Sunday, September 06, 2009

Ramadhan Pertama di Yaman 1

Assalamualaikum. Sesekali bernostalgia ada bagusnya juga. Bukan apa, ia hanyalah untuk mengingatkan diri betapa peritnya perjalanan mencari ilmu di bumi iman dan hikmah. Hamparannya tidak semudah untuk dilangkah sewenang-wenang. Tetapi ia memerlukan mujahadah dan istiqamah agar hadaf dapat tercapai walau apa jua mehnah yang mendatang.

Sebagai 'orang baru' yang serba mentah dengan survival hidup di Yaman, berurusan dengan pihak Jawazat (Imigresen) adalah suatu petaka yang mesti dielak. Urusan di sana pada pandangan ku amat tirani jika dibandingkan dengan tanah air sendiri. Namun untuk meneruskan kelangsungan hidup berilmu di Yaman, semua mala dan segenap petaka mesti diharungi. Kalau ada pembaca yang rasa sudah cukup hebat dan "gangster", cuba-cuba lah berurusan di sana.

Pertama kalinya aku ditemani senior untuk membuat urusan. Sempat juga memperoleh beberapa Tauqi' (tandatangan) dari beberapa orang Fendem (pegawai Imigresen). Itu pun mengambil masa tiga hari. Tetapi oleh kerana kasihankan senior ku tadi ditambah pula dengan bulan Ramadhan, aku menyanggupkan diri untuk berseorangan membuat urusan di Jawazat. Ya Allah! Allah Musta'an. Allah sahaja tahu akan kejerihan ku ini.

Menurut seorang Fendem, untuk meneruskan kepada urusan seterusnya aku terpaksa mendapat 'restu' dari seorang pegawai kanan kementerian dalam negeri Yaman. Bilik puaka yang 'dihuni' oleh pegawai itu terasa seram sejuk tatkala aku menjenguk buat kali pertama. Muka beliau yang tiada garis-garis senyuman, membuatkan jiwa ini amat resah sekali.

Dengan nama Allah aku gagahi diri melangkah ke bilik berhantu itu. Salam penghormatan yang aku hulurkan dibalas dengan seribu kehambaran. Segala dokumen penting aku letakkan di atas meja beliau. Sambil mengerutkan dahi beliau meneliti dokumen aku. Selang beberapa detik beliau menoleh kepada ku. Dengan wajah yang kering beliau berkata, "BUKROO".

BUKROO (esok-esok), kalimah keramat yang selalu dilafazkan oleh beliau kepada mereka yang dahagakan segaris tandatangan hijau beliau.Ke'bukroo'an beliau bergantung kepada keinginan beliau. Seminggu, dua minggu, empat minggu, satu bulan, tiga bulan boleh diperlakukan sewenang-wenangnya oleh beliau. Aku di'bukroo'kan oleh beliau selama dua minggu. Allah sahaja yang tahu akan keletihan dan keperitan ini.

Namun setiap perkara ada penghujungnya. Ke'bukroo'an beliau juga bertemu dengan penghabisannya. Bagaimana ianya berakhir? Nantikan pada posting yang akan datang.


Tuesday, September 01, 2009

Ramadhan Kareem

Assalamualaikum. Selamat menjalani ibadah puasa dengan jayanya. Semoga Allah mengampuni kita pada Ramadhan tahun ini. Semoga Allah memberikan keizinan-Nya bersama dengan hamba-hamba-Nya yang soleh, dapat mengecapi nikmat beribadat di Lailatu al-Qadr. Amin Ya Allah.

Banyak perkara telah berlaku sebelum dan semasa Ramadhan yang ada sebahagiannya sedikit sebanyak mencalar emosi dan nurani. Di antaranya adalah penularan wabak H1N1. Ia begitu membimbangkan aku. Amat-amat membimbangkan. Bimbang ia akan terkena pada diri dan juga yang tersayang. Kerunsingan ku ini sehingga melupai terdapat satu kuasa yang lebih hebat dari wabak itu sendiri. Kuasa itu adalah Allah Taala. Selepas itu tatkala hati di rundung kerisauan, hati yang nestapa ini terus rujuk kepada Allah memohon doa perlindungan.

Disamping doa kepada Allah, ikhtiar cara lain turut diamalkan. Antara memakai topeng di khalayak, memakan pil habbatus-sauda' dan membaca doa. Semoga Allah melindungi diri ku ini dan orang-orang tersayang dari sebarang wabak.

Perkara lain yang sentiasa terkenang-kenang adalah pemergian Ustaz Asri Rabbani ke rahmatullah. Terkesima dan sebak tatkala membaca sms kiriman abg, mengkhabarkan akan berita ini. Beliau bukan saudara mara, bukan kenalan dan jauh sekali kalau dikatakan sahabat. Tetapi saya membesar dengan alunan-alunan merdu beliau. Oleh demikian setiap lantunan-lantunan indah beliau dari dahulu hingga sekara terlalu akrab dengan hati ini. Lantaran itu kehilangan beliau amat terasa sekali. Sehingga kini saya asyik terkenangkan beliau. Semoga Allah menempatkan beliau bersama dengan para solehin.

Seterusnya keletihan dan kelesuan belajar dalam bulan puasa. Kelas yang bermula dari 7.45 pagi hingga 2.15 petang tanpa henti menyebabkan tenaga mengalami kedaluwarsa. Otak yang pada mulanya segar mulai susah untuk mencerakin setiap perkataan yang diutarakan oleh para pensyarah. Mujur terdapat juga ruang untuk mentajdid dan me'refresh' sebelum menghadiri kelas GERKO pada sebelah petangnya pula.

Walaupun segala kejerihan yang dihadapi, ianya amat jauh sekali menyamai kejerihan yang dirasai oleh Rasulullah dan para sahabatnya dalam menyebarkan rahmat keseluruh alam. Kepayahan yang dirasai amat kerdil berbanding kerohokan Rasulullah dan para sahabat umpama setitis rona hitam di lautan yang luas. Semoga Allah menerima amalan puasa kita semua.