Wednesday, August 03, 2011

Ujian Berterusan

"Abang, bangun!" saya membuka mata.Jam di dinding menunjukkan 2.30 pagi. "Kenapa?" saya bertanya. "Basah", jawab isteri saya ringkas sambil menunjuk kepada cadar basah. "Kenapa?" tanya saya lagi sambil mengosok-gosok kedua kelopak mata. Pening mengantuk masih terasa.

"PROM bang", jawab beliau ringkas. Ya Allah, ujian apakah ini. Bayi belum cukup tempoh lahir lagi isteri saya mengalami PROM (Premature Ruptre of Ammiotic Membrance - pecah ketuban) pula. "Kita kena pergi ke hospital sekarang juga abang", ujar isteri saya lemah. Terduduk sekejap sambil memikirkan perkara itu."Baju kita belum kemas lagi, baju Zahrah pun belum dilipat lagi", isteri saya memberitahu. "Baju 'Abbad?" saya bertanya. "Sudah dikemas. Semua ada dalam beg itu", sambil tangan beliau menunjuk kepada beg yang tergantung.

Saya tanpa berlengah lagi mencapai beg besar. Apa sahaja baju yang terlintas dibenak, terus saya capai dan melipatnya ala kadar. Fikiran saya berkecamuk sekali.Baju isteri saya pula diambil secara rawak tanpa memikirkan fesyennya lagi.Semuanya dilipat ala kadar dan disumbat-sumbat dalam beg besar itu. "Zahrah macam mana Nor?" saya tiba-tiba bertanya. "Nor sudah menelefon Ma. Sebentar lagi sampailah", balas isteri saya.

Ribut di benak reda sedikit. Tangan pantas menyumbat baju manakala fikiran terus berputar. "Siapa yang akan bawa balik kereta dari hospital nanti?" isteri saya bertanya. "Kita akan minta tolong Kak Long yang uruskan nanti", jawab saya.

Tidak lama kemudian Ma pun sampai dan Zahrah terus dibawa ke dalam kereta tanpa menyedari apa yang berlaku di sekelilingnya. Selepas bersalaman dengan ma dan ayah, kereta Proton Saga hijau terus menuju ke rumah mereka. Sebak terasa kerana terpaksa berjauhan dengan anak sulong kami. "Semoga baik-baik sahaja semasa dengan Tok Ma nanti ya", hati saya meruntun.

Sekarang segala keperluan sudah disiapkan. Semua perancangan sudah dimaklumkan kepada Kak Long. Maka tibalah masanya. Sebuah kembara perjuangan seorang insan yang bergelar isteri dan ibu akan bermula. Tangan kami bertautan dengan tangan kudus che, memohon ampun dan doa agar dapat dijadikan azimat dan sebab turunya rahmat Allah kepada kami.

Enjin kereta telah dihidupkan. Kereta dipandu deras membelah kepekatan kelam dinihari dengan seribu pengharapan dan rahmat dari Ilahi.

Monday, July 04, 2011

Mempositifkan diri

Termanggu kami berdua mengenangkan apa yang diujar oleh doktor petang tadi. Masing-masing membayangkan apakah kemungkinan yang bakal kami hadapi nanti. Isteri saya, walau beberapa kali mempositifkan diri, namun ia tidak mampu menahan air mata untuk terus mengalir.

"Bagaimanakan keadaan 'Abbad (nanti diceritakan bagaimana nama 'Abbad terhasil) nanti?" tanya isteri memecah kesunyian di antara kami berdua. Saya yang tadi memikirkan perkara yang diperkatakan doktor tersedar. Mata saya merenung muka Zahrah, anak perempuan sulong kami yang sedang tidur dengan sayu.

"Entahlah Nor. Bagi abang, abang tidak malu memiliki anak seperti 'Abbad, cuma abang kasihankan dia nanti. Bagaimanalah dia nanti, adakah 'Abbad dapat menyesuaikan dirinya seperti bayi lain semasa melalui proses pembesaran dan pertumbuhan nanti," saya menjawab persoalan isteri saya dan dalam masa yang sama mengharapkan jawapan beliau juga.

Sambil mengesat air mata isteri saya menjawab, "Insya-Allah, Allah tidak akan membiarkan 'Abbad begitu sahaja. Jika Allah mengurniakan 'itu' kepada 'Abbad sudah tentu Allah akan bagi jalan lain, yang sesuai untuk 'Abbad nanti. Tapi Nor kasihankan...,". Kalam itu berakhir dengan deraian air mata.

"Tidak mengapalah Nor. Mungkin Allah menghantar 'Abbad kepada kita kerana Allah tahu kita boleh memberikan yang terbaik untuknya. Selagi kita merasakan Allah bersama kita selagi itulah kita merasa tidak kesendirian dalam menghadapi keperitan ini. Biarlah 'Abbad datang dalam kehidupan kita, mengecap nikmat kasih sayang kita berdua dan melengkapkan mahligai kebahagian kita bersama." pujuk saya. Air mata kami lebat kembali.

Kami diam bertafakkur. Menghidupkan cas-cas positif dalam fikiran kami. Air mata dan kesedihan tidak mampu mengubah takdir Ilahi. Akhirnya kami berjanji akan mendalami ilmu dalam keibubapaan terutamanya dalam bab 'cleft lips and palate' dengan sebaiknya.

Sunday, July 03, 2011

Tujuan Hidup

Bertemu kembali. Sebelum kita melangkah lebih jauh dalam membincangkan secara tuntas berkenaan mukjizat saintifik, ada baiknya kita meneliti beberapa perkara penting yang menjadi penentu kepada kehidupan di dunia ini. 'Matlamat Hidup' merupakan perkara yang sukar dijelaskan sehinggakan ilmu sains sendiri buntu dalam merungkaikan persoalan ini.

Matlamat hidup meliputi semua hidupan yang ada di muka bumi ini. Setiap benda bernyawa ada matlamat dan hala tuju. Bahkan setiap benda dan perkara juga ada matlamat dan tujuan. Adalah mustahil setiap benda hidup yang wujud di dunia ini tiada matlamat dalam kehidupan mereka.

Kita semua ada menyangka bahawa semut adalah serangga perosak serta mendatangkan kesusahan kepada manusia. Kita mungkin berang apabila gula atau minuman kesukaan dikerumuni oleh semut. Mungkin sesetengah daripada kita merasakan bahawa dunia akan aman tanpa semut.

Namun begitu, adakah kita terfikir bahawa semut mempunyai pertalian rapat dengan manusia?Pernahkah kita terfikir?

Tunggu pembongkaran seterus...

'Abbad

"Sila baring puan", doktor mengarahkan isteri saya baring. Kemudian doktor meletakkan probe di atas kandungan isteri saya. "Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja dan jantung pun ok. Nanti saya periksa muka bayi ya", kata doktor sambil tersenyum dan pada masa yang sama menghalakan probe ke bahagian atas kandungan isteri saya kerana bayi saya mengalami 'footling breech'.

Muka doktor yang ceria tadi bertukar menjadi serius. Berulang-ulang kali beliau memeriksa bahagian muka bayi. Setelah hampir 15 minit memeriksa pada tempat yang sama, tiba-tiba doktor menghela nafasnya. "Maaf encik dan puan, menurut pemerhatian saya, kandungan puan mempunyai masalah pada bahagian mulut. Maaf saya katakan anak puan ada 'cleft lips' atau istilah kita disebut sebagai sumbing".

Hati saya terasa sempit sekali. Ujian apakah yang bakal terima oleh ku nanti ya Allah. Mata isteri saya sudah bergenang.

Saturday, July 02, 2011

Mukjizat Saintifik

Mukjizat Saintifik adalah istilah, hasil gabungan dua perkataan iaitu; "mukjizat" dan "saintifik". Mukjizat ialah; kejadian luar biasa kurniaan Allah kepada nabi dan rasul untuk membuktikan kebenaran mereka. Saintifik pula bermaksud; berkenaan dengan sesuatu yang dilakukan menurut kaedah atau prinsip sains.

Mukjizat Saintifik pula ditakrifkan sebagai ; suatu berita atau pengkhabaran bersumberkan dari al-Quran dan sabda Nabi tentang sesuatu fakta yang dibuktikan oleh kajian sains moden, di mana ia tidak mampu diketahui oleh manusia (dengan tahap keilmuan) di zaman nabi. Setakat ini dahulu. Semoga rahsia mukjizat nabi semakin terbongkar...

Thursday, April 14, 2011

Maafkan Daku Wahai Allah

Ampunkan daku wahai Allah kerana culas memenuhi amanah
Maafkan mu'allim wahai anak didik ku kerana cuai dalam mendidik kalian

Monday, February 28, 2011

Terima Kasih Allah

Alhamdulillah, syukur kepada Mu wahai Allah, kerana diri yang hina ini diberi keizinan menghirup udara rahmat-Mu di setiap waktu.

Terima kasih Allah kerana membenarkan diri ini berpijak di bumi Mu. Bernaung di awanan Mu.

Syukur kepada Mu wahai ar-Rahman, kerana masih lagi mencicip makanan Mu, walaupun diri ini sering melupakan Mu.

Segala puji buat Mu wahai ar-Rahim, kerana memberi peluang kepada ku menjaga amanah Mu, seorang isteri yang selalu berbakti dan permata-permata hati.

Aku sembahkan segala puja ku kepada Mu duhai al-Mannan, kerana menjaga ibunda ku di setiap degupan jantungnya, agar daku berbuat ihsan terhadapnya. Alangkah malang nasib ku wahai Allah, jika kesempatan yang Kau kurniakan ini, membuatkan diri ini jauh dari mencium setanggi jannah-Mu. Lindungilah aku wahai Allah, dari azab-Mu.

Duhai al-Ghaffar, aku aturkan segala noda dan dosa ku di hadapan Mu, agar Kau bersihkan ia dengan hembusan rahmat dan keampunan-Mu.

Aku hamparkan sekeping hati yang tandus di sisi Mu duhai al-Hadi, agar Kau sirami ia dengan gerimis hidayah-Mu.

Terima kasih Allah, kerana menjauhkan diri ini alpa, dalam menghitung nikmat-Mu. Walau ia adalah mustahil buat diri ku.


25 Rabiul Awwal 1432H
28 Febuari 2011
KPKR, Besut Terengganu.

Sunday, January 16, 2011

Belasungkawa

Terkejut bila mana mendapat berita sekembalinya Aimanuddin rahimahullah ke pangkuan Ilahi. Selepas Sayyed Azwan mengakhiri kalam pengkhabaran itu, ingatan saya terus melayang, mengenangkan kenangan bersama arwah ketika berada di bumi perjuangan, bumi Iman dan Hikmah.

Keberadaan beliau di bumi Yaman pada hemat saya merupakan satu anugerah yang tidak ternilai. Beliau bukan sahaja istiqamah menghadiri kuliah di universiti, bahkan turut thabat bertalaqqi dengan Qadhi Imrani. Dari segi amal jamai'e, saya menggelarkan beliau sebagai "Robot PERMAYA". Apa tidaknya, segala kerja yang diamanahkan kepada beliau dilaksanakan dengan pantas tanpa banyak argumentasi terhadap pimpinan. Kerja-kerja 'bangsat' disempurnakan dengan penuh tekun tanpa bertoleh ke belakang lagi. Secara peribadi, kuasa manusia yang ada pada Aimanuddin rahimahullah seumpama 10 orang ahli PERMAYA. Begitulah analogi yang tepat bagi menggambarkan keperibadian Aimanuddin rahimahullah.

Kali terakhir saya berjumpa dengan beliau ketika terserempak di pasaraya Mydin. Walaupun riak wajahnya tampak ceria tetapi disebalik senyuman manis beliau tersembunyi seribu satu kelelahan berjuang melawan penyakit yang dihadapi. Rutin rawatan perubatan yang ditetapkan oleh pihak hospital, diikuti dengan penuh konsisten dan istiqamah, seperti mana istiqamahnya beliau dalam amal jamaie.

Namun begitu, rasa amat terkilan kerana tidak diberikan keizinan oleh Allah untuk menyembahyangkan beliau buat kali terakhir, lantaran wujud beberapa kekangan peribadi. Semoga Allah mengampunkan segala kesalahan mu wahai Aimanuddin. Semoga Allah menjadikan tempat mu, satu kebun dari kebun-kebun syurga. Semoga Allah mewangikan kubur mu dengan setanggi jannah. Kamu adalah pemuda beriman. Semoga Allah mengahwini mu dengan bidadari syurgawi yang amat merindui pemuda-pemuda beriman seperti mu. Amin Ya Rabb!