Sunday, May 28, 2006

Aku Pun Tak Tahu


Assalamualaikum. Agak lama tak menulis. Tidak diketahui puncanya. Pelbagai alasan boleh direka bertujuan membela diri . Tetapi punca asalnya adalah malas dan asyik merayau-rayau tak tahu mana nak dituju. Biasalah manusia ni. Ada masa kita Syirah (cergas) dan ada masanya Fatrah (lemah dan lemas). Sesuai dengan sabda nabi S.A.W yang bermaksud: dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W telah bersabda: " setiap perkara itu ada masa cergas dan setiap benda yang cergas itu ada masa yang lemah dan beku". Hadis ini telah diriwayatkan oleh Imam Tarmizi (terima kasih Pok Se di atas pertolongan demo tentang hadis ni). Hadis ini secara ringkasnya menerangkan fitrah manusia itu sendiri. Ada masa manusia ni cergas dan bersemangat sekali dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Dan akan datang juga masa di mana manusia menjadi bosan, malas dan jemu dengan pekerjaan yang dibuat. Tetapi janganlah pula hadis ini dijadikan hujjah untuk kita bermalas-malas dalam melakukan pekerjaan lebih-lebih lagi melakukan ibadat. Tetapi kemalasan yang melanda diri ini sedikit sebanyak dapat diubati dengan bersantai-santai di Kota Bharu dan sempat bermalam semalaman di rumah sahabat. Hasbullah namanya. Terima kasih kerana berbesar hati menerima kawe menjadi tetamu, melayani kawe membeli martabak segera dan juga empat lima biji buah kuini.

Di Kota Bharu saya pergi ke Pesta Buku Peringkat Negeri Kelantan. Sesampainya di sana, saya menjadi tergamam. Melihat lautan budak-budak kecil terdiri dari pelajar sekolah rendah. Terasa nak balik ke negara Republik Jerteh semula untuk menukar pakaian dan memakai seragam sekolah. Tapi hajat tu dibatalkan sahaja. Timbul di hati yang busuk ini persoalan; ini pesta buku atau pesta budak sekolah? Suasana sebegitu tidak menyelesakan bagi saya untuk menyelak setiap buku yang disusun. Dengan budak-budak sekolah bergelewak serta merembeskan bau yang pahit sedikit sebanyak memeningkan kepala dan meloyakan tekak. Namun bila dikenang kembali, itulah saya sebelum 20 tahun lalu, budak kecil yang besar, berpeluh, hangit dan menyerabutkan manusia. Kenangan tersebut memadamkan keegoan untuk menyelam ke dasar pesta buku bersama-sama budak-budak yang bergelewak.

Suatu suasana yang agak menginsafkan saya ialah di celah-celah kegelewakan budak-budak sekolah ada beberapa insan yang amat mulia iaitu cikgu, ustazah, ustaz, sir dan seumpama dengannya. Di tengah kebingitan dan kehangitan budak-budak sekolah ini mereka masih lagi mampu tersenyum yang saya kira itulah senyuman yang cukup ikhlas. Sabar, tenang dan enjoy melayan kerenah budak-budak. Suasana ini cukup mengagumkan dan sedikit sebanyak menginsafkan diri ini betapa besar dan sabarnya seorang insan bergelar guru ini. Kalau dibandingkan diri ini, memang saya tak sabar dengan budak-budak. Sehari dua tak apa lagi. Tapi kalau hari-hari, silap hari bulan makan sepak terajang. Tapi para cikgu ini tetap cool mengendali fe'el budak-budak kecil ini Jangan rendahkan profesion cikgu kerana hanya insan terpilih sahaja yang layak dan mampu menjadi guru.

Sebenarnya hajat di hati ingin mencari buku-buku novel dan cerpen karangan Prof. Shahnon Ahmad seperti Ranjau Sepanjang Jalan, Seluang Menodak Baung, Selesai Sudah dan lain-lain lagi. Buku-buku tersebut pernah saya lihat di waktu kehangitan ku. Tetapi masa tu aku asyik dengan dunia ku sendiri sahaja. Melihat buku-buku itu samalah aku melihat tiang elektrik. Tidak mempunyai apa-apa nilai pun. Saya mula menyukai karya Shahnon Ahmad apabila mula membaca buku Selesai Sudah. Sebuah antologi cerpen yang sarat dengan mesej yang berbaur kritikan terhadap masyarakat baik di desa mahupun di kota. Tetapi buku tu entah ke mana sesatnya. Mungkin termasuk alam bakul sampah atau ada tangan-tangan ghaib meminjam buku itu. Tak tahulah. Di masa saya membaca Selesai Sudah itu, masyarakat tengah geger dengan buku Shit karangan Prof. Tapi saya tidak berminat sangat dengan buku itu kerana saya menganggap bahawa barang siapa yang membawa, memegang dan membaca buku tersebut maka dialah orang yang paling politik dalam Malaysia. Jadi sampai sekarang saya tidak menghabiskan pembacaan buku Shit itu. Terasa loya dan lugar dengan situasi politik di waktu itu. Semua nak jadi reformis dan revolusioner. Nantilah setahun dua lagi bila ia dah jadi vintage saya akan membacanya kelak. Baiklah kita berbalik kepada cerita asal saya tadi untuk mencari buku Prof. Shahnon Ahmad. Hajat saya dimakbulkan Allah walaupun buku sebenar yang hendak dicari tidak jumpa tapi buku yang saya beli ini memang memuaskan hati. Saya dah mula bacanya dan belum mengkhatamkannya lagi. Mungkin dua atau tiga hari lagi kut. Tajuk buku itu ialah "Detik-detik Diri di Daerah Daif". Buku ini telah lama diterbitkan iaitu pada tahun 1991 di mana ia mula-mula dicetak. Masa itu saya baru tingkatan satu dan tahap kehangitan saya semakin memuncak. Apa yang menarik tentang buku tersebut?

Buku ini menceritakan tentang pengalaman Prof. Shahnon Ahmad semasa zaman kecil beliau di kampungnya bertempat di daerah Sik, Kedah. Buku ini merupakan karya autobiografi (saya sendiri tidak berapa faham maksud sebenar terma ini) yang menyingkap pengalaman dan liku-liku hidup beliau di zaman budak secara jujur dan berterus-terang. Membaca mukadimah buku ini seolah-olah menyentap ubun-ubun kita untuk terus masuk ke dalam buku ini. Begitu sekali telahannya. Buku ini sangat menarik tambahan pula ianya diselitkan dengan unsur-unsur jenaka. Saya akan petik satu perenggan dalam novel ini. Harap-harap saya tidak disaman oleh pihak berwajib. Petikan tersebut berbunyi: "Paling yang tidak dapat dilupakan ialah hal penyakit yang cepat berjangkit. Entahlah! Aku sendiri adalah tahi penyakit dan penyakit yang tak dapat dilupakan ialah bisul. Bisul tumbuh tak habis-habisnya. Kerapnya tumbuh di punggung atau di paha berdekatan dengan lutut. Apabila bisul itu pecah dan keluar nanah dan punatnya, tumbuh lagi di tempat lain sehingga punggung aku sewaktu kecil tak pernah renggang daripada bisul. Setiap biji bisul memakan masa hampir sepuluh hari baru masak dan pecah. Bisul itu membesar dan sakitnya bukan main lagi. Kadang-kadang dua tiga naik sekali gus. Kadang-kadang tumbuh di tempat-tempat luar dugaan: dalam lubang hidung, dalam telinga, di telur kemaluan, di kepala lutut, di dahi dan lebih-lebih lagi dalam ketiak kiri kanan. Memang sukar diduga pertumbuhannya. Ibu dan bapa tak ada kerja lain selain memicit bisul-bisul ku apabila bisul-bisul itu sudah masak. Dipicitnya sampai habis nanah keluar dan dituruti dengan korekan sehinggan terpancut punatnya. Kata orang, kalau punat keluar, bisul tak naik lagi. Bohong! Karut! Sudah banyak kali benar punat terbit tapi bisul galak juga tumbuh macam kulat pada musim "hujang". Oleh kerana perenggan ini, saya ketawa tak henti-henti. Tapi tak tahu la pula orang lain. Takut-takut ianya biasa sahaja. Tapi yang paling memelikkan sehari selepas itu saya pula naik bisul. Bisul di bawah ketiak kanan. Kedudukannya agak strategik dan sukar dijangkakan. Saya cuba mempraktikkan petua memicit bisul sehingga keluar punat. Nanah dan darah memang banyak keluar tapi punatnya belum juga terbit. Lalu saya ambil minyak "habbatus saudaa" lalu disapu pada bisul ini. Alhamdulillah ianya semakin pulih dan denyutannya berkurangan. Benarlah sabda Rasulullah S.A.W bahawa "habbatus saudaa" adalah penawar bagi segala penyakit. Ini adalah penemuan baru bagi saya dan ia boleh diamalkan oleh kawan-kawan sekalian. Berimanlah dengan hadis nabi, insya-Allah berkatnya ada.

Sebenarnya saya tak tahu apa yang saya cakap ni kerana saya sendiri tak tahu. Tapi jelasnya saya berada dalam tempoh Fatrah (lemah, malas dan sejuk) di samping kekeringan idea dan kekurangan rujukan (tapi semua ini hanya alasan sahaja). Semoga Allah menetapkan hati ini agar sentiasa thabat (teguh) dalam perjuangan membela agama Nya.

Direka oleh:
Ben Hassan Ahmed

Thursday, May 18, 2006

Selamat Hari Ibu

Hari ibu adalah perayaan untuk menyambut dan mengenang jasa serta pengorbanan seorang ibu. Hari ini disambut oleh seluruh umat manusia di serata dunia tetapi masanya berbeza mengikut tempat atau negara. Di Malaysia ianya disambut pada hari ahad minggu kedua pada bulan Mei sama seperti negara Amerika, Australia, Kanada, Brazil, Singapura dan lain-lain. Manakala kebanyakan negara Arab menyambut Hari Ibu pada 21 Mac. Pada Hari Ibu ini adalah masa yang paling sibuk di kebanyakan negara di dunia ini. Pada tahun 1973, Perkhidmatan Pos Amerika Syarikat terhenti selama 8 hari disebabkan kebanjiran surat yang di pos sempena hari ibu ini. Rangkaian talian telefon juga sibuk pada hari kerana masing-masing mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat Hari Ibu kepada ibu mereka (http://en.wikipedia.org). Namun adakah kita semua mengetahui apakah asal usul perayaan Hari Ibu yang disambut oleh umat manusia di seluruh dunia?

Perayaan untuk memperingati ibu yang paling kuno berlaku pada zaman Greek lama. Perayaan ini timbul berpunca dari upacara pemujaan Rhea, ibunda para dewa yang juga isteri kepada Cronus, bapa para dewa. Pemujaan ini dilakukan di antara 15 Mac hingga 18 Mac (http://en.wikipedia.org/).

Setelah itu pada abad ke 17 bangsa Inggeris mula meraikan Hari Ibu bermula dengan memperingati hari yang mereka sebut sebagai Mothering Sunday bertujuan memperingati para ibu. Pada masa itu banyak golongan miskin di England bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman orang berada. Sebahagian mereka terpaksa bekerja di tempat yang jauh dari kediaman mereka dan menetap di rumah majikan masing-masing. Pada hari Mothering Sunday ini mereka diberi kesempatan oleh majikan masing-masing untuk bercuti dan pulang ke kampung halaman. Jadi di waktu inilah mereka mengambil peluang untuk bersama-sama dengan ibu masing-masing. Satu kek telah dikenali sebagai Mothering Cake sering disajikan dalam perayaan ini sebagai tanda peringatan dan peringatan bagi kaum ibu. Kemudian bila mana agama Kristian mula tersebar ke seluruh Eropah, peringatan Hari Ibu berubah dengan menghormati Mother Church, yang dianggap sebagai sumber kehidupan yang melindungi mereka dari kezaliman. Maka perayaan di gereja selepas itu bercampur dengan peringatan Mothering Sunday, dan sejak itu masyarakat menghormati ibu mereka sama dengan menghormati gereja (http://voanews.com/).

Di Amerika Syarikat, Julia Ward Howe telah mencadangkan idea sambutan Hari Ibu pada tahun 1872. Howe, penulis sajak Battle Hymn of the Republic berpendapat bahawa sambutan Hari Ibu merupakan dedikasi kepada keamanan yang telah di kecapi setelah hidup dalam puaka perang saudara Amerika yang berlaku pada 1861 hingga 1865. Namun usaha beliau untuk menjadikan Hari Ibu sebagai perayaan rasmi menemui kegagalan disebabkan beberapa faktor yang tidak diketahui puncanya.

Namun usaha beliau mendapat perhatian Anna Jarvis, seorang suri rumah muda dari kawasan pergunungan Appalacia di US. Namun usaha beliau tidak menemui kejayaan yang membanggakan sehinggalah anak beliau yang bernama Anna Jarvis menyambung perjuangan untuk menjadikan satu hari dalam setahun dikhaskan bagi memperingati para ibu. Dengan perancangan yang rapi di bawah kelolaan Anna Jarvis sendiri, sambutan hari ibu yang pertama yang disambut secara rasmi pada 10 Mei 1908 di sebuah gereja di Grafon, Virginia Barat, Amerika Syarikat (http://blackdog4kids.com/). Pada hari tersebut beberapa buah negeri di Amerika Syarikat diisytiharkan cuti bermula di sekitar tahun 1912. Pada tahun 1914 Presiden Woodrow Wilson mengumumkan bahawa Hari Ibu adalah cuti umum bagi Amerika Syarikat (http://en.wikipedia.org/). Dari situlah perayaan Hari Ibu di sambut oleh umat manusia di seluruh dunia.

Jelaslah di sini bahawa perayaan Hari Ibu sedikit sebanyak ada kaitannya dengan acara keagamaan bagi agama Kristian. Sambutan Hari Ibu pada asalnya disambut di gereja-gereja, tetapi sekarang ia telah berkembang sehingga menjadi suatu hari yang disambut oleh semua umat manusia tanpa mengira agama dan bangsa.

Ibu di sisi Islam mempunyai kedudukan yang istimewa sehingga meletakkan hukum bagi mereka yang menderhaka ibu-bapa di antara dosa-dosa besar setanding dengan syirik kepada Allah, membunuh diri dan penyaksian palsu. Rasulullah, ketika mana baginda ditanya mengenai amalan yang dicintai oleh Allah maka baginda bersabda di antaranya ialah berbakti kepada ibu-bapa selain solat di waktunya dan berjihad di jalan Allah. Pernah baginda menyuruh salah seorang sahabatnya agar tidak menyertai jihad disebabkan beliau masih mempunyai kedua ibu-bapa kerana berbakti kepada keduanya adalah juga dikira sebagai jihad.

Berbakti kepada kedua ibu bapa mempunyai fadilat yang besar. Dan berbakti kepada ibu lebih terutama sebagaimana penegasan yang disabdakan oleh Rasulullah S.A.W kepada seorang lelaki yang bertanya kepadanya mengenai orang yang paling layak untuk didampingi: " Daripada Abu Hurairah r.a berkata: telah berkata seorang lelaki; “Wahai Rasulullah! Siapakah manusia yang paling berhak untuk dibuat sebaik-baik pergaulan? Sabda (Rasulullah S.A.W) ibu mu, ibu mu, ibu mu kemudian bapa mu kemudian siapa di bawah kamu dan siapa di bawah mu." (hadis riwayat Muslim). Rasulullah juga menyifatkan seorang ibu sebagai semulia-mulia insan dengan mengatakan bahawa syurga itu terletak di bawah telapak kaki. Inilah kedudukan ibu di sisi Islam yang begitu mulia dan terpuji.

Dalam Islam juga tiada sambutan khusus untuk meraikan ibu. Tidak ada hari khusus untuk menyatakan ucapan terima kasih kepada ibu. Ini kerana kewajipan merai, berterima kasih dan mengenang jasa ibu adalah suatu kewajipan sepanjang masa. Sebagai umat Islam, kita diwajibkan mentaati, menghormati dan menghargai jasa ibu setiap masa dan ketika lebih-lebih lagi apabila usia mereka mula menjelang senja. Allah Taala mengharamkan kita berlaku biadab dan kurang sopan kepada kedua ibu-bapa lebih-lebih lagi kepada ibu kita. Allah telah mengharamkan ucapan "Ahh!!" dan apa jua perkataan yang menyinggung perasaan ibu. Ibnu Abbas pernah ditanya mengenai makna berbakti kepada ibu-bapa. Beliau menjawab cara berbakti itu terlalu banyak. Lalu beliau ditanya lagi apakah makna derhaka. Lalu beliau menjawab bahawa yang dikatakan derhaka itu yang sekecil-kecil perkara adalah apabila seseorang itu mengibas-ngibas kain atau bajunya maka habuk dari kain tersebut berterbangan mengenai ibu kita. Maka perkara itu pun sudah dikira sebagai derhaka.

Sebenarnya banyak cara untuk kita menyatakan penghargaan dan terima kasih terhadap ibu kita. Bukan sekadar lafaz "Selamat Hari Ibu" pada hari ibu dan memberi cenderahati sahaja, bahkan lebih dari itu. Allah telah memberi panduan bagaimana kita bergaul dengan ibu kita. Allah mewajibkan kita mentaati ibu dari segi perkataan mahupun dengan perbuatan. Dengan perkataan Allah mengharamkan kita berkata "ahh!!" ataupun menengking, menyergah dan segala ucapan yang menyakiti hati ibu. Semuanya itu hendaklah digantikan dengan ucapan serta perkataan yang sopan dan mulia. Firman Allah Taala: "hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaan mu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ah", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun), Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayang mu" (al-Israak: 23). Di samping itu kita mestilah sentiasa berdoa untuk kebahagiaan dan kesejahteraan dengan mengharap semoga Allah mencucuri rahmat ke atas ibu kita. Firman Allah Taala yang bermaksud: "doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhan ku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidik ku semasa kecil" (al-Israak: 24).

Dari segi perbuatan, kita diwajibkan berbakti kepada ibu kita dengan mengurangkan beban kerjanya dengan menolong serta membantu dengan sedaya upaya. Selain itu semasa bersama dengan mereka hendaklah kita merendahkan diri kita agar ibu kita tidak terasa asing dan segan dengan status kita. Kebanyakan masyarakat sekarang ini tahap pendidikan dan intelek mereka terlalu maju berbanding tahap pendidikan ibu mereka. Oleh itu gunakanlah perkataan yang sesuai dengan tahap pendidikan mereka agar tidak timbul rasa rendah diri dan malu dalam diri mereka nanti. Gunakanlah perkataan yang mudah difahami agar beliau tidak terasa asing dan ketinggalan. Hinakanlah diri kita di hadapan ibu kita.

Banyak cara untuk kita melahirkan terima-kasih kepada ibu kita. Selain daripada hadiah berbentuk material dan berbentuk kerohanian seperti doa, kita juga perlu menjaga jasmani ibu kita dari sudut kesihatan, pemakanan dan aktiviti ibu kita. Sentiasa memantau tahap kesihatan ibu agar sentiasa unggul sehinggalah beliau pergi dijemput Ilahi dan juga mengawal pemakanan agar diet makanannya seimbang. Selain dari itu emosi juga perlu dikawal dan dijaga. Janganlah kita menimbulkan masalah sehingga membawa kerunsingan kepada beliau. Bimbang-bimbang kita tergolong dalam golongan mereka yang derhaka. Nauzubillah, semoga Allah melindungi kita semua. Wujudlah suasana harmoni dalam rumah tangga di antara pasangan masing-masing dan anak-anak dengan ibu. Sekiranya ada masalah timbul selesaikanlah masalah dengan berpandukan al-Quran dan Sunnah dan bukan menjadikan emosi dan nafsu sebagai neraca timbangan.

Satu lagi perkara yang perlu difahami bahawa hari ibu yang sebenar bukanlah hari yang sambut oleh kebanyakan manusia di dunia ini. Hari Ibu yang sebenar adalah pada hari kelahiran kita atau kita panggil hari jadi kita. Pada hari ini ibu kita lah yang paling layak diraikan dan bukanlah kita yang sebenarnya. Pada hari tersebut ibu kita berada diambang maut. Berjuang dengan maut demi menyelamatkan satu jiwa yang dipanggil "kita". Kita wujud di atas ihsan seorang ibu. Ibu lah yang sudi melahirkan kita. Bukan setakat itu beliaulah yang menjaga kita dengan penuh susah payah dan kasih sayang. Firman Allah Taala: "Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada Ku dan kepada kedua ibu-bapa mu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)" (Luqman: 14).

Ingatlah para sahabat sekalian bahawa janganlah kita terlalu seronok merayakan hari jadi kita kerana di sebalik hari itu terdapat seorang jiwa yang bernama ibu bergelut dengan maut. Kenanglah jasa ibu kalian bukan di hari Ibu sahaja tetapi kenanglah dia sepanjang hayat kita. Kita tidak perlu memilih cara yang selain dari Islam untuk menyatakan kecintaan kepada Ibu. Islam telah menyatakan cara yang jelas untuk berhubung dengan ibu-bapa kita.

Janganlah sesekali kita menganggap bahawa cara hidup Islam yang terdapat dalam al-Quran suatu yang kolot atau totok (ekstrem) dan mengamalkan sunnah nabi suatu yang konservatif (tertutup) bimbang-bimbang terjatuh dalam lembah kekufuran. Amat rugilah jika kita merasakan bahawa kita mengamalkan cara hidup barat suatu yang maju dan moden dan meninggalkan terus nilai agama dalam kehidupan kita. Islam tidak pernah menghalang kemajuan dan kemodenan tetapi kemajuan dan kemodenanlah yang selalunya menghalang Islam dari diamalkan. Islam bukanlah suatu agama yang direka-reka oleh manusia tetapi ia adalah agama yang dicipta oleh Pencipta manusia dan agama yang diredhai oleh Nya.

Thursday, May 11, 2006

Selamat Hari Buruh

Segala puji dan puja hanyalah kepada Allah raja sekalian makhluk. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para keluarganya, sekalian sahabatnya dan para pendukung kitab Allah dan Sunnah Nabi.

Rasanya tidak terlalu lewat untuk mengucapkan "Selamat Hari Buruh" kepada semua buruh yang Muslim khususnya dan bukan Muslim amnya. Hari Buruh yang disambut pada 1 Mei setiap tahun adalah satu penghargaan buat para buruh di seluruh dunia dengan mengisytiharkan cuti umum pada hari tersebut. Namun timbul pelbagai tanggapan baik pro mahupun kontra tentang sambutan hari tersebut dan juga perjuangan kaum buruh. Insya-Allah artikel yang tak seberapa ini cuba menyentuh beberapa isu yang berkaitan dengan Hari Buruh dan buruh.

Ada yang berpendapat bahawa 1 Mei adalah tarikh tertubuhnya pergerakan sulit Yahudi antarabangsa iaitu Pertubuhan Illuminati. Pertubuhan yang ditubuhkan pada 1 Mei 1776 di Jerman adalah bertujuan untuk merampas kuasa kerajaan melalui kuasa revolusi dan pemberontakan. Kebanyakan anggota Illuminati ini adalah pemodal-pemodal elit antarabangsa yang beraliran mistik Kabala yang bertuhankan "LUCIFER". Pengaruh mereka itu diperkembangkan melalui pertubuhan sulit Freemason di Eropah bernama 'Grand Orient Freemasonary'. Sebenarnya pertubuhan ini digunakan sebagai alat oleh Illuminati sungguhpun ramai daripada kalangan anggota Freemason itu tidak sedar bahawa pertubuhan mereka telah diresapi oleh anggota 'Illuminati'. (Sulaiman Nordin, Sejarah Pemikiran: Sumber Ilmu, Perbandingan Ideologi dan Orde Baru Dunia, cetakan Jun 1999, Pusat Pengajian Umum, UKM, m/s 103). Oleh itu 1 Mei yang diabadikan sebagai Hari Buruh Sedunia adalah bersempena penubuhan persatuan sulit Yahudi ini. Ini adalah pendapat yang memandang bahawa sambutan hari buruh seolah-olah merai tertubuhnya persatuan sulit Yahudi dan tidak harus dirayakan.

Ada juga yang melihat dari aspek yang berbeza, bahawa hari buruh adalah suatu hari yang mengiktiraf jasa, pengorbanan dan sumbangan yang telah dijanakan oleh kaum buruh dalam memakmurkan sesebuah negara. Di hari ini juga ada beberapa pihak melancarkan demonstrasi di jalanan menuntut hak keadilan untuk kebajikan para buruh seperti mana yang berlaku di Indonesia, Bangladesh, Jepun dan Taiwan. Perjuangan keadilan buruh banyak disokong oleh pergerakan Sosialis dan Komunis. Lambang bendera bekas negara sosialis Soviet Union iaitu sabit dan tukul adalah simbolik perjuangan golongan buruh atau 'working class'. Banyak teori-teori dalam fahaman komunis dan sosialis menyokong dan membela nasib kaum buruh sekiranya diselidiki. Ini jelas dalam buku-buku rujukan utama cendekiawan komunis iaitu Manifesto Komunis oleh Karl Marx, Sosialisme: Utopia dan Saintifik karya Frederick Engels dan lain-lain. Ikon bagi golongan buruh, Che Guevara selalu dikaitkan dengan pembela kaum buruh di samping lambang revolusioner sejagat. Beliaulah pembangkit semangat revolusi Cuba bersama-sama Fidel Castro berjuang membebaskan Cuba dari imperialisme atau penjajahan berslogankan anti-imperialis di samping melancarkan beberapa siri peperangan gerila terhadap penjajah. Di mana-mana demonstrasi yang melibatkan kaum buruh gambar beliaulah dijulang dan diangkat sebagai lambang perjuangan kaum buruh.

Dalam falsafah negara sempurna Plato (ideal state) golongan buruh di tempat pada kelas yang ketiga. Kelas pertama ialah kelas penasihat dan pembimbing (counsellors) iaitu para cendekiawan atau para ahli falsafah, yang kedua kelas pembantu (the state assistants) iaitu anggota tentera dan yang ketiga ialah kelas penghasil (money makers) yang terdiri daripada para petani, pengusaha, peniaga, tukang kasut, tukang kayu, tukang besi dan sebagainya (J.H Rapar, Falsafah Politik Plato, cetakan kedua 1993, Dewan Bahasa dan Pustaka, m/s 60). Falsafah Plato ini telah serapkan dalam minhaj ataupun metode pentadbiran komunis. Kesemua ini cuba dilaksanakan secara harmoni demi mewujudkan negara ideal dan juga utopia (syurga) yang diidamkan oleh mereka. Namun idea ini tidak berapa ideal bila mana ia dipraktikkan dalam politik dunia oleh pemimpin komunis dalam mentadbir negara seperti Lenin, Stalin, Trotksy, Mao dan Pol Pot. Terlalu banyak kekejaman yang berlaku dalam pemerintahan mereka di mana beratus ribu rakyat dibunuh tanpa belas kasihan semata-mata untuk mencapai utopia mereka. Kita boleh merujuk buku Malapetaka Darwinisma Terhadap Kemanusiaan karangan Harun Yahya yang menceritakan kekejaman pemimpin-pemimpin komunis yang mengamalkan falsafah Plato ini dan teori evolusi rekaan Charles Robert Darwin. Oleh itu komunisme dan sosialisme adalah bukan wadah sebenar yang memperjuangkan nasib para buruh. Maka apakah fahaman ataupun ajaran yang membela dan memperjuangkan nasib "working class" ini?


Islam Adalah Agama Rahmat Sejagat

Firman Allah Taala: "tidaklah kami utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan rahmat bagi sekalian alam". Ini adalah asas yang perlu difahami oleh seluruh manusia bahawa kedatangan nabi Muhammad ke dunia ini dengan membawa perundangan Allah yang dipanggil syariat adalah rahmat bagi seluruh makhluk. Islam tidak membawa kecelakaan dan kemunduran. Bukan membawa kongkongan yang bersifat membuta-tuli sehingga lari dari fitrah manusia itu sendiri. Bahkan menjaga kepentingan sesuai dengan fitrah semula jadi manusia itu sendiri. Rahmat yang bersifat sejagat meliputi setiap kelas dan golongan manusia baik pemimpin mahupun rakyat biasa. Islam tidak menafikan bahawa di sana wujud kelas sosial dalam sesebuah masyarakat tetapi Islam tidak memandang ia suatu yang penting kerana piawaian kemuliaan seseorang itu bukan bergantung kepada kelas di mana mereka berada tetapi ketakwaanlah jua yang menjadi kayu pengukur kemuliaan seseorang insan di sisi Allah Taala. Di dalam sebuah masyarakat ataupun negara perlu kepelbagaian golongan kelas sosial agar keharmonian dan kestabilan baik dari segi ekonomi, keamanan dan kerohanian menjadi seimbang dan saling berinteraksi antara satu sama lain dengan baik dan penuh harmoni.

Rasulullah menyifatkan orang mukmin dengan mukmin yang lain sama seperti satu bangunan yang saling kukuh mengukuhi antara satu sama lain seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Musa Assyaari. Rasulullah telah menyifatkan orang mukmin dengan mukmin lain seperti satu bangunan. Apabila kita memerhatikan kepada bangunan sudah tentu kita akan melihat bangunan itu terdiri daripada lantai, tiang, tangga, atap dan dinding. Kalaulah seluruh bahagian bangunan ingin menjadi tangga adakah wujud sebuah bangunan? Jika semua juzuk bangunan ingin menjadi atap siapakah pula yang ingin menjadi tangga, lantai dan dinding? Ini adalah satu perumpamaan yang cukup indah untuk kita fikirkan. Begitulah juga sekiranya kita memindahkan fenomena bangunan ini di dalam kehidupan manusia yang terdiri pelbagai kelas sosial yang saling berbeza. Di sana adanya petani, nelayan, pegawai kerajaan, ulama, doktor, guru, petani dan anggota keselamatan. Sekiranya seluruh individu dalam sesebuah masyarakat ingin menjadi petani, maka siapakah pula yang akan menjaga dan mentadbir negara? Jika semuanya ingin menjadi pegawai siapa pula yang ingin mencari sumber makanan dan menjaga keamanan negara? Ini adalah kelas sosial yang wujud secara semula jadi yang tidak perlu diperbesarkan isunya kerana isu yang lebih besar yang perlu dititik beratkan iaitu soal keimanan dalam mengurus dan mentadbir alam dengan berlandaskan syariat. Rahmat Islam yang bersifat menyeluruh sudah tentu akan memperjuangkan keadilan segenap lapisan masyarakat termasuklah kaum buruh itu sendiri. Akan tetapi perlulah ditegakkan negara Islam terlebih dulu sebelum semua keadilan dan kesejahteraan Islam dapat terlaksana. Dirikanlah dahulu Daulah Islamiyyah dalam jiwa setiap Muslim, insya-Allah Islam akan ditegakkan.

Golongan buruh atau pun pekerja mempunyai kedudukan yang istimewa yang diberikan oleh Islam sehingga golongan ini haram dibunuh sekiranya berlaku peperangan yang terpaksa menyerang perkampungan. Sabda Rasulullah S.A.W ketika baginda berpesan kepada Khalid bin Walid: “Janganlah kamu membunuh zuriat (wanita-wanita dan anak-anak kecil) dan a’siif’ (pekerja yang dibayar upah)”. (Hadis riwayat Ibnu Majah). Perkataan “A’siif” bermaksud para pekerja yang dibayar upah bagi sesuatu pekerjaan dan juga para petani dan para pekerja pembinaan. (Imran bin Selamat, Kejahilan Pengarah Filem Melayu, m/s 4). Jelas di sini bahawa golongan pekerja mempunyai status yang penting dalam negara kerana tanpa mereka pembangunan sesebuah negara akan terbantut. Islam telah pun lama mendahului fahaman-fahaman lain termasuk komunis dan sosialis dalam membela nasib golongan buruh. Oleh itu amat tidak wajar bagi umat Islam itu sendiri mencari wadah yang lain selain Islam bagi memperjuangkan hak golongan buruh ini.

Di samping itu pekerjaan yang dilakukan oleh buruh adalah semulia-mulia pekerjaan ini kerana sabda Rasulullah S.A.W: " tidak ada satu makanan pun yang dimakan oleh seseorang itu yang lebih baik daripada memakan hasil kerja tangannya. sesesungguhnya nabi Daud A.S memakan makanan hasil dari tangannya". (Hadis riwayat Bukhari). Oleh itu kedudukan buruh dalam negara Islam tidak dapat dipertikaikan lagi kepentingannya. Oleh itu marilah kita bersama-sama berusaha untuk menegakkan negara Islam di dunia ini dan bersama-sama memakmurkan bumi Allah yang diamanahkan oleh Nya kepada kita semua agar kita semua dapat mengacapi kebahagiaan dan kemakmuran negara. Semoga kita sempat untuk merasai Baldatun Toyyibatun wa Rabbun Gahfur (negara yang elok sempurna dan Tuhan mengampuni).

Akhir kata Selamat Hari Buruh buat semua golongan pekerja. Semoga Allah memberkati kalian dan kita semuanya.

Disediakan oleh:
Ben Hassan Ahmed
Rabu, 11 Mei 2006.

Saturday, May 06, 2006

Kebebasan Sebenar (akhir)


Kebebasan Yang Sebenar

Bagi manusia yang ingin mengikuti arahan dan peraturan yang betul, maka kebebasan yang mereka inginkan ialah mendapat kebebasan diri untuk melakukan segala suruhan dan melaksanakan segala perintah yang terdapat dalam kitab panduan yang dibekalkan oleh Allah melalui utusannya Nabi Muhammad S.A.W.

Kita perhatikan di akhir-akhir ini berlaku ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat apabila golongan yang ingin mentaati ajaran Allah dihalang dan disekat oleh mereka yang ingkar dan dengki akan ajaran Allah. Mereka yang dengki dengan agama Allah ini selalu berusaha memisahkan diri mereka dari tanggungjawab yang telah diberikan kepada setiap hamba dengan memperjuangkan suatu perjuangan yang bertopengkan kebebasan hak kemanusiaan dengan melaungkan hak kebebasan wanita, kebebasan bersuara, kebebasan beragama dan lain-lain lagi. Memang tidak dinafikan adanya sedikit ruang kebebasan yang perlu diperjuangkan tapi janganlah cuba mencabar peraturan yang telah di aturkan Allah untuk manusia. Lebih-lebih lagi apabila kedaulatan agama Islam dicabar dan dipertikaikan. Majoriti perjuangan kebebasan hak kemanusiaan ini mempertikaikan peraturan dan batasan yang diwajibkan ke atas orang Islam. Islam tidak memaksa penganut agama lain untuk menganut Islam jauh sekali dari mengugut dan mengancam. Cuma Islam sangat mengambil berat terhadap penganut Islam sendiri. Apabila seseorang itu telah memeluk Islam maka dia secara automatik telah bersumpah dan telah menyerahkan diri mereka untuk menjadikan mati dan hidup hanyalah untuk Allah. Mereka juga telah berjanji dan bertaat setia agar menuruti segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan Nya. Apabila perjanjian dan sumpah setia ini dicabuli maka para pencabul akan disediakan hukuman sama ada hukuman di dunia dan hukuman di akhirat kelak. Dan hukuman di dunia wajib ditegakkan sekiranya sudah cukup terbukti salahnya. Jikalau ada keraguan maka pertuduhan digugurkan. Ini kerana Islam datang ke dunia ini adalah membawa rahmat dan mesej keamanan sejagat. Lagipun hukuman yang sebenar adalah di akhirat kelak.

Inilah konsep asas yang perlu difahami oleh mereka-mereka yang cuba ingin bercakap mengenai Islam dan janganlah bercakap dengan akal semata-mata tanpa memandang aspek ketuhanan dan kerohanian. Perlu diingat bahawa dalam Islam akal dan logik bukan panduan semata-mata. Ini kerana di sana terdapatnya perkara-perkara ghaib yang tak terjangkau oleh akal untuk mena'kulnya yang dikhabarkan oleh Allah dalam kitabnya dan juga melalui lisan para Rasul Nya. Semuanya ini wajib kita imani kerana ianya datang dari Pencipta kita, Allah Taala. Perlu ditegaskan lagi, kita semestinya menyedari dan mengimani bahawa di sana terdapat tuhan yang menjadikan manusia dan alam ini. Bukan itu sahaja malah disediakan juga segala peraturan dan sistem yang dipanggil Islam agar hidup manusia di dunia ini mendapat persetujuan Allah dan tidak menyongsang dari landasan yang benar.

Kita tengok sekarang "kepala" Islam mula dipijak-pijak oleh musuh Islam yang amat dengki dengan Islam yang dikenali sebagai IFC (Inter Faith Commission). Antara 15 tuntutan hak kebebasan yang diperjuangkan mereka kesemuanya menyentuh hal peribadi Islam yang cukup sensitif untuk dipertikaikan. Lebih menyakitkan lagi apabila perjuangan mereka mendapat perhatian dan sokongan dari Sister in Islam. Inilah perosak agama di atas nama agama. Nama pertubuhan ala-ala agama tapi merupakan duri dalam daging, gunting dalam lipatan, api dalam sekam dan musuh dalam selimut. Mereka tidak pernah mengkritik dan men"condemn" agama-agama lain tetapi hanyalah Islamlah yang mereka tumpu. Di sini jelas berlaku ketidakadilan dan "double standard" terhadap Islam. Hanya Islam yang diserang dan dicerca. Tetapi awas! Mereka bukan sahaja memusuhi orang Islam bahkan mereka turut memusuhi dan mencabar Allah dan para malaikatnya. Adakah pencabul-pencabul ini tidak pernah terdetik di hati mereka bahawa mereka akan mati dan dengan siapa mereka bakal temui. Apabila kematian menyapa maka tersingkaplah kebenaran dan terselubunglah kekesalan. Akan tetapi di waktu itu tiada lagi penyesalan kerana tempat untuk menyesal dan bertaubat adalah semasa hidup di dunia ini. Kita tentu marah apabila kedaulatan undang-undang negara dipersendakan oleh orang asing yang tidak sepenuhnya mengenai Malaysia. Akan tetapi mengapa kita tidak mempunyai rasa sensitif apabila hukum dan peraturan yang ditetapkan oleh pencipta kita iaitu Allah dipersendakan, dipertikai, dan dicabar kebesarannya. Pencabul-pencabul tadi sama sekali tidak berhak berkata atau menyuarakan pendapat sesedap rasa kerana mereka tidak mengenal Allah dengan sepenuhnya. Mereka tidak menilai Allah dengan sebaik-baik penilaian. Berhati-hatilah dalam mengeluarkan pendapat lebih-lebih lagi kalau ianya berkaitan dengan hak Allah. Takut-takut kekuatan iman semakin lemah dan mungkin semakin terhakis. Nauzubillah! dan semoga Allah memberi hidayah kepada kita dan mereka juga. Semoga mereka kembali ke pangkal jalan lantaran sesatnya mereka di hujung jalan. Pintu taubat masih terbuka buat mereka dan kita semua selagi mana matahari tidak terbit dari barat dan nyawa masih dikandung badan. Semoga mereka mempelajari Islam dari ahlinya dan bukan melalui pembacaan semata. Mereka perlulah melalui proses pengajian yang khusus dan perlu melalui beberapa disiplin dalam mempelajari ilmu Allah yang Maha Kaya. Ilmu Islam adalah sesuatu yang perlu dipelajari melalui guru kerana akal dan logik semata-mata tidak mencukupi untuk mempelajari agama Islam ini. Semoga Allah memberi taufik hidayat untuk kita semua.

Semoga kita bebas mengecap nikmat Islam yang dikurniakan oleh Allah kepada kita tanpa ada sebarang anasir luar yang cuba mengganggu gugat keharmonian iman kita serta agama Allah yang kita cintai ini. Semoga kita bebas mengecap kebebasan sebenar; bebas beramal dengan ajaran Allah dan berpegang teguh dengan sunnah Muhammad S.A.W.


Sekian, wallahua'lam.

Disediakan oleh:
Ben Hassan Ahmed.