Sunday, November 19, 2006

Cuti-cuti Kampung (Ntah Hape-Hape)


Cuti sekolah sudah pun berlalu. Kakak-kakak dan abang-abang yang pulang ke kampung menjenguk Che yang sentiasa setia menunggu kepulangan anak-anaknya telah lama kembali ke halaman masing-masing. Sebenarnya saya tak tahu nak tulis apa. Cuma seminggu dua ni agak kepenatan melayan karenah anak-anak saudara yang kadang-kadang menggeletek sanubari dan terkadang membuatkan dada terasa sungguh sempit. Tatkala orang lain sibuk bercuti, saya pula sibuk bersekolah. Sekolah kehidupan. Sekolah yang menyekolahkan saya tentang erti kehidupan. Tentang erti bebanan yang dinamakan tanggungjawab.

Cerita ini sebenarnya telah lama berlaku, kira-kira 2 hingga 3 bulan lepas. Akan tetapi, saya ingin juga tulisan ini disiarkan dalam blogg kerana saya dah malas untuk menulis yang lain. Walaupun tulisan ini sudah lama, namun isinya Insya-Allah, adalah sesuatu yang masih relevan dan baru dengan kehidupan.

Sebenarnya banyak perkara yang saya pelajari di masa cuti sekolah yang lalu. Kepulangan adik beradik ke kampung halaman sedikit sebanyak memecah kesunyian rumah saya lebih-lebih lagi semenjak kepulangan ayahanda dan kakanda ke rahmatullah. Kepulangan mereka ke kampung amat menggembirakan saya. Melayan telatah anak-anak saudara cukup membuatkan diri terhibur dan kesepian yang sekian lama melapuk kian terhakis dengan gelak tawa mereka.

Kakak-kakak dan abang-abang selain dari menjawat jawatan penting dalam pelbagai institusi, mereka juga sebenarnya adalah cikgu di bawah separuh sedar yang mengajar saya tentang banyak perkara. Cerita-cerita mereka yang dikisahkan sepanjang kepulangan mereka bukan sahaja menghiburkan malah mengandungi pelbagai hikmah yang sentiasa baru dan bermanfaat. Kehidupan berumah-tangga (walaupun aku masih bujang) yang penuh rona berliku serta kesengsaraan mereka tatkala melahirkan anak cukup menginsafkan diri ku akan pengorbanan seorang insan bernama ibu. Selain bertarung nyawa semasa melahirkan anak, mereka juga terpaksa menanggung kesenakan urat sendi akibat kelahiran. Urat-urat hijau timbul di tumit dan betis sudah cukup membuatkan saya terasa ngilu dan ngeri. Lalu terfikir di kepala, kalaulah tugas ini dibebani oleh lelaki, apa yang akan berlaku. Sekali fikir untung menjadi lelaki. Akan tetapi bebanan tanggungjawab yang dipikul oleh sang bapa lebih perit dan melelahkan. Dulu pernah saya direkrut oleh bapa untuk menyelami kerja-kerja yang dilakukannya. Terasa sangat pahit bila terpaksa membuat kerja yang berat-berat sehingga aku mengeluh sendirian; "ke mana saudara-saudara ku yang lain?". Namun kepahitan yang saya alami di masa kecil (walaupun aku sudah besar di usia kecil ku) terasa kemanisannya di hari ini. Pengalaman dan pengajaran yang saya timba di usia kecil ku bersama Almarhum ayahanda adalah suatu permata yang amat berharga yang tiada nilaiannya dengan wang ringgit. Walaupun saya bukan klon ayah 100% tapi tempias "keganasan" ayah saya sedikit sebanyak terkena pada diri ku. Itu yang membuatkan aku terasa cukup bangga dan gembira dengan diri ku ini.

Berbalik cerita cuti-cuti kampung tadi. Saya suka memerhati cara adik beradik mendidik anak-anak mereka. Setiap perkara yang baik-baik saya sematkan dalam sanubari sekukuh-kukuhnya. Perwatakan yang diwatakkan oleh setiap anak mereka, menggambarkan bagaimana mereka dibentuk dan dididik. Ada yang manja, ada yang taat, ada yang degil dan ada juga yang bercelaru identitinya. Biasanya krisis identiti berlaku kepada para remaja. Bukan orang lain, saya sendiri pun mengalami krisis identiti yang teruk, sehinggalah usia yang mematangkan diri. Namun kesukaan saya memerhatikan lagak manusia adalah suatu yang sangat berguna di mana kita dapat mengumpul semua tabiat baik untuk dipraktikkan dan segala perkara yang dibenci oleh diri sendiri mahu pun orang lain, saya sedaya upaya untuk menghindarinya.

Selain dari kerja memerhati telatah dan perangai manusia, saya juga menjadi pengasuh ataupun "Butler" kepada anak-anak saudara. Memang kerja ini sedikit memenatkan baik dari fizikal dan mental tapi ini juga adalah pengalaman dan pembelajaran yang sangat berharga yang tidak pernah diajar di sekolah-sekolah mahupun di universiti-universiti. Kesabaran dalam melakukan 'kerja' yang mencabar ini amat diperlukan kerana takut-takut bukan tangan sahaja yang akan naik ke muka mereka malah kaki pun turut sama membantu. Tapi inilah masanya untuk saya mempraktikkan apa yang dipelajari sepanjang cuti baru-baru ini sama ada praktikal atau pun tidak. Betul kata pepatah sayang anak tangan-tangankan sayang isteri tinggal-tinggalkan (tapi saya tak ada isteri dan anak). Budak-budak kecil zaman sekarang tidak sesuai lagi diajar dengan kekerasan seperti diamalkan oleh orang-orang dahulu. Namun kekerasan amat diperlukan dalam kelembutan mendidik anak. Anak-anak kecil sekarang lebih cenderung untuk berfikir secara rasional dan logik. Sekiranya kita melayani mereka seperti kita melayani orang dewasa dari segi kewarasan dan kelogikan, ia memberi kesan yang amat baik untuk mereka. Didik mereka sejak dari kecil lagi bagaimana cara berfikir yang betul dengan mengajar mereka benda baik dan benda buruk, yang mana boleh dilakukan dan yang mana dijauhkan berserta dengan sebab dan alasan yang kukuh.

Menangani anak-anak yang suka absen solat, malas mengaji al-Quran dan belajar adalah suatu kerja yang amat sukar. Ia memerlukan jati diri dan kekuatan si ibu bapa mereka untuk bijak menghadapinya. Jangan jadikan solat dan belajar suatu hukuman kerana ia boleh menyebabkan tanggapan bahawa, solat dan belajar itu adalah perkara yang tidak menyeronokkan dan suatu yang menyusahkan. Cuba perhatikan ayat ini "Ali, tutup televisyen! Kamu suka betul tengok tv. Sudah! Pergi baca buku. Kamu ni tengok tv rajin, baca buku malas." Ayat ini seolah-olah Ali dihukum kerana keasyikannya menonton televisyen, dengan membaca buku. Dan ini menyebabkan Ali merasa bahawa membaca buku adalah suatu hukuman bagi mereka yang kecanduan menonton televisyen. Jadi Ali akan membenci buku dan membaca buku. Oleh itu bagaimanakah cara yang berkesan untuk menanganinya.

Bagi saya kesedaran Iman wajib diserap kepada mereka semenjak kecil lagi. Terangkan kepada mereka kenapa mereka perlu solat, mengaji al-Quran dan membaca buku. Ajarlah mereka Iman dan Islam agar mereka yakin bahawa apa yang mereka lakukan ini dinilai dan dicatat oleh malaikat yang bertugas. Buat jadual khusus untuk mereka belajar, mengaji serta perkara-perkara yang berkaitan dengan riadah dan hiburan. Biarlah kesemuanya seimbang agar keharmonian fizikal dan mental anak-anak sihat dan terjamin. Di samping itu rujuklah kepada buku-buku motivasi dan panduan mendidik anak-anak serta mendengar nasihat dari para alim ulama dan ahli dalam bidang pendidikan kanak-kanak. Akan tetapi kesemuanya ini tidak akan tercapai sekiranya tiada kesedaran yang tinggi di kalangan ibu-bapa. Ibu bapalah yang sebenarnya pembentuk keperibadian anak-anak. Mulakan dari diri ibu bapa itu sendiri. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w yang menyatakan bahawa setiap anak Adam dilahirkan dalam keadaan fitrah. Maka ibu bapalah yang mencorakkan anaknya sama ada menjadi Yahudi mahupun Nasrani.

Namun semuanya ini adalah lontaran idea saya semata-mata dan ianya tidak semestinya tepat dan betul. Namun apa yang baik yang datang dari Allah itu mengandungi kebaikan buat diri anda, maka ambillah untuk dijadikan pedoman. Dan yang tidak baik itu yang berpunca dari kelemahan diri ini jadikanlah ianya sempadan. Wassalam

Friday, November 17, 2006

globalisasi


Question: What is the truest definition of Globalization?
Answer: Princess Diana's death.
Question: How come?
Answer: An English princess with an Egyptian boyfriend crashes in a French tunnel driving a German car with a Dutch engine,driven by a Belgian who was drunk on Scottish whisky,
followed closely by Italian Paparazzi,on Japanese motorcycles; treated by an American doctor, using Brazilian medicines. This is sent to you by a Malaysian, using Bill Gates 's technology, and you're probably reading this on your computer, that use Taiwanese chips, and a Korean monitor, assembled by Bangladeshi workers in a Singapore plant, transported by Pakistan lorry-drivers, hijacked by Indonesians, unloaded by Sicilian longshoremen, and trucked to you by Mexican illegal's.....

That, my friend, is Globalization.

di"copy paste" dari situs http://ahas.multiply.com/journal/item/45

Saturday, November 11, 2006

DUNIA YANG SEMAKIN BINGUNG

Assalamualaikum. Mungkin terlalu lewat bagi saya untuk memperkatakan sesuatu mengenai apa yang berlaku di Palestin dan Lebanon. Umat Islam di kedua-dua negara ini telah mengalami mala petaka yang maha dahsyat. Negara mereka diserang oleh rejim Zionis tanpa menghiraukan sentimen diplomatik kenegaraan. Sementara negara-negara Islam lain hanya mengambil pendirian mengutuk tindakan Zionis yang kejam itu. Walau pun berpuluh-puluh kutukan diterima oleh Yahudi namun semakin galak pula mereka menjarah bumi Palestin dan Lebanon. Pemimpin-pemimpin Islam seluruh dunia hanya memerhati bencana ini dari jauh dan hanya bertindak mengecam perbuatan zalim Yahudi. Lagak mereka tak ubah seperti kita mengutuk watak jahat dalam cerita-cerita Hollywood. Mereka hanya mampu bercakap tetapi tidak pernah terfikir untuk bertindak. Fitnah yang berlaku di kalangan pemimpin-pemimpin negara yang bermazhab sunni seolah-olah menggambar betapa buruk dan bejatnya pemimpin-pemimpin sunni yang hanya tahu membesarkan poket dan perut masing-masing.

Timbul penyelamat umat Islam di akhir-akhir ini yang kita semua tahu iaitu HIZBULLAH. Hizbullah adalah parti politik di negara Lebanon yang bermazhab Syiah. Tidak dapat diketahui mazhab Syiah apa yang dipegang oleh Hizbullah sama ada Imamiyah, Ismailiyyah, Ithna 'Asyariah atau pun Zaidiyyah. Saya rasa mungkin mereka ini bermazhab Imamiyah. Sebelum itu kita semua teruja dengan semangat 'rebel' yang ditunjukkan oleh Iran dalam isu nuklear yang membuatkan kerajaan Amerika dan sekutunya bingung dan bengang. Martabat Islam seolah-olah diangkat oleh Iran yang bermazhab Syiah. Ditambah pula dengan Revolusi Iran yang dahulunya didukung oleh kepimpinan Imam Khomeini berjaya menyingkirkan Shah Iran yang merupakan boneka sekular. Semua peristiwa yang disebutkan menyebabkan kita semua merasa bahawasanya Islam bermazhab Syiah adalah suatu mazhab yang kuat dan digeruni oleh musuh Islam. Dengan kejayaan-kejayaan inilah menyebabkan pemimpin-pemimpin Islam Sunni dilabelkan sebagai bacul dan pengecut dan hanya pandai membuncitkan perut masing-masing. Kita yang bermazhab Sunni pun turut terasa bahawa Syiah adalah satu mazhab yang benar, berani dan radikal. Pelik sahabat-sahabat sekalian. Kita yang mengetahui dan mempelajari bahawa akidah Syiah adalah menyimpang dari landasan Islam, tiba-tiba kita mengangkatnya menjadi wira umat Islam. Banyak perkara yang kita semua perlu perhatikan dari pelbagai sudut. Bagi yang tipikal, sudah tentu menganggap bahawa Syiahlah wira umat Islam. Tetapi bagi mereka yang tahu tentang seluk-belok politik dunia sudah tentu dapat menjangkakan bahawa di sana terdapat agenda tersembunyi dari setiap perkara yang ditonjolkan.

Sahabat-sahabat semua. Marilah sama-sama kita perhatikan pendapat wira umat Islam ini tentang sahabat Rasulullah. Di sini saya petik satu petikan dari buku Thummah Tadaitu (kemudiannya aku beroleh hidayah) karangan Tijani yang saya muat turunkan dari laman web Syiah iaitu http://almawaddah.orgfree.com, ayatnya berbunyi :

(Bersabda Nabi SAWA,"Aku akan mendahului kalian dan akan menjadi saksi kepada kalian. Demi Allah aku kini melihat Haudhku (telaga di syurga) dan aku juga telah diberikan kunci kekayaan bumi (atau kunci bumi). Demi Allah aku tidak khuatir kalian akan mensyirikkan Allah setelahku, tetapi aku khuatir kalian akan bersaing untuknya (dunia)"

Sungguh benar apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAWA. Mereka telah bersaing dan berlumba-lumba untuk dunia ini sehingga pedang-pedang mereka dihunuskan, berperang, dan saling mengkafirkan. Sebahagian sahabat yang besar menimbunkan emas dan perak. Para ahli sejarah seperti al-Masu'di di dalam kitabnya Muruj az-Zahab dan Tabari dan lain-lainya lagi mencatatkan bahawa kekayaan Zubair sahaja mencapai lima puluh ribu dinar, seribu ekor kuda, seribu orang hamba sahaya dan sejumlah tanah di Basrah, Kufah, Mesir, dan lain-lain lagi. Dan Talhah mempunyai kekayaan pertanian di Iraq di mana setiap harinya menghasilkan seribu dinar, konon lebih dari itu. Abdul Rahman bin Auf mempunyai seratus ekor kuda, seribu unta, dan sepuluh ribu kambing. Sesuku dari seperlapan hartanya yang dibahagi-bahagikan kepada isterinya selepas meninggalnya mencapai lapan puluh empat ribu. Ketika Uthman bin Affan meninggal dunia, beliau telah meninggalkan sejumlah seratus lima puluh ribu dinar, tidak terhitung binatang ternak dan tanah-tanah subur tidak terkira. Emas dan perak yang ditinggalkan oleh Zaid bin Thabit sedemikian banyaknya sehingga harus dipecahkan dengan kapak. selain dari harta dan tanah yang bernilai seratus ribu dinar.

Demikianlah sebahagian contoh yang dapat kita lihat di dalam sejarah. Kita tidak bermaksud membahaskannya secara terperinci dan cukup sekadar sebagai bukti betapa mereka tergoda oleh kemewahan dunia dan kenikmatannya.)

Cuba pula sahabat-sahabat perhati dan baca terjemahan surat yang kononnya ditulis oleh Sayidina Umar kepada Muawiyah radiallahu'anhum. Surat ini juga saya download dari laman web Syiah yang saya sebutkan tadi di bawah tajuk: SURAT KHALIFAH UMAR KEPADA MU'AWIYAH. Mari kita sama-sama baca dan amati:

(Bismi l-Lahi r-Rahmani r-Rahim. Sesungguhnya beliaulah yang telah memaksa kami dengan pedang (nya) supaya melakukan ikrar terhadapnya, maka kamipun melakukan ikrar tersebut. Sedangkan dada (kami) berdebar, jiwa (kami) bergelora. Niat dan bisikan hati (kami) meragui dakwahnya kepada kami (al-Bukhari, Sahih, II, hlm. 111; Muslim, Sahih, IV, hlm.12,14 ), tetapi kami telah mentaatinya mengenainya, kerana mengelakkan pedangnya ke atas kami (Ata‘naa-hu raf‘an li-suyufi-hi ‘alai-na). Apatah lagi semakin bertambahnya bilangan kabilah dari Yaman yang akan menentang kami. Dan sokongan daripada mereka yang telah meninggalkan agama mereka di kalangan Quraisy. Maka aku bersumpah dengan Hubal, semua berhala, al-Laata dan al-‘Uzza bahawa Umar tidak pernah mengingkarinya semenjak beliau menyembahnya! (Fa-bi-Hubalin uqsimu wa l-Asnaam,wa l-Authaan wa l-Laata wa l-‘Uzza ma jahada-ha …. muz ‘abada-ha) , tidak pernah menyembah Ka‘bah sebagai Tuhan, tidak pernah membenarkan perkataan Muhammad dan keluarganya (wa la ‘abada li l-Ka‘bah rabban wa la Saddaqa li-Muhammadin wa Ali-hi qaulan). Aku tidak memberi salam kepadanya melainkan untuk mengelakkan diri dari kebengisannya. Sesungguhnya beliau (Muhammad s.a.w) telah mengemukakan kepada kami sihir yang besar. Sihirnya telah melebihi sihir Bani Israil bersama Musa dan Harun, Daud dan Sulaiman dan anak lelaki ibunya Isa.)

Saya hanya memetik sebahagian dari surat ini, sekiranya kawan-kawan semua sanggup membaca cercaan demi cercaan yang dilemparkan kepada Sayidina Umar, saudara-saudara boleh mendownloadnya di laman web yang saya berikan tadi.

Sedih kawan-kawan, sedih. Kita terpaksa mengangkat golongan yang menghina para sahabat sebagai wira umat Islam semata-mata mereka berani berjuang melawan Yahudi dan Amerika. Kita terpaksa akur dengan segala tuduhan-tuduhannya yang dilemparkan kepada para sahabat semata-mata semangat juang yang ditunjukkan oleh mereka. Kita juga terpaksa mengetepikan hadis nabi yang mengatakan 10 sahabat yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah semata-mata mereka membela umat Islam. Kita terpaksa menolak hadis nabi yang menyatakan bahawa semua ahli Badar diampunkan oleh Allah di akhirat kelak.

Sedih kawan-kawan, sedih. Aku bingung dengan dunia sekarang. Aku terpaksa sokong mereka yang menghina para sahabat nabi. Apa yang menyedihkan lagi ada sesetengah golongan membandingkan jasa penganut Syiah dengan pemimpin-pemimpin Sunni. Sememangnya betul mereka ini bacul, penakut, pengecut dan lain-lain lagi, tetapi kenapa kita yang mengaku Sunni terlalu bermegah-megah dengan mereka yang menghina para sahabat? Kenapa saya menyatakan bahawa perkara menghina dan mengkafirkan sahabat ini suatu perkara yang sangat serius. Ini kerana kita terpaksa menidakkan hadis nabi s.a.w mengenai kemuliaan 10 orang sahabat yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah serta kelebihan ahli Badar yang diberikan oleh Rasulullah. Seolah-olah kita semua tidak beriman dengan hadis ini. Seolah-olah hadis nabi ini salah. Sememangnya betul ada hadis nabi yang disabdakan tentang pengusiran sebahagian para sahabat nabi di Haud di akhirat nanti. Tetapi tidak pula di tentukan sahabat mana yang diusir. Akan tetapi Syiahlah yang mengkhususkan sahabat itu sahabat ini yang kena usir disebabkan mereka ini murtad dari Islam.

Kita pernah tengok saban hari di dada-dada akhbar, Hizbullah cukup menyengat di medan jihad. Jasa yang diberikan oleh pertubuhan ini bukannya kecil. Bantuan ketenteraan, pakaian dan wang ringgit yang dihulurkan oleh Hizbullah menjadikannya mulia di mata masyarakat dunia. Adakah kita semua sedar bahawa semua perkara kebaikan ini dilaporkan oleh Reuters, AFP dan lain-lain. Bukankah mereka semua ini adalah alat barat dan agen Zionis? Bagaimana mereka boleh melaporkan sesuatu yang baik tentang musuhnya? Sedangkan ayat al-Quran menyatakan bahawa Yahudi dan Nasrani sama sekali tidak akan redha dengan kita umat Islam sehingga kita mengikuti mereka. Saya tidak mahu menghukum apa-apa dan saya kembalikan perkara ini kepada Allah Taala dan para sahabat sekalian untuk direnung dan difikirkan.

Bagi saya, saya cukup bingung dengan perkara ini, bingung. Antara beriman dengan hadis nabi atau meredhai para sahabat dimaki dan dicerca. Aku bingung, pening, keliru dan semuanya. Tolong aku sahabat.........