih lagi di usianya yang semakin senja. Mungkin suatu hari nanti aku mengerti ketika usia ku sebaya dengannya kelak.

Sebagai anak, aku harus mengerti anak kunci kerancakannya dalam perbualan. Dari pengamatan ku yang daif ini, bonda amat suka berbincang tentang persoalan hidup, permasalahan agama, politik dan imbauan kenangan. Setiap kali ku bersamanya, akan ku celahi perbualan kami dengan selitan dari perkara-perkara tadi. Dan hasilnya memang berbaloi. Bukan sahaja bonda rancak berbual, tetapi bertukar menjadi bersemangat. Begitulah tugas seorang anak, perlu mengisi kekosongan dan kesepian jiwa seorang bonda lebih-lebih lagi bila mencapai tahap "kibaru sinnan".

Tahap ini merupakan tahap kritikal bagi seseorang anak mengambil perhatian penuh kepada orang tuanya. Allah Subhanahu wa Taala berfirman dala surah al-Israk ayat 23-24 yang maksudnya:

"....dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan mu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun), Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayang mu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhan ku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik ku semasa kecil."

Inilah dia adab kita yang sebenarnya dengan kedua ibu bapa. Perhatian yang lebih perlu diberikan, terutama di senja usianya. Oleh itu, saya berpesan kepada diri ku dan kalian agar bersabar dan sentiasa memohon pertolongan serta hidayah dari Allah agar diberi kekuatan untuk menjaga orang tua semasa lanjut usianya. Bersabarlah! Bersabarlah! Bersabarlah! Moga kita tergolong dari kalangan orang-orang yang beriman.

Akan tetapi masa ku yang sepatutnya diisi dengan bonda, banyak dibazirkan di depan komputer. Internet meragut kesetiaan ku terhadap bonda, menjadikan aku pengikut setia internet dan kerajaannya. Namun begitu bukanlah kesalahan internet terletak 100% ke atasnya, akan tetapi sikap ku sendiri yang semakin leka dengan internet. Bukan masa ku bersama bonda sahaja disentap olehnya, malah masa ku bersama buku pun dimusnahkan olehnya.

Aku sedar, otak ku semakin celaru, buah fikiran ku tumpul, telahan ku menyimpang, keputusan ku mengelirukan serta perancangan ku kecelaruan. Ini adalah gara-gara sikap ku yang asyik dengan internet. Bukan kesalahan internet yang ku tekankan, tetapi kesalahan sikap ku yang poyo ini. Insya-Allah, semoga Allah mengubati jiwa ku yang semakin parah ini dengan linangan air mata kasih bonda tercinta. Allah Musta'an.

Sunday, April 22, 2007

Video Clip Power




غرباء


غرباء ولغير الله لانحني الجباه

غرباء وارتضيناها شعارا في الحياة


ان تسل عنا فانا لانبالي بالطغاة

نحن جند الله دوما دربنا درب الأباة


لن نبالي بالقيود بل سنمضي للخلود

فلنجاهد ونناضل ونقاتل من جديد

غرباء هكذا الأحرار في دنيا العبيد


كم تذاكرنا زمانا يوم كنا سعداء

بكتاب الله نتلوه صباحا ومساء

Friday, March 30, 2007

Lautan Nelayan


Lama betul saya tak menulis. Maklum lah, terkena sindrom malas. Sindrom ni sangat suka menyerang mangsanya yang poyo dan suka berkhayal. Mungkin aku terkategori dalam kelas sini. Apa-apa pun abaikan sindrom kemalasan itu. Jumaat lepas iaitu pada 16 Mac 2007 adalah hari yang bersejarah dalam hidup ku. Saya diberi kesempatan oleh abang saya untuk merasai pengalaman menjadi seorang nelayan laut.

Berbekalkan barang-barang keperluan peribadi dan sedikit buah celagi (asam jawa putik) serta dua paket apolo, aku mula meredah lautan tepat jam 5.00 petang selepas bekalan air tawar sudah terisi penuh dalam bot. Aku berdoa kepada Allah agar perjalanan ku nanti tidak diuji dengan kemabukan. Mabuk laut. Satu kalimah ngeri bagi mereka yang new comer dalam dunia perlautan. Nanti ku perinci erti kemabukan sebentar lagi. Perjalanan terhenti sementara setibanya kami ke destinasi pertama. Kata pemandu bot merangkap ipar abang aku, tempat ini merupakan tumpuan para ikan kerana di dasar laut ini terdapat kapal karam, katanya kapal gula.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Tunggu apa lagi! Kami melabuhkan apolo ke dasar laut mengharapkan laba yang besar nanti. Bagi aku yang dummiest ni, sememangnya terkial-kial mengendalikan apolo. Aku mesti berhati2 hati kerana mata kailnya banyak sekali. Namun setelah dua hingga tiga kali ku campak apolo, lama-lama keserasian kami mula bersatu. Aku sekarang boleh dikira sebagai amatur dalam pengendalian apolo. Namun begitu ia tidak menjanjikan pulangan yang lumayan kerana aku cuma berhasil mengangkat tiga ekor anak ikan lecek dan seekor ikan berbisa yang tak ku tahu namanya. Sedangkan old timer hasilnya mencecah satu hingga dua bakul. Aku rasa aku ni memang seorang yang teruk. Perjalanan diteruskan ke destinasi berikutnya. Kali ini kami singgah di unjang (macam rumah ikan buatan yang diperbuat dari daun kelapa) yang tuannya hanya dikenali oleh juragan bot sahaja. Kali ini aku hanya menjadi pengutip ikan sahaja. Walaupun begitu bayangkanlah...ikan kembung menggelupur di tangan. Memang sesuatu yang ajaib.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Malam kian memburu kami sehinggalah ia berjaya menguasai kami. Dari saat itulah emosi ku kacau lantaran keseimbangan fizikal ku terganggu. Kesamaran lampu bot membuatkan mata ku menjadi tak keruan. Lantaran itu kepala ku menjadi pusing dan akibatnya perut ku menjadi mual. Ya Allah! Aku sudah mabuk laut. Itulah apa yang ku rasa sewaktu kemabukan laut. Lepas isyak aku terus melenakan akan diri sendiri tanpa menyentuh hidangan yang amat enak pada malam itu.

Seawal pagi aku sudah pun bangun dari tidur, menunaikan ibadat mandi wajib, wuduk dan terus solat subuh. Kemabukan masih terasa dan di kesempatan yang ada ku teruskan berehat. Bila matahari mula menjenguk diri, kemabukan kiar tersingkir dan hidup ku kembali normal. Namun kemabukan ku berbaloi bila old timer berhasil mengangkat beberapa ikan tongkol (ikan aye) dan akulah yang mengutipnya. Ghairah ku bertambah dan keseronokan ku menjadi-jadi. Alhamdulillah..Allah al-Razzaq.....

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Sebenarnya aku bukan nak sangat bercerita tentang pengalaman ku di lautan. Cuma apa yang ingin aku sampaikan ialah apa yang aku fikirkan sepanjang perjalanan ku di lautan. Melihat sahaja laut, aku mula terbayang orang yang kerja di laut. Sekiranya aku ini dikatakan seorang nelayan sejati, maka lupakanlah anggapan itu. Banyak perkara perlu dipelajari untuk mencapai status seorang nelayan. Perkara asas adalah bagaimana kita boleh menangani masalah kemabukan. Kerana kemabukan akan mengganggu kualiti nelayan sekali gus menjejas produktiviti sesebuah bot nelayan. Bila perkara ini berjaya di atasi, maka ilmu mengikat pancing, joran, apolo dan sebagainya mesti dikuasai pula oleh sang nelayan. Bagi aku, ilmu mengikat ni memang bengap. Masa rehlah memancing di Aden dulu pun, Abey yang menjadi mangsa suruhan untuk mengikat joran. Sabar je Abey melayan aku. Selain itu ilmu memancing (bagi nelayan yang menggunakan kaedah memancing) perlu diperdalami. Nelayan perlu bijak bermain dengan pancing dan juga pandai membaca sentapnya ikan. Kalau bab ini kurang mahir maka kebanyakan ikan akan terlepas. Itu dari segi kemahiran. Tak termasuk lagi bab kemasyarakatan sesama awok-awok di atas kapal. Hubungan dengan tekong bot kena ngam. Biasanya tekong mendapat layanan istimewa dari awok-awok. Tekonglah juga orang yang paling otai dalam bot. Dia mesti tahu tempat-tempat tumpuan ikan. Mesti mengecam lokasi (bukan lokantasi) unjang-unjang ikan dan juga pandai membaca arus lautan serta dapat menghidu keadaan cuaca persekitaran. Huh! Banyak perkara yang mesti dipelajari sekiranya ingin menjadi seorang nelayan sejati.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Namun begitu balasan yang diperoleh oleh para nelayan tidak setimpal dengan risiko pekerjaannya. Orang tengah, ataupun Tok Peraih, merupakan lintah darat yang mengaut keuntungan kering dari kebasahan peluh para nelayan. Perkara ini sudah diketahui umum dan orang ramai sudah memahami sangat situasi ini. Biasanya Tok-tok Peraih ini pandai menjaga hati awok-awok dengan menjaga kebajikan serta sekali sekal memberi bonus tahunan.

Akan tetapi ganjaran yang diterima oleh para nelayan masih belum setimpal dengan nilai pengorbanan mereka. Aku sendiri tidak mampu mencari jalan penyelesaiannya dan jauh sekali dapat membantu mereka. Aku hanya sekadar mengeluh akan nasib umat Islam yang dikotak-katikkan oleh orang Islam sendiri. Semoga kita dapat mengubah nasib para nelayan kepada kehidupan yang lebih baik. Semoga Allah mengganjari mereka dengan pahala yang besar. Wassalam.

Tuesday, February 20, 2007

Terima Kasih Cikgu


Terima kasih shakroil kerana mengajar aku erti html...hehhehee... arigato gozaimas taa dateebayooo!! shakroil sensei...lawati sensei di http://shakroil.blogspot.com/. tak lupa juga kepada Ayub di atas stuff-stuff power untuk blog ku...jam, gambar dan lain-lain...syukran..

Saturday, February 10, 2007

Mukjizat Rasulullah-Berpeluangkah kita merasainya?


Umat Islam kini dilanda krisis akidah yang kian meruncing. Umat Islam sekarang tidak lagi menjadikan Islam sebagai cara hidup. Proses modenisasi menjadikan manusia terjerumus ke dalam lembah materialisme dan hedonisme. Hal ini bertambah tenat bila mana umat Islam terpaksa menghadapi fenomena globalisasi yang menyerang dari pelbagai sudut merangkumi agama, politik, sosial dan ekonomi. Tanpa keimanan yang mendalam, manusia mudah terjerumus ke dalam arus kesesatan.

Aspek keimanan tidak lagi dipandang sebagai suatu yang penting. Manakala usaha-usaha bagi meningkatkan lagi keimanan dipandang sepi oleh masyarakat. Iman hanya diperkatakan di masjid-masjid melalui lidah pendakwah serta dari mimbar Jumaat sahaja. Keimanan tidak lagi dihayati dan diamalkan oleh umat Islam dalam kehidupan mereka seharian.

Keimanan merupakan asas yang mengikat hamba dengan Penciptanya serta membuahkan perasaan cinta dan takut kepada Allah s.w.t. Keimanan juga menjadikan manusia taat dalam melakukan ibadat dan sanggup menjauhi maksiat. Maksiat bukan hanya terhad berlaku di rumah-rumah urut dan pelacuran, kedai nombor ekor dan bar sahaja, bahkan maksiat boleh berlaku dalam rumah tangga, sekolah, pejabat, masjid dan negara. Sekiranya para penghuni sesebuah negara beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t, nescaya Dia akan membuka pintu rahmat kepada mereka semua. Firman Allah s.w.t dalam surah al-‘araf ayat 96 maksudnya:

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.

Keimanan yang jitu lahir daripada ilmu. Ilmu iman tidak akan dapat diperoleh melainkan dari proses pembelajaran. Insan yang bertanggungjawab mengajar ilmu iman kepada umat manusia adalah Rasulullah s.a.w. Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Jumu‘ah ayat kedua yang bermaksud:

Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan Nya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.

Keimanan yang sebenar adalah keyakinan yang bertunjangkan hujah dan dalil yang kukuh. Oleh sebab itu keimanan yang berasaskan taklid mudah terkesan dengan syubhah yang dilontarkan oleh musuh-musuh Islam serta sering terpesong apabila berhadapan dengan cubaan dan dugaan. Keimanan yang sebenar telah ditonjolkan oleh ahli-ahli sihir firaun yang memeluk agama tauhid. Firman Allah Ta‘ala dalam surah Taha ayat 68 hingga 73 maksudnya:

"Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kanan mu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada". (Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa". Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal". Mereka menjawab: "Kami tidak sekali-kali akan mengutamakan mu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakan mu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja. "Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkan Nya kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahala Nya.

Keimanan yang ditonjolkan oleh ahli-ahli tersebut jelas menunjukkan ketinggian tahap keimanan mereka. Semuanya ini terhasil dari penyaksian mukjizat yang diperlihatkan oleh Musa a.s semasa perlawanan baginda dengan mereka. Mukjizat yang jelas berada di hadapan mata, menjadikan keimanan kepada Allah s.w.t adalah lebih utama daripada azab yang diancam oleh Firaun laknatullah. Kisah ini menunjukkan bahawa kemukjizatan memainkan peranan besar dalam pembentukan dan pengukuhan iman.

Setiap Rasul yang diutus oleh Allah Ta‘ala disertai dengan mukjizat yang dapat difahami dan sesuai dengan sesuatu kaum tertentu. Kaum nabi Musa sangat terkenal dengan amalan sihir sehinggakan ahli sihir mendapat tempat yang istimewa dalam kerajaan Firaun. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Musa a.s mukjizat seakan-akan sihir tetapi bukan sihir. Tongkatnya dapat bertukar menjadi ular yang besar sehingga berjaya menundukkan ular yang disihir oleh ahli sihir diraja. Begitu juga dengan kaum Thamud. Mereka terkenal dengan ukiran yang indah dengan memahat bukit untuk dijadikan rumah. Namun Allah Ta‘ala mengurniakan kepada Nabi Allah Salih a.s mukjizat dengan menerbitkan unta dari batu. Begitu juga dengan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda dikurniakan mukjizat al-Qur’an yang mempunyai keindahan bahasa yang maha tinggi nilainya sehingga menyebabkan kaum musyrikin yang pada ketika itu terkenal dengan kefasihan dalam bahasa Arab, gagal untuk mendatangkan sepotong ayat seindah ayat al-Qur’an.

Di zaman sekarang, di era pemodenan dan sains teknologi, al-Qur’an bergerak seiring dengan perkembangan tersebut. Namun sekarang, mukjizat Rasulullah yang telah dinikmati oleh para sahabat seolah-olah tidak dapat dirasakan lagi pada masa sekarang. Walaupun begitu, kita masih lagi bertuah kerana memiliki Al-Quran yang merupakan bukti mukjizat Rasulullah kekal hingga sekarang. Bagi mereka yang fasih berbahasa arab serta tahu selok belok ilmu bahasa arab, mungkin mereka merasai kelazatan ayat-ayat al-Quran. Namun bagi kita yang jahil dalam bahasa yang mulia ini, terkial-kial apabila mendengar ayat-ayat suci al-Quran. Adakah perlu kita mendalami bahasa Arab terlebih dahulu, barulah kita dapat merasai kemukjizatan al-Quran?

Jadi, persoalannya di sini, adakah kita berkesempatan untuk melihat mukjizat Rasulullah s.a.w seperti mana yang telah dikecap oleh para sahabat ridhwanullah. Adakah kita berpeluang untuk beriman dengan Allah dan Rasul seperti mana berimannya para sahabat ridhwanullah? Berpeluangkah kita?

Sunday, January 21, 2007

Sejarah Puasa 'Asyura'-Suatu Dongengan?


Agak mengecewakan sekiranya laman web sebuah persatuan ulama menyiarkan jawapan yang boleh menjejaskan institusi tersebut. Akibatnya artikel ini dijadikan hujjah bagi sesetengah manusia yang sememangnya suka kepada kelainan dalam agama. Sepatutnya perlu ada saringan dan pemeriksaan terhadap setiap jawapan yang diberikan terhadap persoalan yang diajukan. Berkenaan dengan artikel ni, saya memetik satu perenggan yang menghiris hati saya iaitu:

Para ulama yang ditanya, hanya menjelaskan tentang disunatkannya puasa pada hari itu. Mengapa? Kerana hari itu adalah hari pertolongan Allah kepada para nabi dalam menghadapi orang-orang zalim.
Pada hari Asyura, Ibrahim lepas dari api Namrud, Yunus keluar dari perut ikan, Musa bebas dari hambatan Firaun, dan Muhammad SAW selamat dari racun orang Yahudi. Kononnya, masih kata para ulama, ketika Nabi Muhammad SAW ke Madinah, baginda menemukan orang Yahudi berpuasa pada hari itu untuk mengenang kemenangan Musa. 'Aku lebih berhak untuk berpuasa daripada kalian,' kata Nabi SAW kepada orang-orang Yahudi. Maka kaum mukmin yang saleh di Malaysia selalu melakukan puasa Asyura sebagi ungkapan syukur atas kemenangan para Nabi.

Perkataan "konon" seolah-olah amalan berpuasa pada hari ‘Asyura’ suatu rekaan dan hadis berkenaan hak orang mukmin ke atas nabi Musa seolah-olah satu dongengan sahaja. Padahal hadis berkenaan kelebihan puasa ‘Asyura' telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh para ulama fikah. Sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang memerihalkan sentimen umat Islam di zaman Rasulullah ketika mana mereka melihat kaum Yahudi turut berpuasa pada hari ‘Asyura’ kerana meraikan pelepasan nabi Musa dari kezaliman firaun. Lalu Baginda s.a.w bersabda: "Kami paling berhak ke atas nabi Musa lebih dari kamu (wahai kamu Yahudi)!" lalu baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Hukum ini berjalan sebelum turunnya hukum berpuasa Ramadhan. ( Bukhari, kitab Puasa, bab Puasa Hari ‘Asyura’, bil: 4/213 dan Muslim, kitab Puasa Bab Puasa Hari ‘Asyura’ bil: 1125).

Hadith ini bukan rekaan yang layak disebut "konon" seolah-olah menggambarkan amalan berpuasa pada hari ‘Asyura’ oleh umat Islam Sunni suatu yang tidak berasas dan berdalil. inilah sebenarnya sejarah kenapa Umat Islam disunatkan berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan ianya langsung tiada kaitan dengan peristiwa kasyahidan cucunda Rasulullah s.a.w iaitu Saidina Hussain r.a. Di harap pihak berwajib yang mengendalikan soal-jawab dalam web e-ulama agar taraju' dalam perkara ini. Wallauha'lam.

Saturday, January 20, 2007

Qadhi Muhammad bin Ismail al-'Amraniy

Nama penuh beliau ialah Abu Muhammad, Muhammad bin Ismail bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Husein bin Soleh bin Syai‘ al-‘Amraniy. Dilahirkan di Sana'a pada bulan Rabiul Awwal 1340 hijrah.

Qadhi Muhammad bin Ismail terkenal dengan panggilan al-‘Amraniy walaupun beliau dilahirkan dan dibesarkan di kota Sana'a.  Ini kerana keluarga beliau berasal dari daerah ‘Amran, pinggir Sana'a. Moyangnya, Qadhi Ali bin Husein telah berhijrah dari daerah ‘Imran menuju ke kota Sana'a di zaman pemerintahan Imam al-Masur al-Husain (1139H-1162H) pada kurun ke 12 hijrah. Dari saat itulah keluarga al-‘Imraniy berkecimpung dengan dunia keilmuan sehinggakan kaum keluarganya terkenal dengan keluarga ulama. Datuk beliau, Qadhi Muhammad bin Ali al-‘Amraniy merupakan anak murid kepada ulama Yaman yang terkenal iaitu Muhammad bin Ali al-Syaukani rahimahullah. Keterampilan serta kepintaran datuknya mendapat perhatian dari Imam Syaukani sehingga Syeikh al-Islam ini merakamkan keperibadian Muhammad bin Ali al‘Amraniy dalam kitab beliau iaitu Badr al-Thali‘. Begitulah salur galur keturunan al-‘Amrani dalam bidang keilmuan sehingga melahirkan seorang lagi ulama yang disegani di Yaman ini iaitu Qadhi Muhammad bin Ismail al‘Amraniy. Tapi kami memanggilnya dengan syeikh Imrani kerana senang dan lancar di mulut.

Kembara Ilmu

Peringkat Pertama:

Qadhi Muhammad bin Ismail telah bercerita kepada anak muridnya tentang pengalaman pertama dalam menuntut ilmu. Hatinya mula terdetik untuk mencari ilmu apabila ada seorang tua berkata kepada beliau; "kamu ini anak Qadhi Ismail bin Qadhi Muhammad..." yang bermaksud bahawa bapa kamu adalah ulama besar Yaman dan begitu juga dengan datuk kamu. Sejak dari itulah Qadhi al-‘Amraniy telah bergegas ke sekolah rendah al-Fulaihi ketika berumur tujuh tahun. Di situ beliau belajar pelbagai ilmu seperti al-Quran, tajwid, nahu saraf, akhlak, matematik, geografi, ilmu kesihatan dan lain-lain lagi sehinggalah beliau berhasil memperoleh sijil dari sekolah tersebut. Kemudian beliau berpindah ke sekolah al-Islah dan memperoleh keputusan yang cemerlang.

Peringkat kedua:

Pada peringkat inilah kembara ilmunya yang sebenar. Semasa berumur 10 tahun beliau telah berpindah ke Jami‘ Kabir (masjid besar Kota Sana‘a Lama) dan masjid Fulaihi dan belajar al-Quran dengan qari Muhammad bin Ishak, al-Faqih Yahya al-Kibsiy, al-Faqih Husain al-Akwa‘ dan Syed Muhammad bin Hamid al-Dabb.

Kemudian beliau telah menghafal beberapa matan seperti matan al-Azhar (Fiqh Hadawiy), matan al-Kamil (usul Fiqh), matan al-Kafiah (Nahu), matan al-Fiah (Nahu) dan Qawaid al-‘Irab (nahu). Kemudian Qadhi al-‘Amraniy telah melanjutkan pengajiannya dengan beberapa ulama besar Yaman pada ketika itu. Berikut adalah nama guru-guru beliau serta kitab pengajian beliau dengan ulama tersebut:

  1. Qadhi Abdullah bin Abdul Karim al-Jarafiy (1387H). Muwatta‘Malik, al-I‘tibar fi Nasikh wa Mansukh, Sunan Nasa’i dan sebahagian besar kitab Subulussalam dan Nailu al-Awtar.
  2. Qadhi Abdullah bin Abdul Rahman Hamid (1319H). Beliau telah mengajar Qadhi al-‘Imraniy kitab Syarh Ibn ‘aqil, Jawahir Maknun (balaghah), syarh al-Kamil (usul Fiqh) dan sebahagian dari syarah matan al-Azhar dan Qawaid al-I‘rab.
  3. Sayyed Abdul Karim bin Ibrahim al-Amir (1330H). Beliau adalah pembimbing Qadhi al-‘Imraniy dalam menghafal beberapa matan ilmu di antaranya ialah matan al-Azhar, al-Kamil, al-Kafiyah, al-Alfiyah dan Mulhatu al-I‘rab. Kemudia Qadhi al-‘Imraniy telah belajar dengan beliau beberapa kitab syarah seperti Qatru al-Nada karangan Ibnu Hisyam, Ibnu ‘aqil, Kafil, Mughni Labib, Jawahir al-Maknun dan Syarah al-Tiftazaniy (saraf).
  4. Qadhi Hassan bin Ali al-Maghribiy (1410H). Ilmu Faraid, syarah matan al-Azhar dan kitab Usul al-Ahkam karangan imam Ahmad bin Sulaiman.
  5. Qadhi Ali bin Hassan bin Ali bin Husain al-Maghribiy (1948M). Telah mempelajari dari beliau syarah Qatru al-Nada serta Nakhbatu al-Fikr fi Mustalahi Ahli al-Athari karangan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘asqalaniy.
  6. Qadhi Abdullah bin Muhammad al-Sarhiy (1318H). Tafsir al-Kasysyaf karangan Syeikh al-Zamakhsyariy.
  7. Qadhi Abdul Wahhab al-Syamahiy (1375H). Syarah matan al-Azhar.
  8. Sayyid Ahmad bin Ali al-Kahlaniy (1387H) Syarah al-Azhar, Ghayatu al-Sual, al-Kasysyaf dan Sunan Nasa’i.
  9. Sayyid Abdul Khaliq bin Husain al-Amir (1370H). Syarah Raudhu al-Nadir, Sahih Muslim dan syarah al-Azhar.
  10. Sayyid Muhammad bin Ali al-Sirajiy. Syarah al-Ghayah, karangan Husain bin al-Qasim dan syarah ‘umdatu al-Ahkam.
  11. Al-‘Allamah Muhammad bin Soleh al-Bahluliy (1390H). Syarah Qatr karangan al-Fakihi, Syarah Jawahir Maknun, Syarah Tabari ‘ala al-Kafil fi al-Usul, Syarah al-Talkhis fi al-Ma‘ani wa al-Bayan, Syarah ‘umdatu al-Ahkam, dan permulaan tafsir al-Kashshaf.
  12. Al-‘Allamah Ali bin Hilal al-Dubabi (1388H). Tafsir al-Kashshaf.
  13. Qadhi Yahya bin Muhammad al-Iryaniy . Raudhatu al-Nadir, Sunan Abi Daud, al-Bahru al-Zakhkhar dan sebahagian dari kitab al-Kashshaf, al-Ghayah dan Zaadu al-Ma‘ad.
  14. Al-‘Allamah Ahmad bin Muhammad Zubarah (1421H). Sebahagian dari kitab Syifa’ al-Amir al-Husain, Syarah al-Azhar dan sebahagian besar kitab Subulu al-Salam.

Anak Murid

Anak murid Qadhi Muhammad bin Ismail al-‘Amraniy mempunyai ramai anak murid sehingga sukar dikenal pasti. Bilangannya mungkin mencecah ribuan orang sama ada pelajar dari Yaman mahu pun dari negara-negara lain seperti Indonesia, Malaysia, Somalia, Albania, Cina dan negara-negara Afrika. Adalah tidak keterlaluan sekiranya mengatakan bahawa lebih 50 jenis etnik dari kalangan pelajar-pelajar yang mendalami ilmu dengan beliau di Universiti Iman. Ramai dari kalangan hakim mahkamah syariah Yaman, pendakwah, pegawai kerajaan dan profesor-profesor di universiti Yaman adalah anak murid Qadhi al-‘Amraniy. Ini kerana Qadhi Muhammad adalah tenaga pengajar terpenting di beberapa institut pengajian tinggi di sekitar Sana'a seperti Institut Pengajian Tinggi Kehakiman, Universiti Iman dan Universiti Sana'a. Qadhi Muhammad al-‘Imraniy juga mengajar secara tetap di Masjid al-Zubairi, Sana'a. Namun begitu terdapat beberapa anak murid Qadhi yang menonjol. Di antaranya ialah:

  1. Qadhi Yahya bin Lutfi al-Faisal rahimahullah. Pengasas dan ketua Maahad Ilmiah Yaman.
  2. Qadhi Abdul Karim al-‘Arasyi. Pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan seperti Timbalan Presiden Republik Yaman, Ketua Speaker Parlimen Yaman dan yang terakhir ialah sebagai penasihat peribadi bagi Presiden Yaman Ali Abdullah Soleh.
  3. Doktor Abdul Wahhab al-Dailami. Bekas menteri kehakiman Yaman dan mudir Universiti Iman.
  4. Syeikh al-‘Allamah ‘Amir bin Hussain bin Abdullah bin Abdul Qadir hafizahullah. Anak murid syeikh dari Syiria.
  5. Syeikh al-‘Allamah Fadil bin Abdullah bin Murad al-Muradiy al-Salafi al-Rimiy. Graduan pertama Universiti al-Iman.
  6. Syeikh al-'Allamah Ahmad bin Wazir al-Waqashiy. Graduan pertama Universiti al-Iman.
  7. Ustaz Ahmad Lutfi bin Akmal Hisyam. Kami panggil dia Qadhi Joe. Seorang yang istiqamah dengan pengajaran syeikh di masjid Zubairi. Ingatannya kuat terutama dalam hafalan hadis.

Tuesday, January 02, 2007

Selamat Hari Raya Haji


Pada pagi yang mulia ini, marilah sama-sama kita menyambut hari raya ‘idul-adha ini dengan penuh kesyukuran serta keinsafan di samping melaung-laungkan kebesaran Allah dengan melafazkan kalimah takbir, tahmid dan melakukan ibadat korban bagi mereka yang mempunyai kelebihan dan kemampuan.

Hari ini, dikenali juga dengan hari raya haji kerana sebahagian umat Islam pada hari ini sedang berhimpun di tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadat haji, rukun Islam yang kelima.

Hari ini juga dikenali dengan hari raya korban, kerana umat Islam diperintah supaya melakukan ibadah korban, mendekatkan diri kepada Allah I, sebagaimana yang dilakukan oleh nabi Allah Ibrahim di mana, Allah I memerintahkan baginda menyembelih anak kesayangannya nabi Ismail u

Sejarah membuktikan, nabi Ibrahim u melaksanakan perintah Allah I ini dengan penuh keyakinan dan ketabahan hati serta keikhlasan semata-mata kerana Allah. Keikhlasan baginda ini, mengatasi perasaan rasa sayang terhadap anaknya sendiri. Begitu pula anaknya Ismail dengan rela hati menyerahkan dirinya untuk disembelih demi menjunjung perintah Allah .

Inilah pengorbanan yang amat tinggi yang telah ditunjukkan oleh nabi Ibrahim dan nabi Ismail alaihimassalam dalam sejarah ketamadunan manusia, kerana mendaulatkan perintah dan hukum Allah ke atas mereka tanpa rasa ragu-ragu, sekalipun ada rintangan dan halangan di sepanjang laluan tersebut.

Melihatkan keikhlasan nabi Ibrahim itu maka Allah menerima amalannya dengan menggantikan penyembelihan anaknya tadi dengan tebusan seekor kibas. Dari peristiwa inilah, maka Allah menggolongkan nabi Ibrahim dalam golongan ‘ulul ‘azmi’ di kalangan rasul.

Nabi Allah Ibrahim merupakan salah seorang contoh terbaik untuk dijadikan ikutan. Sejarah perjuangannya harus dihayati dan diteladani oleh setiap Muslim yang mengaku sebagai pejuang Islam. Allah Taala telah memerintahkan kita agar mencontohi Islam Nabi Allah Ibrahim dengan firman Nya:

`Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya). (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepada Ku wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam". Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anak ku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".

Nabi Allah Ibrahim u merupakan contoh Muslim yang sebenar. Baginda tidak gentar menghadapi segala rintangan dan cubaan, walaupun yang dihadapinya adalah sebuah kerajaan yang agung. Perjuangan baginda bukan sahaja mendapat tentangan dari kerajaan dan rakyat jelata, malah ayahnya sendiri turut mengingkari seruan Tauhid. Inilah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Allah Ibrahim dalam melaksanakan kerja dakwahnya, di mana kehendak Allah mengatasi kehendak diri dan keluarga. Ketegasan Nabi Allah Ibrahim u menyebabkan baginda dihukum dengan dibakar hidup-hidup dalam api yang marak. Namun Allah telah berfirman:

"Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!".

Maka Allah I telah menyelamatkan Baginda u secara mukjizat. Kemudian Nabi Allah Ibrahim u dihalau oleh ayahnya sendiri dan kerajaan yang memerintah tanah airnya. Itulah ia adat orang yang beriman, kerana Allah I telah berjanji bahawa setiap orang beriman sebenarnya pasti diuji. Firman Allah I:

dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.

Nabi Ibrahim yang telah berjaya dalam ujian yang pertama, diuji lagi oleh Allah dengan memerintahkan baginda supaya membawa isteri dan anaknya tercinta nabi Ismail ke negeri Mekah yang kering kontang serta tiada penempatan manusia. Apabila anaknya besar, diperintahnya pula supaya disembelih. Kesemua ujian yang getir ini ditunaikan oleh Nabi Allah Ibrahim dengan penuh pengabdian kepada Allah . Inilah pengorbanan agung yang tiada tolak bandingnya.

Sejarah perjuangan dan pengorbanan ini bukan sahaja terhenti setakat itu, malah di sambung oleh generasi-generasi terkemudian dari mereka daripada kalangan para Anbia' dan Mursalin. Ada di kalangan mereka dibunuh dengan kejam, ada yang dipotong kaki dan tangan, ada yang tubuhnya digergaji dan ada pula mereka yang menerima pelbagai seksaan dan kekejaman yang beraneka ragam. Semua ini tidak lagi dipedulikan oleh mereka. Kerana pada mereka hanyalah keredaan Allah Taala yang mereka cari.

Nabi kita Muhammad yang merupakan insan yang paling dikasihi oleh Allah, tidak terlepas dengan cubaan dan ujian. Semua ujian tersebut, diharungi oleh Rasulullah dengan hati yang tabah, disertai dengan pengorbanan yang tinggi yang sama sekali tidak mampu ditandingi oleh umat Islam pada hari ini. Bukan sahaja Rasulullah yang menerima penderitaan dan keperitan ini, bahkan tempias kepedihan dan kejerihan ini juga terkena kepada pengikut-pengikut baginda di kalangan para sahabat radiallahu‘anhum. Ada di kalangan mereka yang diseksa dengan dibutakan mata, diletakkan batu di atas dada dan ada juga yang dirampas harta benda. Inilah cabaran yang getir yang terpaksa diterima oleh penyokong perjuangan Islam pada ketika itu. Namun adakah mereka semua berpaling dari agama Allah dengan membeli dunia dengan harga yang rendah? Jawapan tidak sama sekali. Bahkan pengorbanan mereka mendapat penghargaan dari Allah Taala dengan terakamnya kisah mereka di dalam al-Quran al-Karim.

Cubalah kita bandingkan dengan keadaan mereka dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita pernah diuji sedemikian rupa? Adakah kita pernah diuji seakan-akan mereka? Ataupun kita langsung tidak pernah diuji oleh Allah? Jika jawapannya tidak pernah maka marilah kita sama-sama mengingati akan firman Allah Subhanahu wa Taala:

Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui Nya tentang orang-orang yang berdusta.

Ayat di atas merupakan satu sindiran dari Allah Taala terhadap mereka yang mengaku beriman dengan Allah padahal mereka belum pernah menerima ujian. Ingatlah saudara-saudara sekalian bahawa, insan yang paling dahsyat menerima ujian, adalah golongan anbia', para solihin serta mereka yang mengikuti jejak langkah para anbia' dan solihin. Sekiranya kita belum pernah menerima ujian, sudah tentu kita bukan dari golongan mereka. Na‘uzubillah.

Ujian pada hari ini bukan sahaja dalam bentuk ujian keperitan dan kesengsaraan. Bukan sahaja ujian yang berbentuk kesusahan dan kejerihan. Tetapi ujian ini juga datang dalam bentuk kemewahan, kesenangan, kebahagiaan keluarga serta kedudukan. Mungkin ramai di kalangan kita sanggup mengharungi ujian kepayahan dan kesusahan. Tapi ramai pula yang tewas dalam menghadapi ujian keduniaan.

Ramai di kalangan kita yang asyik dengan harta, anak isteri, rumah dan kemewahan dengan meninggalkan seruan Allah dalam melaksanakan perjuangan Islam. Perkara ini telah diberi amaran oleh Allah Subhanahu wa Taala dalam firmannya:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul Nya dan (daripada) berjihad untuk agama Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan Nya (azab seksa Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka).

Ayat dia atas merupakan peringatan dari Allah kepada mereka yang meninggalkan perjuangan menegakkan kalimah Allah, lantaran terlalu asyik dengan kesenangan duniawi. Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah agar dijauhkan kita daripada sifat-sifat yang tercela ini.

Perjuangan Islam bukanlah senang seperti yang dijangkakan. Perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah bukan mudah seumpama berjalan di hamparan mewah. Akan tetapi ianya penuh dengan onak duri serta ranjau di sepanjang jalan. Pejuang-pejuang Islam sejak dahulu lagi, sudah lali menerima ujian dan cubaan. Lihat sahajalah apa yang berlaku pada hari, ramai di kalangan penegak kebenaran dan pejuang Islam tersungkur di tengah medan, di tangan penguasa yang zalim dan kejam. Walaupun para pejuang ini mati di mata penzalim, akan tetapi mereka tetap hidup di sisi Allah I:

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki )ali-‘Imran: 169)

Ujian yang biasa dihadapi oleh setiap penegak ad-din, datang dalam pelbagai bentuk. Firman Allah Taala:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

Firman Allahlagi:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar

Disebabkan perjuangan menegakkan Islam sebagai cara hidup dipenuhi dengan pelbagai cubaan, maka Allah Taala memerintahkan kita agar bersabar dalam perjuangan suci ini. Firman Allah Taala:

Dan jadikanlah diri mu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandangan mu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

Ayat di atas merupakan gesaan Allah Taala kepada kita semua agar sentiasa bersabar dengan golongan yang beribadat kepada Allah yang mana mereka senentiasa menyebut dan menyeru nama Nya di waktu pagi dan petang. Dan janganlah kita semua meninggalkan golongan ini semata-mata memburu habuan dunia. Bimbang-bimbang bukan dunia yang diperoleh, tetapi laknat dan kemurkaan Allah yang didapati.

Di hari yang penuh keberkatan ini saya menyeru kepada diri saya dan saudara saudari sekalian agar berjuang ke jalan Allah dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan. Firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Mahu kah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Kewajipan berjihad ke jalan Allah tidak boleh di sangkal lagi. Namun ianya bukan terbatas kepada jihad peperangan semata-mata. Tetapi ianya diamalkan mengikut kesesuaian keadaan semasa. Sekiranya keadaan memerlukan kepada persenjataan maka ia adalah yang lebih utama. Sekiranya tidak perlu, maka hendaklah mengikut saluran yang betul yang telah digariskan oleh para alim ulama. Berjihadlah mengikut kemampuan dan kepakaran masing-masing. Sumbangkan kemahiran yang ada untuk menegakkan kalimah Allah di bumi ini. Sekiranya ada seruan untuk melakukan pengorbanan baik dari segi harta benda dan jiwa raga, insya-Allah kitalah orang yang pertama menyahut seruan itu.