Monday, March 03, 2008

Undi Umno Berdosa???

Assalamualaikum. Ini adalah entri pertama saya berkenaan dengan politik. Entah la. Pada mulanya saya tak nak layan sangat pasal politik ni. Tetapi bengkak dan nanah kesundalan politik Malaysia semakin membarah hingga meresap ke dalam urat saraf nadi kehidupan beragama. Entah la. Kenapa orang seronok sangat pangkah Umno masa pilihanraya ni. Pelik!!!

Kawan-kawan sekalian. Setiap benda dan perkara yang wujud di muka bumi ini, tidak ada yang sia-sia keberadaannya. Bukit-bukau, gunung-ganang, hutan rimba, padang pasir, hujan, air, angin, pasir tanah dan lain-lain lagi masing-masing mempunyai tujuan dan matlamat. Begitu juga dengan apa yang ada di persekitaran kita. Laptop, buku, pensil, pembaris, selipar, kasut, stokin, pencungkil gigi dan lain-lain lagi mempunyai tujuan dan matlamat kewujudan mereka.

Photobucket

Kawan-kawan sekalian. Allah menciptakan kita dengan dilengkapi dengan pelbagai anggota. Tangan untuk memudahkan kerja manusia, telinga untuk mendengar, lidah untuk merasa, kaki untuk berjalan, mata untuk melihat dan lain-lain anggota yang mana masing-masing mempunyai peranan dan matlamat yg khusus. Maka manusia yang merangkumi semua anggota yang penuh bermatlamat itu untuk apa? Apakah peranan manusia itu sendiri??? Jawapan yang paling tepat ada pada Pencipta manusia itu sendiri. Dialah yang Maha Arif tentang matlamat dan kewujudan manusia. Kerana apa? Kerana Dialah yang menciptakan manusia dan Dialah yang menetapkan tujuan dan matlamat kewujudan manusia. Oleh itu, apakah peranan, matlamat serta tujuan kewujudan manusia di alam ini?

ٍSahabat-sahabat sekalian. Untuk mengetahui tujuan atau matlamat sesuatu benda, maka hendaklah bertanya kepada siapa yang mencipta benda tersebut. Fungsi sebenar sebuah kerusi hanya dapat dipastikan apabila kita bertanya kepada pembuat kerusi. Sekiranya kita menggunakan kerusi untuk diletakkan di dalam reban ayam, maka tujuan dan matlamat sebenar sebuah kerusi adalah salah.

Photobucket

Begitu jugalah dengan diri manusia itu sendiri. Kita boleh mereka apa sahaja matlamat kehidupan dan tujuan kewujudan manusia di dunia ini. Bermacam-macam jawapan yang dijawab. Namun begitu, adakah ianya bertepatan dengan kehendak serta tujuan dan matlamat penciptaan manusia itu sendiri? Persoalan yang kusut ini hanya boleh dijawab sekiranya kita merujuk kepda siapa yang menciptakan kita.

Kita sebagai Muslim sudah tentu percaya dan beriman bahawa pencipta kepada manusia adalah Allah Taala. Tanyalah kepada siapa pun yang mengaku beragama Islam, pasti kita memperolehi jawapan yang sama. Dari penoreh getah hinggalah golongan profesional, dari budak tadika ke graduan universiti, pasti mengaku bahawa Allah lah yang menciptakan kita. Persoalannya adalah, apakah kita semua tahu apa yang dikehendaki oleh Allah daripada kita?

Teman-teman sekalian. Cubalah kita semua membelek sejenak kitab suci al-Quran. Tak kiralah bila-bila masa dan di mana-mana sekali pun, cubalah perhatikan kepada ayat al-Quran surah al-Zaariyat ayat ke 56 yang bermaksud: "Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." Nah!!! Jelaskan tujuan dan matlamat Allah jadikan kita. Allah menginginkan kita agar sentiasa menyembah Allah dan beribadat kepada Nya.

Photobucket

Ibadat bukan hanya terbatas kepada solat, puasa zakat dan haji semata-mata. Bahkan ianya meliputi seluruh kehidupan kita. Sekiranya ibadat hanyalah empat ini sahaja, maka apabila kita selesai menunaikan keempat-empat ibadat tadi adakah kita sudah terlepas dari batas dan norma beragama. Bila selesai solat, maka adakah kita boleh menipu dalam urusan jual beli lantaran urusan perniagaan tiada kaitan dengan agama? Adakah dengan kita selesai menunaikan puasa maka kita boleh enjoy katak sehingga tidak lupa dunia kerana enjoy itu bukan dari urusan agama? Apakah dengan tertunainya zakat, maka hubungan kemanusian sudah hilang dan di"tong sampah"kan dek kerana hubungan kemanusian bukan dari persoalan agama?

Saudara dan saudari sekalian. Sekiranya kita beranggapan sedemikian , maka itu adalah suatu sangkaan yang amat meleset. Ibadat yang sebenar merangkumi segenap kehidupan manusia. Bermula bangkit daripada tidur sehinggalah dia tidur kembali, kehidupan sehariannya tidak terlepas dari aspek ibadat. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara. Apabila disebut sahaja ibadat, maka dua perkataan yang sinonim dengannya adalah pahala dan dosa. Sebagai contoh, makan pada asalnya adalah harus. Sekiranya makan mengikut adab serta sunnah Rasulullah, maka insya-Allah pahala akan diperolehi. Tetapi jikalau makan mengikut hawa nafsu dan berlaku pembaziran, maka ia terjerumus ke lembah dosa.

Jika kita lihat, persoalan makan ini pun mempunyai unsur pahala dan dosa, maka apatah lagi jikalau dibandingkan dengan perkara yang lebih besar isunya seperti pemilihan pemimpin untuk mentadbir negara. Malaysia turut terlibat dalam proses pemilihan pimpinan bagi mentadbir negara. Dan cara pemilihan kepimpinan yang sah di sisi undang-undang di Malaysia ini adalah melalui proses pengundian pada Pilihanraya Umum yang berlangsung empat tahun sekali. Dalam pilihanraya, pemimpin dipilih melalui proses pengundian dan jumlah undian adalah penentu kepada kejayaan seseorang pemimpin.

Sahabat-sahabatku yang budiman. Adakah proses pemilihan pemimpin melalui proses pengundian terlepas dari aspek ibadat? Adakah mengundi tiada dosa dan pahala? Cubalah buka al-Quran yang kita semua miliki dan lihat pada surah al-Nisa' ayat ke 85. Terjemahannya pasti tertulis begini, "Sesiapa yang memberikan syafaat yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya; dan sesiapa yang memberikan syafaat yang buruk, nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu."

Sekiranya kita semua memangkah Umno dalam pilihanraya ini, maka kita telah memberi syafaat(pertolongan) kepada mereka untuk mencapai kemenangan seterusnya mentadbir Malaysia. Sekiranya kerajaan yang dibentuk oleh Umno memenuhi kehendak agama, maka kita mendapat ganjaran di sisi Allah. Sekiranya kerajaan Umno mentadbir Malaysia menyalahi syariat Islam walhal kita telah pun mengetahuinya, maka kita telah memberi syafaat yang buruk kepada mereka. Maka sudah tentu kita mendapat bahagian dosa daripada dosa yang mereka lakukan.

Photobucket

Begitu juga dengan Pas. Sekiranya kita pasti berlaku penyelewengan dan kemungkaran yang bakal terjadi sekiranya Pas mentadbir Malaysia dan kita mengundi mereka pada pilihanraya ini, maka kita akan beroleh ganjaran dosa dari Allah. Begitu juga jikalau Pas melakukan kebaikan serta menegakkan syariat Allah, maka kita turut menerima habuan pahala yang dijanjikan oleh Allah.

Sahabat-sahabat sekalian. Kita sebagai rakyat Malaysia yang Muslim, mestilah peka terhadap perkara yang berlaku di dalam negara. Baik dari segi kebaikan mahu pun keburukan. Aspek yang menyentuh sensetiviti syariat mestilah diberikan perhatian kerana ia adalah penentu kepada sesebuah negara itu ditadbir mengikut Islam atau tidak. Kemungkaran yang sah disisi undang-undang perlu di tentang dan dilawan kerana mencegah kemungkaran adalah wajib bagi umat Islam walau apa jua cara sekalipun.

Individu yang di dalam hatinya setitis embun Iman pasti terguris tatkala melihat kemungkaran dan kemaksiatan yang beroperasi secara sah di negara sendiri. Cuba saudara saudari semua klik pada pautan yang diberikan ini:
http://www.genting.com.my/en/casino/index1.htm
http://www.gab.com.my/
http://www.carlsberg.com.my/

Sekiranya kalian sudah membuka pautan yang telah di beri, apakah reaksi kalian. Apakah kata Iman anda? Tidakkah terdetik setitis kemarahan terhadap kemungkaran dan maksiat yang bermaharajalela secara sah di tanah air sendiri? Adakah kita hanya mempercayai ayat al-Quran yang berkaitan dengan solat, puasa, zakat dan haji sahaja dan mempersetankan ayat al-Quran yang menyatakan tentang pengharaman arak dan judi. Adakah kita terlalu alpa sehingga terlepas pandang terhadap ayat ke 90 dalam surah al-Maidah yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya."???

Persoalan!!! Siapakah yang membenarkan mereka beroperasi dengan bebas secara sah di tanah air kita yang tercinta ini? Siapakah yang memberi permit dan lesen perkilangan minuman keras di Malaysia. Sudah tentu kerajaan semasa yang mentadbir negara pada waktu ini. Siapakah mereka? Mereka adalah yang kita pilih di setiap empat tahun sekali. Mereka yang tidak pernah kalah dan takut kepada Allah. Siapa lagi kalau bukan U@#O.

Undi Umno bererti membenarkan mereka mentadbir negara. Mereka mentadbir negara tidak berlandaskan syariat. Ini bermakna kita memilih mereka yang tidak menghiraukan syariat Allah. Oleh kerana mereka tidak menghiraukan syariat Allah, maka mereka bertindak memilih untuk membenarkan pengasilan arak dan perniagaan judi di dalam negara. Ini juga bermakna mengundi Umno beerti membenarkan dan membiarkan arak dan judi menguasai tanah air. Maka setiap undian adalah syafaat (pertolongan) untuk melakukan keburukan (maksiat). Maka setiap syafaat buruk akan ditimpal dengan bebanan dosa. Maka kesimpulannya... mengundi Umno akan ditimpa bebanan dosa yang berat selama empat tahun.

Bayangkan!!! Sekiranya kita dicabut nyawa ketika masih lagi mengundi Umno, bagaimana kita hendak berhadapan dengan pertanyaan Malaikat di alam kubur nanti. Bagaimana hendak berhadapan dengan pengadilan Allah di akhirat nanti? Atau pun sudah tiada lagi keimanan terhadap hari akhirat? Adakah kehidupan ini kehidupan abadi yang tiada menemui kematian???

KATAKAN TIDAK PADA UMNO!!! SETIAP UNDIAN MEMBAWA BALA!!!