Wednesday, May 20, 2009

Selamat Hari Guru

Semoga Allah merahmati semua guru-guru yang ikhlas mengajar anak didiknya. Tidak ku ketahui sebelum ini akan erti sebuah kejerihan seorang cikgu setelah diri ini sendiri menjadi cikgu. Betapa susahnya untuk menyuruh anak murid menyebut sesuatu perkataan yang diajar melainkan selepas timbul segala urat saraf di leher dan terasa perit anak tekak terlebih dahulu. Oh cikgu! Adakah aku sedemikian di usia begitu? Semuanya itu membuatkan aku selalu bermuhasabah.

Ops...tinggalkan semuanya itu. Biarkan sahaja ianya bermain di benak ku. Zaujatee berkata dengan nada berseloroh, "bestnya jadi cikgu, ada hari guru lagi, doktor takde hari sambutan pun, misi (jururawat) ada pula." Aku tersenyum sahaja. Aku membalas, "alah, cikgu ni sebaris dengan jururawat ja, sama dengan buruh. Doktor lain lah, gaji pun mahal." "Eleh..." balas Zaujatee sambil tersengih.

Aku sendiri keliru mengapa guru memerlukan hari untuk disambut. Tetapi apa yang aku rasai sendiri pada hari tersebut adalah perasaan yang begitu tersentuh apabila murid-murid yang kita cubit, yang kita rotan tiba-tiba menghulurkan hadiah sambil tersengih-sengih. Tidak kurang juga yang datang bergurau senda dengan ku pada hari itu. Aku dapat rasakan keintiman yang kudus ini adalah kurniaan Ilahi yang tiada nilainya. Hubungan ini ku rasakan ada pertalian rohani. Disebalik cubit dan rotan ku tersemat kasih keramat. Bukan ingin berbangga, tetapi itulah yang dirasa. Semoga Allah memberi aku "thabat" dalam arena ini. Semoga aku tidak "futhur" dalam perjuangan memandaikan umat. Semoga Allah memberikan aku keikhlasan dalam menyampaikan ilmu akhirat. Ya Allah! terimalah doa ku.

Dikesempatan ini aku menyertakan beberapa gambar anak didik ku di peringkat Pra dan Tahun 1 yang sempat saya rakam. Biarkan gambar berbicara.













No comments: