Sunday, January 21, 2007

Sejarah Puasa 'Asyura'-Suatu Dongengan?


Agak mengecewakan sekiranya laman web sebuah persatuan ulama menyiarkan jawapan yang boleh menjejaskan institusi tersebut. Akibatnya artikel ini dijadikan hujjah bagi sesetengah manusia yang sememangnya suka kepada kelainan dalam agama. Sepatutnya perlu ada saringan dan pemeriksaan terhadap setiap jawapan yang diberikan terhadap persoalan yang diajukan. Berkenaan dengan artikel ni, saya memetik satu perenggan yang menghiris hati saya iaitu:

Para ulama yang ditanya, hanya menjelaskan tentang disunatkannya puasa pada hari itu. Mengapa? Kerana hari itu adalah hari pertolongan Allah kepada para nabi dalam menghadapi orang-orang zalim.
Pada hari Asyura, Ibrahim lepas dari api Namrud, Yunus keluar dari perut ikan, Musa bebas dari hambatan Firaun, dan Muhammad SAW selamat dari racun orang Yahudi. Kononnya, masih kata para ulama, ketika Nabi Muhammad SAW ke Madinah, baginda menemukan orang Yahudi berpuasa pada hari itu untuk mengenang kemenangan Musa. 'Aku lebih berhak untuk berpuasa daripada kalian,' kata Nabi SAW kepada orang-orang Yahudi. Maka kaum mukmin yang saleh di Malaysia selalu melakukan puasa Asyura sebagi ungkapan syukur atas kemenangan para Nabi.

Perkataan "konon" seolah-olah amalan berpuasa pada hari ‘Asyura’ suatu rekaan dan hadis berkenaan hak orang mukmin ke atas nabi Musa seolah-olah satu dongengan sahaja. Padahal hadis berkenaan kelebihan puasa ‘Asyura' telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh para ulama fikah. Sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang memerihalkan sentimen umat Islam di zaman Rasulullah ketika mana mereka melihat kaum Yahudi turut berpuasa pada hari ‘Asyura’ kerana meraikan pelepasan nabi Musa dari kezaliman firaun. Lalu Baginda s.a.w bersabda: "Kami paling berhak ke atas nabi Musa lebih dari kamu (wahai kamu Yahudi)!" lalu baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Hukum ini berjalan sebelum turunnya hukum berpuasa Ramadhan. ( Bukhari, kitab Puasa, bab Puasa Hari ‘Asyura’, bil: 4/213 dan Muslim, kitab Puasa Bab Puasa Hari ‘Asyura’ bil: 1125).

Hadith ini bukan rekaan yang layak disebut "konon" seolah-olah menggambarkan amalan berpuasa pada hari ‘Asyura’ oleh umat Islam Sunni suatu yang tidak berasas dan berdalil. inilah sebenarnya sejarah kenapa Umat Islam disunatkan berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan ianya langsung tiada kaitan dengan peristiwa kasyahidan cucunda Rasulullah s.a.w iaitu Saidina Hussain r.a. Di harap pihak berwajib yang mengendalikan soal-jawab dalam web e-ulama agar taraju' dalam perkara ini. Wallauha'lam.

1 comment:

Anonymous said...

Ya Anda benar..!
I agree... our scholars have to more carefully in their comments, especially in using "konon" when explaining Hadits Rasulullah SAW.
"Konon" artinya cerita dongeng.. masya Allah..

Wassalamu'alaikum