Sunday, September 06, 2009

Ramadhan Pertama di Yaman 1

Assalamualaikum. Sesekali bernostalgia ada bagusnya juga. Bukan apa, ia hanyalah untuk mengingatkan diri betapa peritnya perjalanan mencari ilmu di bumi iman dan hikmah. Hamparannya tidak semudah untuk dilangkah sewenang-wenang. Tetapi ia memerlukan mujahadah dan istiqamah agar hadaf dapat tercapai walau apa jua mehnah yang mendatang.

Sebagai 'orang baru' yang serba mentah dengan survival hidup di Yaman, berurusan dengan pihak Jawazat (Imigresen) adalah suatu petaka yang mesti dielak. Urusan di sana pada pandangan ku amat tirani jika dibandingkan dengan tanah air sendiri. Namun untuk meneruskan kelangsungan hidup berilmu di Yaman, semua mala dan segenap petaka mesti diharungi. Kalau ada pembaca yang rasa sudah cukup hebat dan "gangster", cuba-cuba lah berurusan di sana.

Pertama kalinya aku ditemani senior untuk membuat urusan. Sempat juga memperoleh beberapa Tauqi' (tandatangan) dari beberapa orang Fendem (pegawai Imigresen). Itu pun mengambil masa tiga hari. Tetapi oleh kerana kasihankan senior ku tadi ditambah pula dengan bulan Ramadhan, aku menyanggupkan diri untuk berseorangan membuat urusan di Jawazat. Ya Allah! Allah Musta'an. Allah sahaja tahu akan kejerihan ku ini.

Menurut seorang Fendem, untuk meneruskan kepada urusan seterusnya aku terpaksa mendapat 'restu' dari seorang pegawai kanan kementerian dalam negeri Yaman. Bilik puaka yang 'dihuni' oleh pegawai itu terasa seram sejuk tatkala aku menjenguk buat kali pertama. Muka beliau yang tiada garis-garis senyuman, membuatkan jiwa ini amat resah sekali.

Dengan nama Allah aku gagahi diri melangkah ke bilik berhantu itu. Salam penghormatan yang aku hulurkan dibalas dengan seribu kehambaran. Segala dokumen penting aku letakkan di atas meja beliau. Sambil mengerutkan dahi beliau meneliti dokumen aku. Selang beberapa detik beliau menoleh kepada ku. Dengan wajah yang kering beliau berkata, "BUKROO".

BUKROO (esok-esok), kalimah keramat yang selalu dilafazkan oleh beliau kepada mereka yang dahagakan segaris tandatangan hijau beliau.Ke'bukroo'an beliau bergantung kepada keinginan beliau. Seminggu, dua minggu, empat minggu, satu bulan, tiga bulan boleh diperlakukan sewenang-wenangnya oleh beliau. Aku di'bukroo'kan oleh beliau selama dua minggu. Allah sahaja yang tahu akan keletihan dan keperitan ini.

Namun setiap perkara ada penghujungnya. Ke'bukroo'an beliau juga bertemu dengan penghabisannya. Bagaimana ianya berakhir? Nantikan pada posting yang akan datang.


No comments: