Lama betul saya tak menulis. Maklum lah, terkena sindrom malas. Sindrom ni sangat suka menyerang mangsanya yang poyo dan suka berkhayal. Mungkin aku terkategori dalam kelas sini. Apa-apa pun abaikan sindrom kemalasan itu. Jumaat lepas iaitu pada 16 Mac 2007 adalah hari yang bersejarah dalam hidup ku. Saya diberi kesempatan oleh abang saya untuk merasai pengalaman menjadi seorang nelayan laut.
Berbekalkan barang-barang keperluan peribadi dan sedikit buah celagi (asam jawa putik) serta dua paket apolo, aku mula meredah lautan tepat jam 5.00 petang selepas bekalan air tawar sudah terisi penuh dalam bot. Aku berdoa kepada Allah agar perjalanan ku nanti tidak diuji dengan kemabukan. Mabuk laut. Satu kalimah ngeri bagi mereka yang new comer dalam dunia perlautan. Nanti ku perinci erti kemabukan sebentar lagi. Perjalanan terhenti sementara setibanya kami ke destinasi pertama. Kata pemandu bot merangkap ipar abang aku, tempat ini merupakan tumpuan para ikan kerana di dasar laut ini terdapat kapal karam, katanya kapal gula.
Tunggu apa lagi! Kami melabuhkan apolo ke dasar laut mengharapkan laba yang besar nanti. Bagi aku yang dummiest ni, sememangnya terkial-kial mengendalikan apolo. Aku mesti berhati2 hati kerana mata kailnya banyak sekali. Namun setelah dua hingga tiga kali ku campak apolo, lama-lama keserasian kami mula bersatu. Aku sekarang boleh dikira sebagai amatur dalam pengendalian apolo. Namun begitu ia tidak menjanjikan pulangan yang lumayan kerana aku cuma berhasil mengangkat tiga ekor anak ikan lecek dan seekor ikan berbisa yang tak ku tahu namanya. Sedangkan old timer hasilnya mencecah satu hingga dua bakul. Aku rasa aku ni memang seorang yang teruk. Perjalanan diteruskan ke destinasi berikutnya. Kali ini kami singgah di unjang (macam rumah ikan buatan yang diperbuat dari daun kelapa) yang tuannya hanya dikenali oleh juragan bot sahaja. Kali ini aku hanya menjadi pengutip ikan sahaja. Walaupun begitu bayangkanlah...ikan kembung menggelupur di tangan. Memang sesuatu yang ajaib.
Malam kian memburu kami sehinggalah ia berjaya menguasai kami. Dari saat itulah emosi ku kacau lantaran keseimbangan fizikal ku terganggu. Kesamaran lampu bot membuatkan mata ku menjadi tak keruan. Lantaran itu kepala ku menjadi pusing dan akibatnya perut ku menjadi mual. Ya Allah! Aku sudah mabuk laut. Itulah apa yang ku rasa sewaktu kemabukan laut. Lepas isyak aku terus melenakan akan diri sendiri tanpa menyentuh hidangan yang amat enak pada malam itu.
Seawal pagi aku sudah pun bangun dari tidur, menunaikan ibadat mandi wajib, wuduk dan terus solat subuh. Kemabukan masih terasa dan di kesempatan yang ada ku teruskan berehat. Bila matahari mula menjenguk diri, kemabukan kiar tersingkir dan hidup ku kembali normal. Namun kemabukan ku berbaloi bila old timer berhasil mengangkat beberapa ikan tongkol (ikan aye) dan akulah yang mengutipnya. Ghairah ku bertambah dan keseronokan ku menjadi-jadi. Alhamdulillah..Allah al-Razzaq.....
Sebenarnya aku bukan nak sangat bercerita tentang pengalaman ku di lautan. Cuma apa yang ingin aku sampaikan ialah apa yang aku fikirkan sepanjang perjalanan ku di lautan. Melihat sahaja laut, aku mula terbayang orang yang kerja di laut. Sekiranya aku ini dikatakan seorang nelayan sejati, maka lupakanlah anggapan itu. Banyak perkara perlu dipelajari untuk mencapai status seorang nelayan. Perkara asas adalah bagaimana kita boleh menangani masalah kemabukan. Kerana kemabukan akan mengganggu kualiti nelayan sekali gus menjejas produktiviti sesebuah bot nelayan. Bila perkara ini berjaya di atasi, maka ilmu mengikat pancing, joran, apolo dan sebagainya mesti dikuasai pula oleh sang nelayan. Bagi aku, ilmu mengikat ni memang bengap. Masa rehlah memancing di Aden dulu pun, Abey yang menjadi mangsa suruhan untuk mengikat joran. Sabar je Abey melayan aku. Selain itu ilmu memancing (bagi nelayan yang menggunakan kaedah memancing) perlu diperdalami. Nelayan perlu bijak bermain dengan pancing dan juga pandai membaca sentapnya ikan. Kalau bab ini kurang mahir maka kebanyakan ikan akan terlepas. Itu dari segi kemahiran. Tak termasuk lagi bab kemasyarakatan sesama awok-awok di atas kapal. Hubungan dengan tekong bot kena ngam. Biasanya tekong mendapat layanan istimewa dari awok-awok. Tekonglah juga orang yang paling otai dalam bot. Dia mesti tahu tempat-tempat tumpuan ikan. Mesti mengecam lokasi (bukan lokantasi) unjang-unjang ikan dan juga pandai membaca arus lautan serta dapat menghidu keadaan cuaca persekitaran. Huh! Banyak perkara yang mesti dipelajari sekiranya ingin menjadi seorang nelayan sejati.
Namun begitu balasan yang diperoleh oleh para nelayan tidak setimpal dengan risiko pekerjaannya. Orang tengah, ataupun Tok Peraih, merupakan lintah darat yang mengaut keuntungan kering dari kebasahan peluh para nelayan. Perkara ini sudah diketahui umum dan orang ramai sudah memahami sangat situasi ini. Biasanya Tok-tok Peraih ini pandai menjaga hati awok-awok dengan menjaga kebajikan serta sekali sekal memberi bonus tahunan.
Akan tetapi ganjaran yang diterima oleh para nelayan masih belum setimpal dengan nilai pengorbanan mereka. Aku sendiri tidak mampu mencari jalan penyelesaiannya dan jauh sekali dapat membantu mereka. Aku hanya sekadar mengeluh akan nasib umat Islam yang dikotak-katikkan oleh orang Islam sendiri. Semoga kita dapat mengubah nasib para nelayan kepada kehidupan yang lebih baik. Semoga Allah mengganjari mereka dengan pahala yang besar. Wassalam.