Showing posts with label Skool. Show all posts
Showing posts with label Skool. Show all posts

Wednesday, May 20, 2009

Selamat Hari Guru

Semoga Allah merahmati semua guru-guru yang ikhlas mengajar anak didiknya. Tidak ku ketahui sebelum ini akan erti sebuah kejerihan seorang cikgu setelah diri ini sendiri menjadi cikgu. Betapa susahnya untuk menyuruh anak murid menyebut sesuatu perkataan yang diajar melainkan selepas timbul segala urat saraf di leher dan terasa perit anak tekak terlebih dahulu. Oh cikgu! Adakah aku sedemikian di usia begitu? Semuanya itu membuatkan aku selalu bermuhasabah.

Ops...tinggalkan semuanya itu. Biarkan sahaja ianya bermain di benak ku. Zaujatee berkata dengan nada berseloroh, "bestnya jadi cikgu, ada hari guru lagi, doktor takde hari sambutan pun, misi (jururawat) ada pula." Aku tersenyum sahaja. Aku membalas, "alah, cikgu ni sebaris dengan jururawat ja, sama dengan buruh. Doktor lain lah, gaji pun mahal." "Eleh..." balas Zaujatee sambil tersengih.

Aku sendiri keliru mengapa guru memerlukan hari untuk disambut. Tetapi apa yang aku rasai sendiri pada hari tersebut adalah perasaan yang begitu tersentuh apabila murid-murid yang kita cubit, yang kita rotan tiba-tiba menghulurkan hadiah sambil tersengih-sengih. Tidak kurang juga yang datang bergurau senda dengan ku pada hari itu. Aku dapat rasakan keintiman yang kudus ini adalah kurniaan Ilahi yang tiada nilainya. Hubungan ini ku rasakan ada pertalian rohani. Disebalik cubit dan rotan ku tersemat kasih keramat. Bukan ingin berbangga, tetapi itulah yang dirasa. Semoga Allah memberi aku "thabat" dalam arena ini. Semoga aku tidak "futhur" dalam perjuangan memandaikan umat. Semoga Allah memberikan aku keikhlasan dalam menyampaikan ilmu akhirat. Ya Allah! terimalah doa ku.

Dikesempatan ini aku menyertakan beberapa gambar anak didik ku di peringkat Pra dan Tahun 1 yang sempat saya rakam. Biarkan gambar berbicara.













Sunday, March 22, 2009

Sanggupkah Dikau

Alhamdulillahi wa kafa. Sesekali terfikir, letih betul mengajar dan mendidik manusia yang spesisnya adalah kanak-kanak. Sesekali terkenangkan, ia penuh dengan perkara yang menyakitkan hati. Kekadang keletah dan telatah mereka pula menghiburkan hati. Begitulah kehidupan ini. Tentu ada perkara yang menyeronokkan dan ada juga perkara yang menyesakkan dada. Kalau tidak, sudah tentu Allah tidak akan menyediakan syurga dan neraka. Ok, kita tinggalkan perkara syurga dan neraka.

Hari-hari aku berhadapan dengan dunia kanak-kanak. Bau yang hamis kekadang meloyakan tekak. Lebih-lebih lagi bila mereka tamat waktu rehat. Badan mereka yang berpeluh kerana berlari-lari keriangan, menyemarakkan lagi kelugaran diri ini. Namun perkara aneh yang pernah berlaku, aku rindukan bau itu. Aku tidak tahu kenapa, tetapi aku berasa selesa pula dengan bau semacam itu (walaupun kekadang terasa juga mualnya).

Sekiranya aku memulakan sesi pengajaran dan pembelajaran dalam keadaan mereka tenang, senang sekali untuk mengawal mereka. Tetapi sekiranya mereka baru sahaja tamat waktu rehat, aku perlu mengambil masa 15 minit untuk menstabilkan mereka. Tekak terasa begitu perit akibat pekikan dan darah sering tersirap. Begitulah mereka. Perit sekali dugaan yang diterima demi mengajar mereka 3 patah perkataan sahaja setiap hari.


Tidak cukup dengan itu, di pertengahan waktu pembelajaran, murid-murid ini amat suka pergi ke tandas dengan meminta izin dari ku. Pelik juga budak-budak ni. Waktu rehat mereka tidak ke tandas pun. Tapi masa belajar terasa pula untuk ke tandas. Kalau dihalang takut-takut terkencing atau terberak dalam kelas. Lagi mengharukan jadinya. Yang menjadi masalah, bila mana aku mengizinkan seorang untuk ke tandas, bertalu-talu budak-budak ini hendak ke tandas juga. Siap dengan menggunakan ayat yang skema lagi "Ustaz, bolehkah saya ke tandas". Ikutkan hati terasa disepak terajang sahaja mereka ini. Tetapi aku terpaksa mengawal diri dan emosi agar situasi menjadi terkawal.

Pernah aku bertanyakan berkenaan dengan buku. Aku bertanya "siapa yang tidak membawa buku?". Tetapi mereka menjawab "kita bawaaaak" (dengan nada manja). Aku bertanya perkara lain. Lain pula mereka menjawabnya. Geram betul dengan mereka. Tetapi perasaan lucu mengatasi perasaan ammarah.

Bermacam-macam karenah aku hadapi. Namun begitu aku betul-betul menginsafi. Adakah aku sebegitu di usia mereka? Hamis, membosankan dan sukar dikawal? Adakah aku juga susah untuk memahami apa yang diajar oleh guru? Semua itu amat menginsafi diri ku ini. Tetapi perkara yang paling terkesan di hati ini adalah, aku sedar betapa payah dan susahnya untuk mengajar dan mendidik kanak-kanak di usia sebegini. Begitu getirnya usaha dalam memandaikan bangsa dan ummat di peringkat awal.Kepada cikgu-cikgu yang mengajar di sekolah rendah, aku amat respek kepada mereka. Sekiranya diberikan bintang, aku akan bagi mereka 5 bintang.