Thursday, May 17, 2007

Umat Teladan


Beberapa minggu lepas, saya mengikuti khutbah jumaat di masjid sekitar Terengganu. Antara intisari khutbah tersebut adalah penyeruan terhadap pembentukan modal insan berkualiti. Khutbah itu juga menekankan bahawa, kita sebagai umat Islam mesti ada sifat kreatif, inovatif, berdaya cipta, berdaya maju dan lain-lain lagi. Selain itu umat Islam hari ini juga merupakan pengguna utama teknologi dan bukan lagi pencipta teknologi.

Khutbah ini juga menekankan agar umat Islam menjadi satu sumber manusia yang berkuasa serta boleh mencipta teknologi berlandaskan keimanan dan nilai-nilai murni. Khutbah itu juga menyeru agar kita semua mencontohi generasi saintis Islam di Andalusia seperti, al-Khindi, al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan lain-lain lagi. Ini kerana umat Islam pada masa itu adalah pencipta teknologi dan barat yang ketika itu masih dalam dunia kegelapan, berlumba-lumba menimba ilmu dari dunia Islam.

Secara kasarnya isi khutbah itu boleh dipersetujui. Akan tetapi, di sana terdapat pelbagai andaian dan tanggapan yang boleh dianggap dan diandaikan lantaran kekeliruan dari segi keutamaan, matlamat dan tauladan.

Sebaik-Baik Insan


Ramai di kalangan kita terkeliru tentang siapakah yang kita perlu contohi dan telandani. Manusia manakah kita patut berusaha memiliki. Generasi manakah yang patut kita telesuri. Umat manakah yang patut kita ikuti. Sebagai Muslim, semua persoalan tersebut telah pun terjawab di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Cuma yang tinggal hanya kita yang jahil tentang perkara ini.

Sebaik-baik dan semulia-mulia insan adalah mereka yang bertaqwa
. firman Allah Taala yang bermaksud:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)
[al-Hujuraat: 13]

Secara umunya, semulia-mulia manusia adalah:
1. mereka yang tinggi tahap ketaqwaannya
2. bukan terletak kepada keturunan dan bangsa.

Taqwa secara ringkasnya ialah melaksanakan segala titah perintah Allah dan meninggalkan segala bentuk larangannya. Macam mana kita hendak mengetahui apa yang di suruh dan apa yang dilarang oleh Allah? Tentu sekali melalui jalan ilmu berlandaskan proses pembelajaran. Ilmu ini tidak boleh sesedap rasa di reka-reka. Ianya mesti berdasarkan kepada al-Quran dan al-Hadith.

Generasi terbaik adalah generasi di zaman Rasulullah. Pada era tersebut, mereka yang wujud adalah dari kalangan para sahabat. Ini berdasarkan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Sebaik-baik kurun ialah kurun ku (para sahabat), kemudian (generasi) selepas itu, kemudian (generasi) selepas itu"....
[hadith riwayat Muslim, kitab: Fadhoil Sahabah,
bab: Fadhlu al-sohabati radiallahu'anhum, no: 4603]

Para sahabat ialah individu Muslim yang sempat berjumpa dengan Rasulullah, menerima dan beriman dengan risalah Rasulullah (lihat syarh imam Nawawi bagi sahih muslim pada menghuraikan hadith di atas tadi).

Sahabat sendiri mempunyai makam yang mulia di sisi Allah, Rasulullah dan umat Islam. Kata-kata, perbuatan dan fatwa sahabat dijadikan hujjah bagi sebahagian besar mazhab-mazhab.(Muhammad Abu Zahrah, Usul Fiqh, cetakan Dar Fiqh 'Arabiy, m/s 212. Untuk perincian diharap dapat menelusuri blog Ayah Sey kita.

Generasi terbaik selepas itu ialah generasi yang mengikuti jejak langkah para sahabat iaitu para Tabi'in. Mereka adalah individu Muslim yang sempat berjumpa dengan para sahabat dan mengambil ilmu dari mereka. Generasi selepas itu iaitu tabi' Tabi'in yang merupakan individu Muslim yang mengambil ilmu dengan para tabi'in. Ketiga-tiga generasi inilah sebaik-baik generasi sepertimana yang disepakati oleh para ulama. Ketiga-tiga generasi inilah yang mesti dicontohi dan diteladani.

Umat terbaik
pula ada dijelaskan dalam al-Quran. Firman Allah Taala:

"Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)." [al-'Imran: 110]

Allah akan mengiktiraf kita sebaik-baik umat jika kita:
1. menyuruh segala perkara yang baik
2. melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji)
3. beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar Iman)

Dengan huraian di atas, dapatlah diketahui bahawa penilaian kualiti bagi individu, generasi dan umat adalah dengan neraca agama. Bukan dengan neraca lain. Standard yang dikeluarkan oleh agama paling dipercayai kerana ia berlandaskan ilmu wahyu dari Allah melalui Rasul-Nya.

Maka adapun seruan agar hanya mencontohi dan mengikuti tauladan yang ditinggalkan oleh generasi di zaman keunggulan Islam di Andalusia, adalah salah. Ia dikuatkan lagi dengan ketiadaan nas dari al-Quran dan al-Hadith yang menunjukkan bahawa kemuliaan seseorang bergantung kepada berapa banyak teknologi dan penemuan sains yang dapat dihasilkan.

Materialisme


Kebendaan menjadi tajuk utama masyarakat kita sekarang. Rata-rata barah ini terkena kepada mangsanya tidak mengira lapisan ekonomi, sosial dan latar belakang pendidikan. Penguasaan material yang maksima, menjadikan manusia menjadi hebat di mata masyarakat. Kalau di jalanraya kita akan memandang kereta siapa yang paling power dimiliki. Kalau di restoran-restoran atau kedai makan, masing-masing mengeluarkan telefon bimbit terkini dan paling multi funginya dan macam-macam lagi bandingan yang dibuat. Semua tuntutan material ini menjadikan manusia berusaha mencari rezeki kerana:
1.ingin memiliki kereta terpower
2.telefon bimbit terbanyak fungsinya
3.isteri paling rupawan di mata dunia
4. rumah paling tersergam di persada alam
5. perabot import termewah di abad ini
6. itu ini terganas seantero dunia
7. bla-bla ter hebat di kaca mata bla-bla
8. bla-bla ter bla-nla di bla-bla
9.bla-bla bla-bla bla-blabla-bla
10.....................................................(mati)

Mencari kekayaan tidak salah. Menuntut kesenangan tidak dipandang jelek oleh agama. Cuma bagaimana kita menguruskan kekayaan dan kesenangan agar wujud kebersamaan dengan Allah Taala. Tujuan kita mestilah jelas...kerana semua kita menuju kepada arah yang sama, sama ada kita suka atau tidak. Arah itu adalah kematian.

Jadi, apa kaitannya dengan intisari khutbah di atas? Khutbah di atas menyeru kita agar menjadi umat pencipta teknologi, bukan hanya sebagai pengguna teknologi. Memang ada benarnya aggapan demikian. Namun ia bukan menjadi satu agenda utama bagi Islam.

Rasulullah membawa Islam dengan merombak keyakinan Musyrikin Mekah terhadap berhala dan patung, kepada keyakinan dan keimanan kepada Allah Taala dengan bantuan mukjizat. Nabi tidak pernah mencipta sesuatu yang baru dalam bidang persenjataan, tidak pula menjadi tokoh koprat disegani oleh usahawan Quraisy dan jauh sekali berusaha untuk menghasilkan benih dan baka tamar yang bermutu tinggi.

Tetapi Rasulullah membawa amanat dari Ilahi agar merombak kubu kekufuran dan syirik dan membina di atasnya tembok keimanan dan ketaqwaan. Inilah sebanar tujuan sebanar umat Islam iaitu mencapai keimanan dan ketaqwaan yang sejati berlandaskan keyakinan yang jitu dan disokong oleh kemukjizatan al-Quran itu sendiri.

Sekali lagi ditegaskan bahawa, berinovasi, kreatif dan berdaya cipta tidak dianggap asing oleh Islam. Tetapi perlu ada keharmonian dalam mengimbangi antara keperluan duniawi dan ukhrawi. Rata-rata kita dengar di radio berkenaan dengan perlunya kita umat Islam berdaya cipta menghasilkan sesuatu dan jangan hanya berpuas hati menjadi pengguna sahaja. Islam itu teknologi, Islam itu ekonomi, Islam itu perusahaan, islam itu itu ini dan lain-lain. Macam Islam hanya itu sahaja.

Bagaimana pula dengan aspek keimanan yang menjadi nadi kepada setiap Muslim. Kita lihat sekarang keimanan umat Islam mula mengepis dari hari kehari.Ini dapat diihat melalui kaca-kaca TV berkenaan dengan kes-kes jenayah yang mengharukan, kes-kes lucah yang meloya kan dan macam-macam lagi. Tapi kita tak endah semuanya. Yang penting ekonomi mantap, perusahaan maju, teknologi semakin canggih dan status hidup kena tinggi.

Keadaan masyarakat sekarang yang semakin membarah adalah cermin yang memberi gambaran jelas tentang keharuan mereka terhadap material. Yang lebih parah lagi bila kuping barah materialisme ini juga terpalit kepada meraka yang berstatus ustaz. Pernah saya ditanya oleh sahabat, kerja apa? pakai kereta apa? bakal isteri kerja apa? lepas tu pakai kereta apa? Cara pertanyaan yang bersungguh-sungguh mencerminkan perkara itu mesti diberi perhatian yang bersungguh-sungguh.

Aduh! Ya Allah! Berat sekali tugas hamba mu ini...Aku rungsing dan bimbang, takut-takut aku dipersoalkan nanti oleh Allah di akhirat nanti. Hamba mohon kemaafan dan keampunan mu Ya Allah!.

Penutup

Sebagai seorang hamba yang diberi sedikit ilmu oleh Allah, dengan ini ingin menyeru kepada sesiapa yang mempunyai kesedaran agar mengubah diri sendiri menjadi insan yang baik. Sentiasa menghadiri majlis ilmu, terbuka untuk dikritik dan dinasihati, bertanya jika tidak tahu dan sentiasa bertawakkal dan berdoa kepada Allah agar sentiasa mendapat rahmat dan keampunan dari-Nya.

Perlu memahami siapakah generasi yang perlu di contohi agar kita mendapat ganjaran yang sama sepertimana dijanjikan oleh Allah kepada mereka. Salafus Soleh yang terdiri dari sahabat, Tabi'in dan Tabi' Tabi'in. Apa yang perlu kita contohi dari mereka? Jawabnya contohilah setiap amalan agamanya baik dari segi akidah, ibadat dan akhlak. Bagaimana cara untuk mengetahuinya? tidak lain dan tidak bukan dengan belajar secara konsisten dari perawis Nabi di kalangan para ulama. Wallahua'lam

No comments: