Tuesday, February 20, 2007
Terima Kasih Cikgu
Saturday, February 10, 2007
Mukjizat Rasulullah-Berpeluangkah kita merasainya?
Umat Islam kini dilanda krisis akidah yang kian meruncing. Umat Islam sekarang tidak lagi menjadikan Islam sebagai cara hidup. Proses modenisasi menjadikan manusia terjerumus ke dalam lembah materialisme dan hedonisme. Hal ini bertambah tenat bila mana umat Islam terpaksa menghadapi fenomena globalisasi yang menyerang dari pelbagai sudut merangkumi agama, politik, sosial dan ekonomi. Tanpa keimanan yang mendalam, manusia mudah terjerumus ke dalam arus kesesatan.
Aspek keimanan tidak lagi dipandang sebagai suatu yang penting. Manakala usaha-usaha bagi meningkatkan lagi keimanan dipandang sepi oleh masyarakat. Iman hanya diperkatakan di masjid-masjid melalui lidah pendakwah serta dari mimbar Jumaat sahaja. Keimanan tidak lagi dihayati dan diamalkan oleh umat Islam dalam kehidupan mereka seharian.
Keimanan merupakan asas yang mengikat hamba dengan Penciptanya serta membuahkan perasaan cinta dan takut kepada Allah s.w.t. Keimanan juga menjadikan manusia taat dalam melakukan ibadat dan sanggup menjauhi maksiat. Maksiat bukan hanya terhad berlaku di rumah-rumah urut dan pelacuran, kedai nombor ekor dan bar sahaja, bahkan maksiat boleh berlaku dalam rumah tangga, sekolah, pejabat, masjid dan negara. Sekiranya para penghuni sesebuah negara beriman dan bertaqwa kepada Allah s.w.t, nescaya Dia akan membuka pintu rahmat kepada mereka semua. Firman Allah s.w.t dalam surah al-‘araf ayat 96 maksudnya:
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi.
Keimanan yang jitu lahir daripada ilmu. Ilmu iman tidak akan dapat diperoleh melainkan dari proses pembelajaran. Insan yang bertanggungjawab mengajar ilmu iman kepada umat manusia adalah Rasulullah s.a.w. Firman Allah Ta‘ala dalam surah al-Jumu‘ah ayat kedua yang bermaksud:
Dia lah yang telah mengutuskan dalam kalangan orang-orang (Arab) yang Ummiyyin, seorang Rasul (Nabi Muhammad s.a.w) dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaan Nya), dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajarkan mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum syarak). Dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata.
Keimanan yang sebenar adalah keyakinan yang bertunjangkan hujah dan dalil yang kukuh. Oleh sebab itu keimanan yang berasaskan taklid mudah terkesan dengan syubhah yang dilontarkan oleh musuh-musuh Islam serta sering terpesong apabila berhadapan dengan cubaan dan dugaan. Keimanan yang sebenar telah ditonjolkan oleh ahli-ahli sihir firaun yang memeluk agama tauhid. Firman Allah Ta‘ala dalam surah Taha ayat 68 hingga 73 maksudnya:
"Dan campakkanlah apa yang ada di tangan kanan mu, nescaya ia menelan segala (benda-benda sihir) yang mereka lakukan, kerana sesungguhnya apa yang mereka lakukan itu hanyalah tipu daya ahli sihir; sedang ahli sihir itu tidak akan beroleh kejayaan, di mana sahaja ia berada". (Nabi Musa pun mencampakkan tongkatnya yang terus menelan segala benda sihir mereka), maka keadaan yang demikian menjadikan ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri sujud sambil berkata: "Kami beriman kepada Tuhan yang mengutus Nabi Harun dan Nabi Musa". Firaun berkata: "Patutkah kamu beriman kepada Musa sebelum aku memberi izin kepada kamu? Sesungguhnya dia lah ketua kamu yang mengajar sihir kepada kamu. Oleh itu, demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang, dan aku akan memalang kamu pada batang-batang pohon tamar; dan demi sesungguhnya kamu akan mengetahui kelak siapakah di antara kita yang lebih keras azab seksanya dan lebih kekal". Mereka menjawab: "Kami tidak sekali-kali akan mengutamakan mu daripada apa yang telah datang kepada kami dari mukjizat-mukjizat yang terang nyata, dan (tidak akan mengutamakan mu daripada) Tuhan yang telah menjadikan kita semua. Oleh itu, hukumkanlah apa sahaja yang engkau hendak hukumkan, kerana sesungguhnya engkau hanyalah dapat menghukum dalam kehidupan dunia ini sahaja. "Sesungguhnya kami telah beriman kepada Tuhan kami, supaya diampunkan Nya kesalahan-kesalahan kami, dan dosa-dosa sihir yang engkau paksakan kami melakukannya. Dan Allah jualah yang lebih baik dan lebih kekal balasan pahala Nya.
Keimanan yang ditonjolkan oleh ahli-ahli tersebut jelas menunjukkan ketinggian tahap keimanan mereka. Semuanya ini terhasil dari penyaksian mukjizat yang diperlihatkan oleh Musa a.s semasa perlawanan baginda dengan mereka. Mukjizat yang jelas berada di hadapan mata, menjadikan keimanan kepada Allah s.w.t adalah lebih utama daripada azab yang diancam oleh Firaun laknatullah. Kisah ini menunjukkan bahawa kemukjizatan memainkan peranan besar dalam pembentukan dan pengukuhan iman.
Setiap Rasul yang diutus oleh Allah Ta‘ala disertai dengan mukjizat yang dapat difahami dan sesuai dengan sesuatu kaum tertentu. Kaum nabi Musa sangat terkenal dengan amalan sihir sehinggakan ahli sihir mendapat tempat yang istimewa dalam kerajaan Firaun. Allah s.w.t telah mengurniakan kepada Musa a.s mukjizat seakan-akan sihir tetapi bukan sihir. Tongkatnya dapat bertukar menjadi ular yang besar sehingga berjaya menundukkan ular yang disihir oleh ahli sihir diraja. Begitu juga dengan kaum Thamud. Mereka terkenal dengan ukiran yang indah dengan memahat bukit untuk dijadikan rumah. Namun Allah Ta‘ala mengurniakan kepada Nabi Allah Salih a.s mukjizat dengan menerbitkan unta dari batu. Begitu juga dengan Nabi Muhammad s.a.w. Baginda dikurniakan mukjizat al-Qur’an yang mempunyai keindahan bahasa yang maha tinggi nilainya sehingga menyebabkan kaum musyrikin yang pada ketika itu terkenal dengan kefasihan dalam bahasa Arab, gagal untuk mendatangkan sepotong ayat seindah ayat al-Qur’an.
Di zaman sekarang, di era pemodenan dan sains teknologi, al-Qur’an bergerak seiring dengan perkembangan tersebut. Namun sekarang, mukjizat Rasulullah yang telah dinikmati oleh para sahabat seolah-olah tidak dapat dirasakan lagi pada masa sekarang. Walaupun begitu, kita masih lagi bertuah kerana memiliki Al-Quran yang merupakan bukti mukjizat Rasulullah kekal hingga sekarang. Bagi mereka yang fasih berbahasa arab serta tahu selok belok ilmu bahasa arab, mungkin mereka merasai kelazatan ayat-ayat al-Quran. Namun bagi kita yang jahil dalam bahasa yang mulia ini, terkial-kial apabila mendengar ayat-ayat suci al-Quran. Adakah perlu kita mendalami bahasa Arab terlebih dahulu, barulah kita dapat merasai kemukjizatan al-Quran?
Jadi, persoalannya di sini, adakah kita berkesempatan untuk melihat mukjizat Rasulullah s.a.w seperti mana yang telah dikecap oleh para sahabat ridhwanullah. Adakah kita berpeluang untuk beriman dengan Allah dan Rasul seperti mana berimannya para sahabat ridhwanullah? Berpeluangkah kita?