Thursday, May 21, 2009

Entah lah!

Assalamualaikum. Terasa rajin pula diri ini untuk mengemas kini blog. Mungkin tidak tahu apa yang hendak dilakukan memandangkan Zaujatee pergi berkursus dan Zahratee bersama Tok Ma. Tiba-tiba sahaja idea ini datang.

Semalam saya menerima khabar gembira dari seorang teman, memberitahu kepada saya akan untung nasibnya apabila lamaran beliau diterima oleh pujaan hatinya. Jangan salah sangka! Buah hati yang dimaksudkan ialah syarikat penerbitan buku. Insya-Allah buku sulung beliau berupa sebuah travelog pencarian ilmu akan diterbitkan tidak lama lagi.

Sebelum kemanisan yang dikecapi beliau pada hari ini, sudah berapa dulang kepahitan yang terpaksa ditelan. Janji-janji manis yang dihamburkan oleh kekasih lama membuat diri beliau terseksa. Pelbagai alasan dan dalih diterima membuatkan beliau terasa berputus asa. Namun selepas berjaya memotivasikan diri, akhirnya beliau bangkit dengan kebengangan itu dan seterusnya berjaya meneguk secicip kemanisan ini.

Pernah dahulu beliau mengadu kepada saya akan hal ini. Tapi aku macam biasa akan bersarkastik dalam memberi pandangan, "Engkau Syed, apa ada? MA? Phd? Kau kerja apa? Pensyarah? Engineer? Doktor? Ustaz cabuk macam kau yang bergaji ciput, yang datang ntah dari mana, nak tulis travelong pasal menuntut ilmu mana lah diorang nak pandang. Lain lah kalau kau tu pelajar engineer yang tulis pasal agama. Fuh! Respek habis diaorang. Ataupun selebriti TV ataupun memiliki MA dan Phd." Syed hanya ber"kerang busuk" terkesima mendengar hamburan saya.

Semangnya begitu manusia. Suka sangat benda yang bombastik. Kalau engkau tak hebat, engkau tidak akan dipandang. Apabila tidak dipandang, susah untuk berurusan dengan manusia. Mungkin manusia yang hebat sahaja yang boleh terselamat di dunia ini. Mungkin betul pandangan Darwin "only the strong survive".

Sememang begitu hakikatnya. Pernah dahulu saya menghadiri bengkel penulisan anjuran syarikat penerbitan buku terkemuka. Saya ditanya oleh penceramah tersebut, "Saudara bertugas di mana?" Saya menjawab, "Saya bertugas di Pasir Putih, Kelantan." Beliau bertanya lagi, "Sebagai apa?" "Guru di sekolah agama rakyat," jawab saya ringkas. "Ooo..." jawab beliau.

Selang beberapa lama, penceramah tersebut bertanya pula kepada peserta yang lain. Apa yang menariknya perserta tersebut adalah seorang pelajar tahun akhir dalam bidang kejuruteraan dan akan menyambung pengajian keperingkat sarjana. Alangkah bangganya penceramah tersebut apabila mengetahu seorang bakal jurutera datang ke bengkel penulisan buku agama seterusnya mencalonkan beliau sebagai bakal penulis buku ngetop syarikat penerbitan buku tersebut.

Saya bukan dengki sesama manusia. Cuma terasa jengkel melihat dwistandard dalam melayani manusia. Bukan hanya terjadi kepada saya sahaja. Sekiranya saya melihat orang lain menerima nasib yang sama, saya juga terasa bengang dan marah. Mentang-mentanglah kita ini orang kebanyakan dan bukannya orang kenamaan, mereka layan lebih kurang.

Kejadian sebegini lebih ketara jika berada di hospital. Sebahagian jururawat biasanya amat bermuka-muka dalam melayan pesakit. Jika kita datang ke hospital perstatuskan seorang petani, nantilah kamu semua. Tetapi jikalau seseorang itu berstandard tinggi, mereka akan dilayan dengan layanan "A".

Pernah terjadi kepada Zaujatee apabila beliau pergi melakukan pemeriksaan antenatal. Beliau pernah dilayan sedikit kasar oleh jururawat. Tetapi bila mengetahui akan status Zaujatee, terus menukar topeng menjadi manusia yang paling peramah di atas muka bumi ini. Geram betul melihat gelagat jururawat tersebut.

Hakikatnya saya tidak tahu apa yang hendak ditulis. Lagi pun artikel ini dilabelkan sebagai "sengal-sengal" yang melambangkan kesengalan otak saya. Apa yang pasti persoalan ini selau menghantui fikiran saya. Bila lah agaknya golongan marhaen akan dilayan sama dengan golongan borjuis dan elit.

Wednesday, May 20, 2009

Selamat Hari Guru

Semoga Allah merahmati semua guru-guru yang ikhlas mengajar anak didiknya. Tidak ku ketahui sebelum ini akan erti sebuah kejerihan seorang cikgu setelah diri ini sendiri menjadi cikgu. Betapa susahnya untuk menyuruh anak murid menyebut sesuatu perkataan yang diajar melainkan selepas timbul segala urat saraf di leher dan terasa perit anak tekak terlebih dahulu. Oh cikgu! Adakah aku sedemikian di usia begitu? Semuanya itu membuatkan aku selalu bermuhasabah.

Ops...tinggalkan semuanya itu. Biarkan sahaja ianya bermain di benak ku. Zaujatee berkata dengan nada berseloroh, "bestnya jadi cikgu, ada hari guru lagi, doktor takde hari sambutan pun, misi (jururawat) ada pula." Aku tersenyum sahaja. Aku membalas, "alah, cikgu ni sebaris dengan jururawat ja, sama dengan buruh. Doktor lain lah, gaji pun mahal." "Eleh..." balas Zaujatee sambil tersengih.

Aku sendiri keliru mengapa guru memerlukan hari untuk disambut. Tetapi apa yang aku rasai sendiri pada hari tersebut adalah perasaan yang begitu tersentuh apabila murid-murid yang kita cubit, yang kita rotan tiba-tiba menghulurkan hadiah sambil tersengih-sengih. Tidak kurang juga yang datang bergurau senda dengan ku pada hari itu. Aku dapat rasakan keintiman yang kudus ini adalah kurniaan Ilahi yang tiada nilainya. Hubungan ini ku rasakan ada pertalian rohani. Disebalik cubit dan rotan ku tersemat kasih keramat. Bukan ingin berbangga, tetapi itulah yang dirasa. Semoga Allah memberi aku "thabat" dalam arena ini. Semoga aku tidak "futhur" dalam perjuangan memandaikan umat. Semoga Allah memberikan aku keikhlasan dalam menyampaikan ilmu akhirat. Ya Allah! terimalah doa ku.

Dikesempatan ini aku menyertakan beberapa gambar anak didik ku di peringkat Pra dan Tahun 1 yang sempat saya rakam. Biarkan gambar berbicara.