
Ibu bapa sentiasa kesunyian lebih-lebih lagi jikalau anak-anak berada diperantauan. Tidak kiralah apa jua alasan anak-anak itu diperantauan samada bekerja atau belajar. Namun disudut hati mereka amat mengharapkan agar ada anak-anak akan menemani mereka di malam hari raya pertama. Ini kerana pada waktu itulah masa yang paling kritikal untuk menyiapkan segala persediaan menyambut 1 Syawal. Bermula hiasan rumah hinggalah ke juadah hari raya. Bagi ibu bapa yang masih muda bertenaga, mungkin tidak menjadi masalah. Tetapi jika ibu bapa itu sedang meniti hari di ufuk usia, sudah tentu tiada lagi kudrat untuk berbuat sedemikian. Oleh itulah kehadiran anak-anak di malam hari raya pertama menambahkan lagi semangat, keceriaan dan kebahagian buat mereka. Tetapi janganlah hanya meramaikan bilangan sahaja tanpa menghulurkan sekerat dua pertolongan. Bagilah kepada kedua ibu bapa kerehatan yang cukup untuk menyambut kedatangan Syawal yang mulia ini agar mereka sentiasa ceria dan bahagia.
Namun begitu sentuhan ibu dalam menyediakan juadah adalah dambaan bagi setiap anak-anak. Oleh itu bantulah mereka dalam menyediakan juadah agar bebannya menjadi ringan.Apa yang menjadi persoalan dan masalah ialah apabila juadah yang disediakan oleh penat lelah ibu tidak dihargai oleh anak-anak. Mungkin juadah itu ketinggalan zaman, kuih orang lama atau ia tidak menyelerakan. Apa yang perlu dilakukan oleh anak-anak agar mencicip sedikit juadah yang disediakan oleh ibu. Paksalah diri dan anak-anak untuk "melahap" juadah ibu serta cuba-cubalah bertanya kepada ibu akan resepinya semacam ingin mencubanya sendiri. Jika ianya mampu dibuat, insya-Allah akan terpancar senyuman yang paling manis dari ibu. Tidak ada yang paling membahagiakan melainkan dapat menatap wajah kedua orang tua yang sentiasa senyum ceria di hari yang penuh bahagia ini.
Berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa semoga mendapat rahmat seperti mana Uwais al-Qarni dirahmati oleh Gusti Ilahi...ameen!
No comments:
Post a Comment