Sunday, January 21, 2007

Sejarah Puasa 'Asyura'-Suatu Dongengan?


Agak mengecewakan sekiranya laman web sebuah persatuan ulama menyiarkan jawapan yang boleh menjejaskan institusi tersebut. Akibatnya artikel ini dijadikan hujjah bagi sesetengah manusia yang sememangnya suka kepada kelainan dalam agama. Sepatutnya perlu ada saringan dan pemeriksaan terhadap setiap jawapan yang diberikan terhadap persoalan yang diajukan. Berkenaan dengan artikel ni, saya memetik satu perenggan yang menghiris hati saya iaitu:

Para ulama yang ditanya, hanya menjelaskan tentang disunatkannya puasa pada hari itu. Mengapa? Kerana hari itu adalah hari pertolongan Allah kepada para nabi dalam menghadapi orang-orang zalim.
Pada hari Asyura, Ibrahim lepas dari api Namrud, Yunus keluar dari perut ikan, Musa bebas dari hambatan Firaun, dan Muhammad SAW selamat dari racun orang Yahudi. Kononnya, masih kata para ulama, ketika Nabi Muhammad SAW ke Madinah, baginda menemukan orang Yahudi berpuasa pada hari itu untuk mengenang kemenangan Musa. 'Aku lebih berhak untuk berpuasa daripada kalian,' kata Nabi SAW kepada orang-orang Yahudi. Maka kaum mukmin yang saleh di Malaysia selalu melakukan puasa Asyura sebagi ungkapan syukur atas kemenangan para Nabi.

Perkataan "konon" seolah-olah amalan berpuasa pada hari ‘Asyura’ suatu rekaan dan hadis berkenaan hak orang mukmin ke atas nabi Musa seolah-olah satu dongengan sahaja. Padahal hadis berkenaan kelebihan puasa ‘Asyura' telah dibahaskan dengan panjang lebar oleh para ulama fikah. Sebuah hadith yang telah diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang memerihalkan sentimen umat Islam di zaman Rasulullah ketika mana mereka melihat kaum Yahudi turut berpuasa pada hari ‘Asyura’ kerana meraikan pelepasan nabi Musa dari kezaliman firaun. Lalu Baginda s.a.w bersabda: "Kami paling berhak ke atas nabi Musa lebih dari kamu (wahai kamu Yahudi)!" lalu baginda menyuruh umat Islam berpuasa pada hari tersebut. Hukum ini berjalan sebelum turunnya hukum berpuasa Ramadhan. ( Bukhari, kitab Puasa, bab Puasa Hari ‘Asyura’, bil: 4/213 dan Muslim, kitab Puasa Bab Puasa Hari ‘Asyura’ bil: 1125).

Hadith ini bukan rekaan yang layak disebut "konon" seolah-olah menggambarkan amalan berpuasa pada hari ‘Asyura’ oleh umat Islam Sunni suatu yang tidak berasas dan berdalil. inilah sebenarnya sejarah kenapa Umat Islam disunatkan berpuasa pada hari ‘Asyura’ dan ianya langsung tiada kaitan dengan peristiwa kasyahidan cucunda Rasulullah s.a.w iaitu Saidina Hussain r.a. Di harap pihak berwajib yang mengendalikan soal-jawab dalam web e-ulama agar taraju' dalam perkara ini. Wallauha'lam.

Saturday, January 20, 2007

Qadhi Muhammad bin Ismail al-'Amraniy

Nama penuh beliau ialah Abu Muhammad, Muhammad bin Ismail bin Muhammad bin Muhammad bin Ali bin Husein bin Soleh bin Syai‘ al-‘Amraniy. Dilahirkan di Sana'a pada bulan Rabiul Awwal 1340 hijrah.

Qadhi Muhammad bin Ismail terkenal dengan panggilan al-‘Amraniy walaupun beliau dilahirkan dan dibesarkan di kota Sana'a.  Ini kerana keluarga beliau berasal dari daerah ‘Amran, pinggir Sana'a. Moyangnya, Qadhi Ali bin Husein telah berhijrah dari daerah ‘Imran menuju ke kota Sana'a di zaman pemerintahan Imam al-Masur al-Husain (1139H-1162H) pada kurun ke 12 hijrah. Dari saat itulah keluarga al-‘Imraniy berkecimpung dengan dunia keilmuan sehinggakan kaum keluarganya terkenal dengan keluarga ulama. Datuk beliau, Qadhi Muhammad bin Ali al-‘Amraniy merupakan anak murid kepada ulama Yaman yang terkenal iaitu Muhammad bin Ali al-Syaukani rahimahullah. Keterampilan serta kepintaran datuknya mendapat perhatian dari Imam Syaukani sehingga Syeikh al-Islam ini merakamkan keperibadian Muhammad bin Ali al‘Amraniy dalam kitab beliau iaitu Badr al-Thali‘. Begitulah salur galur keturunan al-‘Amrani dalam bidang keilmuan sehingga melahirkan seorang lagi ulama yang disegani di Yaman ini iaitu Qadhi Muhammad bin Ismail al‘Amraniy. Tapi kami memanggilnya dengan syeikh Imrani kerana senang dan lancar di mulut.

Kembara Ilmu

Peringkat Pertama:

Qadhi Muhammad bin Ismail telah bercerita kepada anak muridnya tentang pengalaman pertama dalam menuntut ilmu. Hatinya mula terdetik untuk mencari ilmu apabila ada seorang tua berkata kepada beliau; "kamu ini anak Qadhi Ismail bin Qadhi Muhammad..." yang bermaksud bahawa bapa kamu adalah ulama besar Yaman dan begitu juga dengan datuk kamu. Sejak dari itulah Qadhi al-‘Amraniy telah bergegas ke sekolah rendah al-Fulaihi ketika berumur tujuh tahun. Di situ beliau belajar pelbagai ilmu seperti al-Quran, tajwid, nahu saraf, akhlak, matematik, geografi, ilmu kesihatan dan lain-lain lagi sehinggalah beliau berhasil memperoleh sijil dari sekolah tersebut. Kemudian beliau berpindah ke sekolah al-Islah dan memperoleh keputusan yang cemerlang.

Peringkat kedua:

Pada peringkat inilah kembara ilmunya yang sebenar. Semasa berumur 10 tahun beliau telah berpindah ke Jami‘ Kabir (masjid besar Kota Sana‘a Lama) dan masjid Fulaihi dan belajar al-Quran dengan qari Muhammad bin Ishak, al-Faqih Yahya al-Kibsiy, al-Faqih Husain al-Akwa‘ dan Syed Muhammad bin Hamid al-Dabb.

Kemudian beliau telah menghafal beberapa matan seperti matan al-Azhar (Fiqh Hadawiy), matan al-Kamil (usul Fiqh), matan al-Kafiah (Nahu), matan al-Fiah (Nahu) dan Qawaid al-‘Irab (nahu). Kemudian Qadhi al-‘Amraniy telah melanjutkan pengajiannya dengan beberapa ulama besar Yaman pada ketika itu. Berikut adalah nama guru-guru beliau serta kitab pengajian beliau dengan ulama tersebut:

  1. Qadhi Abdullah bin Abdul Karim al-Jarafiy (1387H). Muwatta‘Malik, al-I‘tibar fi Nasikh wa Mansukh, Sunan Nasa’i dan sebahagian besar kitab Subulussalam dan Nailu al-Awtar.
  2. Qadhi Abdullah bin Abdul Rahman Hamid (1319H). Beliau telah mengajar Qadhi al-‘Imraniy kitab Syarh Ibn ‘aqil, Jawahir Maknun (balaghah), syarh al-Kamil (usul Fiqh) dan sebahagian dari syarah matan al-Azhar dan Qawaid al-I‘rab.
  3. Sayyed Abdul Karim bin Ibrahim al-Amir (1330H). Beliau adalah pembimbing Qadhi al-‘Imraniy dalam menghafal beberapa matan ilmu di antaranya ialah matan al-Azhar, al-Kamil, al-Kafiyah, al-Alfiyah dan Mulhatu al-I‘rab. Kemudia Qadhi al-‘Imraniy telah belajar dengan beliau beberapa kitab syarah seperti Qatru al-Nada karangan Ibnu Hisyam, Ibnu ‘aqil, Kafil, Mughni Labib, Jawahir al-Maknun dan Syarah al-Tiftazaniy (saraf).
  4. Qadhi Hassan bin Ali al-Maghribiy (1410H). Ilmu Faraid, syarah matan al-Azhar dan kitab Usul al-Ahkam karangan imam Ahmad bin Sulaiman.
  5. Qadhi Ali bin Hassan bin Ali bin Husain al-Maghribiy (1948M). Telah mempelajari dari beliau syarah Qatru al-Nada serta Nakhbatu al-Fikr fi Mustalahi Ahli al-Athari karangan al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘asqalaniy.
  6. Qadhi Abdullah bin Muhammad al-Sarhiy (1318H). Tafsir al-Kasysyaf karangan Syeikh al-Zamakhsyariy.
  7. Qadhi Abdul Wahhab al-Syamahiy (1375H). Syarah matan al-Azhar.
  8. Sayyid Ahmad bin Ali al-Kahlaniy (1387H) Syarah al-Azhar, Ghayatu al-Sual, al-Kasysyaf dan Sunan Nasa’i.
  9. Sayyid Abdul Khaliq bin Husain al-Amir (1370H). Syarah Raudhu al-Nadir, Sahih Muslim dan syarah al-Azhar.
  10. Sayyid Muhammad bin Ali al-Sirajiy. Syarah al-Ghayah, karangan Husain bin al-Qasim dan syarah ‘umdatu al-Ahkam.
  11. Al-‘Allamah Muhammad bin Soleh al-Bahluliy (1390H). Syarah Qatr karangan al-Fakihi, Syarah Jawahir Maknun, Syarah Tabari ‘ala al-Kafil fi al-Usul, Syarah al-Talkhis fi al-Ma‘ani wa al-Bayan, Syarah ‘umdatu al-Ahkam, dan permulaan tafsir al-Kashshaf.
  12. Al-‘Allamah Ali bin Hilal al-Dubabi (1388H). Tafsir al-Kashshaf.
  13. Qadhi Yahya bin Muhammad al-Iryaniy . Raudhatu al-Nadir, Sunan Abi Daud, al-Bahru al-Zakhkhar dan sebahagian dari kitab al-Kashshaf, al-Ghayah dan Zaadu al-Ma‘ad.
  14. Al-‘Allamah Ahmad bin Muhammad Zubarah (1421H). Sebahagian dari kitab Syifa’ al-Amir al-Husain, Syarah al-Azhar dan sebahagian besar kitab Subulu al-Salam.

Anak Murid

Anak murid Qadhi Muhammad bin Ismail al-‘Amraniy mempunyai ramai anak murid sehingga sukar dikenal pasti. Bilangannya mungkin mencecah ribuan orang sama ada pelajar dari Yaman mahu pun dari negara-negara lain seperti Indonesia, Malaysia, Somalia, Albania, Cina dan negara-negara Afrika. Adalah tidak keterlaluan sekiranya mengatakan bahawa lebih 50 jenis etnik dari kalangan pelajar-pelajar yang mendalami ilmu dengan beliau di Universiti Iman. Ramai dari kalangan hakim mahkamah syariah Yaman, pendakwah, pegawai kerajaan dan profesor-profesor di universiti Yaman adalah anak murid Qadhi al-‘Amraniy. Ini kerana Qadhi Muhammad adalah tenaga pengajar terpenting di beberapa institut pengajian tinggi di sekitar Sana'a seperti Institut Pengajian Tinggi Kehakiman, Universiti Iman dan Universiti Sana'a. Qadhi Muhammad al-‘Imraniy juga mengajar secara tetap di Masjid al-Zubairi, Sana'a. Namun begitu terdapat beberapa anak murid Qadhi yang menonjol. Di antaranya ialah:

  1. Qadhi Yahya bin Lutfi al-Faisal rahimahullah. Pengasas dan ketua Maahad Ilmiah Yaman.
  2. Qadhi Abdul Karim al-‘Arasyi. Pernah menjawat beberapa jawatan penting dalam pentadbiran kerajaan seperti Timbalan Presiden Republik Yaman, Ketua Speaker Parlimen Yaman dan yang terakhir ialah sebagai penasihat peribadi bagi Presiden Yaman Ali Abdullah Soleh.
  3. Doktor Abdul Wahhab al-Dailami. Bekas menteri kehakiman Yaman dan mudir Universiti Iman.
  4. Syeikh al-‘Allamah ‘Amir bin Hussain bin Abdullah bin Abdul Qadir hafizahullah. Anak murid syeikh dari Syiria.
  5. Syeikh al-‘Allamah Fadil bin Abdullah bin Murad al-Muradiy al-Salafi al-Rimiy. Graduan pertama Universiti al-Iman.
  6. Syeikh al-'Allamah Ahmad bin Wazir al-Waqashiy. Graduan pertama Universiti al-Iman.
  7. Ustaz Ahmad Lutfi bin Akmal Hisyam. Kami panggil dia Qadhi Joe. Seorang yang istiqamah dengan pengajaran syeikh di masjid Zubairi. Ingatannya kuat terutama dalam hafalan hadis.

Tuesday, January 02, 2007

Selamat Hari Raya Haji


Pada pagi yang mulia ini, marilah sama-sama kita menyambut hari raya ‘idul-adha ini dengan penuh kesyukuran serta keinsafan di samping melaung-laungkan kebesaran Allah dengan melafazkan kalimah takbir, tahmid dan melakukan ibadat korban bagi mereka yang mempunyai kelebihan dan kemampuan.

Hari ini, dikenali juga dengan hari raya haji kerana sebahagian umat Islam pada hari ini sedang berhimpun di tanah suci Mekah bagi menunaikan ibadat haji, rukun Islam yang kelima.

Hari ini juga dikenali dengan hari raya korban, kerana umat Islam diperintah supaya melakukan ibadah korban, mendekatkan diri kepada Allah I, sebagaimana yang dilakukan oleh nabi Allah Ibrahim di mana, Allah I memerintahkan baginda menyembelih anak kesayangannya nabi Ismail u

Sejarah membuktikan, nabi Ibrahim u melaksanakan perintah Allah I ini dengan penuh keyakinan dan ketabahan hati serta keikhlasan semata-mata kerana Allah. Keikhlasan baginda ini, mengatasi perasaan rasa sayang terhadap anaknya sendiri. Begitu pula anaknya Ismail dengan rela hati menyerahkan dirinya untuk disembelih demi menjunjung perintah Allah .

Inilah pengorbanan yang amat tinggi yang telah ditunjukkan oleh nabi Ibrahim dan nabi Ismail alaihimassalam dalam sejarah ketamadunan manusia, kerana mendaulatkan perintah dan hukum Allah ke atas mereka tanpa rasa ragu-ragu, sekalipun ada rintangan dan halangan di sepanjang laluan tersebut.

Melihatkan keikhlasan nabi Ibrahim itu maka Allah menerima amalannya dengan menggantikan penyembelihan anaknya tadi dengan tebusan seekor kibas. Dari peristiwa inilah, maka Allah menggolongkan nabi Ibrahim dalam golongan ‘ulul ‘azmi’ di kalangan rasul.

Nabi Allah Ibrahim merupakan salah seorang contoh terbaik untuk dijadikan ikutan. Sejarah perjuangannya harus dihayati dan diteladani oleh setiap Muslim yang mengaku sebagai pejuang Islam. Allah Taala telah memerintahkan kita agar mencontohi Islam Nabi Allah Ibrahim dengan firman Nya:

`Tidak ada orang yang membenci agama Nabi Ibrahim selain dari orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Kami telah memilih Ibrahim (menjadi nabi) di dunia ini; dan sesungguhnya ia pada hari akhirat kelak tetaplah dari orang-orang yang soleh yang (tertinggi martabatnya). (Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepada Ku wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam". Dan Nabi Ibrahim pun berwasiat dengan agama itu kepada anak-anaknya, dan (demikian juga) Nabi Yaakub (berwasiat kepada anak-anaknya) katanya: "Wahai anak-anak ku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) ini menjadi ikutan kamu, maka janganlah kamu mati melainkan kamu dalam keadaan Islam".

Nabi Allah Ibrahim u merupakan contoh Muslim yang sebenar. Baginda tidak gentar menghadapi segala rintangan dan cubaan, walaupun yang dihadapinya adalah sebuah kerajaan yang agung. Perjuangan baginda bukan sahaja mendapat tentangan dari kerajaan dan rakyat jelata, malah ayahnya sendiri turut mengingkari seruan Tauhid. Inilah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Allah Ibrahim dalam melaksanakan kerja dakwahnya, di mana kehendak Allah mengatasi kehendak diri dan keluarga. Ketegasan Nabi Allah Ibrahim u menyebabkan baginda dihukum dengan dibakar hidup-hidup dalam api yang marak. Namun Allah telah berfirman:

"Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim!".

Maka Allah I telah menyelamatkan Baginda u secara mukjizat. Kemudian Nabi Allah Ibrahim u dihalau oleh ayahnya sendiri dan kerajaan yang memerintah tanah airnya. Itulah ia adat orang yang beriman, kerana Allah I telah berjanji bahawa setiap orang beriman sebenarnya pasti diuji. Firman Allah I:

dan demi sesungguhnya! Kami tetap menguji kamu (wahai orang-orang yang mengaku beriman) sehingga ternyata pengetahuan Kami tentang adanya orang-orang yang berjuang dari kalangan kamu dan orang-orang yang sabar (dalam menjalankan perintah Kami); dan (sehingga) Kami dapat mengesahkan (benar atau tidaknya) berita-berita tentang keadaan kamu.

Nabi Ibrahim yang telah berjaya dalam ujian yang pertama, diuji lagi oleh Allah dengan memerintahkan baginda supaya membawa isteri dan anaknya tercinta nabi Ismail ke negeri Mekah yang kering kontang serta tiada penempatan manusia. Apabila anaknya besar, diperintahnya pula supaya disembelih. Kesemua ujian yang getir ini ditunaikan oleh Nabi Allah Ibrahim dengan penuh pengabdian kepada Allah . Inilah pengorbanan agung yang tiada tolak bandingnya.

Sejarah perjuangan dan pengorbanan ini bukan sahaja terhenti setakat itu, malah di sambung oleh generasi-generasi terkemudian dari mereka daripada kalangan para Anbia' dan Mursalin. Ada di kalangan mereka dibunuh dengan kejam, ada yang dipotong kaki dan tangan, ada yang tubuhnya digergaji dan ada pula mereka yang menerima pelbagai seksaan dan kekejaman yang beraneka ragam. Semua ini tidak lagi dipedulikan oleh mereka. Kerana pada mereka hanyalah keredaan Allah Taala yang mereka cari.

Nabi kita Muhammad yang merupakan insan yang paling dikasihi oleh Allah, tidak terlepas dengan cubaan dan ujian. Semua ujian tersebut, diharungi oleh Rasulullah dengan hati yang tabah, disertai dengan pengorbanan yang tinggi yang sama sekali tidak mampu ditandingi oleh umat Islam pada hari ini. Bukan sahaja Rasulullah yang menerima penderitaan dan keperitan ini, bahkan tempias kepedihan dan kejerihan ini juga terkena kepada pengikut-pengikut baginda di kalangan para sahabat radiallahu‘anhum. Ada di kalangan mereka yang diseksa dengan dibutakan mata, diletakkan batu di atas dada dan ada juga yang dirampas harta benda. Inilah cabaran yang getir yang terpaksa diterima oleh penyokong perjuangan Islam pada ketika itu. Namun adakah mereka semua berpaling dari agama Allah dengan membeli dunia dengan harga yang rendah? Jawapan tidak sama sekali. Bahkan pengorbanan mereka mendapat penghargaan dari Allah Taala dengan terakamnya kisah mereka di dalam al-Quran al-Karim.

Cubalah kita bandingkan dengan keadaan mereka dengan diri kita pada hari ini? Adakah kita pernah diuji sedemikian rupa? Adakah kita pernah diuji seakan-akan mereka? Ataupun kita langsung tidak pernah diuji oleh Allah? Jika jawapannya tidak pernah maka marilah kita sama-sama mengingati akan firman Allah Subhanahu wa Taala:

Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui Nya tentang orang-orang yang berdusta.

Ayat di atas merupakan satu sindiran dari Allah Taala terhadap mereka yang mengaku beriman dengan Allah padahal mereka belum pernah menerima ujian. Ingatlah saudara-saudara sekalian bahawa, insan yang paling dahsyat menerima ujian, adalah golongan anbia', para solihin serta mereka yang mengikuti jejak langkah para anbia' dan solihin. Sekiranya kita belum pernah menerima ujian, sudah tentu kita bukan dari golongan mereka. Na‘uzubillah.

Ujian pada hari ini bukan sahaja dalam bentuk ujian keperitan dan kesengsaraan. Bukan sahaja ujian yang berbentuk kesusahan dan kejerihan. Tetapi ujian ini juga datang dalam bentuk kemewahan, kesenangan, kebahagiaan keluarga serta kedudukan. Mungkin ramai di kalangan kita sanggup mengharungi ujian kepayahan dan kesusahan. Tapi ramai pula yang tewas dalam menghadapi ujian keduniaan.

Ramai di kalangan kita yang asyik dengan harta, anak isteri, rumah dan kemewahan dengan meninggalkan seruan Allah dalam melaksanakan perjuangan Islam. Perkara ini telah diberi amaran oleh Allah Subhanahu wa Taala dalam firmannya:

Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul Nya dan (daripada) berjihad untuk agama Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan Nya (azab seksa Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq (derhaka).

Ayat dia atas merupakan peringatan dari Allah kepada mereka yang meninggalkan perjuangan menegakkan kalimah Allah, lantaran terlalu asyik dengan kesenangan duniawi. Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah agar dijauhkan kita daripada sifat-sifat yang tercela ini.

Perjuangan Islam bukanlah senang seperti yang dijangkakan. Perjuangan untuk menegakkan kalimah Allah bukan mudah seumpama berjalan di hamparan mewah. Akan tetapi ianya penuh dengan onak duri serta ranjau di sepanjang jalan. Pejuang-pejuang Islam sejak dahulu lagi, sudah lali menerima ujian dan cubaan. Lihat sahajalah apa yang berlaku pada hari, ramai di kalangan penegak kebenaran dan pejuang Islam tersungkur di tengah medan, di tangan penguasa yang zalim dan kejam. Walaupun para pejuang ini mati di mata penzalim, akan tetapi mereka tetap hidup di sisi Allah I:

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki )ali-‘Imran: 169)

Ujian yang biasa dihadapi oleh setiap penegak ad-din, datang dalam pelbagai bentuk. Firman Allah Taala:

Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan harta benda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).

Firman Allahlagi:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar

Disebabkan perjuangan menegakkan Islam sebagai cara hidup dipenuhi dengan pelbagai cubaan, maka Allah Taala memerintahkan kita agar bersabar dalam perjuangan suci ini. Firman Allah Taala:

Dan jadikanlah diri mu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandangan mu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.

Ayat di atas merupakan gesaan Allah Taala kepada kita semua agar sentiasa bersabar dengan golongan yang beribadat kepada Allah yang mana mereka senentiasa menyebut dan menyeru nama Nya di waktu pagi dan petang. Dan janganlah kita semua meninggalkan golongan ini semata-mata memburu habuan dunia. Bimbang-bimbang bukan dunia yang diperoleh, tetapi laknat dan kemurkaan Allah yang didapati.

Di hari yang penuh keberkatan ini saya menyeru kepada diri saya dan saudara saudari sekalian agar berjuang ke jalan Allah dengan penuh keikhlasan dan ketaqwaan. Firman Allah:

Wahai orang-orang yang beriman! Mahu kah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

Kewajipan berjihad ke jalan Allah tidak boleh di sangkal lagi. Namun ianya bukan terbatas kepada jihad peperangan semata-mata. Tetapi ianya diamalkan mengikut kesesuaian keadaan semasa. Sekiranya keadaan memerlukan kepada persenjataan maka ia adalah yang lebih utama. Sekiranya tidak perlu, maka hendaklah mengikut saluran yang betul yang telah digariskan oleh para alim ulama. Berjihadlah mengikut kemampuan dan kepakaran masing-masing. Sumbangkan kemahiran yang ada untuk menegakkan kalimah Allah di bumi ini. Sekiranya ada seruan untuk melakukan pengorbanan baik dari segi harta benda dan jiwa raga, insya-Allah kitalah orang yang pertama menyahut seruan itu.