Sunday, April 30, 2006

Kebebasan Sebenar 2

Kita Ini Milik Siapa?

Secara mudah untuk mengetahui fungsi sesuatu benda adalah kita bertanya kepada orang yang menciptakan benda tersebut. Ini adalah penting kerana fungsi sebenar benda tersebut dapat dipastikan agar ia diguna dengan cara dan tempat yang betul. Sekiranya kita ingin mengetahui fungsi sebenar sebuah kerusi mestilah kita bertanya kepada tukang pembuat kerusi akan fungsi kerusi tersebut agar ia dapat dimanfaatkan. Sekiranya sebuah kerusi dijadikan tempat meletak dapur atau dibuat tempat ayam bertenggek atau dijadikan barang permainan untuk kanak-kanak maka telah berlaku penyalahgunaan fungsi sebenar kerusi tersebut. Walaupun kerusi itu telah digunakan mengikut kemahuan dan kebebasan diri tuannya namun penggunaan kerusi itu masih lagi dianggap songsang oleh masyarakat yang waras. Ini kerana fungsi sebenar kerusi adalah sebagai tempat duduk bagi manusia. Itulah kehendak sebenar yang diingini oleh tukang membuat kerusi tadi.

Manusia juga tidak berhak menentukan hidup dan matinya sendiri. Kalau ditanya kepada manusia secara amnya adakah mereka menginginkan kematian? Semua orang akan menjawab tidak mahu. Namun begitu kita melihat kelahiran dan kematian saling silih bertukar ganti seolah-olah tidak dapat dipisahkan. Di mana ada kehidupan di situ ada kematian. Bak kata pepatah di mana ada gula di situ ada semut (tapi tak semestinya juga). Manusia juga tidak berhak memilih agar anak yang dilahirkan semuanya cantik dan elok dan putih. Tetapi kita tetap dapat melihat di sana adanya anak yang kurang upaya. Ada yang dilahirkan hitam dan juga yang coklat. Adakah manusia mempunyai kebebasan mutlak dalam menentukan hidupnya? Jelaslah di sini bahawa manusia mempunyai hak kebebasan yang terhad dan hak yang mutlak ke atas diri manusia itu adalah dimiliki oleh suatu kuasa yang maha agung yang mencipta manusia dan sistem untuk manusia.

Persoalannya di sini bagaimanakah kita sebagai manusia ingin mengetahui sistem dan juga peraturan yang perlu diikuti oleh setiap manusia agar selari dan tidak songsang untuk hidup di dunia ini dengan penuh harmoni. Jawapannya mestilah kita bertanya kepada Si Pencipta kita. Bagaimana caranya? Bagai mana kita ingin mengetahui apa yang Dia inginkan dari kita? Apa yang Dia suruh? Apa yang Dia larang? Apa yang Dia suka? Apa yang Dia marah? Bagaimana caranya untuk mengetahui semuanya ini?

Demi untuk memenuhi tuntutan ini maka Si Pencipta yang kita panggil Tuhan telah mengutus wakil-wakil Nya di muka bumi ini untuk memberitahu peraturan-peraturan berbentuk suruhan dan larangan agar manusia yang dicipta Nya ini tidak sesat ke peraturan atau sistem yang lain. Sekiranya manusia cuba memilih peraturan atau sistem yang selain dari apa yang diingini oleh Tuhan maka berlakulah pengkhianatan yang maha dahsyat. Wakil-wakil Tuhan yang diutus ke muka bumi ini dikenali sebagai rasul dan nabi. Setiap umat Tuhan menghantar utusannya agar diberi peringatan dan pengajaran yang berkaitan dengan peraturan dan sistem yang telah digariskan oleh Tuhan. Umat Yahudi, Tuhan mengutus Musa a.s dan dibekalkan manual yang lengkap yang merangkumi segenap aspek kehidupan yang dipanggil Taurat (old testament). Begitu juga dengan nabi Isa yang diutus kepada umat Nasrani dan dikurniakan kitab Injil (new testament) agar umatnya hidup berlandaskan sistem dan peraturan dang diingini oleh Tuhan.

Bagi umat akhir zaman seorang utusan telah diutus oleh Tuhan iaitu Muhammad S.A.W yang merupakan penutup segala utusan dan pelengkap bagi semua ajaran serta sistem-sistem utusan-utusan terdahulu. Kedatangan baginda ke dunia ini adalah membawa satu rahmat bagi sekalian alam, termasuklah manusia, jin, haiwan, tumbuhan dan alam semesta keseluruhannya. Ini ditegaskan oleh pengutus utusan ini iaitu Tuhan yang dipanggil Allah bagi orang Islam dalam buku panduan yang dikenali sebagai kitab al-Quran. Bagi kita yang ingin mengetahui perjalanan sebenar hidup di muka bumi ini berlandaskan sistem, peraturan dan ajaran yang betul maka kita hendaklah berpandukan buku atau kitab al-Quran dan juga ajaran Muhammad S.A.W yang merupakan terjemahan dari al-Quran itu sendiri agar segala tindak tanduk dan gerak kerja kita selari dan dipersetujui oleh yang menciptakan kita iaitu Allah Taala.
Secara kasarnya bolehlah kita fahami bahawa manusia bukan pemilik mutlak diri mereka sendiri bahkan ia adalah milik pencipta manusia iaitu Allah Taala. Janganlah kita bertindak semberono dalam menjalani kehidupan di dunia ini kerana di sana terdapat pelbagai sistem yang perlu dituruti agar diredhai oleh Allah Taala.

Thursday, April 27, 2006

Kebebasan Sebenar

?
Muqaddimah

Beberapa hari lepas bila bangun dari tidur selepas subuh (solat subuh dahulu baru tidur balik) saya buka radio Ikim.fm. Bicara paginya ada membincangkan persoalan kebebasan individu di dunia ini. Maka juruhebah radio membuka talian kepada orang ramai untuk bertanyakan pendapat mengenai tajuk ini. Terasa juga poyo diri ini untuk membuat panggilan bagi sama-sama berkongsi pendapat. Tetapi memandangkan kredit telefon bimbit pun kurang, jadi saya pendamlah dahulu idea yang tak seberapa ini dan diluahkan dalam blog. Ini blog saya jadi saya boleh sahaja meluahkan pandangan saya. Anda suka atau tidak, setuju atau tidak itu anda punya pasal (pinjam ayat Faisal Tehrani).
Insya-Allah artikel yang tak seberapa ini akan diolah dengan bahasa yang mudah agar dapat difahami oleh seluruh lapisan masyarakat sama ada dia itu pelajar sekolah, cikgu Pasti, jaga pencen, tukang jahit, cikgu-cikgu universiti mahu pun pelombong bijih. Kerana hak untuk tahu atau berilmu bukan hanya hak golongan intelektual tapi ia adalah hak seluruh manusia selagi mana mereka mahu belajar.
Dunia yang semakin global dan tiada sempadan menjadikan manusia berfikiran jauh dan melangkaui batasan. Manusia yang dahulunya dibelenggu oleh sesuatu sistem cuba merungkaikan belenggu ini demi perjuangan kemanusiaan yang dilaungkan oleh mereka. Bermula detik evolusi Perancis yang telah membebaskan para petani dari belenggu sistem feudal yang menjadikan mereka kain mengalas kaki bagi tuan tanah. Maka revolusi Perancis yang tercetus di sekitar 1789 telah mengembalikan kebebasan manusia yang sebenar dalam konteks barat dan seterusnya menidakkan kekuasaan tuan tanah yang terdiri dari para paderi terhadap para petani. Begitu juga dengan revolusi perindustrian di Eropah yang menyaksikan para petani membebaskan diri mereka dari kekangan tuan tanah dan mula beralih kepada sektor perindustrian. Dari situlah kebebasan individu mula tercapai dan manusia mula mengacapi kebahagiaan hasil dari kebebasan dan kemajuan.
Islam telah melangkaui proses pembebasan hak individu sejak pengutusan nabi Muhammad S.A.W hingga ke hari ini. Nabi Muhammad telah memperjuangkan kebebasan individu dari mengabdikan diri sesama makhluk kepada mengabdikan diri kepada yang selayaknya iaitu Allah Taala. Apabila seseorang itu mengucap dua kalimah syahadah, maka hak individu adalah sama dengan individu lain walaupun berbeza dari segi keturunan, pangkat dan bangsa. Hak kesamarataan yang bawa oleh Islam telah menjadikannya kuat hingga dapat menjatuhkan dua blok kuasa besar pada ketika itu iaitu Rom dan Parsi. Namun begitu terdapat pelbagai pendapat yang menganggap agama Islam adalah suatu agama yang menyekat kebebasan individu untuk bersuara, beragama dan bersosial. Inilah suatu usaha jahat yang telah dilancarkan kepada Islam semata-mata perasaan jahat serta berbaur dengki terhadap agama Allah yang maha suci ini.


Adakah Manusia Memerlukan Peraturan?

Ada yang berpendapat bahawa peraturan dapat mengawal manusia agar tidak melampaui batas terhadap hak individu lain. Dan ada juga yang menganggap bahawa sistem peraturan hanyalah mengganggu seseorang itu mengacapi hak kebebasan dirinya lantas cuba memisahkan dirinya dari ruang lingkup sistem tersebut. Secara asas apabila ditanya kepada seseorang adakah perlu diadakan sistem yang sistematik terhadap sesuatu perkara agar perjalanan sesuatu benda itu berjalan dengan lancar dan dapat mencegah faktor-faktor luar yang cuba menggugat keharmonian yang ada dalam sistem tersebut tentu sekali jawapannya adalah ya. Sekiranya matahari diciptakan Sang Pencipta cuba lari dari sistem yang telah ditentukan olehnya kerana cuba ingin mengacapi kebebasannya untuk bergerak maka hangus atau bekulah bumi ini. Matahari yang kita menganggap suatu jirim yang tidak ada kehidupan padanya mempunyai sistem yang tertentu agar tidak tergelincir dari sistemnya yang asal, maka kita yang mengaku makhluk yang sempurna ini tiba-tiba tidak memerlukan sistem ataupun peraturan yang mengawal setiap gerak-geri dan tindakan kita di dunia ini. Tidak adillah Sang Pencipta meninggalkan kita terumbang ambing tanpa sistem yang mengawal perjalanan hidup kita sedangkan matahari yang hanya berkebolehan memancarkan cahaya dan haba kepada bumi mempunyai sistem dan peraturan perjalanannya yang cukup hebat.

Adakah Manusia Bebas Memiliki Dirinya?

Ini adalah persoalan yang harus di perhati dan diamati. Mungkin sesetengah orang menganggap bahawa setiap individu berhak mengacapi kebebasan dirinya dalam segala aspek. Individu yang belum merasai kebebasan yang mutlak belum dianggap seorang yang berjaya dan moden. Perlulah diingati bahawa setiap benda yang ada dalam dunia ini tidak ada kebebasan yang mutlak. Semua benda mesti ada suatu sistem agar ia dapat bergerak dengan lancar. Sebuah komputer memerlukan sistem operasi (OS) untuk beroperasi dan manusia tidak sewenang-wenang melanggar sistem yang telah diatur oleh pengatur cara komputer. Sekiranya ada individu yang cuba memandai-mandai dalam mengoperasi komputer maka ia terdedah kepada kemusnahan. Dari contoh ini kita dapat tahu bahawa setiap benda yang ada di dunia ini tidak memiliki kebebasan yang mutlak. Seseorang pengguna komputer bebas menggunakan komputernya tetapi mestilah mengikut panduan dan juga manual yang telah ditetapkan oleh syarikat pengeluar komputer ataupun pengatur cara komputer. Jelaslah di sini bahawa setiap individu berhak memiliki kebebasan tetapi masih dibatasi oleh faktor-faktor tertentu.
Begitu juga dengan manusia. Adakah manusia 100% berhak terhadap dirinya? Adakah manusia berhak memilih untuk tidak tidur selama 10 hari?. Adakah manusia berhak memakan 20 kilo daging kambing sehari setiap hari semata-mata merealisasikan kebebasan haknya? Adakah manusia berhak menukarkan sistem badan dirinya dengan cuba memindahkan ginjal ke tempat paru-paru? Mungkin persoalan-persoalan ini dianggap bodoh dan picisan. Namun kita harus mengerti bahawa setiap jawapan dari persoalan yang dilontarkan tadi secara sedar atau tidak sedar telah menidakkan kebebasan hak seseorang. Tiada manusia yang mampu dan berhak menukar sistem tubuh manusia yang telah disediakan oleh Sang Pencipta untuknya. Ini kerana setiap tubuh manusia dilengkapi dengan pelbagai sistem yang disediakan oleh Pencipta adalah bertujuan untuk menjaga keharmonian manusia itu sendiri. Sistem pernafasan ditugaskan untuk membawa oksigen ke darah dan mengeluarkan karbon dioksida dan wap air dari tubuh. Sistem pencernaan berperanan sebagai penyedia bahan-bahan makanan untuk diserap supaya bahan-bahan ini dapat digunakan oleh sel-sel tubuh. Sistem saraf berfungsi sebagai pengalir utusan rangsangan saraf untuk menyelaraskan perhubungan di antara sesuatu binaan dengan yang lain. Sistem perkumuhan mempunyai tugas untuk menyingkir bahan yang tidak diperlukan oleh tubuh sama ada dalam bentuk toksin dan lain-lain. Manakala sistem pembiakan pula sebagai penerus dan penyambung zuriat manusia agar terus wujud di dunia ini. Kesemua sistem ini beroperasi mengikut ketetapan dan peraturan serta landasan yang betul agar kesejahteraan tubuh badan manusia dapat dijaga.
Dari sudut lain pula kita dapat lihat bahawa manusia terdiri daripada beberapa sistem yang mengurus, menjaga serta mengawal kondisi tubuh manusia. Jika ada satu sistem yang rosak maka ia menjejaskan kesejahteraan tubuh manusia itu tadi. Adakah boleh diterima akal sekiranya manusia yang dilengkapi pelbagai sistem yang kompleks tiba-tiba tidak memerlukan sistem yang khusus untuk mengawal dan menjaga perjalanan hidupnya di dunia ini. Adakah tidak ada panduan atau manual yang disediakan oleh Pencipta kita untuk dijadikan panduan dan pedoman di dunia ini. Adakah kita sendiri yang perlu memikirkan sendiri setiap manual atau panduan kita sendiri agar perjalanan hidup kita harmoni seharmoni perjalanan komputer tadi.
Adakah dikatakan siuman sekiranya seorang ayah membiarkan hidup anaknya diatur sendiri oleh si anak semata-mata tidak mahu menyekat kebebasan anak dalam kehidupan. Persoalan-persoalan yang bangang ini sengaja dilontarkan agar dapat membuka minda yang terlalu padat dengan pendapat serta pandangan yang terlalu rumit sehingga payah untuk membuka ruang perbincangan. Secara asasnya dapatlah kita simpulkan bahawa manusia tidak berhak memilih kebebasan dirinya sendiri secara mutlak kerana manusia bukan 100% tuan empunya badan. Jadi siapakah sebenarnya tuan empunya tubuh kita ini?

Monday, April 24, 2006

Hukum Penulisan Hadis


Hadis merupakan salah satu sumber dari sumber ilmu Islam selain dari al-Quran, ijmak dan qias. Ia adalah sumber yang kedua penting selepas al-Quran. Kitab-kitab yang paling masyhur ialah Sahih Bukhari dan Sahih Muslim bahkan seluruh ulama berpendapat bahawa Sahih Bukhari dan Sahih Muslim adalah kitab yang paling sahih selepas al-Quran (As-Sayuthi, Jalaluddin Abdul Rahman, Tadribu al-Rawi fi Syarh Taqrib al-Nawawi, Dar al-Fikr, Beirut: Lubnan, m/s: 51.) dan diikuti selepas itu kitab-kitab Sunan iaitu Sunan Tarmizi, Sunan Abu Daud, Sunan Nasaie dan Sunan Ibnu Majah.

Namun begitu timbul persoalan mengenai hukum menulis hadis adakah ia suatu yang dibenarkan dalam Islam ataupun ia dilarang. Ada sesetengah ulama mengharuskan penulisan hadis dan tak kurang pula yang mengharamkannya. Insya-Allah tulisan ini akan mengupas secara ringkas mengenai hukum penulisan hadis –dengan pertolongan Allah Azzawajalla-.

Di sana terdapat hadis yang mana Rasulullah S.A.W melarang penulisan hadis atau pun percakapannya. Ini disebabkan Baginda S.A.W merasa bimbang percakapannya bercampur baur dengan al-Quran dan menimbulkan keraguan kepada pembaca. Sabda Rasulullah S.A.W:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا تَكْتُبُوا عَنِّي وَمَنْ كَتَبَ عَنِّي غَيْرَ الْقُرْآنِ فَلْيَمْحُهُ وَحَدِّثُوا عَنِّي وَلَا حَرَجَ وَمَنْ كَذَبَ عَلَيَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنْ النَّارِ. ( صحيح مسلم، كتاب الزهد والرقائق، باب التثبت في الحديث وحكم كتابة الحديث رقم: 5326)

Dari Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah S.A.W bersabda: "Jangan kamu mencatat dari ku (percakapan atau hadis) dan barang siapa yang tulis dari ku selain dari al-Quran maka hendaklah dia memadamkannya. Riwayatkanlah hadis dari ku tanpa ragu-ragu dan barang siapa yang berdusta ke atas ku (mereka-reka hadis) secara sengaja maka tempahlah tempatnya di neraka".

Oleh itu para sahabat mengambil sikap untuk menghafal sahaja segala hadis-hadis yang didengar dari Rasulullah S.A.W tambahan pula kaum Arab sememangnya terkenal dengan bangsa yang kuat daya ingatannya. Jelasnya larangan penulisan hadis adalah di permulaan Islam kerana beberapa faktor yang telah disebutkan tadi dan kemudiannya ia telah dimansuhkan dengan beberapa hadis nabi yang akan diutarakan nanti.

Antaranya hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

عَنْ يَحْيَى أَخْبَرَنِي أَبُو سَلَمَةَ أَنَّهُ سَمِعَ أَبَا هُرَيْرَةَ يَقُولُ إِنَّ خُزَاعَةَ قَتَلُوا رَجُلًا مِنْ بَنِي لَيْثٍ عَامَ فَتْحِ مَكَّةَ بِقَتِيلٍ مِنْهُمْ قَتَلُوهُ فَأُخْبِرَ بِذَلِكَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَرَكِبَ رَاحِلَتَهُ فَخَطَبَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ حَبَسَ عَنْ مَكَّةَ الْفِيلَ وَسَلَّطَ عَلَيْهَا رَسُولَهُ وَالْمُؤْمِنِينَ أَلَا وَإِنَّهَا لَمْ تَحِلَّ لِأَحَدٍ قَبْلِي وَلَنْ تَحِلَّ لِأَحَدٍ بَعْدِي أَلَا وَإِنَّهَا أُحِلَّتْ لِي سَاعَةً مِنْ النَّهَارِ أَلَا وَإِنَّهَا سَاعَتِي هَذِهِ حَرَامٌ لَا يُخْبَطُ شَوْكُهَا وَلَا يُعْضَدُ شَجَرُهَا وَلَا يَلْتَقِطُ سَاقِطَتَهَا إِلَّا مُنْشِدٌ وَمَنْ قُتِلَ لَهُ قَتِيلٌ فَهُوَ بِخَيْرِ النَّظَرَيْنِ إِمَّا أَنْ يُعْطَى يَعْنِي الدِّيَةَ وَإِمَّا أَنْ يُقَادَ أَهْلُ الْقَتِيلِ قَالَ فَجَاءَ رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الْيَمَنِ يُقَالُ لَهُ أَبُو شَاهٍ فَقَالَ اكْتُبْ لِي يَا رَسُولَ اللَّهِ فَقَالَ اكْتُبُوا لِأَبِي شَاهٍ فَقَالَ رَجُلٌ مِنْ قُرَيْشٍ إِلَّا الْإِذْخِرَ فَإِنَّا نَجْعَلُهُ فِي بُيُوتِنَا وَقُبُورِنَا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَّا الْإِذْخِرَز. (صحيح مسلم، كتاب الحج، باب تحريم مكة و صيدها وخلاها وشجرها ولقطتها، رقم: 2415)

Maksudnya: Dari Yahya "Abu Salamah telah memberitahu ku bahawa beliau telah mendengar Abu Hurairah berkata bahawa Khuza'ah telah membunuh seorang lelaki dari bani Laith pada tahun pembukaan Makkah disebabkan pembunuhan seseorang dari kalangan mereka (khuza'ah). Maka Rasulullah telah dikhabarkan perkara tersebut lalu Baginda menaiki tunggangannya lantas memberi ucapan dengan bersabda: "sesungguhnya Allah azzawajalla telah menghalang kota Makkah dari serangan tentera gajah dan memberikan kekuasaan kepada Rasul-Nya dan orang-orang mukmin, ketahuilah bahawasanya ia (kota Makkah) tidak dihalalkan (pembunuhan) kepada seseorang pun sebelum dari ku, dan sesekali tidak akan halal seseorang pun selepas ku. Ketahuilah bahawasanya ia dihalalkan bagi ku suatu tempoh di siang hari (di hari pembukaan kota Makkah). Ketahuilah bahawasanya ia pada masa sekarang ini telah menjadi haram. Tidak boleh memotong durinya (duri pokok di tanah Haram Makkah) serta tidak boleh dicantas pokok-pokoknya serta jangan mengutip barangan tercicir kecuali bagi mereka yang ingin mengumumkannya. Barang siapa di kalangan mereka terdapat mangsa pembunuhan maka dia mempunyai dua pilihan sama ada diberikan diat ataupun diqisaskan (balas bunuh)". Abu Hurairah berkata: " tiba-tiba datang seorang lelaki dari Yaman yang digelar sebagai Abu Shah, lantas beliau berkata: "tuliskan kepada ku wahai Rasulullah! Lalu baginda bersabda: "tulislah buat Abu Shah!!. Maka berkata seorang lelaki dari bangsa Quraisy: "kecuali suatu pokok Izkhir, sesungguhnya kami menggunakannya untuk rumah-rumah dan kubur-kubur kami." Lalu Rasulullah bersabda :"kecuali izkhir".

Dan juga hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Imam Ahmad iaitu:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو قَالَ كُنْتُ أَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ أَسْمَعُهُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أُرِيدُ حِفْظَهُ فَنَهَتْنِي قُرَيْشٌ وَقَالُوا أَتَكْتُبُ كُلَّ شَيْءٍ تَسْمَعُهُ وَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بَشَرٌ يَتَكَلَّمُ فِي الْغَضَبِ وَالرِّضَا فَأَمْسَكْتُ عَنْ الْكِتَابِ فَذَكَرْتُ ذَلِكَ لِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَوْمَأَ بِأُصْبُعِهِ إِلَى فِيهِ فَقَالَ اكْتُبْ فَوَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ مَا يَخْرُجُ مِنْهُ إِلَّا حَقٌّ. (صحيح مسلم، كتاب الحج، باب تحريم مكة و صيدها وخلاها وشجرها ولقطتها، رقم: 2414)

Maksudnya: Dari Abdullah bin Amru berkata: "Dahulunya aku pernah menulis setiap perkara yang aku dengar dari Rasulullah S.A.W dan ingin menghafalnya lantas kaum Quraisy menegur ku dengan berkata: " adakah kamu menulis setiap perkara yang kamu dengar dari Rasulullah S.A.W manusia yang bercakap dalam keadaan marah dan redha (tenang) lantas aku berhenti sekejap dari menulis (al-Quran) sehingga aku bertanya perkara ini kepada Rasulullah S.A.W lantas baginda mengisyaratkan jarinya ke arah mulutnya lalu berkata: "Tulislah! Demi yang jiwa ku yang berada dalam genggamannya tidaklah keluar darinya(mulut) kecuali yang hak".

Di antara hadis-hadis nabi yang lain adalah seperti berikut:

1. hadis riwayat al-Bukhari:

عَنْ أَبِي جُحَيْفَةَ قَالَ قُلْتُ لِعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ هَلْ عِنْدَكُمْ كِتَابٌ قَالَ لَا إِلَّا كِتَابُ اللَّهِ أَوْ فَهْمٌ أُعْطِيَهُ رَجُلٌ مُسْلِمٌ أَوْ مَا فِي هَذِهِ الصَّحِيفَةِ قَالَ قُلْتُ فَمَا فِي هَذِهِ الصَّحِيفَةِ قَالَ الْعَقْلُ وَفَكَاكُ الْأَسِيرِ وَلَا يُقْتَلُ مُسْلِمٌ بِكَافِرٍ (صحيح البخاري، كتاب العلم، باب كتابة العلم، رقم:108)

Maksudnya: Dari Abu Juhaifah, dia berkata: Aku bertanya kepada Ali bin Abi Talib: "adakah di sisi kamu terdapat satu kitab"? beliau menjawab: "tidak ada kecuali kitab Allah atau kefahaman yang diberikan oleh orang Islam atau lembaran ini". Aku bertanya: "apa yang terdapat dalam lembaran ini?". Beliau menjawab, "tentang Diat, pembebasan tawanan dan hukum tidak dibunuh orang Islam yang membunuh orang kafir".



2. Hadis riwayat al-Bukhari:

أَبُو هُرَيْرَةَ يَقُولُ مَا مِنْ صْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحَدٌ أَكْثَرَ حَدِيثًا عَنْهُ مِنِّي إِلَّا مَا كَانَ مِنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو فَإِنَّهُ كَانَ يَكْتُبُ وَلَا أَكْتُبُ (صحيح البخاري، كتاب العلم، باب كتابة العلم، رقم:110)

Maksudnya: Abu Hurairah berkata tiada di antara sahabat-sahabat nabi S.A.W seorang pun yang lebih banyak hadis dari Rasulullah dari ku kecuali apa yang terdapat pada Abdullah bin Amru, kerana dia menulis (hadis) dan aku tidak menulisnya.

3. Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Nasaie:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَتَبَ إِلَى أَهْلِ الْيَمَنِ كِتَابًا فِيهِ الْفَرَائِضُ وَالسُّنَنُ وَالدِّيَاتُ وَبَعَثَ بِهِ مَعَ عَمْرِو بْنِ حَزْمٍ فَقُرِئَتْ عَلَى أَهْلِ الْيَمَنِ هَذِهِ نُسْخَتُهَا مِنْ مُحَمَّدٍ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وسلم. (سنن النسائي، كتاب القسامة، باب ذكر حديث عن عمرو بن حزم في العقول واختلاف، رقم: 4770)

Maksudnya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W (menyuruh jurutulis baginda) menulis satu kitab untuk ahli Yaman yang mengandungi ilmu pewarisan harta, sunah-sunah dan diat. Rasulullah telah mengutusnya bersama-sama Amru bin Hazm lalu dibacakan kepada ahli Yaman, "ini adalah naskhah dari nabi Muhammad S.A.W.

Hadis-hadis yang telah di ketengahkan tadi menunjukkan keharusan menulis hadis di mana penulisan hadis telah pun berlaku pada zaman nabi dan pada masa sahabat. Percakapan, perbuatan serta pengakuan nabi adalah hadis dan ada sesetengah sahabat mencatat hadis-hadis nabi dalam apa jua bentuk tadi dalam bentuk penulisan yang di tulis di lembaran-lembaran atau pun dalam bentuk surat yang diutus kepada pemerintah-pemerintah dunia.

Orang yang mula-mula bertanggung jawab menulis dan mengumpulkan hadis ialah Ibnu Shihab al-Zuhri (124 H) dengan arahan khalifah Umar bin Abdul Aziz dalam bentuk yang tersusun dan rasmi. Beliaulah orang yang menghimpunkan hadis-hadis dari penduduk Madinah dalam bentuk yang menyeluruh kemudian di kemukakan kepada khalifah Umar bin Abdul Aziz.
(
Al-Ahdal, Hasan Muhammad Maqbuli, Mustalah Hadis wa Rijalihi, Maktabah Jeel Jadid, Sana'a: Yaman, 2001, m/s 60.)

Imam al-Zuhri atau nama sebenarnya Abu Bakar Muhammad bin Muslim bin Ubaidillah bin Abdullah bin Shihab al-Quraisyi al-Zuhri. Beliau merupakan salah seorang tabiin dari Madinah yang faqih, alim dan ahli hadis dan beliau sempat bertemu dengan 10 orang sahabat serta mengambil hadis dan ilmu dari mereka di antaranya ialah Anas bin Malik, Zaid bin Thabit dan Abdullah bin Umar. Sekumpulan ulama mengambil riwayat dari beliau di antaranya Imam Malik bin Anas, Sufyan bin Uyainah dan Sufyan al-Thauri. Beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 124 hijrah ketika berusia 72 tahun. ( Manna' Qattan, Tarikh Tasyri' al-Islamiy, Muassasah Risalah, Beirut: Lubnan, 1997, ms 251.)

Dari dalil-dali yang dinyatakan di atas dapatlah diketahui bahawa tegahan penulisan hadis adalah di permulaan Islam kerana dibimbangkan bercampurnya ayat al-Quran dengan hadis nabi. Tetapi apabila para sahabat sudah dapat membezakan di antara keduanya maka ia di benarnya. Imam Nawawi rahimahullah telah menjelaskan perkara ini dalam kitabnya Sahih Muslim bi Syarhi Nawawi ketika menghuraikan hadis "tuliskan untuk Abu Shah!" dengan berkata:

Sabda Rasulullah S.A.W: (tuliskan untuk Abu Shah) ini adalah keterangan mengenai keharusan menulis ilmu selain al-Quran. Contoh hadis Ali S.A.W : "tidaklah apa di sisinya melainkan terdapat pada lembaran ini" dan juga contoh hadis Abu Hurairah: "Abdullah bin Umar menulis (hadis) dan aku tidak menulis (hadis)". Telah datang hadis-hadis melarang penulisan selain dari al-Quran. Sebahagian ulama Salaf melarang penulisan ilmu dan sebahagian besar ulama Salaf pula mengharuskannya. Kemudian ulama selepas dari mereka (salaf) itu telah bersepakat mengenai keharusannya (menulis hadis).

Menjawab mengenai hadis larangan (penulisan hadis) dengan dua jawapan; pertama: ia dimansuhkan. Dahulunya tegahan dijalankan pada setiap orang sebelum pewartaan al-Quran. Ditegah menulis selain darinya (al-Quran) kerana dikhuatiri bercampur baur dan menyerupai al-Quran. Apabila sudah diwartakan dan bebas dari ancaman maka ia di izinkan (untuk ditulis). Kedua: Sesungguhnya larangan ini adalah larangan tanzih (makruh) bagi sesiapa yang kuat hafalannya serta orang yang kurang dipercayai terhadap penulisan dan diizinkan bagi mereka yang tidak kuat hafalannya. Wallahualam. (An-Nawawi, Mahyuddin, Sahih Muslim bi Syarhi Nawawi, Dar al-Ma'rifah, Beirut: Lubnan, 2004, jilid 9, m/s 133.)

Mengenai hadis larangan menulis hadis seperti yang dijelaskan di sebelum ini iaitu hadis yang diriwayatkan oleh Abu Said al-Khudri yang bermaksud: : "Jangan kamu mencatat dari ku (percakapan atau hadis) dan barang siapa yang tulis dari ku selain dari al-Quran maka hendaklah dia memadamkannya. Riwayatkanlah hadis dari ku tanpa ragu-ragu dan barang siapa yang berdusta ke atas ku (mereka-reka hadis) secara sengaja maka tempahlah tempatnya di neraka", Imam Nawawi Rahimahullah telah menjelaskannya dalam kitabnya ketika menghuraikan hadis ini iaitu:

Sabda Rasulullah S.A.W: ("Jangan kamu mencatat dari ku (percakapan atau hadis) dan barang siapa yang tulis dari ku selain dari al-Quran maka hendaklah dia memadamkannya"). Al-Qahdi (Qadhi I'yaad) berkata: "telah berlaku banyak percanggahan di antara salaf di kalangan sahabat dan tabiin mengenai penulisan ilmu (hadis), banyak di kalangan mereka memakruhkannya dan lebih ramai lagi yang mengharuskannya. Kemudian para ulama Islam bersepakat mengharuskannya (penulisan hadis) namun masih lagi berlaku perselisihan mengenainya. Mereka berselisih tentang kehendak hadis ini yang mengandungi larangan (larangan menulis hadis). Dikatakan: ia (hadis mengenai larangan menulis hadis) adalah tepat bagi sesiapa yang kuat ingatan dan mereka yang dibimbangkan kepercayaan dalam penulisan bila dia menulis (hadis). Di bawakan hadis-hadis yang mengandungi keharusan (menulis hadis) bagi mereka yang tidak kuat ingatannya seperti hadis: "Tuliskanlah untuk Abu Shah", hadis lembaran Ali r.a dan hadis surat kiriman Amru bin Hazm yang mengandungi ilmu pewarisan, sunah-sunah nabi serta bab diat (denda bagi kesalahan jenayah). Juga hadis tentang surat kiriman mengenai sedekah dan nisab-nisab zakat yang diutus oleh Abu Bakar r.a kepada Anas r.a ketika beliau pergi ke Bahrain serta hadis Abu Hurairah bahawasanya Ibnu Amru bin A's menulis (akan hadis) sedangkan aku (Abu Hurairah) tidak menulis dan hadis-hadis yang selain dari itu. Dikatakan bahawa hadis tegahan (dari menulis hadis) telah dimansuhkan dengan hadis-hadis ini dan dibimbangkan bercampur aduk dengan al-Quran dan apabila aman dari perkara tersebut maka ia diizinkan untuk ditulis. Dikatakan juga larangan menulis hadis bersama al-Quran pada satu muka surat yang sama dengan ini para pembaca akan terkeliru pada muka surat yang sama. Para ulama berkata bahawa sesetengah sahabat dan tabiin memakruhkan penulisan hadis dan digalakkan mengambil hadis-hadis dari mereka secara hafalan seperti mereka mengambilnya secara hafalan. Tetapi bila keraguan mulai berkurang dan para ulama bimbang hilangnya ilmu maka ianya disusun (ditulis). Orang yang mula-mula menyusun hadis ialah Ibnu Shihab al-Zuhri dengan arahan Umar bin Abdul Aziz. Selepas itu banyaklah penyusunan (hadis) dan karangan-karangan dan hasil dari itu banyak sekali kebaikan. Alhamdulillah, wallahualam. ( An-Nawawi, Sahih Muslim bi Syarhi Nawawi, jilid 18, m/s 329.)

Jelas di sini bahawa hadis larangan menulis hadis telah dimansuhkan dengan hadis-hadis menunjukkan keharusan menulis hadis nabi. Namun begitu hukumnya masih lagi makruh bagi mereka yang kuat hafalannya serta bagi mereka yang dikhuatiri berlaku kesilapan ketika menulis hadis. Para ulama telah bersepakat tentang keharusan menulis hadis bahkan digalakkan lagi kerana ia dapat menjaga salah satu sumber dari sumber-sumber ilmu Islam agar tidak hilang dan dilupakan. Wallahualam.

Susunan:
Ben Hassan

Pengenalan


assalamualaikum..inilah kali pertama saya cuba menjinakkan diri dalam duni blogg..moga ianya dapat menjadi wasilah untuk mengembangkan agama Allah di persada maya ini..di samping itu ia juga dijadikan untuk penghubung kasih sayang antara keluarga dan juga antara sahabat2 sekelian...segala tunjuk ajar amatlah diharapkan..