Pada suatu masa dahulu saya dan arwah guru dikunjungi oleh seorang tetamu wanita. Pada waktu ini saya sedang dilatih oleh arwah guru. Waktu ini saya masih mempunyai sebuah kedai komputer. Lepas mengajar, banyak masa dihabiskan untuk ke kedai komputer.
Wanita Melayu berugama Islam ini meminta pertolongan kami kerana seorang rakan sekerja wanita ini yang berugama Kristian berasal Sarawak ingin masuk Islam. Perempuan Kristian Sarawak ini berusia sekitar 23 dan baru bercerai dengan suaminya seorang Cina Kristian. Saya dan arwah guru bersetuju untuk menolong wanita Melayu ini untuk menguruskan urusan pertukaran agama di Pusat Islam Johor Bahru.
Pada hari yang dijanjikan, kami membawa wanita Kristian ini ke Pusat Islam untuk urusan pertukaran agamanya. Urusan dokumentasinya mudah dan kami semua berpuas hati. Kemudian kami bertanya kepada pegawai bertugas di Pusat Islam untuk kami mendaftarkan mualaf ini ke PERKIM. Barulah kami tahu bahawa Negeri Johor tidak mempunyai PERKIM untuk membantu para mualaf.
Kami bertanya seterusnya kepada pegawai berkenaan tentang kaedah bagaimana untuk mendidik mualaf ini menjadi seorang Islam beriman. Jawapannya sangat menghampakan kami. Dari semasa kesemasa Pusat Islam ada menyediakan kursus untuk para mualaf dan mereka boleh mendaftar diri bagi menyertai program ini. Kami sangat kecewa dengan sistem pendidikan mualaf ini dimana ia dilakukan tanpa kesungguhan dan pro aktif untuk benar-benar membantu mualaf.
Pada pandangan kami, para mualaf perlu sekali dibantu secara agresif dan pro aktif kerana pada situasi perubahan ini, mereka ini sangat lemah dan mudah menjadi sasaran syaitan. Kecewa dengan sistem pendidikan para mualaf ini, saya pun mencari seorang guru agama yang kami sangat hormati berusia dalam lingkungan 60 tahun. Setelah kami menerangkan bahawa wanita ini berusia sekitar 23 tahun, seorang janda, tiada pengangkutan, tiada saudara mara di johor bahru dan ingin belajar secara berseorangan sahaja dengan ustaz ini, maka jawapan ustaz ini ialah dia tidak mahu mencari penyakit.
Ustaz menjelaskan kata-katanya dengan berkata “nak jatuh cinta bukannya susah. Saya ambil berat dengan bersungguh-sungguh ke atas segala hal ehwal wanita ini, insyaAllah selepas satu waktu, cinta akan berputik. Cinta tidak mengenal usia, miskin atau cacat seperti buta”. Begitulah jawapan ustaz yang kami hormati ini. Memang benarlah segala apa yang dikatakan oleh ustaz ini.
Saya waktu jatuh cinta dengan isteri di UM dahulu pun sebenarnya memenuhi kriteria seperti yang dikatakan oleh ustaz tersebut. Mula-mula kenal, terpaut hati, banyak mengambil berat urusan orang ini, saling jatuh cinta dan akhirnya berkahwin. Jatuh cinta antara seorang bujang dengan anak dara tidak banyak masalah malahan digalakkan oleh masyarakat agar orang bujang dan anak dara ini berkahwin. Namun apabila seorang lelaki yang sudah berkahwin jatuh cinta dengan seorang anak dara, ada orang kata ini adalah rahmat tetapi ada orang kata ini sudah masuk masalah besar! Kalau seorang isteri jatuh cinta dengan suami orang, apa pula yang bakal terjadi? Mungkin zina atau meruntuh masjid untuk membina masjid baru?
Sebelum saya berkenalan dengan isteri saya dahulu, saya ada seorang best friend seorang wanita yang saya sanjung hingga kini semenjak kami darjah 3 sampai kami di tahun pertama IPTA (11 tahun). Darjah 3 – 6 sekolah yang sama. Tingkatan 1-3 kelas yang sama. Saya masuk Alam Shah tetapi masih meneruskan hubungan dengan kawan baik ini. Setiap cuti sekolah saya tidak dating macam orang muda lain tetapi secara gentleman pergi ke rumahnya bersembang dengannya di depan mata keluarganya. Ahli keluarganya semua saya kenal. Saya banyak mengambil berat tentangnya tetapi saya benar-benar tidak bercinta. Ayah ibu kawan baik saya ini sudah menaruh harapan yang besar terhadap saya sebagai calon menantu.
Kami berkawan rapat bercerita tentang kehidupan masing-masing kerana kami memang berkawan baik semenjak kecil. Tidak pernah bercerita tentang cinta sebab saya tidak pernah timbul rasa cinta ke atasnya. Saya benar-benar berkawan rapat dengan hamba Allah ini sebagaimana saya berkawan rapat dengan seorang lagi kawan lelaki rapat saya dahulu bernama Ayub Shukur. Rupanya inilah namanya pengalaman mahal saya dilatih untuk menjatuhkan hati seorang wanita. Apabila kita rapat dengan seseorang wanita, banyak mengambil berat tentang dirinya, secara otomatik salah satu pihak atau kedua-dua pihak akan jatuhlah hatinya dan cintanya.
Hubungan kami menjadi panas apabila pada tahun kedua kami di IPTA, saya memperkenalkan kekasih saya kepada sahabat baik ini. Saya dengan kebodohan saya tidak mengetahui bahawa hubungan rapat saya dengan kawan baik wanita ini rupanya telah membuahkan sesuatu yang saya tidak duga, cinta. Siapa yang tidak marah apabila tidak semena-mena saya memperkenalkan buah hati kepada seseorang yang sudah menaruh harapan untuk satu tempuh yang sangat lama.
Alhamdulillah saya berkahwin dengan buah hati ini dan sahabat baik saya ini juga sudah berkahwin dengan orang lain namun saya sudah sangat lama tidak menemuinya. Saya berdoa agar sahabat baik saya ini serta keluarganya sentiasa diberikan rahmat dan perlindungan Allah dan saya berdoa agar kami dapat dipertemukan Allah sebagai sahabat dalam situasi yang harmoni.
Ada yang ingin saya tegaskan sekali lagi ialah cinta insyaAllah akan berputik setelah ada sikap mengambil berat akan seseorang lain walaupun sikap tersebut dilakukan benar-benar ikhlas kerana Allah SWT. Seorang lelaki ketua jabatan (KJ) dengan pembantu peribadinya (setiausaha) mungkin di saat awal perkenalan mereka kedua-duanya sudah ada keluarga masing-masing. Kononnya KJ ini sangat berhati perut dan pandai berbudi. Segalanya dibuat dengan ikhlas kerana Allah SWT. Apabila makan tengahari kadang-kadang KJ ini membelikan makanan tengahari berbungkus untuk setiausahanya. Apabila setiausahanya bermasalah seperti rosak kereta, dengan bersungguh-sungguh KJ ini akan mencarikan orang untuk menyelesaikan masalah setiausaha ini. Apabila ada sebarang masalah keluarga, KJ akan mengambil masa untuk menasihati agar masalah keluarga ini dapat diselesaikan segera. Sekiranya segala kebaikan ini serta kebaikan lain diteruskan untuk satu tempuh yang lama, berapa lama lagi hati setiausaha ini dapat bertahan kalau tidak jatuh hati atau cair dengan segala kebaikan yang diberikan oleh KJ ini.
Cerita saya di atas adalah sekadar KJ yang berbudi kepada setiausahanya. Sekiranya sebaliknya pula seorang setiausaha terlalu dedicated kepada bossnya (lelaki) sehingga segala-galanya termasuk briefcase untuk mesyuarat dijaga dengan rapi bagai menatang minyak yang penuh, tambahan pula isteri di rumah tidak pandai melayan suami, berapa lama hati seorang lelaki boleh bertahan sebelum jatuh hati dan cair dengan kebaikan dan hati budi seorang wanita apatah lagi kalau wanita ini anak dara?
Kes jatuh hati ini akan lebih cepat berlaku sekiranya kedua-dua pihak saling menjaga dan mengambil berat pihak yang satu lagi. Memang kes berat kalau macam ini.
Di sekolah dan di pejabat, bab menjaga kebajikan opposite sex (jantina berlawanan) memang telah, sedang dan akan berterusan. Apabila seorang guru wanita mula mencurahkan masalah kepada seorang guru lelaki dengan alasan untuk mendapat pandangan balas dan guru lelaki ini pula ingin membuat kebajikan (niat baik) untuk membantu sesama manusia, inilah yang akhirnya akan membuahkan bibit cinta. Kalau bujang dengan anak dara tidak mengapa tetapi kalau satu pihak atau kedua-dua pihak sudah berkeluarga apakah kesudahan dari senario ini?
Bagi kaunselor dengan klien, perkara yang sama juga berlaku. Akibatnya banyak kaunselor terjebak dengan cinta terhalang. Orang bermasalah katakanlah seorang wanita sudah bersuami mengadukan masalah rumahtangganya yang kronik dengan seorang kaunselor lelaki. Memang pertemuan ini sangat dinantikan oleh isteri bermasalah kerana mungkin di rumah mereka sudah tidak boleh lagi di bawa berbincang suami isteri. Apabila berbincang dengan kaunselor ini, si wanita ini merasakan seperti berjumpa dengan malaikat kerana rupanya ada lelaki yang boleh dibawa berbincang tidak seperti suaminya di rumah. Kaunselor pula akan berusaha sedaya upaya dengan ilmu yang dipelajari untuk membantu wanita bermasalah ini. Dengan sikap mengambil berat dari kaunselor ini, wanita bermasalah mana yang tidak terjatuh hati dan cair. Wanita bermasalah adalah bagaikan orang yang hampir kelemasan di laut. Orang begini kalau jumpa seurat rambut untuk berpaut, pastinya peluang ini tidak akan dilepaskan. Apatah lagi kalau apa yang ditemuinya bukan seurat rambut tetapi satu bongkah kayu yang lebar yang sedang hanyut terapung.
Inilah yang pernah diajarkan oleh arwah guru saya lama dahulu. Isteri arwah hanya suri rumah dan tiada duanya. Dalam tempuh arwah mengubat dan membantu orang yang bermasalah, ramai wanita yang kaya dan hartawan menyerahkan diri hanya untuk dikahwini oleh arwah guru. Ada yang siap janji bagi elaun setiap bulan kepada arwah guru untuk menjadi suami. Siapa yang tidak terpaut apabila kerap dianiaya lelaki tiba-tiba terjumpa lelaki sejati yang berhati mulia. Arwah guru saya tidaklah handsome dan tidak segak pula namun kerana tanggungjawabnya membantu orang bermasalah, inilah yang menjadi punca hati wanita terjatuh dan cair. Arwah guru saya tinggal di Kuala Lumpur.
Kes membantu wanita pertama yang kami ambil di Johor Bahru ialah seorang wanita berstatus tinggi yang sudah berkeluarga. Wanita ini memang sangat bermasalah dengan suami dan anak-anak. Setiap minggu akan kami uruskan pertemuan antara wanita ini dengan guru dan saya. Dalam pertemuan ini pelbagai aspek termasuk ilmu agama, ilmu melayan suami dan ilmu melayan anak-anak akan diterapkan. Setiap aduan dan perkembangan dari wanita ini akan diberitahu kepada saya melalui telefon atas arahan guru saya. Setiap hal termasuk sakit di mulut, leher, buah dada dan kemaluan akan diberitahu kepada saya dan ini adalah tanda-tanda kafarah yang diberikan Allah melalui taubat yang dibuat oleh wanita ini. Saya sebagai seorang yang setia dengan arwah guru saya akan melayani dan cuba membantu setiap masalah yang dikemukakan oleh wanita ini. Rupa-rupanya inilah yang cuba diajarkan oleh arwah guru secara praktikal terus kepada saya. Semakin lama semakin rancak telefon orang ini dan semakin banyak masa saya kena korbankan untuk mendengar pelbagai masalah termasuk masalah kerja di pejabat. Nampak benar perubahan wanita ini dan dah mula manja-manja dan merajuk pula dengan saya. Inilah namanya terjatuh cinta. Saya bersyukur alhamdulillah kes ini tidak berlanjutan, kalau tidak susah juga menangkis cinta manusia.
Dalam kerja seharian, saya akan didatangi oleh pelajar wanita. Ada yang kurang menarik, ada yang lebih menarik dan ada pula yang sangat menarik. Ada yang pandai menggoda dan mencairkan hati lelaki pula. Satu ketika dahulu saya gunakan teknik cantas di peringkat awal dengan memanggil wanita ini dengan sesuatu gelaran yang tidak digemari iaitu memanggil “makcik” kepadanya. Wanita ini memangnya menarik, pandai senyum dan memikat lelaki. Sebelum hati saya terjatuh atau hati wanita ini terjatuh, saya memanggilnya dengan gelaran makcik termasuk di dalam kelas untuk mencantas merebaknya virus yang akan mencairkan hati manusia. Alhamdulillah teknik ini memang sangat berjaya.
Kesimpulan dari cerita saya kali ini ialah, kalau nak seseorang jatuh cinta, ambil beratlah tentang diri serta kehidupan seseorang itu dan tolonglah dia bersungguh-sungguh. InsyaAllah berputiklah cintanya. Namun ilmu ini adalah sangat merbahaya sekiranya digunakan hanya sekadar untuk menawan wanita dan seterusnya merosakkannya.
Kalau tidak hendak dan langsung tidak ingin seseorang jatuh cinta kepada anda, elakkanlah dari menolong dan mengambil berat akan seseorang. Gunakanlah sebarang teknik mencantas di peringkat awal untuk membunuh virus cinta.
Namun apa akan jadi kalau semua orang menjauhi wanita atas dasar takut terkena virus cinta? Ini sudah masuk bab fardhu kifayah untuk menolong manusia lain tidak kira lelaki atau wanita. Untuk ini kenalah berguru untuk dilatih secara praktikal mantap atau tidak jatuh hati dan adakah mampu menahan virus cinta.
Sekian untuk kali ini, wassalam wallahualam
No comments:
Post a Comment