Thursday, May 03, 2007

LAUTAN NELAYAN 2


Bersua kembali. Kali ini saya ingin berkisah tentang lautan nelayan siri kedua. Ia adalah pengalaman yang saya kira cerita syok yang mungkin ditunggu-tunggu oleh sesetengah sahabat. Namun tiada siapa tahu bahawa pengalaman syok yang diharapkan bertukar menjadi monyok. Ia adalah ketetapan yang Allah berikan kepada setiap hambanya yang terpaksa diakuri.

Pada 1 Mei 2007, saya berkesempatan untuk menyertai kumpulan untuk bercandat sotong. Huh! Hati ini girang tak terkata dengan ajakan abang saya lebih-lebih lagi bila membayangkan tangkapan sotong yang lumayan selumayan hasil candatan terdahulu. Terbayang-bayang grilled squid yang selalu di tunjukkan oleh Jamie Oliver. Saya tak sabar-sabar mempraktikkan segala tunjuk ajarnya.

Kami bertolak seawal jam 10.00 pagi selepas bekalan air tawar dan ais terisi penuh. Kali ini abang ipar dan anak saudara dari Segamat turut menyertai kami. Bot yang berjalan "slow and steady" gagah membelah ombak yang saya rasa ia lebih kencang dari trip saya yang dahulu.

Perjalanan mengambil masa satu jam setengah membuatkan diri ini terasa mengantuk sekali ditambah pula dengan goncangan lembut kekadang keras bot. Saya kira, rasa mengantuk yang saya alami ini adalah kesan dari ubat yang saya ambil untuk mengelak diri dari kemabukan. Akhirnya saya terkulai di bawah buritan bot dan karam dalam dunia kedua.

Satu jam setengah jam kemudian, kami tiba di destinasi. Kawasan tersebut telah ada beberapa bot yang juga bercandatan. Kami pun melabuhkan candat masing-masing sambil mengharap laba yang besar. Orang pertama berjaya mendaratkan sotong ialah abang ipar ku. Girang sekali ku lihat wajahnya. Aku seperti biasa bermain-main dengan sotong. Tubuhnya masih lagi putih bersih. Baru lah aku tahu bahawa sotong ni, kalau berada di dalam air, ia adalah lut sinar. Bila dibawa ke darat, warnanya mula bertukar menjadi merah secara beransur-ansur. Suasana kegirangan berterusan dengan pendaratan beberapa sotong lagi hasil tangan kawan-kawan lain. Aku sendiri berjaya mencandat sotong walaupun hanya seekor sahaja (Hehehee! Buat malu ja.)

Namun keriangan hanyalah sementara kerana jarang sekali sotong berjaya didaratkan. Ditambah pula kondisi badan yang mula tidak stabil. Kepala mula pening-pening, perut mula bergelora dan tekat terasa mual. Ya Allah! Awalnya aku kemabukan. Aku pun merebahkan badan dan bertenang. Ku gagahi juga diri ini agar tidak kemabukan. Ku tahani juga agar tidak kemuntahan. Beberapa kali aku menarik nafas segar, menenangkan emosi dan menstabilkan mata. Akhirnya aku dapat bertahan.

Masa makan dah tiba. Kali ini menu hanya sardin sahaja. Tetapi seleranya mengalahkan lauk seenak ayam percik. Makan di atas bot mengundang seribu pembuka selera. Berselera sekali aku makan pada kali ini (walau pun selalu berselera bila makan). Namun begitu aku agak sedih bila abang ipar tidak berpeluang menjamah hidangan ringkas-sedap lantaran kemabukan dahsyat yang dialaminya selepas berjaya mencandat seekor sotong.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Suasana hambar terus menguasai suasana kerana sotong tidak begitu galak menyangkut akan dirinya di mata-mata candat. Akhirnya malam mula menjelmakan diri. Pemandangan di daratan begitu menggerunkan. Langit begitu kelam dengan gerombolan awan. Hujan pula sibuk mencurah-curahkan akan dirinya menyembah bumi. Ya Allah! Jangan kau kirim hujan-hujan itu kepada kami. Itulah bisikan hati ku pertama kali bila terpandang suasana ribut di daratan.

Namun kuasa sang Pencipta tiada tandingan. Gumpalan awan berbondong-bondong menuju ke arah bot kami dan bot-not lain. Hujan mula berintik dan bertukar menjadi lebat. Angin yang tadi sepoi-sepoi menjadi deras, ombak pada mulanya mengulit rasa mula hempas-menghempas dan bot sebelumnya tadi umpama buaian mula bergoyang dengan kencang.

Tiupan deras, hempas-menghempas dan goyangan kencang mula susut dan di kesempatan itu saya menunaikan solat maghrib. Niat mencandat ingin diteruskan. Akan tetapi bila melihat juragan bot mula bersiap-siap, barang yang longgar di ketatkan, yang berselerak disusun-susunkan dan yang berterabur di satukan, maka timbul persoalan di dalam hati. Aku memberanikan diri membuka mulut. "kenapa bang?". Dengan muka yang tenang dia menjawab: "ribut". Frasa yang pendek tetapi amat menggerunkan lebih-lebih diri aku yang berada di tengah laut. Ya Allah! Lindungilah kami.

Sebentar kemudian ribut pun menyusul. Kali ini lebih dahsyat dari pertama. Bunyi pinggang mangkuk berlanggar sesama sendiri, membangkitkan lagi suasana seram dan gerun. Aku berpegang kejap pada tiang bot agar tidak terumbang ambing dilambung ombak. Sahabat-sahabat yang lain mula memfanakan akan diri mereka dengan merebahkan badan masing-masing di perut bot. Yang tinggal hanyalah aku dan juragan bot sahaja.

Bagi menenteramkan gelodak jiwa ini, aku cuba membuka mulut dengan mengajukan persoalan. "lama tak hujan ni?". Sengaja aku tak guna perkataan ribut. Dia menjawab, "ada la sejam dua". Huh! Lamanya. Aku tanya lagi, "kuat juga ya". Dia jawab " oh! Ini biasa je." Alhamdulillah! Maknanya ini adalah perkara biasa bagi pelaut. Maknanya ada lagi ribut lain yang sekencang ini. Ada lagi ombak lain yang menggunung ini. Riak mukanya yang tenang dan "cool" membuatkan hati ini tidak lagi sekacau tadi. Beberapa minit kemudian, hujan pun reda dan aktiviti mencandat diteruskan lagi. Kali ini aku tidur awal kerana terlalu mengantuk.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Keesokan harinya selepas solat subuh, aku sempat menjamah hidang makan malam yang tak sempat ku nikmatinya pada malam tadi. Sotong candat masak singgang. Huh! Banyak juga aku makan kali ini. Selepas itu, aku menyambung aktiviti mencandat walaupun aku merasa begitu tawar dah hambar. Dua jam kemudian kami bertolak pulang dengan hasil yang tak seberapa.

Walaupun begitu aku masih lagi diberi 3 ekor sotong berukuran 2 jengkal walaupun aku hanya mendapat seekor sahaja sotong. Itulah keadilan, kemuafakatan dan ukhuwah yang terjalin di atas bot. Bot yang hanya objek keras serta meloyakan dan menjanjikan seribu kemabukan, mempunyai seribu satu rahsia yang perlu disingkap dan dihuraikan agar ia menjadi iktibar dan teladan untuk kita semua. Apa-apa pun aku tetap bersyukur kepada Allah kerana masih lagi terselamat dari ribut walaupun tidak sekencang mana. Keduanya kerana Allah mengurniakan kesihatan sepanjang perjalanan walaupun ada seorang dua mengalami kemabukan. Dan yang ketiganya kerana berpeluang mencicip hasil candatan sotong walaupun aku begitu teruk sekali. Sekiranya diberi lain kesempatan, akan ku sahut cabaran ini walaupun aku kini mengalami kemabukan baru...... Mabuk darat. Wassalam.

No comments: