Monday, July 04, 2011

Mempositifkan diri

Termanggu kami berdua mengenangkan apa yang diujar oleh doktor petang tadi. Masing-masing membayangkan apakah kemungkinan yang bakal kami hadapi nanti. Isteri saya, walau beberapa kali mempositifkan diri, namun ia tidak mampu menahan air mata untuk terus mengalir.

"Bagaimanakan keadaan 'Abbad (nanti diceritakan bagaimana nama 'Abbad terhasil) nanti?" tanya isteri memecah kesunyian di antara kami berdua. Saya yang tadi memikirkan perkara yang diperkatakan doktor tersedar. Mata saya merenung muka Zahrah, anak perempuan sulong kami yang sedang tidur dengan sayu.

"Entahlah Nor. Bagi abang, abang tidak malu memiliki anak seperti 'Abbad, cuma abang kasihankan dia nanti. Bagaimanalah dia nanti, adakah 'Abbad dapat menyesuaikan dirinya seperti bayi lain semasa melalui proses pembesaran dan pertumbuhan nanti," saya menjawab persoalan isteri saya dan dalam masa yang sama mengharapkan jawapan beliau juga.

Sambil mengesat air mata isteri saya menjawab, "Insya-Allah, Allah tidak akan membiarkan 'Abbad begitu sahaja. Jika Allah mengurniakan 'itu' kepada 'Abbad sudah tentu Allah akan bagi jalan lain, yang sesuai untuk 'Abbad nanti. Tapi Nor kasihankan...,". Kalam itu berakhir dengan deraian air mata.

"Tidak mengapalah Nor. Mungkin Allah menghantar 'Abbad kepada kita kerana Allah tahu kita boleh memberikan yang terbaik untuknya. Selagi kita merasakan Allah bersama kita selagi itulah kita merasa tidak kesendirian dalam menghadapi keperitan ini. Biarlah 'Abbad datang dalam kehidupan kita, mengecap nikmat kasih sayang kita berdua dan melengkapkan mahligai kebahagian kita bersama." pujuk saya. Air mata kami lebat kembali.

Kami diam bertafakkur. Menghidupkan cas-cas positif dalam fikiran kami. Air mata dan kesedihan tidak mampu mengubah takdir Ilahi. Akhirnya kami berjanji akan mendalami ilmu dalam keibubapaan terutamanya dalam bab 'cleft lips and palate' dengan sebaiknya.

Sunday, July 03, 2011

Tujuan Hidup

Bertemu kembali. Sebelum kita melangkah lebih jauh dalam membincangkan secara tuntas berkenaan mukjizat saintifik, ada baiknya kita meneliti beberapa perkara penting yang menjadi penentu kepada kehidupan di dunia ini. 'Matlamat Hidup' merupakan perkara yang sukar dijelaskan sehinggakan ilmu sains sendiri buntu dalam merungkaikan persoalan ini.

Matlamat hidup meliputi semua hidupan yang ada di muka bumi ini. Setiap benda bernyawa ada matlamat dan hala tuju. Bahkan setiap benda dan perkara juga ada matlamat dan tujuan. Adalah mustahil setiap benda hidup yang wujud di dunia ini tiada matlamat dalam kehidupan mereka.

Kita semua ada menyangka bahawa semut adalah serangga perosak serta mendatangkan kesusahan kepada manusia. Kita mungkin berang apabila gula atau minuman kesukaan dikerumuni oleh semut. Mungkin sesetengah daripada kita merasakan bahawa dunia akan aman tanpa semut.

Namun begitu, adakah kita terfikir bahawa semut mempunyai pertalian rapat dengan manusia?Pernahkah kita terfikir?

Tunggu pembongkaran seterus...

'Abbad

"Sila baring puan", doktor mengarahkan isteri saya baring. Kemudian doktor meletakkan probe di atas kandungan isteri saya. "Alhamdulillah, semuanya baik-baik sahaja dan jantung pun ok. Nanti saya periksa muka bayi ya", kata doktor sambil tersenyum dan pada masa yang sama menghalakan probe ke bahagian atas kandungan isteri saya kerana bayi saya mengalami 'footling breech'.

Muka doktor yang ceria tadi bertukar menjadi serius. Berulang-ulang kali beliau memeriksa bahagian muka bayi. Setelah hampir 15 minit memeriksa pada tempat yang sama, tiba-tiba doktor menghela nafasnya. "Maaf encik dan puan, menurut pemerhatian saya, kandungan puan mempunyai masalah pada bahagian mulut. Maaf saya katakan anak puan ada 'cleft lips' atau istilah kita disebut sebagai sumbing".

Hati saya terasa sempit sekali. Ujian apakah yang bakal terima oleh ku nanti ya Allah. Mata isteri saya sudah bergenang.

Saturday, July 02, 2011

Mukjizat Saintifik

Mukjizat Saintifik adalah istilah, hasil gabungan dua perkataan iaitu; "mukjizat" dan "saintifik". Mukjizat ialah; kejadian luar biasa kurniaan Allah kepada nabi dan rasul untuk membuktikan kebenaran mereka. Saintifik pula bermaksud; berkenaan dengan sesuatu yang dilakukan menurut kaedah atau prinsip sains.

Mukjizat Saintifik pula ditakrifkan sebagai ; suatu berita atau pengkhabaran bersumberkan dari al-Quran dan sabda Nabi tentang sesuatu fakta yang dibuktikan oleh kajian sains moden, di mana ia tidak mampu diketahui oleh manusia (dengan tahap keilmuan) di zaman nabi. Setakat ini dahulu. Semoga rahsia mukjizat nabi semakin terbongkar...