Monday, April 24, 2006

Hukum Penulisan Hadis


Hadis merupakan salah satu sumber dari sumber ilmu Islam selain dari al-Quran, ijmak dan qias. Ia adalah sumber yang kedua penting selepas al-Quran. Kitab-kitab yang paling masyhur ialah Sahih Bukhari dan Sahih Muslim bahkan seluruh ulama berpendapat bahawa Sahih Bukhari dan Sahih Muslim adalah kitab yang paling sahih selepas al-Quran (As-Sayuthi, Jalaluddin Abdul Rahman, Tadribu al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi, Dar al-Fikr, Beirut: Lubnan, m/s: 51.) dan diikuti selepas itu kitab-kitab Sunan iaitu Sunan Tarmizi, Sunan Abu Daud, Sunan Nasaie dan Sunan Ibnu Majah.

Namun begitu timbul persoalan mengenai hukum menulis hadis adakah ia suatu yang dibenarkan dalam Islam ataupun ia dilarang. Ada sesetengah ulama mengharuskan penulisan hadis dan tak kurang pula yang mengharamkannya. Insya-Allah tulisan ini akan mengupas secara ringkas mengenai hukum penulisan hadis –dengan pertolongan Allah Azzawajalla-.

Di sana terdapat hadis yang mana Rasulullah S.A.W melarang penulisan hadis atau pun percakapannya. Ini disebabkan Baginda S.A.W merasa bimbang percakapannya bercampur baur dengan al-Quran dan menimbulkan keraguan kepada pembaca. Sabda Rasulullah S.A.W:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَكْتُبُوا عَنِّي وَمَنْ كَتَبَ عَنِّي غَيْرَ الْقُرْآنِ فَلْيَمْحُهُ وَحَدِّثُوا عَنِّي وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ. ( صحيح مسلم، كتاب الزهد والرقائق، باب التثبت في الحديث وحكم كتابة الحديث رقم: 5326)

Dari Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Jangan kamu mencatat dari ku (percakapan atau hadis) dan barang siapa yang tulis dari ku selain dari al-Quran maka hendaklah dia memadamkannya. Riwayatkanlah hadis dari ku tanpa ragu-ragu dan barang siapa yang berdusta ke atas ku (mereka-reka hadis) secara sengaja maka tempahlah tempatnya di neraka".

Oleh itu para sahabat mengambil sikap untuk menghafal sahaja segala hadis-hadis yang didengar dari Rasulullah S.A.W tambahan pula kaum Arab sememangnya terkenal dengan bangsa yang kuat daya ingatannya. Jelasnya larangan penulisan hadis adalah di permulaan Islam kerana beberapa faktor yang telah disebutkan tadi dan kemudiannya ia telah dimansuhkan dengan beberapa hadis nabi yang akan diutarakan nanti.

Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

عَنْ يَحْيَى أَخْبَرَنِي أَبُو سَلَمَةَ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ إِنَّ خُزَاعَةَ قَتَلُوا رَجُلًا مِنْ بَنِي لَيْثٍ عَامَ فَتْحِ مَكَّةَ بِقَتِيلٍ مِنْهُمْ قَتَلُوهُ فَأُخْبِرَ بِذَلِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَكِبَ رَاحِلَتَهُ فَخَطَبَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَبَسَ عَنْ مَكَّةَ الْفِيلَ وَسَلَّطَ عَلَيْهَا رَسُولَهُ وَالْمُؤْمِنِينَ أَلَا وَإِنَّهَا لَمْ تَحِلَّ لِأَحَدٍ قَبْلِي وَلَنْ تَحِلَّ لِأَحَدٍ بَعْدِي أَلَا وَإِنَّهَا أُحِلَّتْ لِي سَاعَةً مِنْ النَّهَارِ أَلَا وَإِنَّهَا سَاعَتِي هَذِهِ حَرَامٌ لَا يُخْبَطُ شَوْكُهَا وَلَا يُعْضَدُ شَجَرُهَا وَلَا يَلْتَقِطُ سَاقِطَتَهَا إِلَّا مُنْشِدٌ وَمَنْ قُتِلَ لَهُ قَتِيلٌ فَهُوَ بِخَيْرِ النَّظَرَيْنِ إِمَّا أَنْ يُعْطَى يَعْنِي الدِّيَةَ وَإِمَّا أَنْ يُقَادَ أَهْلُ الْقَتِيلِ قَالَ فَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْيَمَنِ يُقَالُ لَهُ أَبُو شَاهٍ فَقَالَ اكْتُبْ لِي يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ اكْتُبُوا لِأَبِي شَاهٍ فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ قُرَيْشٍ إِلَّا الْإِذْخِرَ فَإِنَّا نَجْعَلُهُ فِي بُيُوتِنَا وَقُبُورِنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا الْإِذْخِرَز. (صحيح مسلم، كتاب الحج، باب تحريم مكة و صيدها وخلاها وشجرها ولقطتها، رقم: 2415)

Maksudnya: Dari Yahya "Abu Salamah telah memberitahu ku bahawa beliau telah mendengar Abu Hurairah berkata bahawa Khuza'ah telah membunuh seorang lelaki dari bani Laith pada tahun pembukaan Makkah disebabkan pembunuhan seseorang dari kalangan mereka (khuza'ah). Maka Rasulullah telah dikhabarkan perkara tersebut lalu Baginda menaiki tunggangannya lantas memberi ucapan dengan bersabda: "sesungguhnya Allah azzawajalla telah menghalang kota Makkah dari serangan tentera gajah dan memberikan kekuasaan kepada Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, ketahuilah bahawasanya ia (kota Makkah) tidak dihalalkan (pembunuhan) kepada seseorang pun sebelum dari ku, dan sesekali tidak akan halal seseorang pun selepas ku. Ketahuilah bahawasanya ia dihalalkan bagi ku suatu tempoh di siang hari (di hari pembukaan kota Makkah). Ketahuilah bahawasanya ia pada masa sekarang ini telah menjadi haram. Tidak boleh memotong durinya (duri pokok di tanah Haram Makkah) serta tidak boleh dicantas pokok-pokoknya serta jangan mengutip barangan tercicir kecuali bagi mereka yang ingin mengumumkannya. Barang siapa di kalangan mereka terdapat mangsa pembunuhan maka dia mempunyai dua pilihan sama ada diberikan diat ataupun diqisaskan (balas bunuh)". Abu Hurairah berkata: " tiba-tiba datang seorang lelaki dari Yaman yang digelar sebagai Abu Shah, lantas beliau berkata: "tuliskan kepada ku wahai Rasulullah! Lalu baginda bersabda: "tulislah buat Abu Shah!!. Maka berkata seorang lelaki dari bangsa Quraisy: "kecuali suatu pokok Izkhir, sesungguhnya kami menggunakannya untuk rumah-rumah dan kubur-kubur kami." Lalu Rasulullah bersabda :"kecuali izkhir".

Dan juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Imam Ahmad iaitu:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ كُنْتُ أَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيدُ حِفْظَهُ فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ وَقَالُوا أَتَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ تَسْمَعُهُ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَشَرٌ يَتَكَلَّمُ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَا فَأَمْسَكْتُ عَنْ الْكِتَابِ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَوْمَأَ بِأُصْبُعِهِ إِلَى فِيهِ فَقَالَ اكْتُبْ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا يَخْرُجُ مِنْهُ إِلَّا حَقٌّ. (صحيح مسلم، كتاب الحج، باب تحريم مكة و صيدها وخلاها وشجرها ولقطتها، رقم: 2414)

Maksudnya: Dari Abdullah bin Amru berkata: "Dahulunya aku pernah menulis setiap perkara yang aku dengar dari Rasulullah S.A.W dan ingin menghafalnya lantas kaum Quraisy menegur ku dengan berkata: " adakah kamu menulis setiap perkara yang kamu dengar dari Rasulullah S.A.W manusia yang bercakap dalam keadaan marah dan redha (tenang) lantas aku berhenti sekejap dari menulis (al-Quran) sehingga aku bertanya perkara ini kepada Rasulullah S.A.W lantas baginda mengisyaratkan jarinya ke arah mulutnya lalu berkata: "Tulislah! Demi yang jiwa ku yang berada dalam genggamannya tidaklah keluar darinya(mulut) kecuali yang hak".

Di antara hadis-hadis nabi yang lain adalah seperti berikut:

1. hadis riwayat al-Bukhari:

عَنْ أَبِي جُحَيْفَةَ قَالَ قُلْتُ لِعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ هَلْ عِنْدَكُمْ كِتَابٌ قَالَ لَا إِلَّا كِتَابُ اللَّهِ أَوْ فَهْمٌ أُعْطِيَهُ رَجُلٌ مُسْلِمٌ أَوْ مَا فِي هَذِهِ الصَّحِيفَةِ قَالَ قُلْتُ فَمَا فِي هَذِهِ الصَّحِيفَةِ قَالَ الْعَقْلُ وَفَكَاكُ الْأَسِيرِ وَلَا يُقْتَلُ مُسْلِمٌ بِكَافِرٍ (صحيح البخاري، كتاب العلم، باب كتابة العلم، رقم:108)

Maksudnya: Dari Abu Juhaifah, dia berkata: Aku bertanya kepada Ali bin Abi Talib: "adakah di sisi kamu terdapat satu kitab"? beliau menjawab: "tidak ada kecuali kitab Allah atau kefahaman yang diberikan oleh orang Islam atau lembaran ini". Aku bertanya: "apa yang terdapat dalam lembaran ini?". Beliau menjawab, "tentang Diat, pembebasan tawanan dan hukum tidak dibunuh orang Islam yang membunuh orang kafir".



2. Hadis riwayat al-Bukhari:

أَبُو هُرَيْرَةَ يَقُولُ مَا مِنْ صْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَدٌ أَكْثَرَ حَدِيثًا عَنْهُ مِنِّي إِلَّا مَا كَانَ مِنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو فَإِنَّهُ كَانَ يَكْتُبُ وَلَا أَكْتُبُ (صحيح البخاري، كتاب العلم، باب كتابة العلم، رقم:110)

Maksudnya: Abu Hurairah berkata tiada di antara sahabat-sahabat nabi S.A.W seorang pun yang lebih banyak hadis dari Rasulullah dari ku kecuali apa yang terdapat pada Abdullah bin Amru, kerana dia menulis (hadis) dan aku tidak menulisnya.

3. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Nasaie:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَتَبَ إِلَى أَهْلِ الْيَمَنِ كِتَابًا فِيهِ الْفَرَائِضُ وَالسُّنَنُ وَالدِّيَاتُ وَبَعَثَ بِهِ مَعَ عَمْرِو بْنِ حَزْمٍ فَقُرِئَتْ عَلَى أَهْلِ الْيَمَنِ هَذِهِ نُسْخَتُهَا مِنْ مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم. (سنن النسائي، كتاب القسامة، باب ذكر حديث عن عمرو بن حزم في العقول واختلاف، رقم: 4770)

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W (menyuruh jurutulis baginda) menulis satu kitab untuk ahli Yaman yang mengandungi ilmu pewarisan harta, sunah-sunah dan diat. Rasulullah telah mengutusnya bersama-sama Amru bin Hazm lalu dibacakan kepada ahli Yaman, "ini adalah naskhah dari nabi Muhammad S.A.W.

Hadis-hadis yang telah di ketengahkan tadi menunjukkan keharusan menulis hadis di mana penulisan hadis telah pun berlaku pada zaman nabi dan pada masa sahabat. Percakapan, perbuatan serta pengakuan nabi adalah hadis dan ada sesetengah sahabat mencatat hadis-hadis nabi dalam apa jua bentuk tadi dalam bentuk penulisan yang di tulis di lembaran-lembaran atau pun dalam bentuk surat yang diutus kepada pemerintah-pemerintah dunia.

Orang yang mula-mula bertanggung jawab menulis dan mengumpulkan hadis ialah Ibnu Shihab al-Zuhri (124 H) dengan arahan khalifah Umar bin Abdul Aziz dalam bentuk yang tersusun dan rasmi. Beliaulah orang yang menghimpunkan hadis-hadis dari penduduk Madinah dalam bentuk yang menyeluruh kemudian di kemukakan kepada khalifah Umar bin Abdul Aziz.
(
Al-Ahdal, Hasan Muhammad Maqbuli, Mustalah Hadis wa Rijalihi, Maktabah Jeel Jadid, Sana'a: Yaman, 2001, m/s 60.)

Imam al-Zuhri atau nama sebenarnya Abu Bakar Muhammad bin Muslim bin Ubaidillah bin Abdullah bin Shihab al-Quraisyi al-Zuhri. Beliau merupakan salah seorang tabiin dari Madinah yang faqih, alim dan ahli hadis dan beliau sempat bertemu dengan 10 orang sahabat serta mengambil hadis dan ilmu dari mereka di antaranya ialah Anas bin Malik, Zaid bin Thabit dan Abdullah bin Umar. Sekumpulan ulama mengambil riwayat dari beliau di antaranya Imam Malik bin Anas, Sufyan bin Uyainah dan Sufyan al-Thauri. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 124 hijrah ketika berusia 72 tahun. ( Manna' Qattan, Tarikh Tasyri' al-Islamiy, Muassasah Risalah, Beirut: Lubnan, 1997, ms 251.)

Dari dalil-dali yang dinyatakan di atas dapatlah diketahui bahawa tegahan penulisan hadis adalah di permulaan Islam kerana dibimbangkan bercampurnya ayat al-Quran dengan hadis nabi. Tetapi apabila para sahabat sudah dapat membezakan di antara keduanya maka ia di benarnya. Imam Nawawi rahimahullah telah menjelaskan perkara ini dalam kitabnya Sahih Muslim bi Syarhi Nawawi ketika menghuraikan hadis "tuliskan untuk Abu Shah!" dengan berkata:

Sabda Rasulullah S.A.W: (tuliskan untuk Abu Shah) ini adalah keterangan mengenai keharusan menulis ilmu selain al-Quran. Contoh hadis Ali S.A.W : "tidaklah apa di sisinya melainkan terdapat pada lembaran ini" dan juga contoh hadis Abu Hurairah: "Abdullah bin Umar menulis (hadis) dan aku tidak menulis (hadis)". Telah datang hadis-hadis melarang penulisan selain dari al-Quran. Sebahagian ulama Salaf melarang penulisan ilmu dan sebahagian besar ulama Salaf pula mengharuskannya. Kemudian ulama selepas dari mereka (salaf) itu telah bersepakat mengenai keharusannya (menulis hadis).

Menjawab mengenai hadis larangan (penulisan hadis) dengan dua jawapan; pertama: ia dimansuhkan. Dahulunya tegahan dijalankan pada setiap orang sebelum pewartaan al-Quran. Ditegah menulis selain darinya (al-Quran) kerana dikhuatiri bercampur baur dan menyerupai al-Quran. Apabila sudah diwartakan dan bebas dari ancaman maka ia di izinkan (untuk ditulis). Kedua: Sesungguhnya larangan ini adalah larangan tanzih (makruh) bagi sesiapa yang kuat hafalannya serta orang yang kurang dipercayai terhadap penulisan dan diizinkan bagi mereka yang tidak kuat hafalannya. Wallahualam. (An-Nawawi, Mahyuddin, Sahih Muslim bi Syarhi Nawawi, Dar al-Ma'rifah, Beirut: Lubnan, 2004, jilid 9, m/s 133.)

Mengenai hadis larangan menulis hadis seperti yang dijelaskan di sebelum ini iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri yang bermaksud: : "Jangan kamu mencatat dari ku (percakapan atau hadis) dan barang siapa yang tulis dari ku selain dari al-Quran maka hendaklah dia memadamkannya. Riwayatkanlah hadis dari ku tanpa ragu-ragu dan barang siapa yang berdusta ke atas ku (mereka-reka hadis) secara sengaja maka tempahlah tempatnya di neraka", Imam Nawawi Rahimahullah telah menjelaskannya dalam kitabnya ketika menghuraikan hadis ini iaitu:

Sabda Rasulullah S.A.W: ("Jangan kamu mencatat dari ku (percakapan atau hadis) dan barang siapa yang tulis dari ku selain dari al-Quran maka hendaklah dia memadamkannya"). Al-Qahdi (Qadhi I'yaad) berkata: "telah berlaku banyak percanggahan di antara salaf di kalangan sahabat dan tabiin mengenai penulisan ilmu (hadis), banyak di kalangan mereka memakruhkannya dan lebih ramai lagi yang mengharuskannya. Kemudian para ulama Islam bersepakat mengharuskannya (penulisan hadis) namun masih lagi berlaku perselisihan mengenainya. Mereka berselisih tentang kehendak hadis ini yang mengandungi larangan (larangan menulis hadis). Dikatakan: ia (hadis mengenai larangan menulis hadis) adalah tepat bagi sesiapa yang kuat ingatan dan mereka yang dibimbangkan kepercayaan dalam penulisan bila dia menulis (hadis). Di bawakan hadis-hadis yang mengandungi keharusan (menulis hadis) bagi mereka yang tidak kuat ingatannya seperti hadis: "Tuliskanlah untuk Abu Shah", hadis lembaran Ali r.a dan hadis surat kiriman Amru bin Hazm yang mengandungi ilmu pewarisan, sunah-sunah nabi serta bab diat (denda bagi kesalahan jenayah). Juga hadis tentang surat kiriman mengenai sedekah dan nisab-nisab zakat yang diutus oleh Abu Bakar r.a kepada Anas r.a ketika beliau pergi ke Bahrain serta hadis Abu Hurairah bahawasanya Ibnu Amru bin A's menulis (akan hadis) sedangkan aku (Abu Hurairah) tidak menulis dan hadis-hadis yang selain dari itu. Dikatakan bahawa hadis tegahan (dari menulis hadis) telah dimansuhkan dengan hadis-hadis ini dan dibimbangkan bercampur aduk dengan al-Quran dan apabila aman dari perkara tersebut maka ia diizinkan untuk ditulis. Dikatakan juga larangan menulis hadis bersama al-Quran pada satu muka surat yang sama dengan ini para pembaca akan terkeliru pada muka surat yang sama. Para ulama berkata bahawa sesetengah sahabat dan tabiin memakruhkan penulisan hadis dan digalakkan mengambil hadis-hadis dari mereka secara hafalan seperti mereka mengambilnya secara hafalan. Tetapi bila keraguan mulai berkurang dan para ulama bimbang hilangnya ilmu maka ianya disusun (ditulis). Orang yang mula-mula menyusun hadis ialah Ibnu Shihab al-Zuhri dengan arahan Umar bin Abdul Aziz. Selepas itu banyaklah penyusunan (hadis) dan karangan-karangan dan hasil dari itu banyak sekali kebaikan. Alhamdulillah, wallahualam. ( An-Nawawi, Sahih Muslim bi Syarhi Nawawi, jilid 18, m/s 329.)

Jelas di sini bahawa hadis larangan menulis hadis telah dimansuhkan dengan hadis-hadis menunjukkan keharusan menulis hadis nabi. Namun begitu hukumnya masih lagi makruh bagi mereka yang kuat hafalannya serta bagi mereka yang dikhuatiri berlaku kesilapan ketika menulis hadis. Para ulama telah bersepakat tentang keharusan menulis hadis bahkan digalakkan lagi kerana ia dapat menjaga salah satu sumber dari sumber-sumber ilmu Islam agar tidak hilang dan dilupakan. Wallahualam.

Susunan:
Ben Hassan

1 comment:

Imran al-Malizi said...

Alhamdulillah. Ok lah Mat Noob, kita akan mengadakan hubungan dua hala (yaman -malaysia)bermula hari ini.
Kawe lama doh nak contact mu psl artikel ni .. sbb yg sham ambik tu dah hilang.. laptop dia diserang virus