Thursday, April 27, 2006

Kebebasan Sebenar

?
Muqaddimah

Beberapa hari lepas bila bangun dari tidur selepas subuh (solat subuh dahulu baru tidur balik) saya buka radio Ikim.fm. Bicara paginya ada membincangkan persoalan kebebasan individu di dunia ini. Maka juruhebah radio membuka talian kepada orang ramai untuk bertanyakan pendapat mengenai tajuk ini. Terasa juga poyo diri ini untuk membuat panggilan bagi sama-sama berkongsi pendapat. Tetapi memandangkan kredit telefon bimbit pun kurang, jadi saya pendamlah dahulu idea yang tak seberapa ini dan diluahkan dalam blog. Ini blog saya jadi saya boleh sahaja meluahkan pandangan saya. Anda suka atau tidak, setuju atau tidak itu anda punya pasal (pinjam ayat Faisal Tehrani).
Insya-Allah artikel yang tak seberapa ini akan diolah dengan bahasa yang mudah agar dapat difahami oleh seluruh lapisan masyarakat sama ada dia itu pelajar sekolah, cikgu Pasti, jaga pencen, tukang jahit, cikgu-cikgu universiti mahu pun pelombong bijih. Kerana hak untuk tahu atau berilmu bukan hanya hak golongan intelektual tapi ia adalah hak seluruh manusia selagi mana mereka mahu belajar.
Dunia yang semakin global dan tiada sempadan menjadikan manusia berfikiran jauh dan melangkaui batasan. Manusia yang dahulunya dibelenggu oleh sesuatu sistem cuba merungkaikan belenggu ini demi perjuangan kemanusiaan yang dilaungkan oleh mereka. Bermula detik evolusi Perancis yang telah membebaskan para petani dari belenggu sistem feudal yang menjadikan mereka kain mengalas kaki bagi tuan tanah. Maka revolusi Perancis yang tercetus di sekitar 1789 telah mengembalikan kebebasan manusia yang sebenar dalam konteks barat dan seterusnya menidakkan kekuasaan tuan tanah yang terdiri dari para paderi terhadap para petani. Begitu juga dengan revolusi perindustrian di Eropah yang menyaksikan para petani membebaskan diri mereka dari kekangan tuan tanah dan mula beralih kepada sektor perindustrian. Dari situlah kebebasan individu mula tercapai dan manusia mula mengacapi kebahagiaan hasil dari kebebasan dan kemajuan.
Islam telah melangkaui proses pembebasan hak individu sejak pengutusan nabi Muhammad S.A.W hingga ke hari ini. Nabi Muhammad telah memperjuangkan kebebasan individu dari mengabdikan diri sesama makhluk kepada mengabdikan diri kepada yang selayaknya iaitu Allah Taala. Apabila seseorang itu mengucap dua kalimah syahadah, maka hak individu adalah sama dengan individu lain walaupun berbeza dari segi keturunan, pangkat dan bangsa. Hak kesamarataan yang bawa oleh Islam telah menjadikannya kuat hingga dapat menjatuhkan dua blok kuasa besar pada ketika itu iaitu Rom dan Parsi. Namun begitu terdapat pelbagai pendapat yang menganggap agama Islam adalah suatu agama yang menyekat kebebasan individu untuk bersuara, beragama dan bersosial. Inilah suatu usaha jahat yang telah dilancarkan kepada Islam semata-mata perasaan jahat serta berbaur dengki terhadap agama Allah yang maha suci ini.


Adakah Manusia Memerlukan Peraturan?

Ada yang berpendapat bahawa peraturan dapat mengawal manusia agar tidak melampaui batas terhadap hak individu lain. Dan ada juga yang menganggap bahawa sistem peraturan hanyalah mengganggu seseorang itu mengacapi hak kebebasan dirinya lantas cuba memisahkan dirinya dari ruang lingkup sistem tersebut. Secara asas apabila ditanya kepada seseorang adakah perlu diadakan sistem yang sistematik terhadap sesuatu perkara agar perjalanan sesuatu benda itu berjalan dengan lancar dan dapat mencegah faktor-faktor luar yang cuba menggugat keharmonian yang ada dalam sistem tersebut tentu sekali jawapannya adalah ya. Sekiranya matahari diciptakan Sang Pencipta cuba lari dari sistem yang telah ditentukan olehnya kerana cuba ingin mengacapi kebebasannya untuk bergerak maka hangus atau bekulah bumi ini. Matahari yang kita menganggap suatu jirim yang tidak ada kehidupan padanya mempunyai sistem yang tertentu agar tidak tergelincir dari sistemnya yang asal, maka kita yang mengaku makhluk yang sempurna ini tiba-tiba tidak memerlukan sistem ataupun peraturan yang mengawal setiap gerak-geri dan tindakan kita di dunia ini. Tidak adillah Sang Pencipta meninggalkan kita terumbang ambing tanpa sistem yang mengawal perjalanan hidup kita sedangkan matahari yang hanya berkebolehan memancarkan cahaya dan haba kepada bumi mempunyai sistem dan peraturan perjalanannya yang cukup hebat.

Adakah Manusia Bebas Memiliki Dirinya?

Ini adalah persoalan yang harus di perhati dan diamati. Mungkin sesetengah orang menganggap bahawa setiap individu berhak mengacapi kebebasan dirinya dalam segala aspek. Individu yang belum merasai kebebasan yang mutlak belum dianggap seorang yang berjaya dan moden. Perlulah diingati bahawa setiap benda yang ada dalam dunia ini tidak ada kebebasan yang mutlak. Semua benda mesti ada suatu sistem agar ia dapat bergerak dengan lancar. Sebuah komputer memerlukan sistem operasi (OS) untuk beroperasi dan manusia tidak sewenang-wenang melanggar sistem yang telah diatur oleh pengatur cara komputer. Sekiranya ada individu yang cuba memandai-mandai dalam mengoperasi komputer maka ia terdedah kepada kemusnahan. Dari contoh ini kita dapat tahu bahawa setiap benda yang ada di dunia ini tidak memiliki kebebasan yang mutlak. Seseorang pengguna komputer bebas menggunakan komputernya tetapi mestilah mengikut panduan dan juga manual yang telah ditetapkan oleh syarikat pengeluar komputer ataupun pengatur cara komputer. Jelaslah di sini bahawa setiap individu berhak memiliki kebebasan tetapi masih dibatasi oleh faktor-faktor tertentu.
Begitu juga dengan manusia. Adakah manusia 100% berhak terhadap dirinya? Adakah manusia berhak memilih untuk tidak tidur selama 10 hari?. Adakah manusia berhak memakan 20 kilo daging kambing sehari setiap hari semata-mata merealisasikan kebebasan haknya? Adakah manusia berhak menukarkan sistem badan dirinya dengan cuba memindahkan ginjal ke tempat paru-paru? Mungkin persoalan-persoalan ini dianggap bodoh dan picisan. Namun kita harus mengerti bahawa setiap jawapan dari persoalan yang dilontarkan tadi secara sedar atau tidak sedar telah menidakkan kebebasan hak seseorang. Tiada manusia yang mampu dan berhak menukar sistem tubuh manusia yang telah disediakan oleh Sang Pencipta untuknya. Ini kerana setiap tubuh manusia dilengkapi dengan pelbagai sistem yang disediakan oleh Pencipta adalah bertujuan untuk menjaga keharmonian manusia itu sendiri. Sistem pernafasan ditugaskan untuk membawa oksigen ke darah dan mengeluarkan karbon dioksida dan wap air dari tubuh. Sistem pencernaan berperanan sebagai penyedia bahan-bahan makanan untuk diserap supaya bahan-bahan ini dapat digunakan oleh sel-sel tubuh. Sistem saraf berfungsi sebagai pengalir utusan rangsangan saraf untuk menyelaraskan perhubungan di antara sesuatu binaan dengan yang lain. Sistem perkumuhan mempunyai tugas untuk menyingkir bahan yang tidak diperlukan oleh tubuh sama ada dalam bentuk toksin dan lain-lain. Manakala sistem pembiakan pula sebagai penerus dan penyambung zuriat manusia agar terus wujud di dunia ini. Kesemua sistem ini beroperasi mengikut ketetapan dan peraturan serta landasan yang betul agar kesejahteraan tubuh badan manusia dapat dijaga.
Dari sudut lain pula kita dapat lihat bahawa manusia terdiri daripada beberapa sistem yang mengurus, menjaga serta mengawal kondisi tubuh manusia. Jika ada satu sistem yang rosak maka ia menjejaskan kesejahteraan tubuh manusia itu tadi. Adakah boleh diterima akal sekiranya manusia yang dilengkapi pelbagai sistem yang kompleks tiba-tiba tidak memerlukan sistem yang khusus untuk mengawal dan menjaga perjalanan hidupnya di dunia ini. Adakah tidak ada panduan atau manual yang disediakan oleh Pencipta kita untuk dijadikan panduan dan pedoman di dunia ini. Adakah kita sendiri yang perlu memikirkan sendiri setiap manual atau panduan kita sendiri agar perjalanan hidup kita harmoni seharmoni perjalanan komputer tadi.
Adakah dikatakan siuman sekiranya seorang ayah membiarkan hidup anaknya diatur sendiri oleh si anak semata-mata tidak mahu menyekat kebebasan anak dalam kehidupan. Persoalan-persoalan yang bangang ini sengaja dilontarkan agar dapat membuka minda yang terlalu padat dengan pendapat serta pandangan yang terlalu rumit sehingga payah untuk membuka ruang perbincangan. Secara asasnya dapatlah kita simpulkan bahawa manusia tidak berhak memilih kebebasan dirinya sendiri secara mutlak kerana manusia bukan 100% tuan empunya badan. Jadi siapakah sebenarnya tuan empunya tubuh kita ini?

No comments: