Thursday, May 11, 2006

Selamat Hari Buruh

Segala puji dan puja hanyalah kepada Allah raja sekalian makhluk. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para keluarganya, sekalian sahabatnya dan para pendukung kitab Allah dan Sunnah Nabi.

Rasanya tidak terlalu lewat untuk mengucapkan "Selamat Hari Buruh" kepada semua buruh yang Muslim khususnya dan bukan Muslim amnya. Hari Buruh yang disambut pada 1 Mei setiap tahun adalah satu penghargaan buat para buruh di seluruh dunia dengan mengisytiharkan cuti umum pada hari tersebut. Namun timbul pelbagai tanggapan baik pro mahupun kontra tentang sambutan hari tersebut dan juga perjuangan kaum buruh. Insya-Allah artikel yang tak seberapa ini cuba menyentuh beberapa isu yang berkaitan dengan Hari Buruh dan buruh.

Ada yang berpendapat bahawa 1 Mei adalah tarikh tertubuhnya pergerakan sulit Yahudi antarabangsa iaitu Pertubuhan Illuminati. Pertubuhan yang ditubuhkan pada 1 Mei 1776 di Jerman adalah bertujuan untuk merampas kuasa kerajaan melalui kuasa revolusi dan pemberontakan. Kebanyakan anggota Illuminati ini adalah pemodal-pemodal elit antarabangsa yang beraliran mistik Kabala yang bertuhankan "LUCIFER". Pengaruh mereka itu diperkembangkan melalui pertubuhan sulit Freemason di Eropah bernama 'Grand Orient Freemasonary'. Sebenarnya pertubuhan ini digunakan sebagai alat oleh Illuminati sungguhpun ramai daripada kalangan anggota Freemason itu tidak sedar bahawa pertubuhan mereka telah diresapi oleh anggota 'Illuminati'. (Sulaiman Nordin, Sejarah Pemikiran: Sumber Ilmu, Perbandingan Ideologi dan Orde Baru Dunia, cetakan Jun 1999, Pusat Pengajian Umum, UKM, m/s 103). Oleh itu 1 Mei yang diabadikan sebagai Hari Buruh Sedunia adalah bersempena penubuhan persatuan sulit Yahudi ini. Ini adalah pendapat yang memandang bahawa sambutan hari buruh seolah-olah merai tertubuhnya persatuan sulit Yahudi dan tidak harus dirayakan.

Ada juga yang melihat dari aspek yang berbeza, bahawa hari buruh adalah suatu hari yang mengiktiraf jasa, pengorbanan dan sumbangan yang telah dijanakan oleh kaum buruh dalam memakmurkan sesebuah negara. Di hari ini juga ada beberapa pihak melancarkan demonstrasi di jalanan menuntut hak keadilan untuk kebajikan para buruh seperti mana yang berlaku di Indonesia, Bangladesh, Jepun dan Taiwan. Perjuangan keadilan buruh banyak disokong oleh pergerakan Sosialis dan Komunis. Lambang bendera bekas negara sosialis Soviet Union iaitu sabit dan tukul adalah simbolik perjuangan golongan buruh atau 'working class'. Banyak teori-teori dalam fahaman komunis dan sosialis menyokong dan membela nasib kaum buruh sekiranya diselidiki. Ini jelas dalam buku-buku rujukan utama cendekiawan komunis iaitu Manifesto Komunis oleh Karl Marx, Sosialisme: Utopia dan Saintifik karya Frederick Engels dan lain-lain. Ikon bagi golongan buruh, Che Guevara selalu dikaitkan dengan pembela kaum buruh di samping lambang revolusioner sejagat. Beliaulah pembangkit semangat revolusi Cuba bersama-sama Fidel Castro berjuang membebaskan Cuba dari imperialisme atau penjajahan berslogankan anti-imperialis di samping melancarkan beberapa siri peperangan gerila terhadap penjajah. Di mana-mana demonstrasi yang melibatkan kaum buruh gambar beliaulah dijulang dan diangkat sebagai lambang perjuangan kaum buruh.

Dalam falsafah negara sempurna Plato (ideal state) golongan buruh di tempat pada kelas yang ketiga. Kelas pertama ialah kelas penasihat dan pembimbing (counsellors) iaitu para cendekiawan atau para ahli falsafah, yang kedua kelas pembantu (the state assistants) iaitu anggota tentera dan yang ketiga ialah kelas penghasil (money makers) yang terdiri daripada para petani, pengusaha, peniaga, tukang kasut, tukang kayu, tukang besi dan sebagainya (J.H Rapar, Falsafah Politik Plato, cetakan kedua 1993, Dewan Bahasa dan Pustaka, m/s 60). Falsafah Plato ini telah serapkan dalam minhaj ataupun metode pentadbiran komunis. Kesemua ini cuba dilaksanakan secara harmoni demi mewujudkan negara ideal dan juga utopia (syurga) yang diidamkan oleh mereka. Namun idea ini tidak berapa ideal bila mana ia dipraktikkan dalam politik dunia oleh pemimpin komunis dalam mentadbir negara seperti Lenin, Stalin, Trotksy, Mao dan Pol Pot. Terlalu banyak kekejaman yang berlaku dalam pemerintahan mereka di mana beratus ribu rakyat dibunuh tanpa belas kasihan semata-mata untuk mencapai utopia mereka. Kita boleh merujuk buku Malapetaka Darwinisma Terhadap Kemanusiaan karangan Harun Yahya yang menceritakan kekejaman pemimpin-pemimpin komunis yang mengamalkan falsafah Plato ini dan teori evolusi rekaan Charles Robert Darwin. Oleh itu komunisme dan sosialisme adalah bukan wadah sebenar yang memperjuangkan nasib para buruh. Maka apakah fahaman ataupun ajaran yang membela dan memperjuangkan nasib "working class" ini?


Islam Adalah Agama Rahmat Sejagat

Firman Allah Taala: "tidaklah kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan rahmat bagi sekalian alam". Ini adalah asas yang perlu difahami oleh seluruh manusia bahawa kedatangan nabi Muhammad ke dunia ini dengan membawa perundangan Allah yang dipanggil syariat adalah rahmat bagi seluruh makhluk. Islam tidak membawa kecelakaan dan kemunduran. Bukan membawa kongkongan yang bersifat membuta-tuli sehingga lari dari fitrah manusia itu sendiri. Bahkan menjaga kepentingan sesuai dengan fitrah semula jadi manusia itu sendiri. Rahmat yang bersifat sejagat meliputi setiap kelas dan golongan manusia baik pemimpin mahupun rakyat biasa. Islam tidak menafikan bahawa di sana wujud kelas sosial dalam sesebuah masyarakat tetapi Islam tidak memandang ia suatu yang penting kerana piawaian kemuliaan seseorang itu bukan bergantung kepada kelas di mana mereka berada tetapi ketakwaanlah jua yang menjadi kayu pengukur kemuliaan seseorang insan di sisi Allah Taala. Di dalam sebuah masyarakat ataupun negara perlu kepelbagaian golongan kelas sosial agar keharmonian dan kestabilan baik dari segi ekonomi, keamanan dan kerohanian menjadi seimbang dan saling berinteraksi antara satu sama lain dengan baik dan penuh harmoni.

Rasulullah menyifatkan orang mukmin dengan mukmin yang lain sama seperti satu bangunan yang saling kukuh mengukuhi antara satu sama lain seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Musa Assyaari. Rasulullah telah menyifatkan orang mukmin dengan mukmin lain seperti satu bangunan. Apabila kita memerhatikan kepada bangunan sudah tentu kita akan melihat bangunan itu terdiri daripada lantai, tiang, tangga, atap dan dinding. Kalaulah seluruh bahagian bangunan ingin menjadi tangga adakah wujud sebuah bangunan? Jika semua juzuk bangunan ingin menjadi atap siapakah pula yang ingin menjadi tangga, lantai dan dinding? Ini adalah satu perumpamaan yang cukup indah untuk kita fikirkan. Begitulah juga sekiranya kita memindahkan fenomena bangunan ini di dalam kehidupan manusia yang terdiri pelbagai kelas sosial yang saling berbeza. Di sana adanya petani, nelayan, pegawai kerajaan, ulama, doktor, guru, petani dan anggota keselamatan. Sekiranya seluruh individu dalam sesebuah masyarakat ingin menjadi petani, maka siapakah pula yang akan menjaga dan mentadbir negara? Jika semuanya ingin menjadi pegawai siapa pula yang ingin mencari sumber makanan dan menjaga keamanan negara? Ini adalah kelas sosial yang wujud secara semula jadi yang tidak perlu diperbesarkan isunya kerana isu yang lebih besar yang perlu dititik beratkan iaitu soal keimanan dalam mengurus dan mentadbir alam dengan berlandaskan syariat. Rahmat Islam yang bersifat menyeluruh sudah tentu akan memperjuangkan keadilan segenap lapisan masyarakat termasuklah kaum buruh itu sendiri. Akan tetapi perlulah ditegakkan negara Islam terlebih dulu sebelum semua keadilan dan kesejahteraan Islam dapat terlaksana. Dirikanlah dahulu Daulah Islamiyyah dalam jiwa setiap Muslim, insya-Allah Islam akan ditegakkan.

Golongan buruh atau pun pekerja mempunyai kedudukan yang istimewa yang diberikan oleh Islam sehingga golongan ini haram dibunuh sekiranya berlaku peperangan yang terpaksa menyerang perkampungan. Sabda Rasulullah S.A.W ketika baginda berpesan kepada Khalid bin Walid: “Janganlah kamu membunuh zuriat (wanita-wanita dan anak-anak kecil) dan a’siif’ (pekerja yang dibayar upah)”. (Hadis riwayat Ibnu Majah). Perkataan “A’siif” bermaksud para pekerja yang dibayar upah bagi sesuatu pekerjaan dan juga para petani dan para pekerja pembinaan. (Imran bin Selamat, Kejahilan Pengarah Filem Melayu, m/s 4). Jelas di sini bahawa golongan pekerja mempunyai status yang penting dalam negara kerana tanpa mereka pembangunan sesebuah negara akan terbantut. Islam telah pun lama mendahului fahaman-fahaman lain termasuk komunis dan sosialis dalam membela nasib golongan buruh. Oleh itu amat tidak wajar bagi umat Islam itu sendiri mencari wadah yang lain selain Islam bagi memperjuangkan hak golongan buruh ini.

Di samping itu pekerjaan yang dilakukan oleh buruh adalah semulia-mulia pekerjaan ini kerana sabda Rasulullah S.A.W: " tidak ada satu makanan pun yang dimakan oleh seseorang itu yang lebih baik daripada memakan hasil kerja tangannya. sesesungguhnya nabi Daud A.S memakan makanan hasil dari tangannya". (Hadis riwayat Bukhari). Oleh itu kedudukan buruh dalam negara Islam tidak dapat dipertikaikan lagi kepentingannya. Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha untuk menegakkan negara Islam di dunia ini dan bersama-sama memakmurkan bumi Allah yang diamanahkan oleh Nya kepada kita semua agar kita semua dapat mengacapi kebahagiaan dan kemakmuran negara. Semoga kita sempat untuk merasai Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Gahfur (negara yang elok sempurna dan Tuhan mengampuni).

Akhir kata Selamat Hari Buruh buat semua golongan pekerja. Semoga Allah memberkati kalian dan kita semuanya.

Disediakan oleh:
Ben Hassan Ahmed
Rabu, 11 Mei 2006.

1 comment:

Imran al-Malizi said...

Assalamu'alaikum.

Nub,
info penting ni.
ambe tak tau pun 1 Mei ni berkaitan dgn yahudi dll.syukran.

lagi satu, pasal tulisan syiah tu ambe 'repair' balik drp hok terjemahan buku WAMY tu.. ambe check balik drp buku asal.. terjemahannya ada yg salah terutamanya tarikh dan tahun wafat imam-imam syiah tu. mung check semula la kalau rajin.