Thursday, May 18, 2006

Selamat Hari Ibu

Hari ibu adalah perayaan untuk menyambut dan mengenang jasa serta pengorbanan seorang ibu. Hari ini disambut oleh seluruh umat manusia di serata dunia tetapi masanya berbeza mengikut tempat atau negara. Di Malaysia ianya disambut pada hari ahad minggu kedua pada bulan Mei sama seperti negara Amerika, Australia, Kanada, Brazil, Singapura dan lain-lain. Manakala kebanyakan negara Arab menyambut Hari Ibu pada 21 Mac. Pada Hari Ibu ini adalah masa yang paling sibuk di kebanyakan negara di dunia ini. Pada tahun 1973, Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat terhenti selama 8 hari disebabkan kebanjiran surat yang di pos sempena hari ibu ini. Rangkaian talian telefon juga sibuk pada hari kerana masing-masing mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat Hari Ibu kepada ibu mereka (http://en.wikipedia.org). Namun adakah kita semua mengetahui apakah asal usul perayaan Hari Ibu yang disambut oleh umat manusia di seluruh dunia?

Perayaan untuk memperingati ibu yang paling kuno berlaku pada zaman Greek lama. Perayaan ini timbul berpunca dari upacara pemujaan Rhea, ibunda para dewa yang juga isteri kepada Cronus, bapa para dewa. Pemujaan ini dilakukan di antara 15 Mac hingga 18 Mac (http://en.wikipedia.org/).

Setelah itu pada abad ke 17 bangsa Inggeris mula meraikan Hari Ibu bermula dengan memperingati hari yang mereka sebut sebagai Mothering Sunday bertujuan memperingati para ibu. Pada masa itu banyak golongan miskin di England bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman orang berada. Sebahagian mereka terpaksa bekerja di tempat yang jauh dari kediaman mereka dan menetap di rumah majikan masing-masing. Pada hari Mothering Sunday ini mereka diberi kesempatan oleh majikan masing-masing untuk bercuti dan pulang ke kampung halaman. Jadi di waktu inilah mereka mengambil peluang untuk bersama-sama dengan ibu masing-masing. Satu kek telah dikenali sebagai Mothering Cake sering disajikan dalam perayaan ini sebagai tanda peringatan dan peringatan bagi kaum ibu. Kemudian bila mana agama Kristian mula tersebar ke seluruh Eropah, peringatan Hari Ibu berubah dengan menghormati Mother Church, yang dianggap sebagai sumber kehidupan yang melindungi mereka dari kezaliman. Maka perayaan di gereja selepas itu bercampur dengan peringatan Mothering Sunday, dan sejak itu masyarakat menghormati ibu mereka sama dengan menghormati gereja (http://voanews.com/).

Di Amerika Syarikat, Julia Ward Howe telah mencadangkan idea sambutan Hari Ibu pada tahun 1872. Howe, penulis sajak Battle Hymn of the Republic berpendapat bahawa sambutan Hari Ibu merupakan dedikasi kepada keamanan yang telah di kecapi setelah hidup dalam puaka perang saudara Amerika yang berlaku pada 1861 hingga 1865. Namun usaha beliau untuk menjadikan Hari Ibu sebagai perayaan rasmi menemui kegagalan disebabkan beberapa faktor yang tidak diketahui puncanya.

Namun usaha beliau mendapat perhatian Anna Jarvis, seorang suri rumah muda dari kawasan pergunungan Appalacia di US. Namun usaha beliau tidak menemui kejayaan yang membanggakan sehinggalah anak beliau yang bernama Anna Jarvis menyambung perjuangan untuk menjadikan satu hari dalam setahun dikhaskan bagi memperingati para ibu. Dengan perancangan yang rapi di bawah kelolaan Anna Jarvis sendiri, sambutan hari ibu yang pertama yang disambut secara rasmi pada 10 Mei 1908 di sebuah gereja di Grafon, Virginia Barat, Amerika Syarikat (http://blackdog4kids.com/). Pada hari tersebut beberapa buah negeri di Amerika Syarikat diisytiharkan cuti bermula di sekitar tahun 1912. Pada tahun 1914 Presiden Woodrow Wilson mengumumkan bahawa Hari Ibu adalah cuti umum bagi Amerika Syarikat (http://en.wikipedia.org/). Dari situlah perayaan Hari Ibu di sambut oleh umat manusia di seluruh dunia.

Jelaslah di sini bahawa perayaan Hari Ibu sedikit sebanyak ada kaitannya dengan acara keagamaan bagi agama Kristian. Sambutan Hari Ibu pada asalnya disambut di gereja-gereja, tetapi sekarang ia telah berkembang sehingga menjadi suatu hari yang disambut oleh semua umat manusia tanpa mengira agama dan bangsa.

Ibu di sisi Islam mempunyai kedudukan yang istimewa sehingga meletakkan hukum bagi mereka yang menderhaka ibu-bapa di antara dosa-dosa besar setanding dengan syirik kepada Allah, membunuh diri dan penyaksian palsu. Rasulullah, ketika mana baginda ditanya mengenai amalan yang dicintai oleh Allah maka baginda bersabda di antaranya ialah berbakti kepada ibu-bapa selain solat di waktunya dan berjihad di jalan Allah. Pernah baginda menyuruh salah seorang sahabatnya agar tidak menyertai jihad disebabkan beliau masih mempunyai kedua ibu-bapa kerana berbakti kepada keduanya adalah juga dikira sebagai jihad.

Berbakti kepada kedua ibu bapa mempunyai fadilat yang besar. Dan berbakti kepada ibu lebih terutama sebagaimana penegasan yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W kepada seorang lelaki yang bertanya kepadanya mengenai orang yang paling layak untuk didampingi: " Daripada Abu Hurairah r.a berkata: telah berkata seorang lelaki; “Wahai Rasulullah! Siapakah manusia yang paling berhak untuk dibuat sebaik-baik pergaulan? Sabda (Rasulullah S.A.W) ibu mu, ibu mu, ibu mu kemudian bapa mu kemudian siapa di bawah kamu dan siapa di bawah mu." (hadis riwayat Muslim). Rasulullah juga menyifatkan seorang ibu sebagai semulia-mulia insan dengan mengatakan bahawa syurga itu terletak di bawah telapak kaki. Inilah kedudukan ibu di sisi Islam yang begitu mulia dan terpuji.

Dalam Islam juga tiada sambutan khusus untuk meraikan ibu. Tidak ada hari khusus untuk menyatakan ucapan terima kasih kepada ibu. Ini kerana kewajipan merai, berterima kasih dan mengenang jasa ibu adalah suatu kewajipan sepanjang masa. Sebagai umat Islam, kita diwajibkan mentaati, menghormati dan menghargai jasa ibu setiap masa dan ketika lebih-lebih lagi apabila usia mereka mula menjelang senja. Allah Taala mengharamkan kita berlaku biadab dan kurang sopan kepada kedua ibu-bapa lebih-lebih lagi kepada ibu kita. Allah telah mengharamkan ucapan "Ahh!!" dan apa jua perkataan yang menyinggung perasaan ibu. Ibnu Abbas pernah ditanya mengenai makna berbakti kepada ibu-bapa. Beliau menjawab cara berbakti itu terlalu banyak. Lalu beliau ditanya lagi apakah makna derhaka. Lalu beliau menjawab bahawa yang dikatakan derhaka itu yang sekecil-kecil perkara adalah apabila seseorang itu mengibas-ngibas kain atau bajunya maka habuk dari kain tersebut berterbangan mengenai ibu kita. Maka perkara itu pun sudah dikira sebagai derhaka.

Sebenarnya banyak cara untuk kita menyatakan penghargaan dan terima kasih terhadap ibu kita. Bukan sekadar lafaz "Selamat Hari Ibu" pada hari ibu dan memberi cenderahati sahaja, bahkan lebih dari itu. Allah telah memberi panduan bagaimana kita bergaul dengan ibu kita. Allah mewajibkan kita mentaati ibu dari segi perkataan mahupun dengan perbuatan. Dengan perkataan Allah mengharamkan kita berkata "ahh!!" ataupun menengking, menyergah dan segala ucapan yang menyakiti hati ibu. Semuanya itu hendaklah digantikan dengan ucapan serta perkataan yang sopan dan mulia. Firman Allah Taala: "hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan mu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun), Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayang mu" (al-Israak: 23). Di samping itu kita mestilah sentiasa berdoa untuk kebahagiaan dan kesejahteraan dengan mengharap semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ibu kita. Firman Allah Taala yang bermaksud: "doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhan ku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik ku semasa kecil" (al-Israak: 24).

Dari segi perbuatan, kita diwajibkan berbakti kepada ibu kita dengan mengurangkan beban kerjanya dengan menolong serta membantu dengan sedaya upaya. Selain itu semasa bersama dengan mereka hendaklah kita merendahkan diri kita agar ibu kita tidak terasa asing dan segan dengan status kita. Kebanyakan masyarakat sekarang ini tahap pendidikan dan intelek mereka terlalu maju berbanding tahap pendidikan ibu mereka. Oleh itu gunakanlah perkataan yang sesuai dengan tahap pendidikan mereka agar tidak timbul rasa rendah diri dan malu dalam diri mereka nanti. Gunakanlah perkataan yang mudah difahami agar beliau tidak terasa asing dan ketinggalan. Hinakanlah diri kita di hadapan ibu kita.

Banyak cara untuk kita melahirkan terima-kasih kepada ibu kita. Selain daripada hadiah berbentuk material dan berbentuk kerohanian seperti doa, kita juga perlu menjaga jasmani ibu kita dari sudut kesihatan, pemakanan dan aktiviti ibu kita. Sentiasa memantau tahap kesihatan ibu agar sentiasa unggul sehinggalah beliau pergi dijemput Ilahi dan juga mengawal pemakanan agar diet makanannya seimbang. Selain dari itu emosi juga perlu dikawal dan dijaga. Janganlah kita menimbulkan masalah sehingga membawa kerunsingan kepada beliau. Bimbang-bimbang kita tergolong dalam golongan mereka yang derhaka. Nauzubillah, semoga Allah melindungi kita semua. Wujudlah suasana harmoni dalam rumah tangga di antara pasangan masing-masing dan anak-anak dengan ibu. Sekiranya ada masalah timbul selesaikanlah masalah dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah dan bukan menjadikan emosi dan nafsu sebagai neraca timbangan.

Satu lagi perkara yang perlu difahami bahawa hari ibu yang sebenar bukanlah hari yang sambut oleh kebanyakan manusia di dunia ini. Hari Ibu yang sebenar adalah pada hari kelahiran kita atau kita panggil hari jadi kita. Pada hari ini ibu kita lah yang paling layak diraikan dan bukanlah kita yang sebenarnya. Pada hari tersebut ibu kita berada diambang maut. Berjuang dengan maut demi menyelamatkan satu jiwa yang dipanggil "kita". Kita wujud di atas ihsan seorang ibu. Ibu lah yang sudi melahirkan kita. Bukan setakat itu beliaulah yang menjaga kita dengan penuh susah payah dan kasih sayang. Firman Allah Taala: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua ibu-bapa mu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)" (Luqman: 14).

Ingatlah para sahabat sekalian bahawa janganlah kita terlalu seronok merayakan hari jadi kita kerana di sebalik hari itu terdapat seorang jiwa yang bernama ibu bergelut dengan maut. Kenanglah jasa ibu kalian bukan di hari Ibu sahaja tetapi kenanglah dia sepanjang hayat kita. Kita tidak perlu memilih cara yang selain dari Islam untuk menyatakan kecintaan kepada Ibu. Islam telah menyatakan cara yang jelas untuk berhubung dengan ibu-bapa kita.

Janganlah sesekali kita menganggap bahawa cara hidup Islam yang terdapat dalam al-Quran suatu yang kolot atau totok (ekstrem) dan mengamalkan sunnah nabi suatu yang konservatif (tertutup) bimbang-bimbang terjatuh dalam lembah kekufuran. Amat rugilah jika kita merasakan bahawa kita mengamalkan cara hidup barat suatu yang maju dan moden dan meninggalkan terus nilai agama dalam kehidupan kita. Islam tidak pernah menghalang kemajuan dan kemodenan tetapi kemajuan dan kemodenanlah yang selalunya menghalang Islam dari diamalkan. Islam bukanlah suatu agama yang direka-reka oleh manusia tetapi ia adalah agama yang dicipta oleh Pencipta manusia dan agama yang diredhai oleh Nya.

1 comment:

~HiMaWaRi~ said...

Everyday is 'Mother's Day',because mothers are so special and has a heart of an angel.