Monday, February 28, 2011

Terima Kasih Allah

Alhamdulillah, syukur kepada Mu wahai Allah, kerana diri yang hina ini diberi keizinan menghirup udara rahmat-Mu di setiap waktu.

Terima kasih Allah kerana membenarkan diri ini berpijak di bumi Mu. Bernaung di awanan Mu.

Syukur kepada Mu wahai ar-Rahman, kerana masih lagi mencicip makanan Mu, walaupun diri ini sering melupakan Mu.

Segala puji buat Mu wahai ar-Rahim, kerana memberi peluang kepada ku menjaga amanah Mu, seorang isteri yang selalu berbakti dan permata-permata hati.

Aku sembahkan segala puja ku kepada Mu duhai al-Mannan, kerana menjaga ibunda ku di setiap degupan jantungnya, agar daku berbuat ihsan terhadapnya. Alangkah malang nasib ku wahai Allah, jika kesempatan yang Kau kurniakan ini, membuatkan diri ini jauh dari mencium setanggi jannah-Mu. Lindungilah aku wahai Allah, dari azab-Mu.

Duhai al-Ghaffar, aku aturkan segala noda dan dosa ku di hadapan Mu, agar Kau bersihkan ia dengan hembusan rahmat dan keampunan-Mu.

Aku hamparkan sekeping hati yang tandus di sisi Mu duhai al-Hadi, agar Kau sirami ia dengan gerimis hidayah-Mu.

Terima kasih Allah, kerana menjauhkan diri ini alpa, dalam menghitung nikmat-Mu. Walau ia adalah mustahil buat diri ku.


25 Rabiul Awwal 1432H
28 Febuari 2011
KPKR, Besut Terengganu.