Saturday, May 06, 2006

Kebebasan Sebenar (akhir)


Kebebasan Yang Sebenar

Bagi manusia yang ingin mengikuti arahan dan peraturan yang betul, maka kebebasan yang mereka inginkan ialah mendapat kebebasan diri untuk melakukan segala suruhan dan melaksanakan segala perintah yang terdapat dalam kitab panduan yang dibekalkan oleh Allah melalui utusannya Nabi Muhammad S.A.W.

Kita perhatikan di akhir-akhir ini berlaku ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat apabila golongan yang ingin mentaati ajaran Allah dihalang dan disekat oleh mereka yang ingkar dan dengki akan ajaran Allah. Mereka yang dengki dengan agama Allah ini selalu berusaha memisahkan diri mereka dari tanggungjawab yang telah diberikan kepada setiap hamba dengan memperjuangkan suatu perjuangan yang bertopengkan kebebasan hak kemanusiaan dengan melaungkan hak kebebasan wanita, kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan lain-lain lagi. Memang tidak dinafikan adanya sedikit ruang kebebasan yang perlu diperjuangkan tapi janganlah cuba mencabar peraturan yang telah di aturkan Allah untuk manusia. Lebih-lebih lagi apabila kedaulatan agama Islam dicabar dan dipertikaikan. Majoriti perjuangan kebebasan hak kemanusiaan ini mempertikaikan peraturan dan batasan yang diwajibkan ke atas orang Islam. Islam tidak memaksa penganut agama lain untuk menganut Islam jauh sekali dari mengugut dan mengancam. Cuma Islam sangat mengambil berat terhadap penganut Islam sendiri. Apabila seseorang itu telah memeluk Islam maka dia secara automatik telah bersumpah dan telah menyerahkan diri mereka untuk menjadikan mati dan hidup hanyalah untuk Allah. Mereka juga telah berjanji dan bertaat setia agar menuruti segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan Nya. Apabila perjanjian dan sumpah setia ini dicabuli maka para pencabul akan disediakan hukuman sama ada hukuman di dunia dan hukuman di akhirat kelak. Dan hukuman di dunia wajib ditegakkan sekiranya sudah cukup terbukti salahnya. Jikalau ada keraguan maka pertuduhan digugurkan. Ini kerana Islam datang ke dunia ini adalah membawa rahmat dan mesej keamanan sejagat. Lagipun hukuman yang sebenar adalah di akhirat kelak.

Inilah konsep asas yang perlu difahami oleh mereka-mereka yang cuba ingin bercakap mengenai Islam dan janganlah bercakap dengan akal semata-mata tanpa memandang aspek ketuhanan dan kerohanian. Perlu diingat bahawa dalam Islam akal dan logik bukan panduan semata-mata. Ini kerana di sana terdapatnya perkara-perkara ghaib yang tak terjangkau oleh akal untuk mena'kulnya yang dikhabarkan oleh Allah dalam kitabnya dan juga melalui lisan para Rasul Nya. Semuanya ini wajib kita imani kerana ianya datang dari Pencipta kita, Allah Taala. Perlu ditegaskan lagi, kita semestinya menyedari dan mengimani bahawa di sana terdapat tuhan yang menjadikan manusia dan alam ini. Bukan itu sahaja malah disediakan juga segala peraturan dan sistem yang dipanggil Islam agar hidup manusia di dunia ini mendapat persetujuan Allah dan tidak menyongsang dari landasan yang benar.

Kita tengok sekarang "kepala" Islam mula dipijak-pijak oleh musuh Islam yang amat dengki dengan Islam yang dikenali sebagai IFC (Inter Faith Commission). Antara 15 tuntutan hak kebebasan yang diperjuangkan mereka kesemuanya menyentuh hal peribadi Islam yang cukup sensitif untuk dipertikaikan. Lebih menyakitkan lagi apabila perjuangan mereka mendapat perhatian dan sokongan dari Sister in Islam. Inilah perosak agama di atas nama agama. Nama pertubuhan ala-ala agama tapi merupakan duri dalam daging, gunting dalam lipatan, api dalam sekam dan musuh dalam selimut. Mereka tidak pernah mengkritik dan men"condemn" agama-agama lain tetapi hanyalah Islamlah yang mereka tumpu. Di sini jelas berlaku ketidakadilan dan "double standard" terhadap Islam. Hanya Islam yang diserang dan dicerca. Tetapi awas! Mereka bukan sahaja memusuhi orang Islam bahkan mereka turut memusuhi dan mencabar Allah dan para malaikatnya. Adakah pencabul-pencabul ini tidak pernah terdetik di hati mereka bahawa mereka akan mati dan dengan siapa mereka bakal temui. Apabila kematian menyapa maka tersingkaplah kebenaran dan terselubunglah kekesalan. Akan tetapi di waktu itu tiada lagi penyesalan kerana tempat untuk menyesal dan bertaubat adalah semasa hidup di dunia ini. Kita tentu marah apabila kedaulatan undang-undang negara dipersendakan oleh orang asing yang tidak sepenuhnya mengenai Malaysia. Akan tetapi mengapa kita tidak mempunyai rasa sensitif apabila hukum dan peraturan yang ditetapkan oleh pencipta kita iaitu Allah dipersendakan, dipertikai, dan dicabar kebesarannya. Pencabul-pencabul tadi sama sekali tidak berhak berkata atau menyuarakan pendapat sesedap rasa kerana mereka tidak mengenal Allah dengan sepenuhnya. Mereka tidak menilai Allah dengan sebaik-baik penilaian. Berhati-hatilah dalam mengeluarkan pendapat lebih-lebih lagi kalau ianya berkaitan dengan hak Allah. Takut-takut kekuatan iman semakin lemah dan mungkin semakin terhakis. Nauzubillah! dan semoga Allah memberi hidayah kepada kita dan mereka juga. Semoga mereka kembali ke pangkal jalan lantaran sesatnya mereka di hujung jalan. Pintu taubat masih terbuka buat mereka dan kita semua selagi mana matahari tidak terbit dari barat dan nyawa masih dikandung badan. Semoga mereka mempelajari Islam dari ahlinya dan bukan melalui pembacaan semata. Mereka perlulah melalui proses pengajian yang khusus dan perlu melalui beberapa disiplin dalam mempelajari ilmu Allah yang Maha Kaya. Ilmu Islam adalah sesuatu yang perlu dipelajari melalui guru kerana akal dan logik semata-mata tidak mencukupi untuk mempelajari agama Islam ini. Semoga Allah memberi taufik hidayat untuk kita semua.

Semoga kita bebas mengecap nikmat Islam yang dikurniakan oleh Allah kepada kita tanpa ada sebarang anasir luar yang cuba mengganggu gugat keharmonian iman kita serta agama Allah yang kita cintai ini. Semoga kita bebas mengecap kebebasan sebenar; bebas beramal dengan ajaran Allah dan berpegang teguh dengan sunnah Muhammad S.A.W.


Sekian, wallahua'lam.

Disediakan oleh:
Ben Hassan Ahmed.

2 comments:

Imran al-Malizi said...

Assalamu'alaikum.

T.kasih di atas pandangan tersebut.
Teruskan menulis.

~HiMaWaRi~ said...

::Kebebasan sebenar dlm erti kata lain mempertahankan SyaHadatul HaQ::
mungkin encik Ben Hassan buleh hurai panjang tentang bab yang ter-sangatlah penting nih..

ni kira lawatan kunjung blog yek.pandai encik Ben menulis ek,suke baca..