Termanggu kami berdua mengenangkan apa yang diujar oleh doktor petang tadi. Masing-masing membayangkan apakah kemungkinan yang bakal kami hadapi nanti. Isteri saya, walau beberapa kali mempositifkan diri, namun ia tidak mampu menahan air mata untuk terus mengalir.
"Bagaimanakan keadaan 'Abbad (nanti diceritakan bagaimana nama 'Abbad terhasil) nanti?" tanya isteri memecah kesunyian di antara kami berdua. Saya yang tadi memikirkan perkara yang diperkatakan doktor tersedar. Mata saya merenung muka Zahrah, anak perempuan sulong kami yang sedang tidur dengan sayu.
"Entahlah Nor. Bagi abang, abang tidak malu memiliki anak seperti 'Abbad, cuma abang kasihankan dia nanti. Bagaimanalah dia nanti, adakah 'Abbad dapat menyesuaikan dirinya seperti bayi lain semasa melalui proses pembesaran dan pertumbuhan nanti," saya menjawab persoalan isteri saya dan dalam masa yang sama mengharapkan jawapan beliau juga.
Sambil mengesat air mata isteri saya menjawab, "Insya-Allah, Allah tidak akan membiarkan 'Abbad begitu sahaja. Jika Allah mengurniakan 'itu' kepada 'Abbad sudah tentu Allah akan bagi jalan lain, yang sesuai untuk 'Abbad nanti. Tapi Nor kasihankan...,". Kalam itu berakhir dengan deraian air mata.
"Tidak mengapalah Nor. Mungkin Allah menghantar 'Abbad kepada kita kerana Allah tahu kita boleh memberikan yang terbaik untuknya. Selagi kita merasakan Allah bersama kita selagi itulah kita merasa tidak kesendirian dalam menghadapi keperitan ini. Biarlah 'Abbad datang dalam kehidupan kita, mengecap nikmat kasih sayang kita berdua dan melengkapkan mahligai kebahagian kita bersama." pujuk saya. Air mata kami lebat kembali.
Kami diam bertafakkur. Menghidupkan cas-cas positif dalam fikiran kami. Air mata dan kesedihan tidak mampu mengubah takdir Ilahi. Akhirnya kami berjanji akan mendalami ilmu dalam keibubapaan terutamanya dalam bab 'cleft lips and palate' dengan sebaiknya.
2 comments:
Salam. Kalau saya kata saya sedih, tentu ustaz lebih lagi menanggung kesedihan... Tapi saya percaya ustaz dapat hadapi ujianNya dgn sabar dan tenang.
Terima kasih!
Post a Comment