Saturday, October 31, 2009

Hasbuna Allah

Sunday, September 06, 2009

Ramadhan Pertama di Yaman 1

Assalamualaikum. Sesekali bernostalgia ada bagusnya juga. Bukan apa, ia hanyalah untuk mengingatkan diri betapa peritnya perjalanan mencari ilmu di bumi iman dan hikmah. Hamparannya tidak semudah untuk dilangkah sewenang-wenang. Tetapi ia memerlukan mujahadah dan istiqamah agar hadaf dapat tercapai walau apa jua mehnah yang mendatang.

Sebagai 'orang baru' yang serba mentah dengan survival hidup di Yaman, berurusan dengan pihak Jawazat (Imigresen) adalah suatu petaka yang mesti dielak. Urusan di sana pada pandangan ku amat tirani jika dibandingkan dengan tanah air sendiri. Namun untuk meneruskan kelangsungan hidup berilmu di Yaman, semua mala dan segenap petaka mesti diharungi. Kalau ada pembaca yang rasa sudah cukup hebat dan "gangster", cuba-cuba lah berurusan di sana.

Pertama kalinya aku ditemani senior untuk membuat urusan. Sempat juga memperoleh beberapa Tauqi' (tandatangan) dari beberapa orang Fendem (pegawai Imigresen). Itu pun mengambil masa tiga hari. Tetapi oleh kerana kasihankan senior ku tadi ditambah pula dengan bulan Ramadhan, aku menyanggupkan diri untuk berseorangan membuat urusan di Jawazat. Ya Allah! Allah Musta'an. Allah sahaja tahu akan kejerihan ku ini.

Menurut seorang Fendem, untuk meneruskan kepada urusan seterusnya aku terpaksa mendapat 'restu' dari seorang pegawai kanan kementerian dalam negeri Yaman. Bilik puaka yang 'dihuni' oleh pegawai itu terasa seram sejuk tatkala aku menjenguk buat kali pertama. Muka beliau yang tiada garis-garis senyuman, membuatkan jiwa ini amat resah sekali.

Dengan nama Allah aku gagahi diri melangkah ke bilik berhantu itu. Salam penghormatan yang aku hulurkan dibalas dengan seribu kehambaran. Segala dokumen penting aku letakkan di atas meja beliau. Sambil mengerutkan dahi beliau meneliti dokumen aku. Selang beberapa detik beliau menoleh kepada ku. Dengan wajah yang kering beliau berkata, "BUKROO".

BUKROO (esok-esok), kalimah keramat yang selalu dilafazkan oleh beliau kepada mereka yang dahagakan segaris tandatangan hijau beliau.Ke'bukroo'an beliau bergantung kepada keinginan beliau. Seminggu, dua minggu, empat minggu, satu bulan, tiga bulan boleh diperlakukan sewenang-wenangnya oleh beliau. Aku di'bukroo'kan oleh beliau selama dua minggu. Allah sahaja yang tahu akan keletihan dan keperitan ini.

Namun setiap perkara ada penghujungnya. Ke'bukroo'an beliau juga bertemu dengan penghabisannya. Bagaimana ianya berakhir? Nantikan pada posting yang akan datang.


Tuesday, September 01, 2009

Ramadhan Kareem

Assalamualaikum. Selamat menjalani ibadah puasa dengan jayanya. Semoga Allah mengampuni kita pada Ramadhan tahun ini. Semoga Allah memberikan keizinan-Nya bersama dengan hamba-hamba-Nya yang soleh, dapat mengecapi nikmat beribadat di Lailatu al-Qadr. Amin Ya Allah.

Banyak perkara telah berlaku sebelum dan semasa Ramadhan yang ada sebahagiannya sedikit sebanyak mencalar emosi dan nurani. Di antaranya adalah penularan wabak H1N1. Ia begitu membimbangkan aku. Amat-amat membimbangkan. Bimbang ia akan terkena pada diri dan juga yang tersayang. Kerunsingan ku ini sehingga melupai terdapat satu kuasa yang lebih hebat dari wabak itu sendiri. Kuasa itu adalah Allah Taala. Selepas itu tatkala hati di rundung kerisauan, hati yang nestapa ini terus rujuk kepada Allah memohon doa perlindungan.

Disamping doa kepada Allah, ikhtiar cara lain turut diamalkan. Antara memakai topeng di khalayak, memakan pil habbatus-sauda' dan membaca doa. Semoga Allah melindungi diri ku ini dan orang-orang tersayang dari sebarang wabak.

Perkara lain yang sentiasa terkenang-kenang adalah pemergian Ustaz Asri Rabbani ke rahmatullah. Terkesima dan sebak tatkala membaca sms kiriman abg, mengkhabarkan akan berita ini. Beliau bukan saudara mara, bukan kenalan dan jauh sekali kalau dikatakan sahabat. Tetapi saya membesar dengan alunan-alunan merdu beliau. Oleh demikian setiap lantunan-lantunan indah beliau dari dahulu hingga sekara terlalu akrab dengan hati ini. Lantaran itu kehilangan beliau amat terasa sekali. Sehingga kini saya asyik terkenangkan beliau. Semoga Allah menempatkan beliau bersama dengan para solehin.

Seterusnya keletihan dan kelesuan belajar dalam bulan puasa. Kelas yang bermula dari 7.45 pagi hingga 2.15 petang tanpa henti menyebabkan tenaga mengalami kedaluwarsa. Otak yang pada mulanya segar mulai susah untuk mencerakin setiap perkataan yang diutarakan oleh para pensyarah. Mujur terdapat juga ruang untuk mentajdid dan me'refresh' sebelum menghadiri kelas GERKO pada sebelah petangnya pula.

Walaupun segala kejerihan yang dihadapi, ianya amat jauh sekali menyamai kejerihan yang dirasai oleh Rasulullah dan para sahabatnya dalam menyebarkan rahmat keseluruh alam. Kepayahan yang dirasai amat kerdil berbanding kerohokan Rasulullah dan para sahabat umpama setitis rona hitam di lautan yang luas. Semoga Allah menerima amalan puasa kita semua.

Friday, July 03, 2009

Penat Banget

Assalamualaikum...Kecapekan menjadikan minda tumpul dan pandangan tidak lagi berkritis. (walaupun aku sendiri tidak dapat memastikan sama ada pandangan ku ini kritis atau tidak, hehehehe...) Mujur ada Zaujatee. Senyuman dan sentuhan beliau berjaya melunturkan segala palitan lelah emosi dan kekejangan fizikal. Kesempatan untuk menarik nafas bagi melegakan diri ini terpaksa dicuri dikecelahan kesibukan. Kekadang kecergasan diri mengalami kedaluwarsa. Namun, mujur ada dua "Qurratul 'Aini" yang mentajdid semangat fizikal dan emosi agar terus menggagahi arus dunia yang "ta'ban".

Thursday, May 21, 2009

Entah lah!

Assalamualaikum. Terasa rajin pula diri ini untuk mengemas kini blog. Mungkin tidak tahu apa yang hendak dilakukan memandangkan Zaujatee pergi berkursus dan Zahratee bersama Tok Ma. Tiba-tiba sahaja idea ini datang.

Semalam saya menerima khabar gembira dari seorang teman, memberitahu kepada saya akan untung nasibnya apabila lamaran beliau diterima oleh pujaan hatinya. Jangan salah sangka! Buah hati yang dimaksudkan ialah syarikat penerbitan buku. Insya-Allah buku sulung beliau berupa sebuah travelog pencarian ilmu akan diterbitkan tidak lama lagi.

Sebelum kemanisan yang dikecapi beliau pada hari ini, sudah berapa dulang kepahitan yang terpaksa ditelan. Janji-janji manis yang dihamburkan oleh kekasih lama membuat diri beliau terseksa. Pelbagai alasan dan dalih diterima membuatkan beliau terasa berputus asa. Namun selepas berjaya memotivasikan diri, akhirnya beliau bangkit dengan kebengangan itu dan seterusnya berjaya meneguk secicip kemanisan ini.

Pernah dahulu beliau mengadu kepada saya akan hal ini. Tapi aku macam biasa akan bersarkastik dalam memberi pandangan, "Engkau Syed, apa ada? MA? Phd? Kau kerja apa? Pensyarah? Engineer? Doktor? Ustaz cabuk macam kau yang bergaji ciput, yang datang ntah dari mana, nak tulis travelong pasal menuntut ilmu mana lah diorang nak pandang. Lain lah kalau kau tu pelajar engineer yang tulis pasal agama. Fuh! Respek habis diaorang. Ataupun selebriti TV ataupun memiliki MA dan Phd." Syed hanya ber"kerang busuk" terkesima mendengar hamburan saya.

Semangnya begitu manusia. Suka sangat benda yang bombastik. Kalau engkau tak hebat, engkau tidak akan dipandang. Apabila tidak dipandang, susah untuk berurusan dengan manusia. Mungkin manusia yang hebat sahaja yang boleh terselamat di dunia ini. Mungkin betul pandangan Darwin "only the strong survive".

Sememang begitu hakikatnya. Pernah dahulu saya menghadiri bengkel penulisan anjuran syarikat penerbitan buku terkemuka. Saya ditanya oleh penceramah tersebut, "Saudara bertugas di mana?" Saya menjawab, "Saya bertugas di Pasir Putih, Kelantan." Beliau bertanya lagi, "Sebagai apa?" "Guru di sekolah agama rakyat," jawab saya ringkas. "Ooo..." jawab beliau.

Selang beberapa lama, penceramah tersebut bertanya pula kepada peserta yang lain. Apa yang menariknya perserta tersebut adalah seorang pelajar tahun akhir dalam bidang kejuruteraan dan akan menyambung pengajian keperingkat sarjana. Alangkah bangganya penceramah tersebut apabila mengetahu seorang bakal jurutera datang ke bengkel penulisan buku agama seterusnya mencalonkan beliau sebagai bakal penulis buku ngetop syarikat penerbitan buku tersebut.

Saya bukan dengki sesama manusia. Cuma terasa jengkel melihat dwistandard dalam melayani manusia. Bukan hanya terjadi kepada saya sahaja. Sekiranya saya melihat orang lain menerima nasib yang sama, saya juga terasa bengang dan marah. Mentang-mentanglah kita ini orang kebanyakan dan bukannya orang kenamaan, mereka layan lebih kurang.

Kejadian sebegini lebih ketara jika berada di hospital. Sebahagian jururawat biasanya amat bermuka-muka dalam melayan pesakit. Jika kita datang ke hospital perstatuskan seorang petani, nantilah kamu semua. Tetapi jikalau seseorang itu berstandard tinggi, mereka akan dilayan dengan layanan "A".

Pernah terjadi kepada Zaujatee apabila beliau pergi melakukan pemeriksaan antenatal. Beliau pernah dilayan sedikit kasar oleh jururawat. Tetapi bila mengetahui akan status Zaujatee, terus menukar topeng menjadi manusia yang paling peramah di atas muka bumi ini. Geram betul melihat gelagat jururawat tersebut.

Hakikatnya saya tidak tahu apa yang hendak ditulis. Lagi pun artikel ini dilabelkan sebagai "sengal-sengal" yang melambangkan kesengalan otak saya. Apa yang pasti persoalan ini selau menghantui fikiran saya. Bila lah agaknya golongan marhaen akan dilayan sama dengan golongan borjuis dan elit.

Wednesday, May 20, 2009

Selamat Hari Guru

Semoga Allah merahmati semua guru-guru yang ikhlas mengajar anak didiknya. Tidak ku ketahui sebelum ini akan erti sebuah kejerihan seorang cikgu setelah diri ini sendiri menjadi cikgu. Betapa susahnya untuk menyuruh anak murid menyebut sesuatu perkataan yang diajar melainkan selepas timbul segala urat saraf di leher dan terasa perit anak tekak terlebih dahulu. Oh cikgu! Adakah aku sedemikian di usia begitu? Semuanya itu membuatkan aku selalu bermuhasabah.

Ops...tinggalkan semuanya itu. Biarkan sahaja ianya bermain di benak ku. Zaujatee berkata dengan nada berseloroh, "bestnya jadi cikgu, ada hari guru lagi, doktor takde hari sambutan pun, misi (jururawat) ada pula." Aku tersenyum sahaja. Aku membalas, "alah, cikgu ni sebaris dengan jururawat ja, sama dengan buruh. Doktor lain lah, gaji pun mahal." "Eleh..." balas Zaujatee sambil tersengih.

Aku sendiri keliru mengapa guru memerlukan hari untuk disambut. Tetapi apa yang aku rasai sendiri pada hari tersebut adalah perasaan yang begitu tersentuh apabila murid-murid yang kita cubit, yang kita rotan tiba-tiba menghulurkan hadiah sambil tersengih-sengih. Tidak kurang juga yang datang bergurau senda dengan ku pada hari itu. Aku dapat rasakan keintiman yang kudus ini adalah kurniaan Ilahi yang tiada nilainya. Hubungan ini ku rasakan ada pertalian rohani. Disebalik cubit dan rotan ku tersemat kasih keramat. Bukan ingin berbangga, tetapi itulah yang dirasa. Semoga Allah memberi aku "thabat" dalam arena ini. Semoga aku tidak "futhur" dalam perjuangan memandaikan umat. Semoga Allah memberikan aku keikhlasan dalam menyampaikan ilmu akhirat. Ya Allah! terimalah doa ku.

Dikesempatan ini aku menyertakan beberapa gambar anak didik ku di peringkat Pra dan Tahun 1 yang sempat saya rakam. Biarkan gambar berbicara.













Sunday, April 26, 2009

Ya Allah! Berikanlah Hamba Kekuatan

Assalamualaikum. Artikel ini saya ambil dari laman sesawang Syeikh Abu Umair yang bertajuk "Tahukah Anda". Semoga Allah memberikan kekuatan untuk saya mengamalkannya.

Tahukah anda:

1) Jika anda membaca Al-Quran empat mukasurat sahaja (dua helai) setiap kali selepas sembahyang fardhu, anda dapat menamatkan 30 juz dalam masa sebulan.

2) Jika anda membaca Sahih Bukhari 11 mukasurat sahaja pada waktu pagi dan 11 mukasurat sebelum tidur, anda dapat menamatkan bacaan keseluruhan Sahih Bukhari dalam masa 2 bulan sahaja. (Cetakan Dar Al-Salam: 1300 halaman)

3) Jika anda membaca Mukhtasar Sahih Muslim 11 mukasurat sahaja pada waktu pagi, dan 11 mukasurat sebelum tidur, anda dapat menamatkannya dalam masa sebulan sahaja. (CetakanDar Al-Fikr: 670 halaman).

4) Jika anda membaca 45 hadis sahaja setiap kali selepas sembahyang fardhu, anda dapat menamatkan bacaan Bulugul Maram dalam masa seminggu.

5) Jika anda membaca 16 hadis sahaja setiap kali selepas sembahyang fardhu, anda dapat menamatkan bacaan Musnad Ahmad dalam masa setahun sahaja. (50 jilid)

6) Jika anda membaca kitab Syamail Al-Nabi S.A.W oleh Imam Tirmzi, sebanyak 27 mukasurat sehari, anda dapat menamatkannya dalam masa seminggu.

7) Jika anda membaca kitab Al-Adab Al-Mufrad oleh Imam Bukhari, sebanyak 15 hadis sehari, anda dapat menamatkannya dalam masa 3 bulan. Dan jika anda membacanya sebanyak 45 hadis sehari anda dapat menamatkannya dalam masa sebulan sahaja.

8) Jika anda membaca kitab Ahkam Al-Quran oleh Imam Syafie sebanyak 37 mukasurat setiap hari, anda dapat menamatkannya dalam masa 2 minggu.

9) Jika anda menghafal satu rangkap syair sahaja setiap hari daripada kitab Alfiyah Ibn Malik, anda dapat menghafal keseluruhan 1000 rangkap syair Alfiyah dalam masa tidak sampai 3 tahun.

10) Jika anda menghafal dua hadis sehari, anda dapat menamatkan hafalan keseluruhan hadis-hadis Umdatul Ahkam dalam masa 8 bulan.

11) Jika anda membaca dan menghafal satu persoalan feqah sehari, berserta dengan khilaf dan dalilnya, maka dalam tempoh 3 tahun anda sudah menguasai lebih 1000 masalah feqah.

12) Jika anda menghafal 2 rangkap syair sahaja sehari, anda dapat menghafal keseluruhan syair matan Al-Baiquniyyah (Mustalah Hadis) dalam masa tidak sampai 3 minggu.

13) Jika anda menghafal 2 hadis sahaja setiap hari secara konsisten bermula hari ini, percayalah 30 tahun akan datang anda boleh berbangga di hadapan cucu-cucu anda dengan berkata, “Atuk sudah menghafal lebih 20,000 hadis”.