Thursday, December 21, 2006

My New Site

Sila berkunjung ke laman web terbaru saya:

http://chenoob.multiply.com

Sunday, December 17, 2006

IMAM MAHDI A.S

Imam Mahdi a.s amat sinonim dengan peristiwa akhir zaman. Dengan kebangkitannya, dunia mula menghampiri hujung usianya. Kedatangan Imam Mahdi ke dunia adalah alamat kiamat sudah dekat. Ia merupakan salah satu doktrin Islam yang wajib diimani oleh setiap Muslim kerana ia jelas terdapat dalam sabda Rasulullah s.a.w.

Terdapat pelbagai tanggapan dan pendapat mengenai perihal Imam Mahdi. Dua aliran akidah utama dalam Islam iaitu Sunni dan Syiah, turut membincangkan perkara ini dan ia bercanggah di antara satu sama lain dengan percanggahan yang amat nyata dan jelas.


Saya tidak bercadang untuk memperincikan siapa dia Imam Mahdi di sisi Ahli Sunnah wa Jamaah. Tetapi insya-Allah, saya akan mengutarakan secara ringkas pandangan mazhab Syiah terutamanya syiah Imamiah mengenai Imam Mahdi.

Untuk tujuan ini saya telah meneliti beberapa rujukan berbentuk buku elektronik dalam mazhab Syiah dan akhirnya saya menemui satu artikel lengkap yang berhubung dengan Imam Mahdi. Artikel tersebut bertajuk "IMAM AL-MAHDI AS: KHABAR GEMBIRA DALAM AL-QURAN" yang telah disiarkan di situs http://almawaddah.uni.cc. Setelah memerhati dan menelaah artikel ini, saya dapat mengklasifikasikan kehidupan Imam Mahdi mengikut pandangan Syiah terbahagi kepada beberapa fasa.

Fasa pertama ialah kelahiran Imam Mahdi. Menurut kitab al-Kaafi karangan Ibnu Ishaq al-Kulaini pada bab 125, Imam Mahdi telah dilahirkan pada 15 hari bulan Syaaban 255H. Beliau diberi gelaran Sahib al-Zaman a.s. Kelahiran Imam Mahdi dianggap sebagai suatu mukjizat bagi mereka bermazhab Syiah di ketika itu. Ini kerana walaupun pihak berkuasa 'Abbasiyyah pada masa itu berusaha menghapuskan Imam ke 12 itu, namun mereka tidak mampu untuk memadamkan cahaya kurniaan Allah ini. Ayah beliau iaitu Abu Muhammad al-Hassan bin Ali al-'Askari telah dipaksa untuk berpindah dari Madinah ke Samarra' pada tahun 235H supaya pergerakannya dapat dipantau oleh khalifah 'Abbasiyyah ketika itu iaitu Mutawakkil. Selain itu khalifah Mu'tamid telah melancarkan operasi ala Firaun dengan menyiapkan skuad perisik dan bidan untuk menyiasat kelahiran bayi lelaki baru di setiap rumah ahli Bait untuk dihapuskan. Abu Muhammad, ayahanda Sahib al-Zaman telah bertindak untuk merahsiakan kelahiran serta identiti anaknya kepada umum kecuali ahli-ahli keluarga yang terdekat sahaja. Hal ini telah ditegaskan oleh Syeikh Mufid dalam kitabnya al-Irshad, bab Kewafatan Abi Muhammad al-Hasan ibn Ali a.s. Petikan ini berbunyi:

“Imam Hasan al-Askari AS telah menyediakan asas sebuah daulah untuk puteranya itu. Beliau AS merahsiakan kelahiran puteranya dan perkara-perkara lain yang berkaitan, kerana Imam AS hidup pada suatu zaman di mana khalifah-khalifah sedang berusaha mencari puteranya dan sentiasa mengawasi Imam Al-Askari AS. Hal ini disebabkan kepercayaan tentang Imam al-Mahdi AS sudah diketahui umum menjadi kepercayaan para Syiah Imamiyyah pada ketika itu. Mereka sentiasa menunggu-nunggu kedatangan pemimpin agung mereka itu. Justeru, Imam Hasan al-Askari AS tidak mendedahkan identiti puteranya itu, maka musuh-musuh Ahlul Bait AS tidak dapat mengenali identiti Imam al-Mahdi AS selepas kewafatan Imam Hasan al-Askari AS".

Fasa kedua ialah Zaman Ghaib al-Sughro (ghaib kecil). Selepas kematian Abu Muhammad al-Hassan bin Ali al-Askari, jawatan Imam dalam mazhab Syiah disandang oleh anak beliau iaitu Imam Mahdi sendiri. Oleh kerana beliau diburu oleh pemerintah 'Abbasiyyah pada masa itu, beliau mengambil keputusan untuk merahsiakan identitinya kepada umum. Namun begitu tugasnya sebagai Imam tidak diabaikan dengan melantik empat orang kanan yang paling dipercayai yang telah melalui beberapa penyaringan yang ketat, untuk dimenjadi perantara di antara beliau dengan pengikut-pengikutnya. Mereka adalah Uthman ibn Sa’id ‘Umari, Abu Ja’far Muhammad ibn Uthman, Abu l-Qasim Husayn ibn Ruh Nawbakhti dan Abu l-Hasan ‘Ali ibn Muhammad Simmari. Mereka inilah perantara di antara Imam Mahdi dengan para Syiah sekiranya berlaku permasalahan yang hendak diselesaikan. Menurut kitab Bihar Anwar karya Allamah al-Majlisi Bab 13 dan 21, para perantara atau pun naib Imam perlu mempunyai tanda dan bukti yang kukuh sekiranya mereka mengaku sebagai utusan dan naib Imam Mahdi. Ayat itu berbunyi:

"Orang ramai sudah pasti tidak mudah menerima empat orang naib Imam tersebut melainkan mereka telah ditunjukkan bukti-bukti luar biasa Sahibu l-Amr untuk mengesahkan bahawa mereka itu adalah dipercayai dan betul, walaupun mereka menerima empat tokoh ini sebagai peribadi yang tsiqah dan tidak meragui mereka dalam iman, ketaqwaan dan ilmu pengetahuan"

Wakil khas ini hadir menemui Imam Zaman AS bagi menyerahkan soalan-soalan atau masalah-masalah yang dihadapi oleh ilmuwan Syiah dan beliau AS telah menjawab soalan yang dianggap penting dalam bentuk surat dan dikirimkan melalui wakil tersebut. Dalam surat-surat ini perkara yang penting dan masalah yang sukar yang dihadapi oleh Syiah telah dijawab oleh Imam AS.

Selepas itu tiba fasa ke tiga iaitu zaman Ghaib Kubra di mana pada ketika ini Imam Mahdi telah ghaib dari pandangan umum dengan kehendak Allah Taala demi melindungi beliau dari ancaman hebat pemerintah. Oleh itu tamatlah peranan naib khas Imam. Jika ada sesiapa yang mendakwa sebagai wakil atau naib Imam, maka mengikut pengisytiharan Imam Mahdi AS sendiri, dakwaan tersebut adalah palsu..

Ayahandanya, Imam Abu Muhammad al-Hassan al-'Askari berkata: "Seakan-akan aku melihat selepas ku akan berlaku ikhtilaf di kalangan kalian tentang Imam selepas ku. Barang siapa yang menerima Imam selepas Rasulullah s.a.w tetapi menolak putera ku adalah seperti seseorang yang menerima semua para anbia' tetapi menolak Nubuwwah Muhammad s.a.w, Rasulullah s.a.w. Dan barang siapa yang menolak (Muhammad s.a.w) sebagai Rasulullah adalah umpama ingkar kepada seluruh anbia' Allah kerana ketaatan kepada yang terakhir daripada kami adalah umpama taat kepada yang awal daripada kami dan ingkar kepada yang akhir daripada kami umpama ingkar kepada yang awal daripada kami. Bahawa sesungguhnya putera ku akan ghaib di mana pada ketika itu akan ada di kalangan manusia yang jatuh ke dalam keraguan kecuali mereka yang dipelihara oleh Allah Taala." (Ithbatu l-Hudat, as-Shaykh Hurr al-Amili, Jilid VI, hlm. 427)


Imam Ketujuh Imam Musa al-Kazim ibn Ja'far AS ketika menjawab soalan salah seorang daripada sahabat-sahabatnya yang bertanya sama ada beliau AS adalah al-Qa'im bi l-Haqq, (beliau AS) berkata:

"Aku adalah al-Qa'im bi l-Haqq tetapi al-Qaim yang akan menghapuskan musuh-musuh Allah daripada muka bumi ini dan akan memenuhi muka bumi ini dengan keadilan adalah keturunan ku yang kelima. Justeru beliau bimbang akan keselamatan dirinya, beliau akan ghaib untuk jangka masa yang panjang di mana pada jangka masa itu ada kaum yang murtad tetapi ada juga yang akan berpegang teguh kepada (aqidah) mereka." (Ithbatu l-Hudat, as-Shaykh Hurr al-Amili, Jilid VI, hlm. 417)

Seterusnya fasa keempat di mana Imam Mahdi akan dibangkitkan di akhir zaman dengan membawa revolusi murni serta kerajaan yang adil. Di masa itu musnahlah segala kezaliman dan tertegaklah keadilan, kemakmuran dan kebahagiaan.

Menurut artikel ini lagi Imam Hassan r.a telah menjelaskan berkenaan dengan kerajaan Imam ke Dua Belas iaitu Imam Mahdi dengan berkata:

"Tidakkah anda ketahui bahawa setiap seorang daripada kami (Imam) mempunyai tanggungjawab untuk mengambil bai'ah daripada pemerintah yang zalim pada zamannya kecuali al-Qa'im di mana Ruhullah Isa as akan bersembahyang di belakangnya dan Allah SWT akan merahsiakan kelahirannya dan menyembunyikannya (ghaib). Apabila dia muncul nanti, ia tidak akan mengambil bai'ah daripada sesiapapun. Dia adalah keturunan yang kesembilan daripada saudaraku Husayn, putera daripada Puteri yang ditawan. Allah SWT akan memanjangkan usianya pada ketika ghaibnya, dan dengan KuasaNya yang Maha Sempurna, dia akan muncul kembali sebagai orang muda kurang daripada 40 tahun supaya orang ramai mengetahui bahawa Allah SWT Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu." (Muthakhabul Athar, Lutfullah Safi Galpayagani Bahagian II, Bab 4)

Dari fakta di atas, jelas kepada kita bahawa Imam Mahdi mengikut pandangan Syiah telah lama wujud sejak pemerintahan 'Abbasiyyah lagi kemudian dighaibkan oleh Allah lalu dibangkitkan pada akhir zaman.

Namun begitu, fakta di atas sangat bertentangan dengan apa yang diimani oleh umat Islam Sunni. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abu Daud yang bermaksud "sekiranya umur dunia ini berbaki sehari sahaja, maka Allah Taala akan memanjangkannya, lalu dibangkitkan seorang lelaki dari kalangan ku ataupun dari keluarga ku di mana namanya menyamai nama ku dan nama ayahnya sama dengan nama ayah ku...." adalah contoh di mana Imam Mahdi mazhab Sunni berbeza dengan Imam Mahdi yang diyakini oleh mazhab Syiah.

Berpandukan kepada hadis di atas tadi, Imam Mahdi Sunni mempunyai nama yang sama dengan nama baginda nabi Muhammad s.a.w iaitu Muhammad bin Abdullah. Manakala Imam Mahdi versi Syiah ialah Muhammad bin al-Hassan al-'Askari. Syeikh Muhammad Syamsul Haq al-'Azim Abadi telah menghurai hadis Abu Daud dengan berkata:

"(hadis ini) merupakan sanggahan terhadap Syiah yang mengatakan bahawa al-Mahdi yang dijanjikan ialah Muhammad bin al-Hassan al-'Askari".

Dari hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud tadi, jelas kepada kita bahawa apa yang didakwa oleh pengikut-pengikut Syiah bahawa Imam Mahdi itu ialah Muhammad bin al-Hassan al-'Askari adalah tidak benar kerana ianya bercanggah dengan nas hadis nabi itu sendiri. Apa jua perkara yang bercanggah dengan hadis, maka secara automatik ditolak dan tidak diterima pakai. Persoalan pokoknya iaitu nama sebenar Imam Mahdi pun sudah bercanggah, apatah lagi perkara-perkara lain yang berkaitan dengan keghaiban dan kebangkitan Imam Mahdi versi Syiah, dengan sendirinya tersangkal.

Disediakan oleh:

Ben Hassan Ahmed