Sunday, October 26, 2008

Hari Raya

Assalamualaikum. Selamat Hari Raya Puasa untuk seluruh alam. Bulan Syawal hampir mengesut meninggalkan dirinya. Namun kenangan dan pengajarannya masih lagi terasa. Sebenarnya aku tidak tahu apa yang hendak diperkatakan. Tetapi kepala ini senak memikirkan beberapa perkara yang berkaitan dengan Hari Raya. Tetapi tidak juga diterjemahkan dalam bentuk tulisan agar ia dapat dikongsi bersama. Mungkin sifat malasku yang memaksa-maksa diri agar jangan menulis ataupun aku terlalu sibuk memikirkan benda-benda yang tidak sepatutnya difikir. Entahlah, aku pun keliru. Tetapi selepas diamati akan keberadaan hari Raya Puasa ini, aku dapat simpulkan bahawa hari raya akan lebih bermakna sekiranya kita menggembirakan kedua ibu bapa, anak-anak kecil dan golongan penerima zakat.

Ibu bapa sentiasa kesunyian lebih-lebih lagi jikalau anak-anak berada diperantauan. Tidak kiralah apa jua alasan anak-anak itu diperantauan samada bekerja atau belajar. Namun disudut hati mereka amat mengharapkan agar ada anak-anak akan menemani mereka di malam hari raya pertama. Ini kerana pada waktu itulah masa yang paling kritikal untuk menyiapkan segala persediaan menyambut 1 Syawal. Bermula hiasan rumah hinggalah ke juadah hari raya. Bagi ibu bapa yang masih muda bertenaga, mungkin tidak menjadi masalah. Tetapi jika ibu bapa itu sedang meniti hari di ufuk usia, sudah tentu tiada lagi kudrat untuk berbuat sedemikian. Oleh itulah kehadiran anak-anak di malam hari raya pertama menambahkan lagi semangat, keceriaan dan kebahagian buat mereka. Tetapi janganlah hanya meramaikan bilangan sahaja tanpa menghulurkan sekerat dua pertolongan. Bagilah kepada kedua ibu bapa kerehatan yang cukup untuk menyambut kedatangan Syawal yang mulia ini agar mereka sentiasa ceria dan bahagia.

Namun begitu sentuhan ibu dalam menyediakan juadah adalah dambaan bagi setiap anak-anak. Oleh itu bantulah mereka dalam menyediakan juadah agar bebannya menjadi ringan.Apa yang menjadi persoalan dan masalah ialah apabila juadah yang disediakan oleh penat lelah ibu tidak dihargai oleh anak-anak. Mungkin juadah itu ketinggalan zaman, kuih orang lama atau ia tidak menyelerakan. Apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak agar mencicip sedikit juadah yang disediakan oleh ibu. Paksalah diri dan anak-anak untuk "melahap" juadah ibu serta cuba-cubalah bertanya kepada ibu akan resepinya semacam ingin mencubanya sendiri. Jika ianya mampu dibuat, insya-Allah akan terpancar senyuman yang paling manis dari ibu. Tidak ada yang paling membahagiakan melainkan dapat menatap wajah kedua orang tua yang sentiasa senyum ceria di hari yang penuh bahagia ini.

Berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa semoga mendapat rahmat seperti mana Uwais al-Qarni dirahmati oleh Gusti Ilahi...ameen!

Sunday, August 10, 2008

Merdeka yang Suram

Assalamualaikum. Adakah saudara saudari sekalian perasan, sambutan hari Kemerdekaan negara amat suram. Tiada lagi iklan-iklan tentang kemerdekaan walaupun sekarang sudah pun masuk ke dalam bulan merdeka. Biasanya ada "countdown" di TV 1. Tapi sekarang ini ia masih lagi belum kelihatan. Apa sudah jadi dengan negara kita ini. Bukan sahaja semangat agama dan demokrasi semakin hilang, bahkan semangat nasionalisme dan patriotik semakin terhakis. Semoga semangat tersebut diganti dengan semangat Islam hendaknya.

Wednesday, July 30, 2008

Adam dan Evolutionist

Persoalan Teori Evolusi suatu yang rumit untuk dibincangkan. lebih-lebih lagi apabila ia dikaitkan dengan Darwinisme. Perkara ini merangkumi pelbagai aspek sehingga menyentuh kepada persoalan agama. Namun begitu ramai di kalangan manusia yang memahami sains, cuba mengaitkan Teori Evolusi dengan Islam. Lebih mengejutkan ada di kalangan mereka cuba mengsabitkan bahawa Adam a.s sememangnya berevolusi dari beruk!

Dahulunya semasa menuntut di Timur Tengah, persatuan pelajar di sana pernah menerima kunjungan dari salah seorang professor tanahair yang hebat. Beliau begitu ghairah dalam memperkatakan persoalan kebenaran teori evolusi. Beliau bercerita tentang DNA, berkata tentang mutasi dan lain-lain lagi. Beliau berkata, tinggalkan persoalan Teori Darwin yang mengatakan alam wujud secara tiba-tiba. Yakinlah bahawa semua proses kejadian alam adalah hasil arahan tuhan.

Yang peliknya ialah, beliau tanpa segan silu meyakini bahawa manusia sememangnya berasal dari beruk.Hujahnya ialah dengan bersandarkan firman Allah dalam surah al-A’laa ayat ke 2 yang bermaksud: “Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya.” Maka proses penyempurnaan itu adalah menyempurnakan peringkat beruk yang akhirnya menjadi sempurna sebagai Adam. Pelik betul.

Menjadi satu masalah apabila pelajar dalam aliran sains yang belajar secara khusus mengenai Teori Darwin susah untuk menafikan kesahihan teori ini. Maka mereka akan berada dalam dilema di antara dua persimpangan.

Persoalannya, adakah penciptaan Adam melalui beberapa proses bermula dari Australopithecus, Homo Habilis, Homo Erectus dan seterusnya manusia kamil iaitu Homo Sapien?. Ataupun Allah terus menciptakan Adam sebagai makhluk berasingan secara khusus tanpa melalui beberapa proses seperti teori evolusi tadi?.

Bagi saya melalui pembacaan yang dangkal ini, sekiranya teori evolusi dipadankan dengan evolusi bumi dan hidupannya, maka ia tidak menjadi masalah. Sekiranya bumi ini berevolusi dari era Archean kepada tempoh Epoch ataupun hidupan berevolusi dari ameba menjadi sel-sel yang lengkap, maka ia tidak menjadi masalah. Permasalahannya ialah apabila manusia turut diheret dalam proses ini.

Bagi yang non muslim, persoalan ini bukan menjadi suatu yang kusut. Tetapi lain pula dengan penganut Islam. Dilema melanda mereka apabila berlaku pertentangan dengan al-Quran dan Hadis yang menjadi pegangan hidup mereka.

Sekiranya manusia terbukti berasal dari moyang Australopithecus, bagaimana pula dengan sabda nabi yang mengatakan bahawa manusia ini dari Adam. Sekiranya Adam melalui proses Australopithecus, maka bagaimana pula dengan hadis nabi yang direkod oleh Imam Muslim yang mengatakan secara mafhumnya bahawa, ketika Allah membentuk Adam di dalam syurga, maka ia Adam ditinggalkan sementara waktu. Ketika itu datang iblis mengelilingi jasad Adam dan memerhatikan apakah makhluk ini. Apabila iblis dapati bahawa jasad Adam ni kosong, maka dia berkata bahawa makhluk ini tidak mempunyai kemampuan menguasai dirinya.

Menurut hadis ini, secara tipikalnya ia dapat difahami bahawa, proses kejadian Adam tidak melalui proses Australopithecus. Kerana insiden itu berlaku semasa peringkat pembentukan Adam di dalam syurga. Maknanya Adam diciptakan dengan ciptaan yang khusus yang bukannya berkembang dari makhluk lain.

Menjadi permasalah di antara dua fakta ini. Yang mana perlu di pegang dan yang mana perlu diketepikan. Sudah tentu seorang yang betul-betul Mukmin akan jelas jawapannya. Wallahua’lam.

Monday, July 21, 2008

Syukur...

Dahi Ziyad berkerut. Garis-garis kekecewaan jelas terbayang di wajahnya. Dengan hati yang berat dia merungut, "Lelaki lagi."

Zainab tersenyum mendengar keluhan suaminya. Dengan lembut dia berkata, "Bersyukurlah, sudah menjadi rezeki kita bersama."

Riak wajah Ziyad tidak berubah. Fikirannya melayang mengenangkan lima orang "askar" sedang "mengganas" di rumahnya. Keriuhan manusia serta tangisan-tangisan bayi di dalam wad bersalin pula, menambahkan lagi kekusutan hatinya.

"Bukan apa, abang terlalu menginginkan agar kita dikurniakan seorang puteri," jelas Ziyad sambil memandang tepat ke mata Zainab.

Zainab yang begitu faham dengan perangai suami tenang menjawab, "Kalaulah kita hidup pada zaman nabi Musa, sudah tentu semua "askar" kita dibunuh Firaun durjana!"

Mata Ziyad terjegil lalu bertanya, "Kenapa pula Firaun membunuh anak-anak lelaki, kenapa tidak anak-anak perempuan?"

Zainab memejamkan mata. Nafasnya ditarik sedalam-dalamnya. Ingatannya semasa belajar di sekolah menengah agama dahulu disentap-sentap kembali. Dengan yakin Zainab memulakan cerita, "Firaun si celaka lah yang memerintahkan agar semua bayi lelaki dibunuh kerana terlalu percayakan ramalan ahli nujum tentang mimpinya."

Ziyad memperkemaskan duduknya. "Apakah mimpi yang begitu dihantui oleh si firaun itu?" tanya Ziyad.

Zainab menyambung' "Firaun yang jelik itu telah bermimpi bahawa dia melihat ada api menuju ke Baitul Maqdis sehingga menerangi seluruh Mesir. Mimpi yang aneh itu diajukan kepada para ahli nujum diraja. Lantas mereka meramalkan bahawa kerajaan Mesir akan dihancurkan, rajanya dibinasakan dan agamanya akan dihapuskan dengan menggantikan ia dengan agama baru. Semuanya ini akan dilakukan oleh seorang lelaki di kalangan Bani Israil."

Ziyad yang dari tadi asyik mendengar cerita Zainab terus menyampuk, "Oleh itu, si Firaun laknat itu memerintahkan agar semua bayi lelaki Bani Israil dibunuh?"

Zainab mengangguk lesu. Kesan kelahirannya masih lagi terasa. Manakala Ziyad pula tunduk terkesima. Hatinya tidak keruan. Dalam hati dia merintih, "Oh Tuhan! Hamba-Mu ini terlalu meminta-minta. Hamba-Mu ini selalu tidak mensyukuri pemberian-Mu. Ampunkan daku wahai Tuhan-Ku."

Mata Ziyad bergenang. Wajah-wajah "askar" bermain di benaknya. Dengan dada yang sebak dia berkata, "Wahai putera-putera ku, abah terlalu menyayangi kalian".

Monday, June 16, 2008

Nak Pergi Machang???

Krisis Akhlak di Kalangan Ummah

Assalamualaikum. Pernahkah anda melihat rancangan yang di hoskan oleh Aznil Haji Nawawi? Apakah persepsi anda? Atau anda belum pernah menontonnya di saluran Astro. Kalau belum, sila cari di Youtube.com. Bersepah video beliau. Sekiranya anda sudah pun menonton rangcangan-rancangan beliau, apa pula kata anda mengenai beliau? Seorang yang ceria? Seorang yang serba boleh, spontan, kelakar dan menghiburkan??? Kalau ini jawapan anda maka cuba pula jawab persoalan ini.

Apa perasaan kita sekiranya anak-anak kecil terkinja-kinja menari di dalam rancangan Tom-Tom bak? Adakah anda tidak terguris bila melihat ibu anda sendiri tergelek-gelek menari dalam rancangan Macam-Macam Aznil. Apa kita cukup bangga melihat anak gadis sendiri terlompat-lompat memakai baju ketat dan terlolong-lolong menyanyi dalamAkademi Fantasia? Sekiranya kita merasakan ia suatu perkara biasa dan sudah menjani fenomena hiburan di Malaysia ini, awas! Iman kita sudah dilanda krisis.

Sesungguhnya rancangan-rancangan yang dihoskan oleh Aznil Haji Nawawi dipenuhi dengan hiburan melampau. Cuba perhatikan pada pembukaan rancangan Macam-Macam Aznil. Ada tiga individu terkinja-kinja menari keriangan mengikut alunan muzik. Salah seorang daripadanya ada yang lembut-lembut dan berhias menyerupai wanita. Ini jelas haram! Seorang lelaki haram menyerupai wanita dan begitulah sebaliknya. Itu pembukaan, belum diceritakan lagi babak-babak seterusnya. Ada satu episod yang memaparkan seorang makcik menari tergedek-gedek dengan pelakon muda lelaki lagi hensem. Dalam episod itu juga seorang pakcik menari dengan pelakon muda wanita. Bayangkan kedua mereka itu ibu dan ayah kita. Na'uzubillah.

Apa yang memeranjatkan lagi, ada satu episod di mana sekumpulan penari ala-ala "cheerleader" dari sebuah sekolah dan kesemua penari adalah gadis melayu. Bila sahaja mereka menari semua bagaikan histeria menyorak gadis-gadis tersebut dan lebih memeranjatkan lagi Aznil bertindak seolah-olah merangsang remaja lelaki agar lebih terliur dengan gadis-gadis tersebut. Teruk betul perangai si Aznil ni (semoga Allah memberi hidayah kepadanya dan kita semua). Itu belum lagi membincangkan soal perasaan ibu bapa gadis-gadis "cheerleader" tatkala menyaksikan anak-anak gadis mereka menari terlompat-lompat dengan pakaian ketat yang menampakkan bentuk tubuh badan serta berskrit pendek seolah-olah bertelanjang dihadapan audien. Adakah mereka bangga apabila seluruh penonton di Malaysia meratah seluruh bentuk tubuh anak-anak gadis mereka. Allah Musta'an...

Mungkin ada di kalangan mereka yang tidak bersetuju dengan pendapat ini. Mungkin pendapat ini kolot dan tidak mengikut perkembangan semasa. Mungkin mereka berpandangan bahawa ianya hanyalah hiburan semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan aspek agama. Lagipun tak sporting lah macam ni. Orang nak berhibur sikit pun tak boleh.

Sebenarnya Islam tidak melarang kita berhibur. Tetapi biarlah ianya halal di sisi agama. Tetapi rancangan yang dihoskan oleh Aznil betul-betul melampau dan tidak sesuai ditonton oleh anak-anak. Anak-anak kecil terlalu suci untuk menonton rancangan-rancangan tersebut yang penuh dengan najis kekotoran.

Tuesday, June 03, 2008

Kepenatan Yang Membahagiakan

Assalamualaikum. Sudah lama saya tidak menulis di dalam blog usang ini. Seperti biasa saya mengalami kesibukan melayan kehidupan yang semakin mencabar. Selain itu kemalasan yang terpaksa diperangi, terus mengasak-ngasak minda dan sanubari. Tiga empat minggu sebelum ini merupakan hari-hari getir yang melelahkan. Lelah jasmani dan emosi. Namun kelelahan dan keletihan tersebut ditukar dengan seribu rahmat yang amat membahagiakan. Belum puas saya mengecap nikmat status suami, kini saya telah pun dianugerahkan Allah dengan pangkat bapa. Alhamdulillah...Semua aturan yang direncanakan oleh Allah menjadi begitu mudah dan sempurna sekiranya diperhalusi dan diamati.

Tanggal 20 April 2008, jam 1759, zaujatee tercinta selamat melahirkan puteri pertama di bilik bedah HUSM. Ketar tangan ku, sebak dada ku, tersekat ucapku tatkala melihat wajah qudus mu hai sang putri. Seruan azan yang ku dendangkan ke telinga mu merupakan sakti kasih ku yang pertama untuk mu. Namun begitu masih ada insan yang amat aku risau keadaannya. Zaujatee tercinta telah mengorbankan jiwa dan raganya demi melahirkan zuriat ku, bukti kewujudan diri ku. Hati ini meronta-ronta untuk mengetahui keadaan sebenar zaujatee. Alhamdulillah keadaan beliau stabil lalu dipindahkan ke wad biasa.

Alhamdulillah kini kedua-dua buah hati ku semakin sihat dan bertenaga. Terima kasih kepada adik beradik yang selama ini tidak putus-putus memohon kesejahteraan buat kami. Semoga Allah mengganjari kalian dengan ganjaran yang mulia.

Ketahuilah puteri ku, kehadiran mu ke dunia disambut dengan pintalan sutera keringat serta kalungan haruman air mata ibu dan ayah mu. Semoga dengan azimat ini dikau menongkah dunia yang mencabar ini dengan berbekalkan keimanan dan amal soleh...

Monday, March 03, 2008

Undi Umno Berdosa???

Assalamualaikum. Ini adalah entri pertama saya berkenaan dengan politik. Entah la. Pada mulanya saya tak nak layan sangat pasal politik ni. Tetapi bengkak dan nanah kesundalan politik Malaysia semakin membarah hingga meresap ke dalam urat saraf nadi kehidupan beragama. Entah la. Kenapa orang seronok sangat pangkah Umno masa pilihanraya ni. Pelik!!!

Kawan-kawan sekalian. Setiap benda dan perkara yang wujud di muka bumi ini, tidak ada yang sia-sia keberadaannya. Bukit-bukau, gunung-ganang, hutan rimba, padang pasir, hujan, air, angin, pasir tanah dan lain-lain lagi masing-masing mempunyai tujuan dan matlamat. Begitu juga dengan apa yang ada di persekitaran kita. Laptop, buku, pensil, pembaris, selipar, kasut, stokin, pencungkil gigi dan lain-lain lagi mempunyai tujuan dan matlamat kewujudan mereka.

Photobucket

Kawan-kawan sekalian. Allah menciptakan kita dengan dilengkapi dengan pelbagai anggota. Tangan untuk memudahkan kerja manusia, telinga untuk mendengar, lidah untuk merasa, kaki untuk berjalan, mata untuk melihat dan lain-lain anggota yang mana masing-masing mempunyai peranan dan matlamat yg khusus. Maka manusia yang merangkumi semua anggota yang penuh bermatlamat itu untuk apa? Apakah peranan manusia itu sendiri??? Jawapan yang paling tepat ada pada Pencipta manusia itu sendiri. Dialah yang Maha Arif tentang matlamat dan kewujudan manusia. Kerana apa? Kerana Dialah yang menciptakan manusia dan Dialah yang menetapkan tujuan dan matlamat kewujudan manusia. Oleh itu, apakah peranan, matlamat serta tujuan kewujudan manusia di alam ini?

ٍSahabat-sahabat sekalian. Untuk mengetahui tujuan atau matlamat sesuatu benda, maka hendaklah bertanya kepada siapa yang mencipta benda tersebut. Fungsi sebenar sebuah kerusi hanya dapat dipastikan apabila kita bertanya kepada pembuat kerusi. Sekiranya kita menggunakan kerusi untuk diletakkan di dalam reban ayam, maka tujuan dan matlamat sebenar sebuah kerusi adalah salah.

Photobucket

Begitu jugalah dengan diri manusia itu sendiri. Kita boleh mereka apa sahaja matlamat kehidupan dan tujuan kewujudan manusia di dunia ini. Bermacam-macam jawapan yang dijawab. Namun begitu, adakah ianya bertepatan dengan kehendak serta tujuan dan matlamat penciptaan manusia itu sendiri? Persoalan yang kusut ini hanya boleh dijawab sekiranya kita merujuk kepda siapa yang menciptakan kita.

Kita sebagai Muslim sudah tentu percaya dan beriman bahawa pencipta kepada manusia adalah Allah Taala. Tanyalah kepada siapa pun yang mengaku beragama Islam, pasti kita memperolehi jawapan yang sama. Dari penoreh getah hinggalah golongan profesional, dari budak tadika ke graduan universiti, pasti mengaku bahawa Allah lah yang menciptakan kita. Persoalannya adalah, apakah kita semua tahu apa yang dikehendaki oleh Allah daripada kita?

Teman-teman sekalian. Cubalah kita semua membelek sejenak kitab suci al-Quran. Tak kiralah bila-bila masa dan di mana-mana sekali pun, cubalah perhatikan kepada ayat al-Quran surah al-Zaariyat ayat ke 56 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." Nah!!! Jelaskan tujuan dan matlamat Allah jadikan kita. Allah menginginkan kita agar sentiasa menyembah Allah dan beribadat kepada Nya.

Photobucket

Ibadat bukan hanya terbatas kepada solat, puasa zakat dan haji semata-mata. Bahkan ianya meliputi seluruh kehidupan kita. Sekiranya ibadat hanyalah empat ini sahaja, maka apabila kita selesai menunaikan keempat-empat ibadat tadi adakah kita sudah terlepas dari batas dan norma beragama. Bila selesai solat, maka adakah kita boleh menipu dalam urusan jual beli lantaran urusan perniagaan tiada kaitan dengan agama? Adakah dengan kita selesai menunaikan puasa maka kita boleh enjoy katak sehingga tidak lupa dunia kerana enjoy itu bukan dari urusan agama? Apakah dengan tertunainya zakat, maka hubungan kemanusian sudah hilang dan di"tong sampah"kan dek kerana hubungan kemanusian bukan dari persoalan agama?

Saudara dan saudari sekalian. Sekiranya kita beranggapan sedemikian , maka itu adalah suatu sangkaan yang amat meleset. Ibadat yang sebenar merangkumi segenap kehidupan manusia. Bermula bangkit daripada tidur sehinggalah dia tidur kembali, kehidupan sehariannya tidak terlepas dari aspek ibadat. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara. Apabila disebut sahaja ibadat, maka dua perkataan yang sinonim dengannya adalah pahala dan dosa. Sebagai contoh, makan pada asalnya adalah harus. Sekiranya makan mengikut adab serta sunnah Rasulullah, maka insya-Allah pahala akan diperolehi. Tetapi jikalau makan mengikut hawa nafsu dan berlaku pembaziran, maka ia terjerumus ke lembah dosa.

Jika kita lihat, persoalan makan ini pun mempunyai unsur pahala dan dosa, maka apatah lagi jikalau dibandingkan dengan perkara yang lebih besar isunya seperti pemilihan pemimpin untuk mentadbir negara. Malaysia turut terlibat dalam proses pemilihan pimpinan bagi mentadbir negara. Dan cara pemilihan kepimpinan yang sah di sisi undang-undang di Malaysia ini adalah melalui proses pengundian pada Pilihanraya Umum yang berlangsung empat tahun sekali. Dalam pilihanraya, pemimpin dipilih melalui proses pengundian dan jumlah undian adalah penentu kepada kejayaan seseorang pemimpin.

Sahabat-sahabatku yang budiman. Adakah proses pemilihan pemimpin melalui proses pengundian terlepas dari aspek ibadat? Adakah mengundi tiada dosa dan pahala? Cubalah buka al-Quran yang kita semua miliki dan lihat pada surah al-Nisa' ayat ke 85. Terjemahannya pasti tertulis begini, "Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Sekiranya kita semua memangkah Umno dalam pilihanraya ini, maka kita telah memberi syafaat(pertolongan) kepada mereka untuk mencapai kemenangan seterusnya mentadbir Malaysia. Sekiranya kerajaan yang dibentuk oleh Umno memenuhi kehendak agama, maka kita mendapat ganjaran di sisi Allah. Sekiranya kerajaan Umno mentadbir Malaysia menyalahi syariat Islam walhal kita telah pun mengetahuinya, maka kita telah memberi syafaat yang buruk kepada mereka. Maka sudah tentu kita mendapat bahagian dosa daripada dosa yang mereka lakukan.

Photobucket

Begitu juga dengan Pas. Sekiranya kita pasti berlaku penyelewengan dan kemungkaran yang bakal terjadi sekiranya Pas mentadbir Malaysia dan kita mengundi mereka pada pilihanraya ini, maka kita akan beroleh ganjaran dosa dari Allah. Begitu juga jikalau Pas melakukan kebaikan serta menegakkan syariat Allah, maka kita turut menerima habuan pahala yang dijanjikan oleh Allah.

Sahabat-sahabat sekalian. Kita sebagai rakyat Malaysia yang Muslim, mestilah peka terhadap perkara yang berlaku di dalam negara. Baik dari segi kebaikan mahu pun keburukan. Aspek yang menyentuh sensetiviti syariat mestilah diberikan perhatian kerana ia adalah penentu kepada sesebuah negara itu ditadbir mengikut Islam atau tidak. Kemungkaran yang sah disisi undang-undang perlu di tentang dan dilawan kerana mencegah kemungkaran adalah wajib bagi umat Islam walau apa jua cara sekalipun.

Individu yang di dalam hatinya setitis embun Iman pasti terguris tatkala melihat kemungkaran dan kemaksiatan yang beroperasi secara sah di negara sendiri. Cuba saudara saudari semua klik pada pautan yang diberikan ini:
http://www.genting.com.my/en/casino/index1.htm
http://www.gab.com.my/
http://www.carlsberg.com.my/

Sekiranya kalian sudah membuka pautan yang telah di beri, apakah reaksi kalian. Apakah kata Iman anda? Tidakkah terdetik setitis kemarahan terhadap kemungkaran dan maksiat yang bermaharajalela secara sah di tanah air sendiri? Adakah kita hanya mempercayai ayat al-Quran yang berkaitan dengan solat, puasa, zakat dan haji sahaja dan mempersetankan ayat al-Quran yang menyatakan tentang pengharaman arak dan judi. Adakah kita terlalu alpa sehingga terlepas pandang terhadap ayat ke 90 dalam surah al-Maidah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."???

Persoalan!!! Siapakah yang membenarkan mereka beroperasi dengan bebas secara sah di tanah air kita yang tercinta ini? Siapakah yang memberi permit dan lesen perkilangan minuman keras di Malaysia. Sudah tentu kerajaan semasa yang mentadbir negara pada waktu ini. Siapakah mereka? Mereka adalah yang kita pilih di setiap empat tahun sekali. Mereka yang tidak pernah kalah dan takut kepada Allah. Siapa lagi kalau bukan U@#O.

Undi Umno bererti membenarkan mereka mentadbir negara. Mereka mentadbir negara tidak berlandaskan syariat. Ini bermakna kita memilih mereka yang tidak menghiraukan syariat Allah. Oleh kerana mereka tidak menghiraukan syariat Allah, maka mereka bertindak memilih untuk membenarkan pengasilan arak dan perniagaan judi di dalam negara. Ini juga bermakna mengundi Umno beerti membenarkan dan membiarkan arak dan judi menguasai tanah air. Maka setiap undian adalah syafaat (pertolongan) untuk melakukan keburukan (maksiat). Maka setiap syafaat buruk akan ditimpal dengan bebanan dosa. Maka kesimpulannya... mengundi Umno akan ditimpa bebanan dosa yang berat selama empat tahun.

Bayangkan!!! Sekiranya kita dicabut nyawa ketika masih lagi mengundi Umno, bagaimana kita hendak berhadapan dengan pertanyaan Malaikat di alam kubur nanti. Bagaimana hendak berhadapan dengan pengadilan Allah di akhirat nanti? Atau pun sudah tiada lagi keimanan terhadap hari akhirat? Adakah kehidupan ini kehidupan abadi yang tiada menemui kematian???

KATAKAN TIDAK PADA UMNO!!! SETIAP UNDIAN MEMBAWA BALA!!!

Thursday, February 14, 2008

EHEEEMMMM!!!

Assalamualaikum....Eheeeemmm!!! Dah naik kulat blog ni. Lama betul saya 'lok' blog ini sehingga ada sesetengah pembaca dah mula jelak untuk melayarinya. Bukan ketiadaan cerita, bukannya tiada peristiwa dan bukannya hidup ku ini kosong dari kenangan. Malah semenjak 4-6 bulan lepas, hidup ku penuh dengan peristiwa dan kenangan. Kenangan yang terindah untuk diri ku adalah pertukaran alam dari keseorangan kepada berteman.


Alhamdulillah, pada tanggal 17 Ogos, bermulalah kembara terindah yang terungkap dengan kata-kata. Dahulunya aku sering berkembara sendirian. Tapi sekarang setiap langkah atur tari ku tak sesumbang dahulu. Kesumbangan ku dalam meniti arus tarian hidup dapat diimbangi oleh atur langkah yang kemas lagi berseni sehingga ku merasakan alam ini adalah milik ku.

Namun begitu, bukanlah perasaan gembira sahaja yang dipuja. Tetapi aku perlu akur bahawa di sebalik kegembiran akan terguris jua sedikit kegusaran. Kegusaran bukanlah berpunca dari perkara yang tidak berasas. Tetapi ia adalah suatu peringatan dari Allah bahawa ia adalah suatu amanah yang wajib dipikul oleh setiap anak Adam yang bergelar suami. Aku begitu gusar bila mengenangkan kegagalan ku dalam memenuhi amanat yang Allah amanahkan untuk ku.


Walau bagaimana pun, akan ku gagahi jua dalam merintangi setiap badai dan taufan yang melanda berbekalkan ilmu, iman dan tawakkal. Semoga Allah memudahkan setiap urusan ku. Semoga pasangan ku sesejuk mata ku memandang. Semoga zuriat ku menjadi golongan yang mendirikan solat. Dikaulah citra terindah untuk ku selamanya, wahai Zaujatee Habeebatee...