Sunday, November 19, 2006

Cuti-cuti Kampung (Ntah Hape-Hape)


Cuti sekolah sudah pun berlalu. Kakak-kakak dan abang-abang yang pulang ke kampung menjenguk Che yang sentiasa setia menunggu kepulangan anak-anaknya telah lama kembali ke halaman masing-masing. Sebenarnya saya tak tahu nak tulis apa. Cuma seminggu dua ni agak kepenatan melayan karenah anak-anak saudara yang kadang-kadang menggeletek sanubari dan terkadang membuatkan dada terasa sungguh sempit. Tatkala orang lain sibuk bercuti, saya pula sibuk bersekolah. Sekolah kehidupan. Sekolah yang menyekolahkan saya tentang erti kehidupan. Tentang erti bebanan yang dinamakan tanggungjawab.

Cerita ini sebenarnya telah lama berlaku, kira-kira 2 hingga 3 bulan lepas. Akan tetapi, saya ingin juga tulisan ini disiarkan dalam blogg kerana saya dah malas untuk menulis yang lain. Walaupun tulisan ini sudah lama, namun isinya Insya-Allah, adalah sesuatu yang masih relevan dan baru dengan kehidupan.

Sebenarnya banyak perkara yang saya pelajari di masa cuti sekolah yang lalu. Kepulangan adik beradik ke kampung halaman sedikit sebanyak memecah kesunyian rumah saya lebih-lebih lagi semenjak kepulangan ayahanda dan kakanda ke rahmatullah. Kepulangan mereka ke kampung amat menggembirakan saya. Melayan telatah anak-anak saudara cukup membuatkan diri terhibur dan kesepian yang sekian lama melapuk kian terhakis dengan gelak tawa mereka.

Kakak-kakak dan abang-abang selain dari menjawat jawatan penting dalam pelbagai institusi, mereka juga sebenarnya adalah cikgu di bawah separuh sedar yang mengajar saya tentang banyak perkara. Cerita-cerita mereka yang dikisahkan sepanjang kepulangan mereka bukan sahaja menghiburkan malah mengandungi pelbagai hikmah yang sentiasa baru dan bermanfaat. Kehidupan berumah-tangga (walaupun aku masih bujang) yang penuh rona berliku serta kesengsaraan mereka tatkala melahirkan anak cukup menginsafkan diri ku akan pengorbanan seorang insan bernama ibu. Selain bertarung nyawa semasa melahirkan anak, mereka juga terpaksa menanggung kesenakan urat sendi akibat kelahiran. Urat-urat hijau timbul di tumit dan betis sudah cukup membuatkan saya terasa ngilu dan ngeri. Lalu terfikir di kepala, kalaulah tugas ini dibebani oleh lelaki, apa yang akan berlaku. Sekali fikir untung menjadi lelaki. Akan tetapi bebanan tanggungjawab yang dipikul oleh sang bapa lebih perit dan melelahkan. Dulu pernah saya direkrut oleh bapa untuk menyelami kerja-kerja yang dilakukannya. Terasa sangat pahit bila terpaksa membuat kerja yang berat-berat sehingga aku mengeluh sendirian; "ke mana saudara-saudara ku yang lain?". Namun kepahitan yang saya alami di masa kecil (walaupun aku sudah besar di usia kecil ku) terasa kemanisannya di hari ini. Pengalaman dan pengajaran yang saya timba di usia kecil ku bersama Almarhum ayahanda adalah suatu permata yang amat berharga yang tiada nilaiannya dengan wang ringgit. Walaupun saya bukan klon ayah 100% tapi tempias "keganasan" ayah saya sedikit sebanyak terkena pada diri ku. Itu yang membuatkan aku terasa cukup bangga dan gembira dengan diri ku ini.

Berbalik cerita cuti-cuti kampung tadi. Saya suka memerhati cara adik beradik mendidik anak-anak mereka. Setiap perkara yang baik-baik saya sematkan dalam sanubari sekukuh-kukuhnya. Perwatakan yang diwatakkan oleh setiap anak mereka, menggambarkan bagaimana mereka dibentuk dan dididik. Ada yang manja, ada yang taat, ada yang degil dan ada juga yang bercelaru identitinya. Biasanya krisis identiti berlaku kepada para remaja. Bukan orang lain, saya sendiri pun mengalami krisis identiti yang teruk, sehinggalah usia yang mematangkan diri. Namun kesukaan saya memerhatikan lagak manusia adalah suatu yang sangat berguna di mana kita dapat mengumpul semua tabiat baik untuk dipraktikkan dan segala perkara yang dibenci oleh diri sendiri mahu pun orang lain, saya sedaya upaya untuk menghindarinya.

Selain dari kerja memerhati telatah dan perangai manusia, saya juga menjadi pengasuh ataupun "Butler" kepada anak-anak saudara. Memang kerja ini sedikit memenatkan baik dari fizikal dan mental tapi ini juga adalah pengalaman dan pembelajaran yang sangat berharga yang tidak pernah diajar di sekolah-sekolah mahupun di universiti-universiti. Kesabaran dalam melakukan 'kerja' yang mencabar ini amat diperlukan kerana takut-takut bukan tangan sahaja yang akan naik ke muka mereka malah kaki pun turut sama membantu. Tapi inilah masanya untuk saya mempraktikkan apa yang dipelajari sepanjang cuti baru-baru ini sama ada praktikal atau pun tidak. Betul kata pepatah sayang anak tangan-tangankan sayang isteri tinggal-tinggalkan (tapi saya tak ada isteri dan anak). Budak-budak kecil zaman sekarang tidak sesuai lagi diajar dengan kekerasan seperti diamalkan oleh orang-orang dahulu. Namun kekerasan amat diperlukan dalam kelembutan mendidik anak. Anak-anak kecil sekarang lebih cenderung untuk berfikir secara rasional dan logik. Sekiranya kita melayani mereka seperti kita melayani orang dewasa dari segi kewarasan dan kelogikan, ia memberi kesan yang amat baik untuk mereka. Didik mereka sejak dari kecil lagi bagaimana cara berfikir yang betul dengan mengajar mereka benda baik dan benda buruk, yang mana boleh dilakukan dan yang mana dijauhkan berserta dengan sebab dan alasan yang kukuh.

Menangani anak-anak yang suka absen solat, malas mengaji al-Quran dan belajar adalah suatu kerja yang amat sukar. Ia memerlukan jati diri dan kekuatan si ibu bapa mereka untuk bijak menghadapinya. Jangan jadikan solat dan belajar suatu hukuman kerana ia boleh menyebabkan tanggapan bahawa, solat dan belajar itu adalah perkara yang tidak menyeronokkan dan suatu yang menyusahkan. Cuba perhatikan ayat ini "Ali, tutup televisyen! Kamu suka betul tengok tv. Sudah! Pergi baca buku. Kamu ni tengok tv rajin, baca buku malas." Ayat ini seolah-olah Ali dihukum kerana keasyikannya menonton televisyen, dengan membaca buku. Dan ini menyebabkan Ali merasa bahawa membaca buku adalah suatu hukuman bagi mereka yang kecanduan menonton televisyen. Jadi Ali akan membenci buku dan membaca buku. Oleh itu bagaimanakah cara yang berkesan untuk menanganinya.

Bagi saya kesedaran Iman wajib diserap kepada mereka semenjak kecil lagi. Terangkan kepada mereka kenapa mereka perlu solat, mengaji al-Quran dan membaca buku. Ajarlah mereka Iman dan Islam agar mereka yakin bahawa apa yang mereka lakukan ini dinilai dan dicatat oleh malaikat yang bertugas. Buat jadual khusus untuk mereka belajar, mengaji serta perkara-perkara yang berkaitan dengan riadah dan hiburan. Biarlah kesemuanya seimbang agar keharmonian fizikal dan mental anak-anak sihat dan terjamin. Di samping itu rujuklah kepada buku-buku motivasi dan panduan mendidik anak-anak serta mendengar nasihat dari para alim ulama dan ahli dalam bidang pendidikan kanak-kanak. Akan tetapi kesemuanya ini tidak akan tercapai sekiranya tiada kesedaran yang tinggi di kalangan ibu-bapa. Ibu bapalah yang sebenarnya pembentuk keperibadian anak-anak. Mulakan dari diri ibu bapa itu sendiri. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan bahawa setiap anak Adam dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapalah yang mencorakkan anaknya sama ada menjadi Yahudi mahupun Nasrani.

Namun semuanya ini adalah lontaran idea saya semata-mata dan ianya tidak semestinya tepat dan betul. Namun apa yang baik yang datang dari Allah itu mengandungi kebaikan buat diri anda, maka ambillah untuk dijadikan pedoman. Dan yang tidak baik itu yang berpunca dari kelemahan diri ini jadikanlah ianya sempadan. Wassalam

No comments: