Saturday, April 28, 2007

KESAN INTERNET


Sudah lama aku menyedari akan hal ini. Kesan internet terhadap diri aku. Namun ku turut jua kemahuan hati untuk terus setia dengan internet. Banyak masa ku habiskan dengan melayan nafsunya. Semakin aku sedar tentang keasyikan ku, semakin asyik pula aku dengannya. Namun keasyikan aku bukanlah sampai ke tahap yang kritikal sehingga mengganggu keseimbangan mental ku. Namun begitu aku tetap menyedari bahawa internet amat mengasyikkan dan sekali gus merentap masa-masa emas ku yang sepatutnya ku manfaatnya dengan sebaiknya.

Antara kesan yang jelas yang dialami oleh diri ku adalah tabiat suka berkurung di dalam bilik. Ini merupakan fenomena biasa bagi penggila internet. Walaupun kedengaran bunyinya agak biasa, tetapi implikasi dari gejala 'berkurung' mendatangkan impak yang besar buat diri ku.

Antara kesan yang jelas ku nampak ialah, masa bersama bonda ku agak kurang. Masa ku bersamanya hanya terhad di waktu-waktu tertentu sahaja. Biasanya aku akan cuba sedaya upaya untuk makan dan solat bersama-sama. Walaupun begitu ia tidak begitu mencukupi buat bonda ku tercinta lebih-lebih lagi semenjak kepulangan ayahanda tercinta ke rahmatullah.

Photo Sharing and Video Hosting at Photobucket

Bonda memerlukan lebih masa untuk bersama. Banyak perkara yang ingin diperkatakan. Banyak topik yang ingin diperbincangkan. Terlalu banyak kenangan yang ingin dikenangkan. Banyak persoalan yang perlu diungkai dan banyak kekusutan yang perlu di perbetulkan. Namun begitu aku tetap berusaha untuk mengambil peluang di waktu-waktu bersama untuk berbual-bual dan bermuhasabah akan diri masing-masing. Aku perasan, setiap kali aku merancakkan perbualan, riak wajah bonda begitu ceria. Aku tidak mengerti perasaan bonda lebih-lebih lagi di usianya yang semakin senja. Mungkin suatu hari nanti aku mengerti ketika usia ku sebaya dengannya kelak.

Sebagai anak, aku harus mengerti anak kunci kerancakannya dalam perbualan. Dari pengamatan ku yang daif ini, bonda amat suka berbincang tentang persoalan hidup, permasalahan agama, politik dan imbauan kenangan. Setiap kali ku bersamanya, akan ku celahi perbualan kami dengan selitan dari perkara-perkara tadi. Dan hasilnya memang berbaloi. Bukan sahaja bonda rancak berbual, tetapi bertukar menjadi bersemangat. Begitulah tugas seorang anak, perlu mengisi kekosongan dan kesepian jiwa seorang bonda lebih-lebih lagi bila mencapai tahap "kibaru sinnan".

Tahap ini merupakan tahap kritikal bagi seseorang anak mengambil perhatian penuh kepada orang tuanya. Allah Subhanahu wa Taala berfirman dala surah al-Israk ayat 23-24 yang maksudnya:

"....dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan mu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun), Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayang mu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhan ku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik ku semasa kecil."

Inilah dia adab kita yang sebenarnya dengan kedua ibu bapa. Perhatian yang lebih perlu diberikan, terutama di senja usianya. Oleh itu, saya berpesan kepada diri ku dan kalian agar bersabar dan sentiasa memohon pertolongan serta hidayah dari Allah agar diberi kekuatan untuk menjaga orang tua semasa lanjut usianya. Bersabarlah! Bersabarlah! Bersabarlah! Moga kita tergolong dari kalangan orang-orang yang beriman.

Akan tetapi masa ku yang sepatutnya diisi dengan bonda, banyak dibazirkan di depan komputer. Internet meragut kesetiaan ku terhadap bonda, menjadikan aku pengikut setia internet dan kerajaannya. Namun begitu bukanlah kesalahan internet terletak 100% ke atasnya, akan tetapi sikap ku sendiri yang semakin leka dengan internet. Bukan masa ku bersama bonda sahaja disentap olehnya, malah masa ku bersama buku pun dimusnahkan olehnya.

Aku sedar, otak ku semakin celaru, buah fikiran ku tumpul, telahan ku menyimpang, keputusan ku mengelirukan serta perancangan ku kecelaruan. Ini adalah gara-gara sikap ku yang asyik dengan internet. Bukan kesalahan internet yang ku tekankan, tetapi kesalahan sikap ku yang poyo ini. Insya-Allah, semoga Allah mengubati jiwa ku yang semakin parah ini dengan linangan air mata kasih bonda tercinta. Allah Musta'an.

No comments: