Wednesday, January 07, 2009

Hijrah 1430

Assalamualaikum. Salam hijrah dari saya untuk rakan-rakan sekalian. Sudah lama saya tidak menulis. Namun yang pastinya, tiada sesiapa pun yang ternanti-nanti akan tulisan saya ini. Walau bagai mana pun, menulis pada perspektif saya adalah wacana untuk menyampaikan apa yang terbuku di hati. Selain itu ia juga sebagai satu wasilah untuk melahirkan kesyukuran yang tidak terhingga kepada Allah yang amat mendengar akan rintihan hamba-Nya. Ini bertepatan dengan firman-Nya yang tercatat dalam lembaran suci al-Quran, "Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya." [93:11]

1430 merupakan tahun yang sungguh bermakna buat saya sekeluarga. Ianya suatu kurniaan Ilahi yang tidak mampu untuk dibandingkan dengan persepsi makhluk. Ianya bersifat maha tulus dan hembusan rahmat-Nya seakan-akan menjalar dalam setiap urat saraf. Ianya bukanlah sesuatu yang besar pada pandangan manusia. Bahkan jauh sekali kalau dikatakan ia adalah sesuatu yang bersifat ekstravaganza. Tetapi ia adalah suatu amanah yang mesti dipikul demi agama, keluarga dan nusa. Namun begitu, saya tetap menganggapnya sebagai satu kurniaan yang agung. Alhamdulillah.

"Mad, tak nak ambil j-Qaf ke?" tanya Kak Mah. "Nanti lah dulu" jawab saya dengan ringkas. Itu adalah dialog di awal fatrah sekembali saya dari Yaman. Saya sendiri tidak mengetahui mengapa jawapan sebegitu dikeluarkan secara spontan. Mungkin kepala saya berkecamuk dalam memilih arah pada masa itu. Terlalu banyak idea yang ingin direalisasikan. Namun begitu idea yang penuh idelisma itu terpaksa ditangguhkan demi mendepani realiti serta bersikap lebih realistik, sesuai dengan situasi diri ini.

Pada mulanya saya berpandangan negatif terhadap program j-Qaf ini. Baik dari sudut kebolehan diri, pemahaman politik yang dangkal mahupun perasaan terhadap sistem yang mengkongkong. Namun begitu sedikit demi sedikit tanggapan saya ini mulai terhakis.

Kebolehan diri merupakan faktor utama mengapa saya teragak-agak untuk menyertai program j-Qaf. Saya tiada keyakinan untuk mengajar murid-murid secara formal lebih-lebih lagi mengendalikan kelas yang bilangan muridnya mencecah puluhan orang. Namun peluang yang diberikan oleh al-Fadhil Ustaz Talib, menjadikan saya lebih berkeyakinan dalam menyampaikan ilmu serta berdepan dengan karenah murid. Dengan ini, keyakinan saya untuk terjun ke dalam dunia perguruan dengan lebih serius mulai bercambah.

Tanggapan yang menganggap bahawa program j-Qaf adalah satu usaha untuk memandulkan tahap kesarjanaan graduan aliran agama adalah suatu pandangan yang cetek. Suara-suara sumbang yang mengatakan, "Alah! Belajar jauh-jauh, belajar dengan syeikh itu la, belajar dengan syeikh ini la, last-last masuk j-qaf, ngajar budak-budak ا ب ت " masih terngiang-ngiang di telinga ini. Saya sendiri tidak pandai untuk mengulas dengan baik akan isu ini. Cukuplah rakan-rakan sekalian membaca cacatan al-Fadhil Ustaz Hasrizal di link ini. Selepas membaca tulisan beliaulah persepsi saya terhadap j-Qaf mulai berubah. Dengan itu semangat saya untuk mengikuti kursus perguruan mulai tumbuh dan subur.

"Ngaji lama pun dok leh jadi Syeikh Imrani jugok," kata Pok Sey

Sistem yang mengongkong sememangnya membuatkan dada ini terasa sempit. Bukan sahaja pergerakan dibatasi, malah waktu menjadi semakin sempit dan pendek. Waktu tidur, berangan, berkhayal, berlengah-lengah dan membuang masa menjadi semakin singkat. Tiada lagi waktu untuk itu sekarang ini. Sistem ini telah menjadikan kesemuanya semakin singkat. Nampaknya sistem ini bakal mendisplinkan diri ini dan menjadikan saya orang yang sibuk, insya-Allah. Teringat kata-kata sepupu saya, "hanya orang sibuk yang ada masa."

Akhirnya pada tanggal 24 Disember, saya diterima untuk menyertai latihan perguruan bagi program j-Qaf. Nikmat yang Allah kurniakan merupakan suatu amanah yang dibebankan kepada saya. Saya memohon kepada Allah agar dapat memikulnya dengan ikhlas.

Justify FullZahrataini...

Di sini juga saya ingin merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada Che kerana tidak jemu meluangkan masa berdoa untuk kesejahteraan saya di dunia dan akhirat. Tanpa doa Che, muflislah diri ini.

Seterusnya penghargaan diberikan kepada abang-abang, kakak-kakak, ipar-lamai, Ma dan Ayah kerana banyak membantu saya baik dari suduk material mahu pun doa.

Ucapan cinta, sayang dan rindu yang berpanjangan kepada Zaujatee di atas segalanya. Kasih cinta mu, kesabaran dan pengorbanan mu serta tulus budi mu akan ku jadikan azimat cinta dalam melayari hidup di duniawi hinggalah ke firdausi, Amin Ya Rabb!!!

Akhir sekali, buat puteri ku. Sudah ditentukan oleh Allah ia adalah rezeki mu wahai anak ku. Semoga setiap suapan yang ku hulurkan kurniaan Allah ini, menjadikan diri mu wanita solehah.

Hasbuna-Allah, wa ni'mal-wakeel.