Sunday, January 16, 2011

Belasungkawa

Terkejut bila mana mendapat berita sekembalinya Aimanuddin rahimahullah ke pangkuan Ilahi. Selepas Sayyed Azwan mengakhiri kalam pengkhabaran itu, ingatan saya terus melayang, mengenangkan kenangan bersama arwah ketika berada di bumi perjuangan, bumi Iman dan Hikmah.

Keberadaan beliau di bumi Yaman pada hemat saya merupakan satu anugerah yang tidak ternilai. Beliau bukan sahaja istiqamah menghadiri kuliah di universiti, bahkan turut thabat bertalaqqi dengan Qadhi Imrani. Dari segi amal jamai'e, saya menggelarkan beliau sebagai "Robot PERMAYA". Apa tidaknya, segala kerja yang diamanahkan kepada beliau dilaksanakan dengan pantas tanpa banyak argumentasi terhadap pimpinan. Kerja-kerja 'bangsat' disempurnakan dengan penuh tekun tanpa bertoleh ke belakang lagi. Secara peribadi, kuasa manusia yang ada pada Aimanuddin rahimahullah seumpama 10 orang ahli PERMAYA. Begitulah analogi yang tepat bagi menggambarkan keperibadian Aimanuddin rahimahullah.

Kali terakhir saya berjumpa dengan beliau ketika terserempak di pasaraya Mydin. Walaupun riak wajahnya tampak ceria tetapi disebalik senyuman manis beliau tersembunyi seribu satu kelelahan berjuang melawan penyakit yang dihadapi. Rutin rawatan perubatan yang ditetapkan oleh pihak hospital, diikuti dengan penuh konsisten dan istiqamah, seperti mana istiqamahnya beliau dalam amal jamaie.

Namun begitu, rasa amat terkilan kerana tidak diberikan keizinan oleh Allah untuk menyembahyangkan beliau buat kali terakhir, lantaran wujud beberapa kekangan peribadi. Semoga Allah mengampunkan segala kesalahan mu wahai Aimanuddin. Semoga Allah menjadikan tempat mu, satu kebun dari kebun-kebun syurga. Semoga Allah mewangikan kubur mu dengan setanggi jannah. Kamu adalah pemuda beriman. Semoga Allah mengahwini mu dengan bidadari syurgawi yang amat merindui pemuda-pemuda beriman seperti mu. Amin Ya Rabb!

Tuesday, January 04, 2011

Sesi Persekolahan Bermula

Alhamdulillah sesi persekolahan bagi sesi 2011 telah bermula pada 3 januari 2011. Bagi saya tiada karenah murid tahun satu pada tahun ini. Mungkin mereka telah terbiasa dengan alam persekolahan semenjak dari alam pra lagi. Oleh itu ia dapat memudahkan para guru dalam kawalan kelas.

Pada hari pertama persekolahan pada hemat saya amat meletihkan. Banyak kerja yang belum diselesaikan dan kesukaran menyesuaikan diri untuk mengajar menyebabkan 'mood' bekerja sedikit terjejas.

Namun begitu pada hari kedua, saya sudah mula beradaptasi dengan suasana kerja dan keletihan akibat bebanan kerja semakin berkurangan. Alhamdulillah pada-Mu wahai Allah kerana memberikan daku keizinan dan kekuatan dalam mencari sesuap nafkah dan dalam memandaikan ummah. Semoga Allah memberi 'thabat' kepada ku.