Saturday, January 20, 2007

Qadhi Muhammad bin Ismail al-'Amraniy

Nama penuh beliau ialah Abu Muhammad, Muhammad bin Ismail bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Husein bin Soleh bin Syai‘ al-‘Amraniy. Dilahirkan di Sana'a pada bulan Rabiul Awwal 1340 hijrah.

Qadhi Muhammad bin Ismail terkenal dengan panggilan al-‘Amraniy walaupun beliau dilahirkan dan dibesarkan di kota Sana'a.  Ini kerana keluarga beliau berasal dari daerah ‘Amran, pinggir Sana'a. Moyangnya, Qadhi Ali bin Husein telah berhijrah dari daerah ‘Imran menuju ke kota Sana'a di zaman pemerintahan Imam al-Masur al-Husain (1139H-1162H) pada kurun ke 12 hijrah. Dari saat itulah keluarga al-‘Imraniy berkecimpung dengan dunia keilmuan sehinggakan kaum keluarganya terkenal dengan keluarga ulama. Datuk beliau, Qadhi Muhammad bin Ali al-‘Amraniy merupakan anak murid kepada ulama Yaman yang terkenal iaitu Muhammad bin Ali al-Syaukani rahimahullah. Keterampilan serta kepintaran datuknya mendapat perhatian dari Imam Syaukani sehingga Syeikh al-Islam ini merakamkan keperibadian Muhammad bin Ali al‘Amraniy dalam kitab beliau iaitu Badr al-Thali‘. Begitulah salur galur keturunan al-‘Amrani dalam bidang keilmuan sehingga melahirkan seorang lagi ulama yang disegani di Yaman ini iaitu Qadhi Muhammad bin Ismail al‘Amraniy. Tapi kami memanggilnya dengan syeikh Imrani kerana senang dan lancar di mulut.

Kembara Ilmu

Peringkat Pertama:

Qadhi Muhammad bin Ismail telah bercerita kepada anak muridnya tentang pengalaman pertama dalam menuntut ilmu. Hatinya mula terdetik untuk mencari ilmu apabila ada seorang tua berkata kepada beliau; "kamu ini anak Qadhi Ismail bin Qadhi Muhammad..." yang bermaksud bahawa bapa kamu adalah ulama besar Yaman dan begitu juga dengan datuk kamu. Sejak dari itulah Qadhi al-‘Amraniy telah bergegas ke sekolah rendah al-Fulaihi ketika berumur tujuh tahun. Di situ beliau belajar pelbagai ilmu seperti al-Quran, tajwid, nahu saraf, akhlak, matematik, geografi, ilmu kesihatan dan lain-lain lagi sehinggalah beliau berhasil memperoleh sijil dari sekolah tersebut. Kemudian beliau berpindah ke sekolah al-Islah dan memperoleh keputusan yang cemerlang.

Peringkat kedua:

Pada peringkat inilah kembara ilmunya yang sebenar. Semasa berumur 10 tahun beliau telah berpindah ke Jami‘ Kabir (masjid besar Kota Sana‘a Lama) dan masjid Fulaihi dan belajar al-Quran dengan qari Muhammad bin Ishak, al-Faqih Yahya al-Kibsiy, al-Faqih Husain al-Akwa‘ dan Syed Muhammad bin Hamid al-Dabb.

Kemudian beliau telah menghafal beberapa matan seperti matan al-Azhar (Fiqh Hadawiy), matan al-Kamil (usul Fiqh), matan al-Kafiah (Nahu), matan al-Fiah (Nahu) dan Qawaid al-‘Irab (nahu). Kemudian Qadhi al-‘Amraniy telah melanjutkan pengajiannya dengan beberapa ulama besar Yaman pada ketika itu. Berikut adalah nama guru-guru beliau serta kitab pengajian beliau dengan ulama tersebut:

  1. Qadhi Abdullah bin Abdul Karim al-Jarafiy (1387H). Muwatta‘Malik, al-I‘tibar fi Nasikh wa Mansukh, Sunan Nasa’i dan sebahagian besar kitab Subulussalam dan Nailu al-Awtar.
  2. Qadhi Abdullah bin Abdul Rahman Hamid (1319H). Beliau telah mengajar Qadhi al-‘Imraniy kitab Syarh Ibn ‘aqil, Jawahir Maknun (balaghah), syarh al-Kamil (usul Fiqh) dan sebahagian dari syarah matan al-Azhar dan Qawaid al-I‘rab.
  3. Sayyed Abdul Karim bin Ibrahim al-Amir (1330H). Beliau adalah pembimbing Qadhi al-‘Imraniy dalam menghafal beberapa matan ilmu di antaranya ialah matan al-Azhar, al-Kamil, al-Kafiyah, al-Alfiyah dan Mulhatu al-I‘rab. Kemudia Qadhi al-‘Imraniy telah belajar dengan beliau beberapa kitab syarah seperti Qatru al-Nada karangan Ibnu Hisyam, Ibnu ‘aqil, Kafil, Mughni Labib, Jawahir al-Maknun dan Syarah al-Tiftazaniy (saraf).
  4. Qadhi Hassan bin Ali al-Maghribiy (1410H). Ilmu Faraid, syarah matan al-Azhar dan kitab Usul al-Ahkam karangan imam Ahmad bin Sulaiman.
  5. Qadhi Ali bin Hassan bin Ali bin Husain al-Maghribiy (1948M). Telah mempelajari dari beliau syarah Qatru al-Nada serta Nakhbatu al-Fikr fi Mustalahi Ahli al-Athari karangan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘asqalaniy.
  6. Qadhi Abdullah bin Muhammad al-Sarhiy (1318H). Tafsir al-Kasysyaf karangan Syeikh al-Zamakhsyariy.
  7. Qadhi Abdul Wahhab al-Syamahiy (1375H). Syarah matan al-Azhar.
  8. Sayyid Ahmad bin Ali al-Kahlaniy (1387H) Syarah al-Azhar, Ghayatu al-Sual, al-Kasysyaf dan Sunan Nasa’i.
  9. Sayyid Abdul Khaliq bin Husain al-Amir (1370H). Syarah Raudhu al-Nadir, Sahih Muslim dan syarah al-Azhar.
  10. Sayyid Muhammad bin Ali al-Sirajiy. Syarah al-Ghayah, karangan Husain bin al-Qasim dan syarah ‘umdatu al-Ahkam.
  11. Al-‘Allamah Muhammad bin Soleh al-Bahluliy (1390H). Syarah Qatr karangan al-Fakihi, Syarah Jawahir Maknun, Syarah Tabari ‘ala al-Kafil fi al-Usul, Syarah al-Talkhis fi al-Ma‘ani wa al-Bayan, Syarah ‘umdatu al-Ahkam, dan permulaan tafsir al-Kashshaf.
  12. Al-‘Allamah Ali bin Hilal al-Dubabi (1388H). Tafsir al-Kashshaf.
  13. Qadhi Yahya bin Muhammad al-Iryaniy . Raudhatu al-Nadir, Sunan Abi Daud, al-Bahru al-Zakhkhar dan sebahagian dari kitab al-Kashshaf, al-Ghayah dan Zaadu al-Ma‘ad.
  14. Al-‘Allamah Ahmad bin Muhammad Zubarah (1421H). Sebahagian dari kitab Syifa’ al-Amir al-Husain, Syarah al-Azhar dan sebahagian besar kitab Subulu al-Salam.

Anak Murid

Anak murid Qadhi Muhammad bin Ismail al-‘Amraniy mempunyai ramai anak murid sehingga sukar dikenal pasti. Bilangannya mungkin mencecah ribuan orang sama ada pelajar dari Yaman mahu pun dari negara-negara lain seperti Indonesia, Malaysia, Somalia, Albania, Cina dan negara-negara Afrika. Adalah tidak keterlaluan sekiranya mengatakan bahawa lebih 50 jenis etnik dari kalangan pelajar-pelajar yang mendalami ilmu dengan beliau di Universiti Iman. Ramai dari kalangan hakim mahkamah syariah Yaman, pendakwah, pegawai kerajaan dan profesor-profesor di universiti Yaman adalah anak murid Qadhi al-‘Amraniy. Ini kerana Qadhi Muhammad adalah tenaga pengajar terpenting di beberapa institut pengajian tinggi di sekitar Sana'a seperti Institut Pengajian Tinggi Kehakiman, Universiti Iman dan Universiti Sana'a. Qadhi Muhammad al-‘Imraniy juga mengajar secara tetap di Masjid al-Zubairi, Sana'a. Namun begitu terdapat beberapa anak murid Qadhi yang menonjol. Di antaranya ialah:

  1. Qadhi Yahya bin Lutfi al-Faisal rahimahullah. Pengasas dan ketua Maahad Ilmiah Yaman.
  2. Qadhi Abdul Karim al-‘Arasyi. Pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan seperti Timbalan Presiden Republik Yaman, Ketua Speaker Parlimen Yaman dan yang terakhir ialah sebagai penasihat peribadi bagi Presiden Yaman Ali Abdullah Soleh.
  3. Doktor Abdul Wahhab al-Dailami. Bekas menteri kehakiman Yaman dan mudir Universiti Iman.
  4. Syeikh al-‘Allamah ‘Amir bin Hussain bin Abdullah bin Abdul Qadir hafizahullah. Anak murid syeikh dari Syiria.
  5. Syeikh al-‘Allamah Fadil bin Abdullah bin Murad al-Muradiy al-Salafi al-Rimiy. Graduan pertama Universiti al-Iman.
  6. Syeikh al-'Allamah Ahmad bin Wazir al-Waqashiy. Graduan pertama Universiti al-Iman.
  7. Ustaz Ahmad Lutfi bin Akmal Hisyam. Kami panggil dia Qadhi Joe. Seorang yang istiqamah dengan pengajaran syeikh di masjid Zubairi. Ingatannya kuat terutama dalam hafalan hadis.

2 comments:

Unknown said...

Lama x mari ke sini ☺️

Unknown said...

Nama Joe di petik.. nasib baik Italy menang