Wednesday, July 30, 2008

Adam dan Evolutionist

Persoalan Teori Evolusi suatu yang rumit untuk dibincangkan. lebih-lebih lagi apabila ia dikaitkan dengan Darwinisme. Perkara ini merangkumi pelbagai aspek sehingga menyentuh kepada persoalan agama. Namun begitu ramai di kalangan manusia yang memahami sains, cuba mengaitkan Teori Evolusi dengan Islam. Lebih mengejutkan ada di kalangan mereka cuba mengsabitkan bahawa Adam a.s sememangnya berevolusi dari beruk!

Dahulunya semasa menuntut di Timur Tengah, persatuan pelajar di sana pernah menerima kunjungan dari salah seorang professor tanahair yang hebat. Beliau begitu ghairah dalam memperkatakan persoalan kebenaran teori evolusi. Beliau bercerita tentang DNA, berkata tentang mutasi dan lain-lain lagi. Beliau berkata, tinggalkan persoalan Teori Darwin yang mengatakan alam wujud secara tiba-tiba. Yakinlah bahawa semua proses kejadian alam adalah hasil arahan tuhan.

Yang peliknya ialah, beliau tanpa segan silu meyakini bahawa manusia sememangnya berasal dari beruk.Hujahnya ialah dengan bersandarkan firman Allah dalam surah al-A’laa ayat ke 2 yang bermaksud: “Yang telah menciptakan (sekalian makhlukNya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya.” Maka proses penyempurnaan itu adalah menyempurnakan peringkat beruk yang akhirnya menjadi sempurna sebagai Adam. Pelik betul.

Menjadi satu masalah apabila pelajar dalam aliran sains yang belajar secara khusus mengenai Teori Darwin susah untuk menafikan kesahihan teori ini. Maka mereka akan berada dalam dilema di antara dua persimpangan.

Persoalannya, adakah penciptaan Adam melalui beberapa proses bermula dari Australopithecus, Homo Habilis, Homo Erectus dan seterusnya manusia kamil iaitu Homo Sapien?. Ataupun Allah terus menciptakan Adam sebagai makhluk berasingan secara khusus tanpa melalui beberapa proses seperti teori evolusi tadi?.

Bagi saya melalui pembacaan yang dangkal ini, sekiranya teori evolusi dipadankan dengan evolusi bumi dan hidupannya, maka ia tidak menjadi masalah. Sekiranya bumi ini berevolusi dari era Archean kepada tempoh Epoch ataupun hidupan berevolusi dari ameba menjadi sel-sel yang lengkap, maka ia tidak menjadi masalah. Permasalahannya ialah apabila manusia turut diheret dalam proses ini.

Bagi yang non muslim, persoalan ini bukan menjadi suatu yang kusut. Tetapi lain pula dengan penganut Islam. Dilema melanda mereka apabila berlaku pertentangan dengan al-Quran dan Hadis yang menjadi pegangan hidup mereka.

Sekiranya manusia terbukti berasal dari moyang Australopithecus, bagaimana pula dengan sabda nabi yang mengatakan bahawa manusia ini dari Adam. Sekiranya Adam melalui proses Australopithecus, maka bagaimana pula dengan hadis nabi yang direkod oleh Imam Muslim yang mengatakan secara mafhumnya bahawa, ketika Allah membentuk Adam di dalam syurga, maka ia Adam ditinggalkan sementara waktu. Ketika itu datang iblis mengelilingi jasad Adam dan memerhatikan apakah makhluk ini. Apabila iblis dapati bahawa jasad Adam ni kosong, maka dia berkata bahawa makhluk ini tidak mempunyai kemampuan menguasai dirinya.

Menurut hadis ini, secara tipikalnya ia dapat difahami bahawa, proses kejadian Adam tidak melalui proses Australopithecus. Kerana insiden itu berlaku semasa peringkat pembentukan Adam di dalam syurga. Maknanya Adam diciptakan dengan ciptaan yang khusus yang bukannya berkembang dari makhluk lain.

Menjadi permasalah di antara dua fakta ini. Yang mana perlu di pegang dan yang mana perlu diketepikan. Sudah tentu seorang yang betul-betul Mukmin akan jelas jawapannya. Wallahua’lam.

Monday, July 21, 2008

Syukur...

Dahi Ziyad berkerut. Garis-garis kekecewaan jelas terbayang di wajahnya. Dengan hati yang berat dia merungut, "Lelaki lagi."

Zainab tersenyum mendengar keluhan suaminya. Dengan lembut dia berkata, "Bersyukurlah, sudah menjadi rezeki kita bersama."

Riak wajah Ziyad tidak berubah. Fikirannya melayang mengenangkan lima orang "askar" sedang "mengganas" di rumahnya. Keriuhan manusia serta tangisan-tangisan bayi di dalam wad bersalin pula, menambahkan lagi kekusutan hatinya.

"Bukan apa, abang terlalu menginginkan agar kita dikurniakan seorang puteri," jelas Ziyad sambil memandang tepat ke mata Zainab.

Zainab yang begitu faham dengan perangai suami tenang menjawab, "Kalaulah kita hidup pada zaman nabi Musa, sudah tentu semua "askar" kita dibunuh Firaun durjana!"

Mata Ziyad terjegil lalu bertanya, "Kenapa pula Firaun membunuh anak-anak lelaki, kenapa tidak anak-anak perempuan?"

Zainab memejamkan mata. Nafasnya ditarik sedalam-dalamnya. Ingatannya semasa belajar di sekolah menengah agama dahulu disentap-sentap kembali. Dengan yakin Zainab memulakan cerita, "Firaun si celaka lah yang memerintahkan agar semua bayi lelaki dibunuh kerana terlalu percayakan ramalan ahli nujum tentang mimpinya."

Ziyad memperkemaskan duduknya. "Apakah mimpi yang begitu dihantui oleh si firaun itu?" tanya Ziyad.

Zainab menyambung' "Firaun yang jelik itu telah bermimpi bahawa dia melihat ada api menuju ke Baitul Maqdis sehingga menerangi seluruh Mesir. Mimpi yang aneh itu diajukan kepada para ahli nujum diraja. Lantas mereka meramalkan bahawa kerajaan Mesir akan dihancurkan, rajanya dibinasakan dan agamanya akan dihapuskan dengan menggantikan ia dengan agama baru. Semuanya ini akan dilakukan oleh seorang lelaki di kalangan Bani Israil."

Ziyad yang dari tadi asyik mendengar cerita Zainab terus menyampuk, "Oleh itu, si Firaun laknat itu memerintahkan agar semua bayi lelaki Bani Israil dibunuh?"

Zainab mengangguk lesu. Kesan kelahirannya masih lagi terasa. Manakala Ziyad pula tunduk terkesima. Hatinya tidak keruan. Dalam hati dia merintih, "Oh Tuhan! Hamba-Mu ini terlalu meminta-minta. Hamba-Mu ini selalu tidak mensyukuri pemberian-Mu. Ampunkan daku wahai Tuhan-Ku."

Mata Ziyad bergenang. Wajah-wajah "askar" bermain di benaknya. Dengan dada yang sebak dia berkata, "Wahai putera-putera ku, abah terlalu menyayangi kalian".